Bab 12

Romance Series 31043

AKU celikkan mata bila terdengar bunyi pintu ditutup. Tadi ada Rayyan bersama aku, tapi dia dah keluar. Tak lain tak bukan dia keluar selepas jawab panggilan daripada Kak Qila. Aku tak tahu apa yang mereka bualkan, tapi aku yakin yang Kak Qila dan Rayyan sedang bertegang urat disebabkan Rayyan yang tak balik ke rumah malam tadi.

Padan muka dia! Marah dia lagi!

Aku dah sedar lama, tapi aku tak terus buka mata selepas dengar suara Rayyan yang sedang bercakap. Ini dia dah keluar, mungkin dia terus balik ke pangkuan isteri terchenta. Sesi pujuk memujuk mungkin? Cuma aku tertanya-tanya sendiri. Nak ke Rayyan jujur dengan apa yang berlaku malam tadi?

Rasanya kalau Kak Qila tahu, mahu terbenam Malaysia ini.

Comforter ditolak. Tangan mengusap kepala. Rasa tak selesa dan tak sedap badan.

Baru nak turun dari katil dan masuk ke dalam bilik air, tiba-tiba pintu kembali dibuka dan Rayyan masuk ke dalam bilik. Nampak saja aku, dia terus alihkan pandangan dan teruskan dengan tujuan asalnya. Takkan malu kut?

"Aku nak keluar beli sarapan. Kau nak makan apa?" soal Rayyan.

"Tak lapar." Aku terus melangkah ke arah almari. Baju dicapai sebelum tuala ditarik sama.

"Sekarang memanglah tak lapar lagi sebab kau baru bangun tidur. Sejam dua lagi? Ibu keluar ke rumah umi, tak ada siapa nak masak hari ini. Jangan lupa yang bibik itu bukan tukang masak. Mereka bersihkan rumah je."

"Dhia boleh masak untuk Dhia makan sendiri." Apa susah. Aku bukan isteri kau yang tercinta itu!Tahulah aku nak masuk dapur bila aku lapar atau pesan makanan bila aku malas.

Baru nak masuk bilik air...

"Good. Ayam masak lemak cili api dan ikan masin."

Terus terbatal niat aku. Adakah dia baru saja mengorder ikut sedap tekak dia je?

"Sorry?"

"Ayam masak lemak cili api dan ikan masin. Hidang dengan nasi panas-panas."

Oh?

"Abang tak jadi keluar beli makanan?"

"Dah kau nak masak, buat apa aku nak keluar lagi?"

"Abang tak nak balik jumpa isteri tercinta itu? Kalau lama-lama dekat sini, nanti dia stress pula. Nanti emosi dia terganggu, tak dapat cukup perhatian, sedih, lonely, kemurungan, tak pasal-pasal abang salahkan Dhia lagi." Aku menyindir dia. Wuerk!

Rayyan garu kepalanya. Nampak sedikit berserabut.

"Jangan banyak tanya boleh? Aku akan duduk sini sampai ibu balik. Kalau ibu balik esok, maka esoklah aku balik. Tak payah susah-susah nak fikir pasal Qila. Jangan berlagak macam kau pedulikan dia."

See? Aku lagi yang disalahkannya.

"Dhia memang langsung tak pedulikan dia. Tapi Dhia pedulikan diri Dhia yang asyik dituduh bila sesuatu tak jalan seperti yang abang mahu. Abang senanglah. Salah, tuduh Dhia. Marah, lepas dekat Dhia. Kata geli, tapi sentuh juga. Adik konon. Lelaki tetap lelaki!" Malas aku nak layan! Aku terus masuk ke dalam bilik air dan kunci pintu.

Selepas apa yang berlaku malam tadi, aku memang dah tak percayakan Rayyan lagi. Sempat aku terlupa yang dia juga lelaki biasa dan aku isteri yang halal untuknya. Tapi dia perlu tahu yang itu adalah kali pertama dan terakhir dia dapat sentuh aku. Never again!

Selesai mandi dan bersiap, aku terus masuk dapur. Nampak bekas ayam yang sudah tersidai di luar bersama ikan masin itu sudah cukup untuk beritahu aku yang Rayyan sudah tolong nyah beku ayam itu awal-awal.

Ikan masin pun dia pilih ikut tekak sendiri. Layan jelah, Dhia. Lagipun dah alang-alang memang nak memasak, apa salahnya masak ikut kemahuan dia pula.

Apron disarungkan pada tubuh. Sedang mengikat talinya, tiba-tiba ada tangan lain yang menolak tanganku sebelum tali diikat rapi. Malas nak pandang belakang. Sebab yang ada dalam rumah ini hanya aku dan Rayyan. Bibik tengah melepak di luar sana memandangkan mereka baru siap mengemas rumah.

"Nak ke mana lepas ini? Bukan main berdandan dan berkemas." Abang Rayyan menyoal.

"Tak ada pergi mana. Dhia memang suka berkemas dekat rumah. Kenapa? Isteri tercinta abang itu tak nak berkemas depan suami ke?" Eii, aku memang tak dapat tahan mulut ini daripada menyindir dia. Selepas dia sentuh aku, makin sakit hati aku jadinya sampai mulut ini dah tak mampu dikawal lagi.

Aku tarik papan pemotong. Cili dicari dalam peti sejuk. Rumah ini memang lengkap dengan segala jenis bahan, tapi ia susah untuk dicari memandangkan semuanya disumbat dalam plastik saja. Kalau di rumah kami, umi yang begitu tersusun orangnya akan letakkan semua benda dalam bekasnya sendiri. Semua bekas adalah jenis lut sinar dengan rekaan yang sama. Jangan ada satu pun plastik yang dicampak masuk begitu saja ke dalam peti sejuk.

"Apa yang aku boleh tolong?"

Tolong balik rumah isteri tercinta kau itu dan jangan datang sini lagi!

"Tak ada apa. Dhia boleh buat sendiri." Argh! Aku tak mampu nak cakap ayat sebenar yang sudah bersusun di belakang bibir. Aku masih terikat dengan permintaan umi dan janji untuk mengikat Rayyan.

Bila aku sudah cakap macam itu, Rayyan terus senyap. Tarik kerusi dan duduk.

Masalahnya kenapa kena duduk dekat sini? Pergilah duduk di depan sana. Masuk dalam bilik itu ke. Tapi lantak dialah.

Setengah jam di dapur, hanya bunyi lagaan senduk, kaca dan pisau yang kedengaran. Aku dan dia sama-sama kunci mulut. Tapi Rayyan masih ada di meja makan. Bukan aku tak perasan yang dari tadi dia asyik pandang ke sini. Aku juga dengar bunyi telefon yang berkali-kali berdering tapi langsung tak diangkat. Sudahnya aku lihat dia matikan telefon dan sumbat dalam poket seluar.

Aku keras sekejap bila tiba-tiba Rayyan berdiri di belakangku sebelum tanganku disentuh. Tangan sebelah kiri itu dibawa naik ke paras dadanya.

"It must hurt." Dia berbisik. Mata Rayyan terpaku pada luka di lenganku yang sudah ditutup rapi selepas aku sambung sesi ratapan di klinik.

"It doesn't." Sebab yang sakit adalah hati, sampai sakit di tubuh tak terasa lagi.

Aku menyelit di antara kabinet dapur dan tubuh tinggi Rayyan terus ke tepi dan sambung buat kerja meninggalkan dia yang hanya diam di situ.

"Betul. Memang aku mungkin tak jawab panggilan kau waktu itu. Tapi kalau kau betul-betul perlukan kan aku, kau akan mesej aku, Dhia."

Tak habis lagi ke topik ini? Tak cukup bergaduh semalam?

"There you go. Abang dah beri jawapannya sendiri. Betul-betul perlukan aku. Sebab Dhia tak perlukan abang, Dhia tak yakin dengan abang. Dhia tak percayakan abang. Sebab itu Abang Diy yang terima panggilan Dhia. Dan bertuahnya Dhia, sekali call je dah dapat. Abang Diy tak perlukan Dhia untuk mesej, atau hubungi berkali-kali." Tak macam kau! Nak call suami sendiri pun kena buat appointment melalui mesej. Gila.

Aku teruskan kerjaku tanpa pedulikan Rayyan yang masih tegak di tempatnya. Bila aku perlu lalu di tempat dia, aku hanya akan lalu di belakang atau menyelit di depan memandangkan ruangnya cukup untuk aku masuk.

Jag diambil. Baru nak letak atas meja untuk bancuh air, tiba-tiba Rayyan capai jag itu. Jag bertukar tangan dan Rayyan terus ambil kordial dalam peti sejuk.

Lantak dialah! Nak tolong ke, nak tengok ke, dipersilakan. Aku tak ada halangan, jauh lagi nak menggalakkan. Kalau dia tak faham-faham lagi yang aku tak suka dia ada dekat sini, jadi suka hati dialah. Lagipun ini memang rumah dia. Kalau ada orang yang perlu pergi, orangnya itu mestilah aku.

"Ibu mesej abang yang dia akan bermalam di rumah umi dan papa. Ibu nak abang teman Dhia malam ini."

Dahiku terus berkerut. Api ditutup dan aku terus pandang Rayyan yang sudah selesai bancuh air.

"Kenapa abang nak teman Dhia? Dhia tak bawa perut. Dekat rumah ini ada dua orang bibik, satu orang tukang kebun dan dua orang pengawal. Dhia tak berseorangan. Isteri tercinta itu lebih perlukan abang. Baliklah."

"Dia juga tak berseorangan, Dhia."

Makin berkerut dahi aku dibuatnya.

"Baliklah abang. Tolonglah balik. Pergi jaga isteri yang abang beri permata paling besar, yang abang paling cinta, yang abang bersamanya bukan kerana nafsu semata-mata dan yang tengah mengandungkan bukti cinta abang. Pergilah balik!"

Sungguh aku dah rasa macam nak meroyan. Segala amarah yang terpendam ini buatkan aku tak betah untuk sebumbung dengannya. Apa yang berlaku malam tadi lebih menyemarakkan api dalam diri. Kalau tak disebabkan ibu, memang aku akan maki dia cukup-cukup. Kononnya jijik, tapi sentuh juga! Kononnya tak iktiraf sebagai isteri, tapi siap baca doa untuk zuriat yang baik!

Psycho punya jantan!

"Apa yang nafsu semata-mata?" Rayyan sudah ikut sama naik dengan aku. Marah betul bila aku cakap hal yang betul.

"Kalau bukan sebab nafsu, jadi sebab apa? Abang yang kata abang jijik dengan Dhia, eh tiba-tiba pula malam tadi hilang jijik ye?"

"Jangan mulakan, Dhia."

"Jadi pergilah balik!"

"Ibu nak aku jaga kau, Dhia!"

"Dan Dhia tak perlukan abang untuk jaga Dhia! Dhia boleh jaga diri sendiri. Kalau pun Dhia tak boleh jaga diri sendiri, Dhia akan minta umi dan papa untuk datang jaga Dhia. Dhia masih ada umi dan papa yang sayangkan Dhia. Abang tak faham lagi? Pergi balik dan jaga isteri yang buatkan abang tak boleh nak lepas telefon walau tengah bercakap dengan papa. Pergi balik dan layan isteri yang abang terlalu cinta sampai tak peduli perasaan keluarga Dhia bila abang hanya duduk dalam kereta sedangkan semua orang dekat dalam-dalam terjengah-jengah nak tengok abang."

Rayyan senyap. Dan aku juga sudah tak berdaya nak berlawan mulut dengan dia lagi. Eloklah dia senyap pun.

"Dhia janji yang ibu takkan marah abang lagi terutamanya sebab ini." Aku terus buka apron, letak atas meja dan berlalu naik ke tingkat atas semula. Bilik tetamu dibuka lalu aku masuk ke dalam.

Aku tak mahu bertembung dengan dia lagi misalnya dia masuk bilik dia untuk ambil barang-barang yang dia tinggalkan.

Pintu dikunci.

...

Minggu ini saya akan update 3-4 bab untuk cerita ini. Kiranya ganti rugi sebab tak update Querida Cinderlisa ?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience