Bab 17

Romance Series 31043

PERUT disentuh. Kantung ini sudah kosong dan tiada isinya lagi. Tiada nyawa yang tinggal di rahimku, malahan nyawa pun belum sempat untuk ditiupkan lagi. Dia hanya datang untuk berteduh buat dua bulan sahaja. Benarlah semuanya hanya pinjaman.

Tapi kenapa aku sedih padahal aku pernah fikir untuk gugurkan kandungan ini pada awalnya? Sekarang ia sudah berlaku walau bukan dengan tanganku sendiri. Tapi sekarang aku rasa sunyi. Rasa sedih dan tak berteman lagi.

Pintu dibuka dari luar dan aku terus tarik nafas dalam-dalam. Bersedia untuk terima apa saja amukan yang pastinya akan menghentam aku sekejap lagi.

Aku tunduk pandang jari yang sedang menyatu antara satu sama lain dalam genggaman. Ibu bersama Rayyan yang wajahnya begitu bengis, mata yang penuh dengan kemarahan dan bahasa yang sangat keras itu buatkan aku gentar seketika.

"Rayyan! Jangan, Rayyan. Bawa bersabar. Dhia masih penat." Ibu cuba menahan Rayyan, tapi akhirnya dia ditolak perlahan ke tepi sebelum kakinya berhenti di sisi katil.

“Kenapa kau sorokkan daripada aku?” Soalan pertama diajukan dengan suara yang bergetar dan ketat menahan marah.

“Kenapa kau sorokkan daripada aku, Dhia Elaine?!” Bila soalan pertama tak dijawab, soalan sama diajukan sekali lagi. Kali ini lebih tinggi nadanya.

“Dhia tak tahu…”

“Kau bukan tak tahu, tapi kau tak nak aku tahu! Kenapa Dhia? Yang dalam perut itu anak aku. Kenapa kau sorokkan anak itu daripada pengetahuan bapanya sendiri?”

Aku menggeleng. Bukan menidakkan, tapi aku tak tahu cara untuk membela diri. Dan bagiku, ini bukan salah aku seratus peratus.

“Dengan cara abang layan Dhia selama ini, apa yang abang harapkan? Yang Dhia akan anggap abang sebagai suami yang sebenar-benarnya? Abang sendiri yang kata jangan berharap, dan Dhia langsung tak berharap. Abang yang cinta mati dekat isteri yang satu itu sampai abang malu nak mengaku yang Dhia juga isteri abang. Jadi apa yang abang harapkan? Abang patut bersyukur yang Dhia sembunyikan semuanya. Abang tak perlu hadap mulut orang, tak perlu terikat dengan Dhia dan paling penting, abang takkan kecewakan hati isteri tercinta itu kalau sampai dia tahu yang abang dah sentuh Dhia.”

“Alasan!” Meja di hujung katil ditepuk kencang. Bergegar satu katil ini dibuatnya.

“Kau tak perlu berlagak macam malaikat dan buat aku nampak macam syaitan dengan beralasan macam itu. Kau tak peduli pun, Dhia. Kau hanya sembunyikan untuk ini. Kau tak nak anak itu, jadi kau tutup mulut supaya senang kau nak buat kerja di kemudian hari. Tapi Allah itu baik. Dia tunjukkan pada aku apa yang kau sembunyikan dan apa yang kau lakukan. Dia buktikan yang kau memang tak lebih sekadar kaca yang tajam.”

Dahiku berkerut. Apa yang buktikan? Apa yang Allah buktikan dengan keadaan aku sekarang? Aku gugur bukan kerana aku sendiri. Apa yang Rayyan merepek ini?

“Kau pembunuh, Dhia. Kau bunuh anak aku. Anak kita!”

Astaghfirullah haladzim! Aku?

“Apa yang kau telan? Mana kau dapat pil itu?” Rayyan mendekat. Hampir tembus kepalaku dengan renungan Rayyan itu. Tajam dan dalam.

“Bukan Dhia, abang.” Aku cuba pertahankan diri.

“Habis itu siapa? Tak ada siapa yang nak sumbat pil itu dalam mulut kau. Kau yang telan sendiri, Dhia! Jangan ingat aku bodoh. Jangan ingat orang dalam rumah itu semua bodoh. Mommy jumpa pil untuk gugurkan kandungan dalam beg tangan kau. Dalam beg tangan kau, Dhia!” Aku tutup muka saat tangan Rayyan terawang seolah mahu menampar aku.

Tapi sudahnya bukan aku yang ditampar, tapi penyandar pada katil di belakangku yang makan penumbuknya. Berdentum bunyinya sampai aku terpaksa turun kerana terlalu gerun dengannya.

Pintu terbuka sekali lagi dan umi meluru masuk ke dalam. Papa juga ada sama.

“Dhia.” Umi meluru ke arahku sebelum tubuhku dibawa ke dalam pelukannya. Tapi papa…

Papa tak datang atau sapa aku seperti biasa. Wajah papa sendu dan hampa. Seakan papa sedang begitu kecewa denganku. Aku menggeleng laju.

“Bukan Dhia, pa. Dhia tak buat macam itu. Dhia sayang anak Dhia, pa.” Aku pandang umi pula.

“Umi, bukan Dhia yang buat. Dhia tak tahu yang pil itu untuk gugurkan kandungan. Dhia tak bunuh anak Dhia, umi.”

Tapi umi hanya mengangguk. Papa pula tetap berdiri di situ dan hanya memandang seolah kedua-duanya masih berkira-kira untuk percayakan aku. Ibu juga begitu. Ibu sedang tenangkan Rayyan dan memujuk Rayyan. Pandangan ibu sudah bukan pandangan yang selalu kulihat. Mereka semua tak percayakan aku.

Tiada satu pun yang percayakan aku.

Aku rungkaikan pelukan umi. Aku berundur beberapa langkah menjauhi mereka. Dan semuanya tetap sama. Tetap tak peduli dan tak percaya.

Air mataku mula menitis. Aku takut.

“Ibu…” Aku cuba panggil ibu. Tapi ibu tak pandang aku sama sekali. Ibu tak peduli. Ibu siap tahan Rayyan daripada pandang aku semula.

Rayyan berdiri membelakangi aku.

“Dhia tak buat, ibu. Abang…”

“Tolonglah percayakan Dhia. Dhia sakit kepala sangat lepas balik dari checkup di klinik. Dhia minta tolong bibik ambilkan ubat dan Dhia makan ubat yang bibik bawa. Dhia tak tahu menahu itu ubat apa dan Dhia tak terfikir untuk periksa sebab Dhia sakit kepala sangat-sangat. Tolonglah percayakan Dhia, ibu.”

“Apa yang kau nak buktikan Dhia?”

Kepalaku terus tertoleh ke arah pintu bila ada suara lain menyampuk. Kak Qila sedang melangkah masuk ke dalam dengan tangan mengusap lembut perutnya.

“Yang bibik puncanya? Kau nak kata yang bibik memang rancang untuk buat kau gugur? Eh, tapi bukan ke kau sorokkan kandungan kau? Macam mana bibik boleh tahu kalau ibu yang duduk sebumbung dengan kau siang dan malam pun tak tahu?” kata Kak Qila. Kak Qila seakan sengaja menyoal tanpa sebarang kesimpulan. Meninggalkan lubang-lubang untuk orang lain yang buat kesimpulannya.

Dan kesimpulannya mestilah bukan bibik yang jadi punca.

“Kami dah rujuk ubat itu pada hospital. Ubat itu tak ada pengesahan KKM. Kau tak beli daripada klinik atau hospital. Ubat itu memang untuk gugurkan kandungan. Tak ada orang yang akan beli ubat itu dan letak dalam rumah kecuali kau, Dhia.” Kak Qila menambah lagi.

“Kak Qila yakin yang orang itu Dhia? Sebab bibik beritahu pada waktu itu akak di dapur.”

“Kau jangan nak jadikan isteri aku kambing hitam, Dhia! Dia bukan kau yang sanggup bunuh anak sendiri. Jangan sampai tangan ini naik dekat muka kau!” bentak Rayyan sebelum Kak Qila terus menahan Rayyan daripada mendekati aku. Tangan Kak Qila mengusap dada Rayyan.

“Baby, tak apalah. I faham yang dia terdesak untuk selamatkan diri. You jangan marah sangat. Kita tak tahu kenapa dia buat macam itu. Dia ada alasan dia sendiri.”

Dahiku berkerut mendengar itu. Apa yang perempuan ini cuba buat sekarang? Berlagak jadi penyelamat dan perempuan suci sedangkan ayatnya hanya mengapikan lagi suasana sekali gus menoktahkan tuduhan bahawa akulah pelakunya?

“Kau beruntung, Dhia. Kau patut belajar cara untuk jadi manusia dengan hati dan manusiawi sebenar. Kau patut berterima kasih pada Qila sebab dia cukup baik untuk selamatkan kau dalam keadaan macam ini. Kalau ikutkan hati aku…” Rayyan berjeda di situ.

“Kalau ikutkan hati apa? Apa yang abang nak buat? Nak tampar? Sepak? Tumbuk? Sumbat Dhia dalam penjara? Atau ceraikan Dhia? Silakan. Memang dari awal lagi abang tak pernah anggap Dhia isteri, jadi apa lagi yang abang tunggu? Ceraikan Dhia dan duduklah bawah ketiak isteri dan mak mentua tercinta itu. Dan ibu…”

Aku pandang ibu pula.

“Ibu selesaikanlah semuanya sendiri. Apapun yang nak jadi, akan jadi atau terjadi pada lelaki ini, Dhia dah tak nak ambil tahu lagi. Memang dari awal Dhia patut dengar cakap Abang Diy. Abang Diy sentiasa percaya dan tahu apa yang terbaik untuk Dhia. Sampai saat ini dia yang masih percayakan Dhia sedangkan umi dan papa pun tak nak percaya Dhia lagi!” Aku tunding jari ke arah pintu. Di luar sana ada seorang lelaki sedang berdiri dan tidak mahu masuk ke dalam kerana status dirinya sebagai orang luar.

Aku tahu dia ada di situ. Melalui ruang lut sinar pada permukaan pintu, aku boleh nampak dia di situ. Sebab sebaik saja aku bangun, dia yang pertama aku cari.

“Jangan sombong sangat, Dhia. Kalau tak sebab ibu, kedai bunga umi kau tak akan ke mana pun.” Kak Qila kembali bersuara.

Perempuan ini!

“Kau tak ada kena mengena dengan isu keluarga aku. Sedar sikit yang kau orang luar. Kau kahwin dengan suami yang sama, bukan keluarga yang sama.”

“Dhia Elaine!”

Ha! Tengking lagi! Apa saja yang perempuan itu cakap semuanya betul. Apa yang aku cakap semuanya salah. Macam mana kau boleh buta sampai macam ini Rayyan Halzeri?!

“Aku takkan pernah maafkan kau atas apa yang kau buat. Kau bunuh anak aku dan kau selamanya akan kekal sebagai pembunuh. Tapi sebab aku masih ada rasa simpati pada kau, jadi aku akan tutup mulut dan semua ini akan hanya diketahui pada mata dan telinga di sini. Dan aku tak nak kau dicerca kerana jadi janda pada usia muda, maka aku tak akan ceraikan kau. Tapi aku tak nak tengok muka kau di sini lagi. Pergi jauh sampai aku sendiri yang datang pada kau bila tiba masanya.”

“Rayyan? Kenapa you nak simpan dia?” Kak Qila tak puas hati.

“Betul! Kenapa abang nak simpan Dhia? Ceraikan Dhia sekarang. Kita ada saksi yang semuanya masih waras, kecuali dua orang manusia antara kita yang dah tak ada tamadun. Ceraikan Dhia di depan mereka lalu kita akan seret ini ke mahkamah untuk rasmikannya. Ceraikan Dhia. Dhia kan pembunuh? Hari ini boleh bunuh anak, jadi apa yang boleh menjamin yang esoknya Dhia tak akan bunuh abang pula?”

“See? Dia yang minta Rayyan!” tambah Kak Qila.

“Bila sampai waktunya, I akan buat apa yang I perlu buat. Jangan mempersoalkan keputusan dan tindakan I. I'm your husband. Both of you!"

Aku tersengih geram. Both of you! Suami konon. Menyampah aku dengar pengakuan itu.

“Kenapa? Abang jangan kata yang abang cintakan Dhia pula? Atau memang sebab itu abang sentuh Dhia sampai terjadinya anak itu? Abang cintakan Dhia? Abang khianati isteri yang tunggu abang balik pada malam itu sebab Dhia?” Aku mula mengapi-apikan Rayyan. Sebab apapun yang berlaku, aku mahu dengar lafaz cerainya hari ini juga!

“Rayyan!” Kak Qila terus goncang tubuh Rayyan. Yang aku nak apikan itu Rayyan, tapi Kak Qila pula mengamuk. Tapi eloklah itu!

Mata Rayyan semakin tajam merenung aku. Goncangan tangan Kak Qila bagai tak berkutik pada tubuhnya. Aku balas pandangan itu dengan pandangan provokasi. Sempat kening dijongket bagi menambah amarahnya. Ceraikan aku sekarang!

“Bila saat untuk aku cari kau itu tiba, perkara pertama sekali yang akan kau dengar adalah lafaz itu, Dhia Elaine..."

"Rayyan!" bentak Kak Qila tanpa sempat Rayyan habiskan kata-katanya.

Yang mengejutkannya bila Rayyan terus mencerlung pandang Kak Qila sampai perempuan itu terus kecut. Wajah Rayyan yang sudah sedia bengis jadi bertambah bengis. Bila Kak Qila sudah senyap, aku pula dipandangnya. Satu pandangan penuh amarah dan kekecewaan sebelum Rayyan terus berlalu keluar bersendirian meninggalkan kami di sini.

Aku hanya diam memerhati langkah.

Terasa seperti kehilangan. Tak! Tak mungkin. Aku hanya mahu menangis dan rasa kehilangan kerana anak itu, bukan Rayyan. Tak mungkin dia. Aku bencikan dia untuk selamanya dan aku akan makin bencikan dia mulai saat ini dan seumur hidupku!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience