Bab 16

Romance Series 30734

AKU kerling Rayyan yang sedang berdiri di sebelah ibu sambil pandang ke arah isteri dan mentuanya yang tercinta. Isteri pertama itulah. Entah macam mana mereka boleh tergelincir depan pintu rumah ini selepas berbulan-bulan tak pernah jenguk.

Malahan ibu kata sebelum kahwin pun Qila melawat dia kerana nak ambil hati Rayyan saja. Bila dah dapat, terus tak mahu jejak rumah ini lagi. Buktinya lepas kahwin memang Qila tak pernah lawat ibu. Jumpa hanya di luar seperti di hospital itu.

“Ibu nak masuk bilik untuk mandi dan rehat sekejap. Rayyan temanlah isteri dan mak mentua.” Ibu minta diri dan terus berlalu tanpa tunggu jawapan Rayyan.

Tengoklah itu. Ibu pun tak sudi nak bertentangan mata dengan mereka. Yang mak mentua itu pun bukan main sinis sengihnya bila ibu minta diri.

Tapi ikut suka dia oranglah. Aku pun nak keluar dah. Ada checkup buat pertama kalinya selepas tahu yang aku mengandung. Separuh hati rasa macam tak nak pergi. Badan ini asyik rasa tak sedap tapi nafsu makanku mula menggila pada satu-satu masa. Aku tak boleh tanya pada sesiapa tentang apa yang boleh aku buat untuk masalah ini sebab tak ada siapa tahu yang aku mengandung kecuali doktor.

Jadi aku terpaksa ikut separuh hati yang lain untuk tetap berjumpa dengan doktor hari ini. Untuk periksa kandungan dan alang-alang untuk rujuk pada yang pakar tentang masalahku.

Malas nak berlama di sini, aku terus undur diri untuk masuk ke bilik. Nak ambil beg tangan dan terus ke klinik memandangkan appointment aku lagi satu jam. Nasib baik jugalah ibu izinkan untuk pinjam keretanya.

Baru nak buka kaki, tiba-tiba tanganku digenggam. Rayyan pandang aku dengan kening yang dijongket hairan.

“Kau nak ke mana?”

“Masuk bilik. Dhia nak keluar sekejap.” Keluar ke mana? Mestilah aku mati-mati takkan beritahu.

“Dengan siapa?”

Aik? Sejak bila dia begitu prihatin sampai dengan siapa aku keluar pun nak tahu?

“Sendirilah.” Mulalah aku nak berkerut ini. Lagi-lagi dengan Kak Qila yang tengah terbeliak bila Rayyan pegang tanganku.

Aku tak tahulah apa perjanjian atau persetujuan yang mereka buat sampai Rayyan pegang tangan aku pun macam itu sekali terbeliaknya.

“Aku hantarkan,” putus Rayyan.

Nak terjelepuk jatuh rasanya bila dengar Rayyan buat keputusan yang memang jelas seakan pilih aku berbanding isteri tercinta dan mak mentuanya itu. Dia ini dah kenapa? Gila ke? Dia pitam sampai masuk hospital hari itu ada bagi dia apa-apa kecederaan kepala masa jatuh ke?

“Dhia ada lesenlah. Dhia boleh bawa kereta. Ibu bagi pinjam kereta dia. Lagipun Dhia keluar sekejap je. Abang layanlah keluarga abang. Nanti apa dia orang fikir pula.”

Ah, sebenarnya aku tak peduli apa yang dia orang fikir. Aku cakap macam itu untuk tapis niat sebenar yang aku memang tak nak dia ikut sama. Kalau dia ikut, nampaknya memang tidaklah aku nak ke klinik. Terpaksalah pura-pura pergi tempat lain supaya dia tak sangsi.

“Keluarga abang?” Rayyan ajuk kataku tadi dengan nada berbeza. Bunyinya macam nak cari salah aku lagi je.

“Habis itu? Dia orang bukan keluarga Dhia. Dhia tak iktiraf dia orang sebagai keluarga sama macam abang yang tak iktiraf keluarga Dhia sebagai keluarga abang.” Titik!

Dan aku terus naik ke atas. Apa Rayyan nak cakap, cakaplah. Dia nak marah pun aku tak peduli. Lagipun memang patut dia duduk di rumah dan layan keluarga dia. Itu kan pilihan dia sampai tak nak dengar nasihat dan permintaan ibu?

JARI memicit-micit kepala. Ingatkan balik klinik aku akan baik-baik saja, rupanya makin teruk adalah. Nasihat doktor untuk berehat jadi tak berguna lagi bila kepalaku buat hal pula. Sakit kepala ini bukan main-main. Aku rasa macam nak menangis! Nak tidur tak boleh, nak bangun pun tak boleh.

Mujurlah kandungan ini baik-baik saja. Tenang sikit hati jadinya.

Hai, anak.

“Dhia kenapa? Dari tadi bibik tengok asyik urut kepala dan tengkuk.” Bibik Yati yang baru masuk ke dalam rumah terus mendekati aku.

“Sakit kepalalah, bik.”

“Sakit kepala? Dhia tak mahu ajak Tuan Rayyan ke klinik? Bibik boleh tolong panggilkan. Dia ada di luar lagi bersembang.”

Aku cepat-cepat kipas-kipas tangan tanda menghalang. Jangan! Lagi haru kalau dia yang bawa aku ke klinik. Waktu macam ini aku lagi sanggup berguling menahan sakit di atas katil daripada bocor rahsiaku depan Rayyan. Ini pun aku duduk di ruang tamu sebab aku tak berani nak tangga.

Takut jatuh.

“Kak Qila dah balik ke?” soalku. Sebab sejak aku balik dari klinik, aku langsung tak nampak dia.

Mungkin juga sebab aku hanya duduk di ruang tamu sedari tadi.

“Ada di dapur. Tadi dia dan puan keluar untuk beli makanan.,” jawab bibik.

Oh, faham. Patutlah tak nampak pun. Agaknya mereka tengah makan di dapur.

“Tapi bibik takut tengok Dhia sakit-sakit macam ini. Hari itu sakit badan. Ini sakit kepala.”

Aku tersengih. “Tak ada apalah, bik. Tapi bibik boleh tolong ambilkan ubat dekat dapur? Rasanya ibu ada simpan ubat. Tolong Dhia cari Panadol atau yang namanya Paracetamol.”

Bibik terangguk-angguk sebelum terus berjalan masuk ke dapur. Aku terus baringkan badan atas sofa dan pejam mata sementara tunggu bibik datang bersama ubat. Harapnya lepas makan ubat sakitnya hilanglah. Kalau tak memang sungguh-sungguh aku menangis ini.

Tak lama kemudian, aku dikejutkan oleh bibik yang kembali bersama secawan air dan pil atas piring.

“Ini Panadol ke, bik?” soalku. Sebab pil ini berbeza dengan ubat dari jenama Panadol yang pernah aku tengok.

“Bukan, Dhia. Ini yang satu lagi itu.”

Oh, paracetamol ke? Yang Rayyan dapat dari hospital agaknya. Lantaklah, asalkan fungsinya sama!

Ubat ditelan dan aku terus baring semula. Selepas ucap terima kasih kepada bibik, aku pejam mata. Tak lama kemudian aku terlena sendiri walau kepalaku masih sakit berdenyut-denyut.

Entah pukul berapa, aku terjaga. Sakit di kepala sudah hilang, tapi sakit lain pula yang datang. Perutku terasa sakit. Macam senggugut. Dahiku berkerut, perut disentuh. Kenapa pula ini?

Aku pandang sekeliling. Tadi aku baring di atas sofa rumah tamu, sekarang aku sudah terbaring di atas katil dalam bilik Rayyan. Tapi Rayyan tak ada. Hanya aku di sini.

Dalam menahan sakit, aku bangun mencari telefon. Jumpa.

Jam dipandang. Lah, dah lebih tiga jam aku tidur rupanya. Sekarang dah nak masuk maghrib pun.

“Dhia…” Namaku diseru serentak pintu terbuka dari luar. Rayyan muncul di muka pintu.

“Ingatkan kau tidur lagi, baru nak kejut.” Pintu ditutup semula dan Rayyan terus menghampiriku. Lama dia pandang aku sebelum dahinya berkerut.

“Ini kenapa berpeluh dalam aircond? Tak cukup sejuk ke?” soalnya. Sempat aku tengok Rayyan kerling suhu pendingin hawa dalam bilik ini sebelum kembali pandang aku.

“Sakit perut.” Perut ditekan-tekan menahan sakit. Terasa seperti senggugut, tapi yang lebih sakit.

Aku cuba berundur saat Rayyan merapat, tapi laju saja dia menahan aku. Tisu di atas night stand Rayyan tarik beberapa helai lalu lalukan pada dahiku yang penuh dengan peluh.

“Datang bulan ke?” soal Rayyan.

Entahlah. Aku tak tahu nak jawab apa. Sakit perut sebab datang bulan ke? Tapi selalunya aku akan senggugut pada hari kedua bermulanya kitaran itu. Tak pernah-pernah lagi aku senggugut sebelum darahnya keluar. Tapi masalahnya aku tengah mengandung. Jadi mungkin datang bulan bukan jawapannya.

Tangan Rayyan mula menjalar turun sentuh tanganku. Entah apa yang dia cuba buat, tapi akhirnya dahi Rayyan berkerut.

“Kenapa tangan sejuk ini? Sakit sangat ke?”

Aku diam. Ini pun aku tak tahu jawapannya. Aku rasa sakit dan rasa sejuk dalam satu masa. Yang pasti ini bukan sejuk disebabkan pendingin hawa.

“Aku keluar kejap. Rasanya dekat 7 Eleven ada jual Panadol Menstrual.” Rayyan terus bangun dan capai dompetnya.

Aku bangun dan tahan Rayyan. Kepala digelengkan.

“Dhia tak period.” Aku yakin.

“Habis, itu apa?” Rayyan tunding ke arah tilam.

Aku segera tunduk dan pandang permukaan tilam yang tadinya jadi tempat aku duduk sambil menahan sakit. Dahi berkerut saat melihat tompokan darah di situ. Tidaklah banyak. Memang hanya tompokan.

Rasa loya tiba-tiba meraup, aku terus berlari anak masuk ke dalam bilik air. Apa yang ingin keluar, aku keluarkan.

“Dhia, tukar seluar. Kita pergi klinik. Kalau kau tak period, mungkin ada masalah lain.”

Klinik. Ye, klinik. Aku perlu ke klinik sekarang. Aku tak rasa yang aku sedang senggugut. Tak sama sekali.

Sebelum itu ada yang perlu aku pastikan.

Aku terus buka almari baju. Sehelai cardigan dicapai lalu aku ikat pada pinggang. Beg tangan dicapai dan aku terus turun ke dapur dengan sakit yang masih mencucuk-cucuk. Kabinet diselongkar sebelum kotak ubat dikeluarkan.

Semua ubat yang ada di dalam aku periksa berdasarkan kegunaan yang tertera pada plastiknya. Ubat selsema, ubat urat, ubat mabuk…

Mana paracetamol? Ubat-ubatan yang doktor bagi kepada Rayyan pun tak ada di sini.

“Cari apa lagi itu, Dhia?” Rayyan masuk ke dapur. Tepat pada masanya.

“Abang, ubat-ubat yang abang dapat dari hospital hari itu mana?” Jantung sudah mula berdegup kencang. Sakit yang mencucuk sudah tak ada apanya bila satu kesimpulan mula terbit di kepalaku.

“Ada dalam bilik. Kan kau yang letak dalam bilik lepas ibu membebel tengok aku naik turun tangga hari itu?” balas Rayyan. Dia pun sudah pelik dengan aku. Berkerut-kerut dahi Rayyan.

Ya Allah! Macam mana aku boleh lupa tentang itu. Jadi yang aku makan tadi apa? Yang bentuknya berbeza berbanding Panadol biasa itu? Bibik kata itu paracetamol, tapi paracetamol yang ada dalam rumah ini ada dalam bilik, bukan di dapur.

Aku terbongkok menahan sakit. Tak dapat fikir! Sakitnya semakin kuat. Aku rasa macam nak tumbang…

“Dhia!” Tapi Rayyan sempat menangkap tubuhku.

“Aku bawa kau ke hospital.” Dan tubuhku terus dicempungnya.

Share this novel

sadiah1971
2024-07-21 07:28:07 

Sambung lagi ya. Terbaik


NovelPlus Premium

The best ads free experience