Bab 22

Romance Series 30734

MEJA mahogani menghasilkan bunyi hentakan yang kuat. Mata tercelik lantas persekitaran mula diteliti. Kosong... Sejauh mata memandang, ruang ini memang kosong. Hanya ada aku. Sendiri. Ditinggalkan dalam sebuah ruang asing yang tidak pernah ditangkap dek mata yang baru dicelik.

Mana lelaki tadi?

Aku yakin ada lelaki pernah masuk ke dalam bilik ini. Ada bau lelaki.

Kepala mula tunduk pandang tubuh sendiri. Skema drama di mana tangan dan kaki akan berikat, mulut akan ditutup dengan apa-apa jenis pelekat atau kain berjaya ditepis. Hakikatnya, aku bebas untuk bergerak. Tangan dan kakiku bebas. Mulutku juga. Tiada sebarang penghalang atau batasan. Malahan aku sedang duduk di atas sebuah sofa besar yang begitu selesa.

Aku berdiri.

Hidung menghidu bau yang mengitari seluruh ruang.  Bau cologne ke? Kenapa baunya seolah tidak asing bagiku? Di mana aku pernah menghidunya? Di butik? Dalam kedai barang berjenama? Kedai bunga umi? Koleksi yang dimiliki aku sendiri? Tapi ini cologne berbau maskulin.

Langkah diatur perlahan dalam ruang yang sedikit samar ini. Hanya sorotan cahaya tingkap berlangsir hitam sahaja sebagai pembantu. Melalui meja mahogani, mata terus mengecil saat sebuah buku setebal tapak tanganku kelihatan di atasnya. Yakin, inilah punca bunyi kuat tadi. Tapi siapa yang meletakkan daya pada buku ini sehingga terhasil bunyi itu?

Tangan menyentuh permukan buku. Permukaan timbul itu diusap. Merasai teksturnya dengan sentuhanku sendiri. Tanpa diangkat, bukunya dibuka. Muka surat pertama... Muka surat kedua... Muka surat ketiga...

Tubuhku keras. Hembusan nafas berat yang seakan sedang berbisik garau di tepi telinga itu seolah berjaya menghentikan seluruh fungsi tubuh. Kaku dan beku. Malahan leher pun tak mampu berfungsi untuk hanya membenarkan kepala berpusing bagi memandang gerangan yang sedang bernafas berat di belakangku.

“Hey, peaches... Miss me?”

Oh Tuhan...

Aku terus berpusing dengan tubuh yang semakin dirapatkan ke meja mahogani supaya tubuhku tak bertembung dengan tubuhnya. Mata bertentangan dengan sepasang mata yang sedang sedikit tunduk mengikut tubuh yang juga sedikit membongkok bagi memandangku.

“Rayyan?” Nama itu terlepas keluar. Terkejut melihat dia yang sudah berdiri di depanku. Aura yang sama kuat, tubuh yang sama gah dan wajah yang sama kacak.

Dia nampak semakin matang. Dan wajahnya juga semakin serius berbanding dulu.

Menakutkan. Tak mesra dan tiada cahaya. Berbeza dengan wajahnya yang aku lihat selama ini dan pada hampir lima tahun lepas. Jika di gelanggang tempoh hari aku hanya dapat melihat begitu saja, kali ini wajahnya ditadah depan aku untuk aku lihat dan analisis segalanya.

Bila tiba-tiba wajahnya seakan mendekat, aku terus toleh pandang ke arah lain. Nafasnya terasa menyapa leherku sekali lagi, dan aku hanya berdiri tegak menahan kaki yang sudah bersedia untuk menghancurkan dia yang bukan teruna. Ah, apa aku fikir ini?

Aku menarik nafas panjang. Cuba menenangkan semula tubuh yang separuh menggigil. Seram rasanya bila berada sedekat ini dengan dia. Lagi-lagi bila dia yang mendekat dan bukan aku. Tangan sudah basah menahan meja mahogani supaya aku tak melorot jatuh ke lantai. Tapi niat nak menenangkan diri itu tergendala bila bau yang kukenali menusuk ke dalam hidungku.

Bau cologne tadi. Tapi kali ini lebih kuat. Bau ini mengitari tubuh Abang Rayyan.

“Abang. Dekat sangat,” kataku. Sedikit tersekat kerana gementar.

Rayyan faham. Terus dia berundur selangkah. Masih dekat, dia mengundur lagi selangkah. Bila sudah cukup berjarak, barulah dia kembali berdiri tegak dan pandang aku. Aku lekas betulkan diri semula. Kembali menjarakkan diri daripada meja lalu tolak rambutku melorot ke belakang badan.

“Kita ada dekat mana?” soalku. Seluruh bilik aku perhatikan. Mahu mencari suis lampu. Bilik ini terlalu gelap. Dan aku sedang berdua dengannya seperti ini, memang cari nahas namanya.

Baru tangan mahu meraba plug yang ada di dinding, tiba-tiba suasana dalam bilik berubah. Cahaya terbias sebaik saja langsir tebal mula terbuka. Di tangan Rayyan ada sebuah alat kawalan jauh. Dia letakkan semula alat kawalan itu atas meja sebelum labuhkan duduk di atas kerusi.

Aku tak terkata bila lihat pemandangan indah yang terdapat di depan mata. Terhidang luas melalui cermin besar yang menggantikan dinding.

Kaki diorak mendekati cermin besar yang tadinya ditutupi langsir. Menyembunyikan kecantikan yang ada di luar sana. Halaman rumah ini begitu luas dan penuh dengan bunga. Sudah seperti taman bunga. Ada buaian cantik di tengah-tengah laman. Ada kolam yang cantik.

Dari sini, aku tak nampak mana-mana jalan raya kecuali jalan kecil untuk masuk ke dalam kawasan rumah. Aku juga tak nampak mana-mana rumah kecuali sebuah pondok pengawal di depan sana.

Bagai rumah impian aku.

“Dhia pernah cerita tentang impian Dhia untuk ada sebuah rumah besar dan cantik dengan konsep terbuka. Segala dalam rumah hanya warna seperti brown, putih dan ditambah sedikit dengan warna hitam. Dhia suka rumah seperti hotel. Minimalist, tak banyak warna dan tak padat dengan perabot. Ada banyak bunga.”

Aku sudah semakin seram-sejuk jadinya. Benarlah apa yang aku fikir. Rumah ini begitu persis rumah idamanku. Ciri-cirinya ada dan sempurna. Malahan rumah ini lebih cantik berbanding apa yang aku idamkan.

“Dhia tak beritahu apa-apa tentang itu pada abang.” Dan inilah yang menakutkan. Sebab aku tak pernah beritahu hal seperti ini pada dia.

Mana dia tahu?

“Abang…” Aku kembali pandang Rayyan yang rupanya sudah kembali berdiri di sebelahku. Bila sedar saja yang keadaan kami sudah kembali seperti tadi, aku terus buka langkah bagi menambah jarak.

“Ini kebetulan ke?” soalku.

Rayyan kuntum senyum nipisnya sebelum pandangan dibuang ke luar tingkap.

“Tak ada yang kebetulan, Dhia. Semuanya bersebab.”

Aku tak faham. Apa yang bersebab? Kenapa aku ada di sini?

“Abang sengaja buat semua ini?” soalku lagi. Merujuk kepada rumah ini.

“Bukan sengaja. Tapi abang memang mahu buat. Dua tahun lebih prosesnya, dan bila dah siap, abang manusia paling gembira. Abang selesa di rumah ini. Hidup dalam impian Dhia. Segala yang Dhia ada walau hanya buah fikiran begitu menyamankan dan melegakan.”

Ya Allah, apa yang dia merepek ini? Rayyan ini sakit ke? Kronik tahap dah ada jangka masa yang tinggal untuk hidup? Selalunya orang seperti itu saja yang cakap benda pelik-pelik ini.

“Bilik ini dapat pemandangan kedua paling cantik dan jelas untuk tengok taman bunga di luar. Ini bilik kerja abang.”

Oh?

“Jadi mana yang pertama?”

Rayyan  pandang aku.

“Bilik tidur.”

Oh… okey. Pelik! Kak Qila tak cemburu ke bila suami sendiri buat rumah ikut impian perempuan lain? Lagi-lagi idea bekas madunya? Bagi aku, tak salah pun. Buat jelah. Idea itu sekadar idea. Entah bilanya aku berjaya kumpul duit untuk bina rumah yang aku mahukan. Tapi itulah…

Perasaan isterinya macam mana? Atau mungkin isteri dia pun tak tahu tentang ini?

Bercakap tentang isteri…

“This is not right. Dhia nak keluar.” Aku cepat-cepat buka langkah menuju ke arah pintu yang terletak jauh di depan sana. Bilik yang boleh tahan besar dan berdua dengan Rayyan buatkan sepuluh langkah terasa berganda-ganda.

Seram sejuk seluruh badan melihat Rayyan yang begitu lain sikap dan layannya padaku sekarang.

“Dhia!” Namaku dipanggil tegas sekali gus tanganku disambar sehingga langkahku terhenti mendadak. Aku terundur sedikit ke belakang.

Aku pandang wajah Rayyan dengan dahi yang sudah berkerut habis. Rasanya Rayyan tak bodoh untuk nilai muka aku sekarang. Marah. Aku marah. Dia sudah kenapa main pegang-pegang pula ini?

“Abang ini dah kenapa? Dahlah culik Dhia dan bawa entah ke mana. Ni nak main-main pegang-pegang pula!” marahku.

“Culik? Dhia pengsan depan kedai bunga umi. Takkan abang nak biarkan Dhia dekat situ? Abang bawa Dhia ke sini sebab abang tak nak Dhia terus berpenat di rumah. Jangan menuduh abang macam itu. Abang tak pernah berniat buruk pada Dhia.”

“Jadi kenapa abang tak bagi Dhia keluar? Kenapa Dhia ada dalam bilik ini?” Bukan sepatutnya aku sedang berbaring di atas katil? Sudahlah berdua!

“Sebab abang nak bercakap dengan Dhia. Dhia di sini sebab Dhia hampir jatuh tangga lewat malam tadi. Di sini lebih selamat. Jauh dari tangga atau apa saja bahaya. Dhia tak ingat? Dhia berjalan dalam tidur. Nasib baik abang berjaga di ruang tamu, kalau tidak..."

Aku berjalan dalam tidur? Entah ye, entah tidak. Aku tak pernah berjalan dalam tidur. Entah-entah lelaki ini mereka cerita saja.

“Bercakap dekat luar pun boleh. Kenapa kena dekat sini? Abang jangan lupa yang Dhia bukan isteri abang lagi."

"Kenapa pula bukan? Abang tak pernah lafazkan apa-apa kata pisah. Kita tak pernah bercerai. Dhia masih isteri abang sampai ke saat ini."

Gosh, lelaki gila talak! Talak yang belum dilafaz!

"Dhia tak nak bergaduh dengan abang. Tolong jangan buat Dhia marah. Kita dah sama-sama dewasa, abang dah masuk 33 tahu kan? Cukuplah itu. Dhia nak keluar." Aku cuba buka pintu sekali lagi, tapi Rayyan menghalang. Pintunya ditekan rapat.

"Apa yang abang nak cakap perlukan kita untuk bercakap berdua. Tanpa gangguan orang luar. Ini tentang kita berdua, Dhia. " balasnya.

"Cakap apa lagi? Tak ada apa yang perlu dicakapkan. Antara kita berdua dah tak ada apa-apa lagi. Kita dah tak ada kaitan. Abang dan Dhia tak lebih sekadar orang luar yang pernah saling mengenali."

Dahi Rayyan berkerut. Jelas dia tunjukkan betapa dia tak sukakan kata-kata aku itu. Tapi apasal pula tak suka? Dia lupa ke segala yang dia pernah ucap pada aku dulu? Nak aku ingatkan balik? Aku boleh buat, tapi apa kebaikannya?

"You're my wife. Lima tahun lagi ke, sepuluh tahun lagi ke, Dhia tetap isteri abang."

"Yakin ke abang yang Dhia masih isteri abang? Kalau Dhia bawa ke mahkamah..."

"Silakan. Tapi apa yang Dhia nak cakap? Abang tak beri nafkah? Nafkah apa? Zahir? Duit belanja yang Dhia dapat pada setiap bulan selama Dhia di sana adalah duit abang. Tak cukup itu, abang boleh tunjuk transaksi kad abang yang ada pada Dhia. Abang jaga makan dan pakai Dhia di sana. Nafkah batin? Dhia sambung belajar, bukan abang yang ugut atau kerah Dhia untuk sambung belajar. Lagipun kalau abang nak tunaikan, Dhia mesti tak nak. Jadi?"

Huh! Mengungkit pula dia! Manalah pula beg tangan aku ini? Aku nak bagi kad itu semula dan suruh dia lafazkan apa yang kononnya dia akan lafazkan dulu itu.

Tak ugut atau kerah? Huh! Tapi kau suruh!

Ah, aku tak kira! Terus saja pintu dibuka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience