Bab 41

Romance Series 31043

AKU melangkah melalui lobi syarikat ini. Entah berapa tahun aku tak jejak lantai syarikat ini. Tak sangka aku akan kembali di sini selepas semua mimpi ngeri yang berlaku di sini dulu. Kalau tak disebabkan Rayyan, memang tidaklah aku nak ke sini.

Sampai ke detik ini aku masih ingat panggilan mereka. Penyondol.

Masuk saja ke dalam lif, aku terus berdiri di depan berdekatan butang pada dindingnya. Tiba di tingkat tiga, pintu terbuka dan masuk rombongan mak jemah ke dalam.

Aku nampak tangan seseorang seperti mahu menekan butang di dinding, tapi tak jadi bila lihat butang itu sudah pun menyala. Aku yang tekan.

Dia terus berundur semula. Cuma pada waktu itu, pandangan kami bersatu. Wajahnya bertukar riak. Berkerut dan nampak terkejut sebelum aku terus pandang tempat lain.

Tiba-tiba telefonku berdering.

"Hello?" Aku berhelo.

"Dhia di mana dah?" Suara Rayyan kedengaran.

"Dalam lif. Sekejap lagi sampailah."

"Tolong ambilkan air putih di pantri untuk abang. Cuba cari Panadol kalau ada dekat situ."

"Okey, abang."

Panggilan tamat. Aku terus kembali pandang nombor yang tertera. Sikit saja lagi! Di dalam lif ini sesaat rasa macam satu jam. Rasa seakan diperhati dan dikritik.

Ting! Pintu terbuka.

Aku terus meluru keluar dan masuk ke dalam pantri. Disebabkan ini boleh dikatakan taman permainan aku masa aku kecil, aku sudah hafal selok-beloknya. Itu yang senang saja nak mengelecek ke sana dan ke sini.

Peti sejuk dibuka. Sebotol air mineral dicapai sebelum satu lagi botol mineral diambil daripada kotaknya. Baru nak keluar semula...

"Itu Dhia kan? Dhia Elaine?" Suara lelaki kedengaran dari luar sana.

Hailah, mereka tak habis lagi mengumpat pasal aku rupanya. Dah bertahun-tahun kut!

"Itulah kut. Lain muka dia sekarang. Nampak tua." Suara perempuan.

What?! Tua?!

"Bukan tualah, tapi matang. Tua apa cantik gila macam itu? Dulu muka dia comel je, sekarang dah cantik dan elegan. Muka sassy dan seksi," balas seorang lagi perempuan. Suara berbeza. Dalam tak sedar perempuan itu sudah membela aku.

Wajib aku suruh Rayyan naikkan gaji dia nanti. Muahaha!

"Cantik apa? Penyondol!" bidas perempuan awal tadi.

Wah, mungkin ke dia perempuan sama yang mengumpat aku dulu? Lif itu? Gaya bercakap dan jumlah kebencian dalam suaranya sama persis.

"Penyondol itu lain ceritalah. Lagipun itu cerita lama. Kita tengah cakap pasal rupa dia sekarang. Hampir tak dapat cam sebab cantik sangat. Dulu pun dia dah cantik, cuma dia lebih kepada comel. Sekarang comel dah kurang, tapi cantik bertambah-tambah. Patutlah pun senang-senang je dapat sondol suami orang!"

Cancel niat nak suruh Rayyan naikkan gaji! Dia pun dua kali lima rupanya!

"Alah, lantaklah. Lelaki boleh kahwin empat," balas si lelaki.

Huh, tipikal! Menyampah!

"Ewah, sedap je kau ye? Lelaki boleh kahwin empat. Itu jelah hujahnya setiap kali kaum kau curang. Waktu itu isteri bos tengah mengandung tahu? Bayangkanlah, tengah mengandung, baru kahwin, lepas itu dapat tahu yang suami kahwin lain. Kau yelah tak faham sebab kau lelaki..."

"Apa yang tak faham?"

Terus tercacak telinga bila satu suara yang cukup dikenali menyampuk dalam perbualan mereka. Suara Rayyan!

"Err, bos..."

Aku sudah tersengih. Aku berani kerat jari yang kesemuanya sudah pucat macam baru nampak hantu sekarang!

"Awak bertiga bualkan apa depan pantri ini?" soal Rayyan lagi.

"Mana ada, bos. Kami sembang sikit je," balas suara lelaki tadi.

"Sungguh bersembang? Atau awak mengumpat?"

"Mana ada, bos. Buat apalah kami nak mengumpat kan? Lagipun siapa yang nak diumpat?"

"Isteri saya?" Rayyan namakan aku. Kiranya dia sedang berpura seolah berteka-teki dengan mereka. Pendek kata, checkmate! Anda sudah tertangkap!

"Err... Sebenarnya bos." Si perempuan yang kata aku tua tadi.

"Sebenarnya apa?"

"Err... Kami..."

"Kami mengumpat isteri majikan sendiri? Sibuk dengan urusan peribadi majikan sendiri sambil curi tulang berbanding pergi meja masing-masing dan buat kerja? Itu?" potong Rayyan.

Terus senyap di luar sana. Patut ke aku keluar sekarang dan mengeruhkan keadaan? Contohnya beritahu Rayyan semua yang mereka umpat kalau-kalau ada yang Rayyan tak dengar tadi? Atau boleh juga kalau aku tokok tambah sedikit supaya mereka lebih-lebih tersepit?

Jahat sangatlah pula.

"Dhia Elaine adalah isteri saya yang sah. Jangan berani-beraninya gelar dia sebagai penyondol atau apa saja gelaran kotor seperti itu. Nak kutuk saya? Umpat saya? Silakan. But keep my wife's name out of it."

"Baik bos. Maafkan kami," kata perempuan yang membela pada awalnya pula.

"If I hear anyone talking trash about my wife again, heads will roll. Terutamanya awak bertiga. This is your only warning. Mention her name one more time, and you'll regret it."

Tak mahu terus menyorok, aku terus keluar dari pantri. Nak tengok muka orang-orang di luar itu. Seronok betul bila nampak saja aku, terus mata mereka terbuntang. Aku tersenyum puas hati. Sempat aku kerling Rayyan yang berdiri keras dan garang di depan mereka.

Mataku turun pada seorang antara dua orang perempuan yang mengumpat aku tadi. Ketiga-tiga mereka tundukkan kepala, tapi yang seorang ini extra tunduk seolah dia betul-betul takut untuk tunjuk muka di depan aku.

"Awak berdua ke yang kutuk saya penyondol dekat lif dulu?" soalku.

Dua perempuan itu terus angkat kepala. Yang lelaki pula terus pandang dua perempuan di sebelahnya.

"Bukan saya, Cik Dhia. Saya tak terlibat. Saya baru kerja di sini tiga tahun lepas. Dia dengan seorang lagi yang selalu rapat dan bergosip, tapi yang seorang itu tengah cuti bersalin." Terus terbuka tembelang perempuan sebelahnya. Kawan mengumpat sudah bocorkan!

Patutlah bencinya melebih siap cakap aku tua. Rupanya dia jugalah yang umpat aku dulu ye? Patutlah. Yang perempuan seorang ini pun, baru lagi kerja. Entah-entah tengok muka aku pun dalam gambar saja, tapi bukan main mengutuk aku ye?

Aku tersengih sinis. Dengan botol masih di tangan, aku terus melangkah penuh gah di depan mereka. Itu pun selepas aku ludahkan sepatah perkataan yang ditujukan khas untuk kedua perempuan itu.

"Pathetic."

"APA yang dia umpat Dhia di lif dulu?" Masuk saja Rayyan ke dalam bilik ini, terus dia tembak aku dengan soalan itu.

"Tak ada apa. Dah lama pun."

Tapi kalau dah namanya Rayyan Halzeri, mana dia nak dengar penolakan aku. Lelaki itu terus melangkah ke arahku. Botol mineral yang aku sudah buka penutupnya terus diambil lalu dia letak di atas meja. Tanganku digenggam seraya aku ditarik mendekat. Matanya tajam merenung aku.

Hanya sebab aku sudah terbiasa dengan pandangan itu, jadi ia tak begitu berkesan untuk takutkan aku.

"Beritahu abang, Dhia. Apa yang budak-budak itu cakap tentang Dhia? Kalau Dhia tak nak buka mulut, abang akan buat sampai dia sendiri buka mulut."

Buatlah. Dia fikir aku nak simpati dekat perempuan itu ke? Aku ini lebih kejam daripada yang disangka tahu? Muka je comel, tapi hati keras!

Tapi nanti jadi masalah pula. Bayangkanlah kalau satu ofis tahu yang Rayyan buli staff dia sendiri. Tak pasal-pasal pula busuk nama Rayyan. Lagi teruk kalau lebih ramai yang bencikan aku disebabkan hal seperti ini.

"Sama macam apa yang dia orang cakap tadi." Nak tahu sangat kan? Ambil.

"Dia panggil Dhia penyondol?"

Aku angguk. "Betul apa?"

"Apa yang betul? Dhia kahwin dengan abang tanpa jadi orang ketiga. Kita tak bercinta, Dhia tak pernah menyondol."

Terus meletus satu deraian tawaku. Aku memandang Rayyan dengan wajah tak percaya.

"Wah, tak sangka dalam banyak-banyak manusia, ayat itu akan keluar daripada mulut abang. Alangkah baiknya kalau itulah apa yang abang cakap pada masa itu."

Wajah Rayyan berubah sesaat.

"Abang tak boleh putar waktu dan tarik semula kata-kata abang. Tapi abang boleh betulkan apa yang pernah abang buat."

Oh?

Aku terus berpeluk tubuh.

"Jadi apa yang abang nak buat? Marah dia? Pecat dia? Tapi apa yang akan berubah? Kurang satu mulut yang mengutuk Dhia? Atau bertambah lagi mulut yang mengutuk Dhia?"

Rayyan senyap. Entah dia senyap sebab tak nak bergaduh dengan aku atau dia tak punya mukadimah.

"Melainkan kalau dia orang tahu kenapa dan mengapa Dhia sondol abang daripada Kak Qila, Dhia tak nampak langsung relevannya untuk bercakap tentang itu atau cuba betulkan apa-apa. Pandangan mereka pada Dhia dah tetap dan tak boleh diubah melainkan dengan kebenaran. Tapi kebenaran apa? Sedangkan abang pun pernah tak percaya dengan alasan kami."

"Dhia..."

Aku acuhkan dia sambil terus keluarkan sekotak ubat pelbagai jenis dari dalam beg. Penat aku angkut dari rumah tahu?

Botol yang tadinya diambil dan diletakkan atas meja aku capai semula sebelum aku hulurkan kepada Rayyan. Nak tak nak, Rayyan terpaksa sambut. Kotak ubat pula dibuka lalu aku keluarkan sebiji Panadol dan letak atas telapak tangan Rayyan.

"Dhia ingatkan abang kronik sangat sampai call minta Dhia datang sebab pening kepala dan tak larat."

"Abang bukan suruh Dhia datang sebah abang kronik. Abang nak Dhia temankan abang."

"Wah! Minpi apa pula ini?" Teman? Gilalah!

Tak terus membalas, Rayyan telan dulu ubat itu. Diteguk air sebelum aku dipandang lama.

"Temanlah. Duduk sini dengan abang. Dhia tunggu abang. Tak lama lagi saja waktu kerja habis. Kita boleh terus ambil Raees di playschool berdua."

Fine!

Baru nak ke sofa...

"Duduk sini. Depan abang." Tapi Rayyan tuding kerusi bertentangan.

Aku menurut saja walaupun dah rasa macam nak kena interview pula!

Rayyan kembali menelaah entah dokumen apa di atas meja sementara aku hanya memerhati dia. Muka serius dan tekunnya memang kacak walaupun nampak garang. Sekali tengok orang dah boleh cop dia lelaki red flag, tapi spesies red flag yang digilai wanita sebab terlalu cukup pakej.

"Dhia drive ke sini?" Sambil fokus pada dokumen, Rayyan menyoal aku.

"Ye. Pakai kereta arwah ibu."

"Kalau macam itu, balik nanti abang bawa kereta itu. Esok Dhia ikut abang ke ofis sebelum hantar Raees ke playschool."

"Kereta abang?"

"Tinggal."

Pula!

Baru nak lanjutkan perbualan, tiba-tiba bunyi kecoh kedengaran dari luar sana. Terdengar seperti beberapa suara yang bertekak di luar sebelum pintu dibuka keras.

Aku mengerling ke belakang. Bila nampak gerangan yang baru menceroboh, aku terus pandang Rayyan. Hm, reaksi Rayyan nampak berang. Maksudnya dia tak jangka dan tak suka dengan kehadiran manusia itu di sini.

"Tuan, maafkan saya. Saya dan pengawal dah tahan dia tadi, tapi dia rempuh dan pukul kami," kata satu suara lelaki.

"Memang patut pun kena pukul! Sesuka hati je sentuh aku! Jijik tahu tak? Pengawal kontot dengan penyambut tetamu macam kau ini tak ada hak untuk sentuh aku!" herdik suara perempuan. Perempuan yang sudah lama aku tak nampak.

Ye, Kak Qila.

"Tuan, patut ke saya panggil polis?" soal lelaki itu semula.

"Polis?! Hello, lelaki hodoh! Kau..."

"Enough!" Tak sempat nak habiskan kata, suara Rayyan pula yang mencelah. Separuh menengking sampai senyap satu bilik ini.

"Fikri, awak boleh bawa pengawal-pengawal itu turun. Saya akan uruskan yang ini," kata Rayyan sebelum terdengar bunyi banyak langkah yang semakin jauh sebelum pintu ditutup.

"Kau ada lima minit untuk sampaikan sebab kau menceroboh ke sini sebelum aku sendiri yang halau kau."

Keningku sempat terjongket bila dengar panggilan Rayyan buat Kak Qila. Aku dan kau. Wow! Interesting.

"Rayyan baby, sampai hati you kata I ceroboh ofis suami I sendiri?"

Dahiku berkerut.

"Bekas suami." Tekan Rayyan.

Hilang kerutanku.

"Alah, sama jelah. Apapun baby, I nak duit. I baru berhenti kerja. Bulan ini banyak benda nak kena beli. Gucci dan Versace menunggu I untuk datang jemput dia orang ke rumah."

Wah, senang betul hidup dia ye?

"Jadi?"

"Jadi? Jadi bagilah I duit. Nafkah."

"Nafkah apa? Kau bukan isteri aku. Nafkah anak hanya untuk anak dan anak itu ada dengan aku. Kalau dalam idah, bolehlah kau gunakan alasan itu."

"Sama jelah itu. I ibu kepada anak kita. Kejap, siapa itu?"

Ha! Lepas sepuluh minit baru kau sedar yang aku wujud di sini ye?

Aku terus pusingkan kerusi menghadap perempuan itu. Dengan angkuhnya, aku berpeluk tubuh sambil tayang muka paling sombong dalam dunia. Apa lagi, terus terbeliak perempuan itu!

"Rayyan!!! Apa betina itu buat dekat sini?!" Dia terus bertukar jadi langsuir! Lurus jari telunjuknya menuding ke arah aku. Kakinya terus meluru besar-besaran ke arahku bagai sekejap lagi aku akan diterkam lalu ditampar-tamparnya.

Huh! Cubalah. Kau fikir aku masih Dhia yang lembik itu ke?

"Jangan!"

Tepik Rayyan. Sepatah dan pendek. Jangan! Seperti don't yang cukup tegas dan bernada ugutan. Membulat matanya melawan mata Kak Qila yang automatik terhenti bila dengar suara Rayyan.

"... berani panggil isteri aku dengan perkataan yang sesuai untuk kau."

Well, well, well...

"Apa you kata?!"

"Dhia adalah orang yang patut tanya soalan itu sekarang, bukan kau. Apa yang kau buat dekat sini? Dia isteri aku. Dia ada segala hak dan kebebasan untuk berada di sini. Dia juga adalah pemilik sebahagian saham Halzeri's. Tapi kau... Kau siapa?"

Kak Qila nampak terkejut dengan balasan Rayyan. Terus dia pandang aku dengan muka berangnya. Aku pula? Terus jongket sebelah kening. Satu provokasi, dan satu lagi sebab terkejut bila dengar apa yang Rayyan cakap.

Pemilik sebahagian saham?

"Eloklah! Match made in hell! Seorang pembunuh anak sendiri dan seorang lelaki terdesak. Hello, Dhia! Rayyan ini gunakan kau sebab dia dah tak ada isteri je!"

Sebelum sempat Rayyan menengking perempuan itu lagi, aku terus bangun. Eloklah hari ini aku pakai cantik-cantik dengan kasut tumit lima inci. Bukan tubuh saja yang makin tinggi, malahan keyakinan!

"Pembunuh anak sendiri ye?" kataku sambil mendekatinya. Tangan terus berpeluk tubuh sambil mata membalas pandangan jengkel perempuan itu.

Bila cukup dekat, aku terus tersenyum.

"Kau lebih tahu kebenarannya berbanding sesiapa saja dalam dunia ini..." Aku merapatinya. Cukup dekat bersama suara yang cukup perlahan, namun cukup tajam supaya Rayyan tak dengar itu.

"You know damn well that I ain't the one who killed my own child, Qila." Senyuman terukir lebih lebar bila mata menangkap wajahnya yang terus berubah. Sempat perempuan itu kerling ke arah Rayyan yang pasti tak dengar pun apa yang aku cakap.

Aku kembali menjarakkan diri bersama senyuman yang masih sama. Hanya ini, aku sertakan ugutan dalam raut wajahku. Cuba sekali lagi, dan kau akan tahu siapa Dhia yang sekarang, Qila.

Perempuan itu terus kawal raut mukanya semula. Muka sombong kembali ditayang sebelum aku dijelingnya.

"Jangan lupa yang Raees juga anak I." Itu saja. Betul-betul itu saja sebelum perempuan itu terus keluar dan berlalu pergi.

Aku dan Rayyan berpandangan. Tak mahu beri ruang untuk dia tanya soal aku dan Qila tadi, terus aku senyum lebar.

"Dhia nak turun cari makanan sekejap. Setengah jam lagi Dhia naik atas semula. Oh, nak duit!" Terus aku menadah tangan di depannya.

Ha! Daripada kau bagi bekas isteri itu, baiklah kau bagi dekat aku. Cewah, padahal kad dia masih elok ada dekat aku. Aku nak bagi balik, dia tak mahu!

"Ke bawah? Jom, abang teman."

Eh!!!

"Tak payahlah. Bukannya jauh pun."

"Tak jauh pun, kalau dia masih ada dan nak buat benda buruk pada Dhia macam mana?"

Aku tersenyum. Setakat perempuan itu, huh! Petik jari boleh terkeluar segala botox dia.

"Jangan risaulah. Setakat nak tarik rambut dan cakar orang itu senang je, abang. Lagipun ada pengawal," balasku.

Sudahnya Rayyan keluarkan juga dompetnya. Dua keping not ungu diserahkan kepada aku tanpa soal walau wajahnya memang jelas menyatakan segala soalan dalam kepala. Dia sedang tertanya apa yang aku bisik pada Qila tadi. Berani kerat jari yang itulah dia!

"Hati-hati."

Aku angguk. Baru keluar tak sampai lima langkah dari bilik, tiba-tiba telefonku berbunyi. Nombor Rayyan. Aku terus mengerling ke dalam biliknya. Dari luar aku boleh nampak Rayyan yang sedang memandang ke arahku.

"Hello?"

"Biarkan call ini on going. Jangan end sampai Dhia naik ke atas semula," arahnya.

Baru aku nak menolak, "abang..."

"Ini atau abang teman Dhia." Tapi Rayyan memotong.

Huh! Dasar Halzeri!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience