Bab 43

Romance Series 31043

NOVEL yang dipegang, aku selak. Walaupun mata berlarian pada tulisannya, tapi aku langsung tak ambil pusing tentang jalan cerita yang ditawarkan. Bukan sengaja, tapi kerana fokus aku sedang dipinjamkan untuk yang lain.

Aku mengerling kerusi di sebelahku. Hanya dipisahkan dengan lorong kecil, di situ duduknya dua orang lelaki yang jadi penyebab aku ada di sini. Aku terpaksa menipu Rayyan yang aku hanya nak keluar jumpa Ilyana disebabkan ini. Semoga dia ampunkan aku!

Mata bertentangan dengan mata kedua lelaki itu sebelum aku kembali pandang ke depan. Bas ini sedang bergerak masuk ke kawasan yang lenggang. Lari jauh daripada jalan yang sepatutnya bas ini ambil untuk hantar dan ambil penumpang.

"Bang, kita ikut jalan mana ini? Dah jauh sangat ini. Macam dah nak masuk highway baru je." Salah seorang penumpang menyoal pemandu.

Tapi pemandu itu senyap. Hanya teruskan pemanduan.

"Bang, saya nak turun sinilah," kata satu lagi suara.

Tapi tetap dihiraukan oleh pemandunya.

Sepuluh minit kemudian, orang sudah mula keresahan. Ada yang sudah keluarkan telefon. Saat ada yang cuba berhelo dengan entah siapa melalui telefonnya, bas tiba-tiba berhenti di tepi jalan. Tak berlama, pemandu itu terus bangun sebelum poket diseluk. Elok saja dia tarik keluar sepucuk pistol daripada poketnya, terus menjeritlah semua penumpang di dalam ini.

"Kau letak telefon kau dekat bawah kalau kau tak nak aku tembak!" tengkingnya.

Lalu kesemua penumpang terus keluarkan telefon dan campak ke atas lantai bas. Suara esak ketakutan mula kedengaran, namun kami bertiga masih tenang memerhati.

Suasana jadi lebih teruk bila muncul lebih lima orang lelaki meluru masuk ke dalam bas. Satu demi satu diraba dan ditilik untuk memastikan yang mereka sudah meletakkan telefon yang ada. Untung aku tak bawa telefon! Tapi kalau dia berani meraba aku, wa cakap dulu, memang hilang batang hidung dia!

Beberapa orang wanita dipaksa keluar daripada bas selepas muka masing-masing ditilik. Yang dipilih hanya yang cantik dan muda. Yang tua dan tidak menemui kriteria, mereka tinggalkan saja. Salah seorang daripada mereka mula berjalan ke arah kami yang sedang duduk di bahagian belakang bas ini. Elok saja berdiri di tengah-tengah antara kerusi kami, terus dia tunduk memandang aku.

"Buka topeng kau!" arahnya.

Aku terus menutup buku dan pandang dia. "Topeng ini? Tak bolehlah, bang. Saya tengah batuk-batuk. Nanti kalau saya buka, habislah bakteria ini pergi dekat orang lain."

"Kau fikir aku main-main ke?!" Tak payah susah-susah nak karang ayat lagi sebab laju saja lelaki itu mula naik angin. Mesti baran ini!

Tangannya terus cuba menarik topengku. Sejengkal jaraknya sebelum tangannya terus aku tepis keras. Mukanya bertukar berang. Bertambah berang bila novel tebal itu melekap pada pipinya. Cukup kuat sampai dia terteleng sebelum tangannya naik menekup gegendang telinga yang pastinya sudah berdesing.

"Perempuan ini..." Lelaki itu terus mengangkat tangannya tinggi-tinggi. Saat tangan itu dilayang untuk membalas pukulan aku, tiba-tiba tangan lain melintang menangkap erat tangannya.

Tak ada salam, terus tangan itu dipulas sebelum tubuh lelaki itu ditendang kencang sampai dia terseret dan badannya bertembung dengan tiang di tengah-tengah bas.

Jebat.

"Keluar dan jaga perempuan-perempuan itu. Aku dan Taipan akan uruskan jantan-jantan tak guna ini," arahnya.

Aku mengangguk seraya terus bangun dan keluar daripada bas. Sempat aku menendang kaki lelaki yang masih terduduk terkejut itu. Kalau boleh nak tendang yang di tengah, biar tak ada penyambung keturunan orang jahat macam dia, tapi ada yang lebih penting sekarang.

Perempuan-perempuan yang telah dipilih itu sedang ditolak masuk ke dalam van. Yang cuba untuk larikan diri ditampar dan dipukul hingga mereka terpaksa menurut juga.

Novel di tangan terus aku layang ke belakang kepala lelaki yang sedang sibuk menengking perempuan-perempuan itu. Dia menyentuh kepalanya seraya berpusing memandang aku.

"Kurang ajar punya betina!" Tangannya mula cuba untuk menampar aku pula, tapi laju saja tangan itu aku tepis sebelum novel aku henyak ke mukanya.

Kuat!

Semoga senget batang hidung kau, mat!

Sedang dia menahan sakit, tanganku terus naik mencengkam rambutnya hingga dia terdongak ke langit. Dalam posisi itu, tangan sebelah lagi terus menumbuk rahangnya sehingga dia terus terjerit dan tangannya menyentuh muka sendiri.

"Mamba, belakang!" Suara Taipan kedengaran, memberi amaran.

Terus aku layangkan kaki, berpusing sebelum kakiku menghentam tubuh lelaki yang cuba menyerang hendap. Pertarungan bermula bila lelaki ini tak selembik lelaki tadi. Seranganku dibalas cantik sebelum kakinya naik menendang kakiku. Aku menderam lalu terbongkok. Saat itu digunakan dengan baik bila lelaki itu terus melompat dan cuba hentam sikunya pada tubuhku. Tapi mujurlah Jebat datang dari belakang lalu menarik lelaki itu sehingga dia terbaring di atas jalan. Dari situ aku hanya nampak Jebat membalas dendam dengan melayangkan bertubi-tubi tumbukan pada mukanya.

Aku pula terus berpusing ke arah van. Sempat mata mengerling lelaki yang entah apa khabar rahangnya itu. Dia sudah ditarik oleh Taipan. Taipan dan King sedang membuka laluan buat aku.

"Keluar cepat!" arahku.

Semua perempuan yang bersesak dalam van itu cepat-cepat keluar dan mengikut arahanku.

Baru nak terus ke langkah seterusnya, tiba-tiba rambutku ditarik dari belakang. Hai, apa nak jadi dengan mamat-mamat ini asyik menyerang hendap?

Tarikan jadi semakin kuat. Aku pula terus melayang kaki ke belakang. Sekadar agak-agak mana hala tujunya sebelum walaaa! Dia terbongkok. Kena tepat di tengah.

Aku terus lepaskan rambut daripada ikatan. Hello! Rambut jangan main ye! Ini mahkota aku tahu?

"Masuk dalam bas semula." Aku mengarah lagi. Maka teruslah perempuan-perempuan itu berpusu masuk ke dalam bas.

Elok saja lelaki-lelaki itu terbongkang di luar, Jebat dan Taipan terus masuk ke dalam. Jebat ambil kerusi pemandu. Bas dihidupkan sebelum bergerak meninggalkan lokasi itu.

"Q, clear. Call polis cepat!" Aku dengar Taipan bercakap sendiri. Oh, bukan sendiri. Dia sedang berkomunikasi dengan Q melalui earbuds di telinga.

Riuh-rendah satu bas ini kedengaran sementara aku terus merapikan rambutku semula. Rambut dibiar lepas.

"Siapa awak bertiga?" soal salah seorang daripada perempuan yang hampir menjadi mangsa tadi.

Aku senyum, tapi dah sahlah mereka semua tak nampak. Tanganku terus naik menyentuh dada sendiri.

"Black Mamba," kataku.

"Itu, Taipan dan King." Aku menuding pula ke arah Taipan dan Jebat.

"Nama betul ke?"

Aku menggeleng.

"Awak semua bukan polis ye?"

Aku menggeleng lagi.

"Tapi hebat betul awak bertiga berlawan tadi. Kalau awak kata, awak semua ahli PGA pun kami boleh percaya. Terima kasih sebab selamatkan kami."

Aku mengangguk kali ini.

Bas berhenti di jalan untuk ke rumah Rayyan. Masih jauh, jadi sebab itulah Q sudah elok menunggu aku di sini. Aku melambai mereka sebelum terus berjalan ke arah Q. Mereka akan dihantar ke satu tempat supaya boleh pulang ke rumah sendiri semula.

"Macam mana?" soalku. Helmet terus disarungkan ke kepala sebelum aku memanjat naik motor itu.

"Dah beres. Polis dah sampai."

Alhamdulillah! Selamat meringkuk dalam penjara sampai kau bertemu dengan ketua kau yang bakal menyusul tak lama lagi.

"Pecut! Kalau Rayyan sedar yang aku balik lambat, habislah." Bahu Q ditepuk berkali-kali sampailah aku rasa kelajuan itu sudah mencukupi.

Tiba saja di simpang masuk ke dalam rumah, seperti biasa aku turun di situ dan terus berjalan kaki. Aku sempat buka jaket dan labuhkan baju yang aku pakai di sebalik jaket itu. Dress nipis di sebalik baju dan seluar yang kupakai. Fungsi? Tunggu dan lihat.

Lalu di pondok pengawal, mereka terus memerhati aku.

"Puan dari mana?"

"Jumpa kawan."

Dan mereka mengangguk faham.

Fungsinya inilah. Supaya mereka tak syak yang bukan-bukan. Selama ini tak kira pukul berapa pun aku keluar dan balik, imej inilah yang aku akan bawa supaya mereka kurang berandaian.

Aku terus masuk ke dalam rumah. Jaket dipeluk. Baru nak panjat tangga, tiba-tiba lampu ruang tamu terbuka. Terus keras kejung aku di situ.

Tolonglah kata hantu yang buka lampu itu! Aku lagi sanggup menghadap hantu daripada menghadap soalan Rayyan.

"Dari mana?" Aku mengharapkan bunyi mengilai, tapi suara Rayyan pula yang kedengaran. Terpaksa juga aku pusing dan terus cari dia di ruang tamu.

Oh, rupa-rupanya dia duduk di kerusi depan TV yang tidak menyala. Elok duduk di sofa tunggal dengan kedua belah tangan bersenang di kedua sisi sofa. Matanya tajam memandang aku. Tak perasan pula masa masuk tadi. Yelah, aku masuk pun mengalahkan pencuri. Satu lampu tak buka. Kalau umi yang nampak, mahu patah leher aku direjam dengan batang penyapu.

"Dari luar," jawabku.

"Lebih spesifik."

"Banting."

"Buat apa sampai ke sana?"

"Jumpa kawan-kawan." King dan Taipan itu kira kawanlah. Siap ada Q lagi.

Dada mula tak sedap bila tiba-tiba Rayyan bangun dari duduknya. Dia melangkah ke arah tangga tempat aku berdiri. Langkah tegasnya buat aku kecut sendiri.

"Namakan kawan-kawan itu."

Ha? Namakan pula? Sudahlah Taipan punya nama aku langsung tak tahu. Bukan saja aku, malahan semua orang pun tak tahu. Dia cukup menjaga yang satu itu. King pula, namanya adalah identiti yang perlu disembunyikan. Seperti mana mereka simpan baik nama dan identiti aku, begitu juga apa yang aku perlu buat.

"Dhia keluar dengan Yana. Kan dah cakap?" Jadi aku terpaksa menipu lagi.

Keningnya terjongket sesaat sebelum Rayyan tersenyum nipis. "Itu hanya satu. Dhia sebut kawan-kawan. Maksudnya ada lebih daripada satu. Namakan."

Ish, dia ini kan!

"Dhia? Rayyan?" Tiba-tiba suara umi kedengaran serentak lampu dapur terbuka. Aku dan Rayyan automatik teleng kepala memandang umi, sebelum aku terus tersenyum.

Bantuan dah sampai! Umi dah selamatkan aku tanpa umi sedar!

"Umi tak tidur lagi?" soalku.

"Dah tidur. Tapi tadi umi nak ke tandas. Tandas dalam bilik itu airnya tak keluar pula, Rayyan. Itu yang umi ke dapur. Tapi di dapur pun dah mula kecil airnya."

Cantik! Sekarang ini semua dalam rumah dipersilakan rosak! Biar fokus Rayyan teralih sepenuhnya sampai dia tak teringat lagi dah nak soal aku apa-apa.

"Ye ke? Agaknya ada gangguan bekalan air sekejap lagi. Kalau dah bawah tak naik, mesti atas pun tak naik ini. Dhia pergi mandi cepat. Guna tandas bawah. Takut sekejap lagi air terus hilang."

Alhamdulillah! Terima kasih, Ya Allah!

Aku terus mengangguk. Laju saja aku naik ke tingkat atas dan kembali turun bersama pakaian bersih. Masuk saja ke dalam bilik air dapur, aku terus mengeluh lega. Selamat daripada soalan yang boleh jadi sebuah perangkap.

Tak berlama, aku segera mandi. Sebab balik lewat, maka aku cuci seluruh badan dengan secukupnya, termasuklah shampoo kepala. Saat sabun atas kepala nak dibasuh, tiba-tiba air dari shower terhenti.

"Eh?" Aku mula meraba dengan mata terpejam, mencuba untuk memulas pili singki pula. Tapi sama! Tiada air!

Umi!!! Tak akan tak ada air tangki kut?!

Aku sudah mula panik. Dapat rasa sabun yang mula meleleh ke mata. Ini kalau celik, memang merahlah mata aku semalaman.

"Umi!!!" Aku terus menjerit. Bilik umi saja yang paling dekat. Rayyan di atas! Nenek Raees pula mungkin sudah lena tidur.

Tolong!!!

Tapi hampa, tiada umi atau suara umi. Mereka tak dengar suara aku ke? Huaaa! Ini ke azab menipu suami?

"Umi!" Aku cuba melaung lagi.

Masih tiada!

Huaaaaa! Nak nangis!

"Dhia?! Kenapa terjerit-jerit? Dhia okay? Jatuh dalam bilik air ke?" Lain yang aku harapkan, tapi lain pula yang datang. Suara Rayyan kedengaran dari luar sana. Jauh, lalu semakin dekat sampailah pintu bilik air diketuk bagai nak pecah.

"Abang!"

"Ye, Dhia?! Dhia kenapa? Buka pintu ini, biar abang tengok!"

Aku rasa kalau aku tak buka pintu lagi dua tiga saat, mahu Rayyan betul-betul robohkan pintu ini. Suara dia penuh dengan nada resah dan risau!

"Air dah tak ada langsung. Dhia baru shampoo kepala, sekarang tak boleh basuh. Dhia tak boleh buka mata sebab air shampoo dah turun ke muka. Mana air tangki?"

Tiba-tiba Rayyan senyap di luar sana. Aku tak tahu apa yang dia buat, tapi aku dapat dengar dia menghembus nafas.

"You scared the life out of me, peaches. Ingatkan jatuh dalam tandas atau apa sampai terjerit-jerit takut," kata Rayyan.

Lah!

"Dhia memang takut! Dhia tak boleh tengok apa-apa, abang! Dhia nak cari tombol pintu pun tak jumpa!" Mulalah aku nak naik angin. Boleh pula dia layan dia punya terkejut dulu berbanding menyelamatkan aku?

"Pintu di sebelah kiri, bukan kanan macam di bilik. Dhia cari dinding paling dekat dengan singki, Dhia akan jumpa pintu. Buka pintu ini, abang pergi cari baldi dan takung air." Dan setelah itu, sunyi kembali menghimpit.

Aku sudah seram sejuk. Sejuk itu sebab aku tengah basah. Seram pula sebab aku sedang berada di tempat paling strategik untuk syaitan melepak, iaitu tandas. Cantik pula aku tak boleh buka mata! Entah-entah dia orang dah seronok main peak a boo depan muka aku!

Huaaaa!

Aku cepat-cepat meraba persekitaran aku. Pegang sini, rasa dinding. Pegang sebelah sini pula, tak rasa apa. Hai, siapa punya idealah yang pergi buat bilik air besar-besar ini!!!

Raba punya raba, akhirnya tanganku berjaya menemui tombol pintu. Aku segera memulas sebelum membuka sedikit. Ah, sekarang barulah rasa nak berterima kasih dengan umi yang sentiasa marah dan ingatkan aku untuk tidak mandi tanpa pakaian. Wajib berkemban dengan kain batik!

Jadi aku tak risau sangat untuk buka pintu sekarang.

"Abang! Cepatlah!" Tiada sahutan.

Tak lama kemudian, aku dengar bunyi orang melangkah masuk ke dapur.

"Abang?" Bukan hantu kan?

"Berundur. Abang buka pintu." Suara Rayyan.

"Tak naklah."

"Dah kalau tak nak, macam mana abang nak bawa masuk baldi ini?"

Oh, ye tak ye juga.

Jadi mahu tak mahu, aku terus berundur. Aku dapat dengar bunyi pintu ditolak habis sebelum ditutup semula. Senyap...

"Abang? Janganlah lambat-lambat. Dhia takut!"

"Takut apa? Bilik air terang-benderang pun takut," omel Rayyan sebelum tak lama kemudian, air mula menyirami kepalaku.

Dua tiga kali siram, barulah aku buka mata sebaik saja tak lagi terasa bersabun di kulit muka dan kepala. Mata berlabuh pada seraut wajah Rayyan yang sedang memandang aku. Di tangannya ada cebok air dan di lantai ada baldi yang sudah hilang hampir separuh isipadunya.

"Mana abang dapat air ini?"

"Air kolam."

"Huh?!" Kolam?!

Tiba-tiba Rayyan ketawa sebelum dahiku dijentik lembut. "Air dari tangki. Singki di sini tak bersambung dengan tangki air. Singki di tingkat atas guna tangki."

Oh! Kus semangat. Ingatkan dia bagi aku mandi klorin tambah kalau-kalau ada air kencing tadi.

"Dah..." Rayyan siram tubuhku sekali lagi sebelum baldi yang masih berbisa itu ditolak ke bawa singki.

"Jom naik. Kalau nak sambung mandi, sambung di bilik. Tapi kena tadah air singki. Renyah sikit. Air dalam baldi itu biar saja kalau-kalau umi atau mak nak ke tandas nanti."

Aku mengangguk faham. Kemudian kami main kelip-kelip mata sebab aku sudah tak tahu nak buat apa. Tiba-tiba jadi bodoh dan blur. Padahal aku sepatutnya halau Rayyan supaya aku boleh bertukar pakaian.

Sampailah Rayyan yang bersuara...

"Abang tunggu di luar."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience