Bab 5

Romance Series 31043

"HEI, perempuan tua! Kau ini memang suka sangat menyusahkan aku kan? Kau memang tak boleh nak duduk diam-diam dan tengok je apa yang jadi ke?Sudah-sudahlah nak menghasut Rayyan itu untuk bencikan aku. Kau itu dahlah penyondol terulung, takkan nak jadi ibu mentua dari neraka juga?”

Langkahku terus terhenti bila telinga menangkap suara dari dapur. Dejavu, cuma kali ini orang yang berbeza. Kali ini peneraju generasi bagi membalas dendam lama itu yang bercakap dengan ibu. Kak Qila.

“Jangan kurang ajar dengan aku, Qila. Aku ini ibu suami kamu! Dalam Islam, aku lebih patut kamu dahulukan berbanding ibu kamu sendiri.” Ibu membela diri.

“Ha? Apa dia? Ibu suami aku? Kena dahulukan kau? Hey, penyondol! Kau ingat aku nak sangat ke dekat anak kau itu? Kau dengan segala keturunan kau menjijikkan aku! Lagi pula aku nak dahulukan penyondol miang macam kau? Eh, anak kau itu harapkan muka dan harta je. Pandai ambil hati aku pun tidak, pandai manjakan aku pun jauh lagi. Tak habis-habis dengan kerja, kerja, kerja! Kalau kau nak sangat anak kau itu, nanti aku akan bagi. Tapi sebelum itu, aku akan ambil semua yang aku nak dulu.”

Mataku berlegar mencari kelibat Rayyan. Mana dia pergi? Dia patut dengar apa yang isteri tercinta dia ini ucapkan pada ibunya sendiri. Tapi dah kalau Rayyan ada, mestilah Kak Qila tak akan lepas laku seperti ini.

Aku raba pula poketku. Aduhai, aku tinggal telefon di bilik selepas solat tadilah pula. Kalau tak, bolehlah aku rakam. Tapi nak ke lelaki itu percaya? Mahu dia tuduh aku sunting rakaman itu pula. Sekarang kan zaman penuh canggih.

“Kau ingat ye penyondol? Jangan cuba nak hasut anak kau itu lagi. Kira baiklah aku ini tak hingin nak rampas anak kau dan tetap biarkan dia datang sini lawat kau. Aku siap ikut sekali tahu? Kau fikir senang ke nak berlagak jadi menantu terbaik yang datang lawat mentua dia sambil tersenyum mesra? Aku ini kalau ikutkan hati nak ludah-ludah je muka kau! Jadi jangan cabar aku, orang tua! Tapi kalau kau berani-beraninya terus hasut dia macam-macam, aku akan pastikan yang anak kesayangan kau itu tak akan nak jejak kaki ke dalam rumah ini lagi. Kau jangan lupa betapa dia dah cinta terkulai dekat aku!”

Ternganga aku tengok Kak Qila yang terus tunjal dahi ibu. Aku nak masuk campur, tapi aku tahu itu bukan pilihan yang terbaik. Kalau aku nak membantu, bukan dengan ini. Tak pasal-pasal lagi teruk ibu kena nanti.

Aku segera menyorok dalam bilik dobi bila Kak Qila sudah berjalan keluar dari dapur. Ghaib saja dia ke tingkat atas, aku terus masuk ke dapur dan meluru ke arah ibu yang sudah kembali menangis. Sejak Rayyan berkahwin ini memang kerja ibu menangis saja. Aku sudah penat tengok ibu menangis.

Pula itu umi dan papa suruh aku temankan ibu setiap kali aku ada masa dan cuti.

“Ibu…”

“Ibu patut berkeras untuk berpisah dengan Uncle Remy kamu dulu, Dhia. Kalau tak, semuanya tak akan jadi macam sekarang.” Ibu meratap. Dahinya yang ditunjal disentuh.

Aduhai, Kak Qila ini bukan main gangster! Dengan orang tua pula itu.

“Ibu janganlah menangis macam ini. Dhia tak reti nak pujuk orang.” Huaaa! Mana umi ini! Datanglah sini!

“Ibu tak minta sesiapa pujuk, Dhia. Ibu hanya nak seseorang sedarkan Rayyan yang dia sedang dipergunakan. Dia tak nak percaya satu pun apa yang ibu cakap. Entah-entah tak lama lagi Rayyan pun akan panggil ibu penyondol juga.”

Aduhai, Rayyan dah tahu ke tentang isu ini? Mungkin ke Kak Qila dan mommy dia itu dah brain wash Rayyan dengan cerita lampau itu supaya Rayyan akan nampak ibunya buruk sahaja?

“Ibu!”

Aku terus berpusing sambil kaki berundur menjauhi ibu bila tiba-tiba Rayyan masuk ke dapur. Aku ingatkan dia tiada di rumah! Kira betul-betul berani tahap Yakuza Kak Qila ini! Ada Rayyan pun dia tak takut!

Dengan muka bengisnya, Rayyan menghampiri ibu. Sempat mata kami berlaga sebelum Rayyan pandang ibu semula.

“Kenapa ibu cakap macam itu dekat Qila?”

“Cakap apa lagi, Rayyan? Ibu tak ada cakap apa-apa.”

“Ibu, tolonglah! Janganlah menipu. Kalau ibu tak suka Qila, betul-betul tak boleh terima Qila, ibu beritahu Rayyan. Rayyan boleh bawa isteri Rayyan berambus daripada rumah ini. Tapi untuk kata Qila mandrem Rayyan, itu dah melampau sangat. Sudahlah sekali ibu aniaya keluarga dia, jangan nak tambah lagi masalah.”

Keningku terjongket.

Soalan sudah terjawab. Nampaknya Rayyan memang tahu isu arwah bapanya itu. Tapi wah, kurang ajarnya! Dia bercakap macam itu dengan ibu sendiri? Terus lebur imej baik Rayyan di mata aku. Rayyan yang dulunya anak lelaki baik sudah berubah jadi lanun! Anak derhaka!

“Ibu tak ada cakap apa-apa, Rayyan. Ibu tak bohong. Isteri kamu tunjal kepala ibu. Bukan ibu yang kacau dia.”

“Sudahlah, ibu! Tak cukup dengan menuduh isteri Rayyan buat perkara yang bukan-bukan, sekarang ibu nak tuduh dia naik tangan dekat ibu pula? Rayyan kenal Qila melebihi semua orang dalam rumah ini boleh kenal dia. Dia bukan orang yang macam itu. Bunuh semut pun dia takut, apatah lagi nak buat yang macam-macam? Kalau ibu berterusan macam ini, jangan salahkan Rayyan kalau kami tak lagi datang melawat ibu di rumah. Jangan salahkan Rayyan kalau sebab perangai ibu, sudahnya ibu duduk di rumah orang tua.”

Astaghfirullah haladzim…

Aku nak mempertahankan ibu, tapi belum sempat nak buka mulut, ibu sudah menggeleng dulu. Isyarat untuk aku tak masuk campur. Tepat pada masanya juga, Abang Diy muncul di belakang Rayyan. Bila ada Abang Diy, Rayyan terus keluar dan tinggalkan kami.

Aku pandang ibu semula. Aduh! Ibu menangis lagi.

Ah, aku tak suka tengok orang menangis!!! Dan Rayyan dah melampau! Kak Qila itu pun sama!

"Ardiy, kan ibu minta Diy pujuk Rayyan untuk tak kahwin dengan perempuan itu? Kenapa Diy tak buat?” Ibu merintih. Abang Diy dipandang penuh sendu dan hampa.

“Bukan Ardiy tak pujuk, ibu. Tapi Rayyan memang dah berkeras dengan keputusan dia. Kalau Ardiy pujuk macam mana pun, dia tetap takkan dengar cakap Diy. Lagipun kalau Rayyan betul-betul serius dengan Qila, kenapa tak ibu relakan saja?”

“Rayyan memang serius dengan Qila, tapi perempuan itu tak! Perempuan itu gunakan Rayyan untuk balas dendam mak dia. Untuk hidup senang-lenang. Rayyan tak akan bahagia, Ardiy!”

Aku terus telan liur bila ibu mengamuk tak pasal-pasal. Tapi sebab Abang Diy masih kekal tenang di depan ibu, jadi aku diam dan lihat sajalah. Kalau tak ada Abang Diy memang sumpah aku dah cabut lari dulu. Kita dahlah manja!

“Jadi apa yang ibu nak buat sekarang?” soal Abang Diy.

“Ibu nak seseorang halang Rayyan, Diy. Dia tak nak dengar nasihat ibu. Bagi dia, ibu hanya bencikan Qila sebab perempuan itu tak setaraf. Perempuan itu buat cerita yang bukan-bukan dan tuduh ibu yang bukan-bukan supaya Rayyan bencikan ibu. Dia tuduh ibu tak pentingkan kebahagiaan dia. Ibu halang sebab ibu nak dia bahagia, Diy. Diy kena buat sesuatu. Halanglah dia dengan apa cara sekalipun.”

“Mustahil nak halang lagi dah. Lainlah kalau ada penyondol boleh sondol Rayyan sampai dia tinggalkan Kak Qila.” Aku mencelah.

Fuh, ini kalau umi dengar memang sah hilang dua batang gigiku ditampar olehnya. Bukan main bercakap tentang penyondol. Nasib baik umi tak dengar. Nasib baik juga aku hanya bergurau saja tadi.

Tapi sekejap…

Mata ibu pandang aku tak berkelip. Seperti baru nampak satu harta karun yang tinggal dikaut kesemuanya untuk masuk ke dalam karung. Abang Diy pula sudah berkerut pandang aku.

Apasal ini?

“Betul itu, Ardiy. Betul apa Dhia kata. Itu je yang boleh hentikan Rayyan dan pisahkan mereka berdua.” Tiba-tiba ibu mengangguk laju.

Kejap, ibu terima idea kurang cerdik aku itu?! Ibu ini dah terdesak sangat ke sampai gurauan aku pun dianggap serius dan boleh jadi idea? Lagipun kalau boleh guna idea itu, siapa pula penyondolnya?

“Dhia. Dhia tolong ibu, Dhia? Dhia tolong halang Rayyan untuk ibu. Dhia tolong pikat Rayyan sampai dia tinggalkan perempuan itu. Dhia tolong ibu?”

Eh?!!! Aku?!

“Er…” Nak cakap apa ini? Aku terlalu cantik dan baik untuk jadi penyondol!

“Dhia tak boleh buat macam itu, ibu. Dia baru 20 tahun, tak akan dia nak kahwin dengan Rayyan yang tujuh tahun tua daripada dia, sekali gus nak kotorkan maruah diri dengan jadi penyondol?” Tak! Bukan aku yang cakap, tapi Abang Diy.

Abang Diy yang tadi tenang saja terus berubah tegas dan keras. Tubuh Abang Diy juga dah keras dan tegak menghadap ibu.

“Ibu tak paksa. Tapi ibu minta tolong. Kalau Dhia boleh tolong, mungkin Rayyan akan terikat dengan Dhia. Mungkin Qila akan susah untuk kawal Rayyan lepas ini."

“Tapi ibu, nak selamatkan Rayyan bukan dengan cara korbankan Dhia. Ardiy tak setuju. Dhia tak boleh terlibat dengan perkara macam ini.”

“Dhia akan sondol Rayyan.”

Eh!

“Maksud Dhia, Dhia akan cuba untuk ikat Rayyan supaya dia tak ada pilihan selain tetap ada dengan ibu."

Terus terangkat kepala Abang Diy dan ibu pandang aku bila dengar jawapan itu. Ibu sudah bersinar matanya, Abang Diy pula sudah berkerut marah. Ini kali pertama aku tengok Abang Diy marah, tapi aku tetap nak teruskan dengan jawapan tadi. Aku setuju!

Mana boleh mereka pergunakan Rayyan! Dan mana boleh mereka rampas Rayyan daripada ibu! Satu lagi, sisi jahatku rasa ini sebuah peluang. Bukan ke selama ini aku terhegeh inginkan Rayyan?

“Jangan nak merepek Dhia! Jangan buat abang naik angin! Apa yang Dhia fikir takkan semudah apa yang Dhia kena lalui nanti. Jalan ini bukan untuk Dhia. Bukan Dhia yang perlu hentikan sesiapa atau apa-apa. Jangan masuk campur hal orang tua!” marah Abang Diy.

Hampir menangis aku dibuatnya. Aku tak pernah dimarahi Abang Diy dan Abang Diy tak pernah marah aku! Argh, tak nak bercakap dengan Abang Diy dah!

Merajuk!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience