Bab 20

Romance Series 30734

HUMAN trafficking atau sindiket pemerdagangan manusia, kes ini sudah berlanjutan dengan cukup lama. Satu demi satu markas ditumpaskan oleh badan berkenaan, tapi tetap kes ini terus berlanjutan walaupun skalanya sudah kurang besar berbanding yang pernah berlaku dulu.

Sekarang yang sedang dicari adalah kepalanya. Siapa ketua di sebalik kumpulan mereka? Itulah orang yang perlu dicari lalu dihukum supaya segalanya boleh berakhir segera.

Aku kesiankan kaumku yang asyik menjadi mangsa mereka. Majoritinya mesti orang perempuan. Apa nasib mereka di luar sana? Masih hidup ke? Masih sihat ke?

Bunyi loceng bertalu mematikan lamunanku. Dua orang lelaki terus rebah di atas gelanggang sebaik saja keputusan diisytihar seri. Pengadil di tengah terus turun dari gelanggang sambil menggeleng kesal. Dua orang jurulatih juga sudah mula naik angin melihatkan anak murid mereka tidak berjaya untuk menumpaskan lawan masing-masing.

Tapi aku tahu pemain berdua itu pasti sedang lega yang amat. Seri lebih baik berbanding kalah. Kalau kalah, habislah kami selepas turun dari gelanggang. Kalau tak ditampar, mahu digempur untuk buat segala jenis latihan sehari semalam tanpa rehat.

"Bodoh betul!" Dan pang! Mendarat satu tamparan tepat pada mukanya.

"Tekan tubi dua ratus kali! Selagi tak siap, kau jangan bangun!" jerit jurulatih yang seorang lagi. Teruslah anak muridnya jatuhkan diri lalu mula menekan tubi.

Bagi aku jurulatih di sini tidak segila jurulatih di Italy sana. Di sini masih ada lembutnya. Setakat ditampar dan dipaksa buat tekan tubi memang tak ada apanya.

"Elaine, giliran kau," panggil jurulatih sementara aku.

Jurulatih aku yang sebenar tiada di sini. Mereka masih ada di Italy. Aku ada tiga jurulatih berbeza. Taipan adalah jurulatih utama. Viper, yang kedua. King pula akan melatih aku bila dia rasa mahu melatih. King orang yang sangat kedekut ilmu!

Pembalut tangan dikemaskan. Pelindung gigi digigit. Aku berjalan naik ke gelanggang sambil menunggu lawanku yang sedang memanaskan badan untuk naik sama. Sebaik saja dia naik ke gelanggang, kami terus bersalaman. Perempuan sama perempuan.

Susah nak jumpa perempuan di sini.

Tempat diambil. Aku terus pasang pelindung gigi yang hanya digigit tadi. Posisi terus dibuka. Baru pengadil ingin memulakan perlawanan, tiba-tiba bunyi dentuman kuat kedengaran.

Pintu yang berkunci itu sedang dihentak dari luar.

Tindakan pantas tubuh seperti yang sudah dilatih bertahun lamanya, baik aku dan semua orang yang ada di sini terus lompat turun daripada gelanggang. Aku berlari ke arah beg yang terletak di tempat duduk tadi. Zip dibuka dan isinya aku buang ke lantai. Topeng muka berwarna hitam dikutup lalu aku sarungkan. Topi hitam disambar sebelum aku pakai.

Dentuman terakhir kedengaran sebelum seorang jurulatih yang keluar semasa perlawanan kami terseret masuk ke dalam bilik ini.

Sweater disarungkan ke tubuh. Zip di atas dada ditarik terus ke leher sambil aku bersembunyi di belakang pintu bilik rehat di ruangan yang sama untuk memberi masa buat diri bagi mengenalpasti bahaya yang menanti.

Ada tiga orang lelaki di depan sana. Seorang orang berpakaian serba hitam, seorang lagi berjaket kulit dan seorang serba putih. Ketiga-tiganya memakai topeng muka.

Siapa pula ini?

"Kau nak apa? Jangan buat tahi dekat sini!" herdik jurulatih yang mengerah muridnya untuk buat tekan tubi tadi.

"Tak ada tahi yang lagi tahi daripada kau. Kau dah kotorkan negara ini dengan berpijak di sini dan ini masa untuk tahi yang kau tinggalkan dicuci bersih semula," balas antara tiga orang lelaki itu. Aku tak tahu yang mana satu tengah bercakap. Satu kerana jarak, dua kerana mereka bertopeng muka.

Kedua jurulatih tadi menolak anak murid masing-masing ke arah tiga orang lelaki itu. Seorang baru makan penampar, dan seorang pastinya sudah mahu putus tangan selepas dikerah tekan tubi tadi.

"Kau..." Lelaki yang berdiri di belakang tunding ke arah murid yang dipaksa tekan tubi tadi.

"Macam dah lunyai je kau ini. Aku bagi peluang untuk lari dan jangan pernah datang lagi..." Belum habis lagi lelaki itu bercakap, terus murid itu cabut sekelip mata!

Jurulatihnya sudah bertempik memanggil, tapi dia buat tak dengar saja.

Wow!

Perempuan yang sepatutnya jadi lawanku tadi pula ditolak ke depan.

"Ish, perempuan? Aku tak nak sakiti kaum hawa ini. Teringat bini dekat rumah. Kau pun pergilah. Pintu terbuka lagi itu," kata yang seorang lagi.

Ye, aku sudah dapat bezakan suara dua daripada mereka. Aku yakin yang bercakap awal tadi adalah suara yang sama dengan yang bercakap baru ini. Dan yang beri peluang untuk murid tekan tubi tadi berlari pula adalah suara berbeza. Hanya ada satu antara mereka yang belum bersuara. Untuk mudahkan aku membezakan mereka, aku akan kategorikan lelaki yang sudah dua kali bercakap itu sebagai suara A dan yang seorang lagi suara B.

Dan peluang itu disambut baik bila perempuan tadi pun terus keluar dan berlari meninggalkan bilik ini. Tinggal tiga orang jurulatih dan dua orang pelajar termasuk aku.

"Training je gah, tapi semua pengecut." Suara A.

"Yang nak keluar, silakan keluar. Peluang terakhir. Syaratnya, jangan pernah ke sini dan berhubung dengan siapapun yang ada di sini lagi." Suara B.

Dan itu dia, pelajar yang baru makan penampar itu juga ikut cabut lari. Tinggal empat orang termasuk aku.

Aku bersembunyi seketika bila aksi tiga lawan tiga mula berlangsung. Tengok skill mereka, aku dapat rasa yang mereka bukan calang-calang orang. Cuma ada salah satu daripada mereka yang paling kuat menggamit perhatianku. Lelaki serba hitam itu ada langkah yang iras dengan langkah kami.

Maksud aku, ada beberapa gayanya sama seperti gaya yang kami pelajari. Rutinnya mirip. Tambahan lagi, dia seperti dapat membaca setiap serangan kami dengan mudah.

Beberapa minit aksi berlangsung, aku tak nampak satu pun antara jurulatih itu yang punya kebarangkalian untuk mengalahkan lawan mereka. Tak boleh jadi ini...

Mata tiba-tiba terpaku pada suis lampu bilik ini. Oh, ye!

Suis terus dimatikan. Gelap.

Aku mengintai ke luar semula. Mereka sudah mula meraba dalam kegelapan sementara mata ingin membiasakan dengan gelapnya. Aku terus berjalan keluar sementara mereka masih meraba. Mengikut naluri hati, aku terus menghampiri salah seorang daripada mereka yang sudah tak tentu hala mencari lawan. Elok pula di sini tiada satu pun sumber cahaya kecuali lampu.

"Siapa pula yang main lampu ini?" Suara B.

Saat mata sudah terbiasa, aku terus tendang salah seorang daripada mereka sehingga lelaki itu jatuh. Aku menyorok pula di belakang gelanggang. Mengenalpasti mereka yang sudah mula bertemu dengan lawan masing-masing. Tapi mungkin kerana berlawan dalam gelap ada begitu banyak kekurangan, sudahnya salah seorang jurulatih buka pintu bilik dan terus keluar diikuti jurulatih yang lain. Barulah ada cahayanya bila pintu dibuka.

Dua orang lelaki, satu berbaju putih dan satu lagi hitam terus keluar mengejar ketiga-tiga jurulatih itu sementara yang seorang lagi berjalan tenang di belakang mereka. Aku ingatkan dia juga nak keluar sama, tapi sangkaan aku salah bila dia kembali menutup dan mengunci pintu itu semula.

Lelaki itu bergerak ke arah sebuah kerusi milik jurulatih sebelum kerusi itu ditarik ke bahagian bertentangan gelanggang ini. Dia duduk di situ menghadap ke arah tempat aku bersembunyi.

Sah! Mesti dia tahu aku ada di sini.

Fine!

Dengan separuh hati, aku keluar daripada persembunyian tadi. Nampak saja aku, dia terus berpeluk tubuh sementara aku pula terus naik ke atas gelanggang.

Langkah dibuka.

Aku dengar dengusan tawanya, tapi aku biarkan saja. Mata memerhati dia yang mula berdiri semula sebelum ikut sama panjat gelanggang. Dia berdiri di depanku. Nampak betul beza ketinggian aku dan dia.

Dia ikut sama membuka langkahnya. Tiada pengadil, tanpa pengadilan, aku terus menyentak tangan saat dia mengacah. Terdengar dengus tawanya. Semakin banyak dia ketawa, semakin sakit hatiku jadinya.

Aku cuba menumbuk, tapi tanganku ditolak. Tak keras. Aku rasa dia sedang pandang rendah pada aku. Tangan menumbuk lagi, sedang tangannya menepis, kakiku terus naik menghentam perutnya. Dia terundur sebelum ditangkap oleh tali yang mengelilingi gelanggang.

Aku menyerang tanpa memberikan dia masa untuk bertenang dulu, tapi kerana dia yang segera menangkis, aku ubah rancanganku. Aku panjat tubuh tingginya sebelum lehernya dikunci dengan lenganku. Satu deraman kedengaran saat dia terus rebahkan tubuhnya ke belakang.

Aku lepaskan dia sebaik saja dia senyap secara tiba-tiba. Janganlah kata yang dia dah mati pula. Aku tak beri sebarang tekanan pun pada lehernya tadi. Tak mungkin dia mati!

Dan tekaan aku tepat bila lelaki itu terus bangun semula. Satu lagi tawa kedengaran, cuma ini lebih keras.

"Pergilah selagi ada peluang. Sayangkan masa depan kau. Ini bukan tempatnya."

Dahiku berkerut. Sekejap... Suaranya...

Aku perlukan kepastian.

Aku terus mengasak ke depan. Dia hanya mengelak. Sungguh, dia tak menyerang sama sekali. Saat nampak peluangnya, aku terus kilas kakinya sebelum tubuhnya aku tolak sekuat hati sehingga dia terbaring semula. Kerana hanya mengilas kakinya semata tak akan membantu. Badanya mungkin gandaan badan dan beratku.

Mata bertentangan sebelum tanganku terus naik menarik topeng mukanya. Melihatkan seraut wajah itu, aku terus ternganga sekali gus tubuh terduduk kerana terkejut dengan apa yang aku lihat.

"Rayyan?" Nama itu terbit di bibirku. Sebuah bisikan halus, tapi mungkin kerana ruang ini sedang sunyi, dia dengar.

Matanya berubah seketika. Dahinya berkerut sebelum dia terus bangun dan duduk sama denganku.

"Kau kenal aku?"

Shit. Matilah aku!

Tak mahu ambil risiko untuk tembelang kubocor, aku terus lompat turun dari gelanggang. Beg yang sudah bersepah tadi aku capai sebelum aku berlari ke arah pintu. Tapi belum sempat nak buka pintunya, tiba-tiba beg ditarik serentak aku ikut terundur sama. Kedua belah tanganku terus menangkap tangannya yang tiba-tiba meluru ke topeng mukaku. Sebelah lagi tangannya naik, dan aku terus menahan sama.

Ya Allah, tolonglah! Bukan Rayyan! Jangan Rayyan!

Saat tangannya sudah terlalu hampir dengan topeng mukaku, aku terus lepaskan salah satu tangan yang menahan tangannya. Topengku berjaya dilucutkan, tapi serentak itu jugalah aku menghentak sikuku pada dadanya. Dia terus terbongkok tanpa sempat melihat wajahku. Aku ambil kesempatan untuk terus lari selaju yang mungkin.

Tiba di sebuah tandas awam, aku terus masukkan baju dan topi ke dalam beg. Rambut dilepaskan. Topeng muka sudah tertinggal di sana selepas dilucutnya.

Ah, neraka dunia apakah ini? Macam mana Rayyan boleh ada di situ? Serang tempat latihan kami? Siapa dia yang sebenarnya?

...
Querida Cinderlisa ada update. Jangan lupa baca!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience