Bab 7

Romance Series 30734

“DHIA.”

Aku terus pusing pandang belakang bila terdengar suara ibu yang menyeru namaku. Terus berkerut dahi bila tengok ibu sedang berlari anak masuk ke dalam rumah lalu meluru masuk ke dapur.

“Ibu?” Dah kenapa pula ibu berlari ini? Ada ah long tengah tunggu dekat depan pagar rumah ke?

“Dhia pergi masuk bilik, berkemas sikit. Lap peluh-peluh itu. Rayyan ada di luar.”

Oh, Rayyan rupanya. Setakat Rayyan itu apalah yang nak kelam-kabut sangat. Aku ini kan memang dari lahir lawa dan sempurna. Cewah! Tak percaya jom kita tengok cermin.

Aku bergerak ke arah ruang tamu. Berdiri di depan cermin dan lihat pantulan diri sendiri. Terus punah segala pujian riak tadi bila tengok rupa yang dah macam baru habis lari 7 kilometer dalam cermin itu. Dengan itu, aku terus berlari mendaki tangga. Elok aku buka pintu bilik, pintu rumah juga ikut dibuka dari luar. Rayyan masuk ke dalam, tapi dia tak sempat nampak kelibat aku yang dah serupa badak terbang.

Kain tuala ditarik sebelum aku terus masuk ke dalam bilik air. Mandi sekadar supaya badan wangi dan tak berpeluh. Rambut ikut dicuci. Aku keringkan rambut dan buat rutin penjagaan wajahku. Ikatan rambut dilepaskan dan aku pilih baju yang paling cantik.

Tak adalah aku nak pakai gaun Met Gala dekat rumah! Sekadar pilih baju yang warnanya dapat menaikkan lagi seri wajahku saja.

Yakin diri sudah cukup kemas barulah aku turun semula ke bawah. Mereka tiada di ruang tamu, jadi aku terus ke dapur memandangkan aku boleh dengar suara orang bersembang dari sana.

“Sedap ini, ibu. Sejak bila ibu pandai masak makanan Melayu macam ini?”

Telinga terus tercacak dengar pujian itu. Aku lihat Rayyan makan dengan penuh selera masak lemak yang sebenarnya bukan ibu yang masak, tapi aku. Pujian itu sudah tersalah alamat, tapi aku tak peduli. Hehe.

“Kenapa? Dekat rumah kamu itu isteri tak masak ke?” soal ibu.

“Jarang. Dia pun tak pandai masak. Tapi Rayyan faham Qila sibuk dengan kerjanya. Mana nak bawa perut, mana nak urus rumah lagi."

"Bukan kamu dah suruh dia berhenti kerja ke?"

"Independent woman. Mana dia nak duduk diam dekat rumah. Sentiasa berusaha untuk diri sendiri. Sebab itu Rayyan pilih dia."

Aku berdiri di muka sisi laluan masuk ke dapur sambil pasang telinga. Ibu tak ada pula balas apa-apa. Dia diamkan saja dan dengar saja apa yang Rayyan kata. Aku rasa ibu tak nak sampai Rayyan tinggalkan dia kerana marah lagi.

"Tapi ibu masak ini memang sedap sangat. Lepas ini memang selalulah Rayyan balik sini nampaknya.”

“Apa pula ibu? Isteri kamulah yang masak,” balas ibu. Tepat saat itu aku sudah berdiri di sebelah ibu. Laju saja ibu tarik aku untuk duduk di sebelah Rayyan.

“Layan Rayyan di meja makan,” bisiknya.

Ha? Nak layan apa pula kalau lelaki itu dah separuh jalan makan?

Tahu saja siapa tukang masak yang sebenar terus perlahan suapan laju Rayyan tadi. Tapi dia tetap teruskan makan. Tak adalah tiba-tiba dia nak baling pinggan itu atau terlangkupkan meja ini.

“Abang nak tambah nasi?” soalku. Cuba berbasa-basi walaupun separuh hari tak rela sebab aku tahu Rayyan tak mahu aku ganggu dia.

“Tak apa. Abang ke sini sekejap je untuk lawat ibu.” Tiba-tiba suaranya dingin.

Lah, tak ada pula aku tanya dia nak duduk berapa lama dekat sini.

“Apa pula lawat ibu? Mestilah lawat isterinya sekali. Tak akanlah tak nak lawat isterinya yang cantik dan pandai memasak ini kan?” Ibu tepuk-tepuk bahu Rayyan. Mungkin tengah tegur Rayyan dengan cara halus.

Rayyan diam saja.

“Abang ada jumpa Abang Diy tak?” Terlepas keluar soalan itu dari bibirku. Sejak aku ambil keputusan untuk terima permintaan ibu, Abang Diy terus hilang tanpa jejak.

Puas aku hubungi, aku cari, tapi langsung tak jumpa. Aku tahulah yang Abang Diy memang langsung tak setuju dengan keputusan aku dan marahkan aku. Memang Abang Diy dah tentang habis-habisan. Tapi tak akanlah Abang Diy marah sampai terus hilangkan diri?

“Ada dekat ofis.” Aku tak sangka Rayyan akan jawab soalan itu, tapi baguslah dia jawab pun!

“Kenapa Abang Diy tak jawab panggilan Dhia?”

Aku rasa macam nak hantuk kepala atas meja bila kening ibu terus terjongket sebaik saja dengar soalan aku. Alamak, Dhia! Kau itu dah jadi isteri oranglah. Mana boleh kau hubungi lelaki lain. Tapi aku memang hanya nak tahu mana Abang Diy pergi saja. Bukannya aku ada niat lain.

Lagipun semua orang tahu yang aku dan Abang Diy sudah macam abang dan adik.

Disebabkan Rayyan tak jawab soalanku, aku terus diam. Tak nak tanya apa-apa lagi terutamanya di depan ibu. Salah cakap nanti, mahu ibu salah faham pula dengan aku.

Selesai makan, ibu paksa Rayyan untuk temankan aku dulu. Aku tahu yang ibu hanya nak beri aku masa supaya dapat berduaan dengan Rayyan. Mungkin nak beri ruang supaya aku boleh dapatkan hati Rayyan walaupun pokok pangkalnya hampir mustahil. Kalau tanya aku, memang aku tak nak Rayyan berdua dengan aku tanpa ibu. Nanti macam-macam yang keluar daripada mulut dia.

Pintu bilik ditutup dan Rayyan terus hempas tubuh ke katil. Aku hanya perhatikan dari sofa.

Aku memang tak pernah sentuh katil itu. Aku tidur di atas sofa dan duduk pun atas sofa. Bukan apa, tapi aku rasa tak selesa untuk tidur atas katil yang Rayyan dah tuntut sebagai katil kali pertama bersama isteri tercintanya itu. Sekali lagi ini bukan cemburu, tapi tak selesa.

“Dhia beli dekat mana semua lauk itu?” soal Rayyan. Tiba-tiba.

Beli?

“Dhia masaklah.” Apa kelas nak beli padahal aku duduk di rumah dan tak buat apa-apa seharian? Aku ada masa, jadi aku masaklah.

“Jangan malu nak mengaku yang Dhia beli makanan luar dan hidang untuk abang. Tak ada masalah. Qila pun tak pandai masak. Benda boleh beli asalkan halal. Tapi Dhia tak payahlah penat-penat nak scroll aplikasi food delivery itu semata-mata nak tarik perhatian abang.”

Dah tiba-tiba bandingkan aku dengan bini tua kau itu kenapa?

“Tapi Dhia memang masak sendiri. Dhia tak beli dekat luar sebab Dhia cerewet bab makanan. Kalau Kak Qila tak pandai masak, itu urusan dia dan abang. Tak bermakna dia tak pandai masak, jadi Dhia pun tak pandai masak juga. Dari zaman sekolah Dhia belajar masak dengan umi, jadi Dhia dah biasa. Lagipun Dhia tak masak untuk abang. Dhia masak untuk makan dengan umi dan bibik.” Jadi mohon jangan perasan sangat!

Eii, nak je aku sambung macam itu. Tapi kalau aku sambung betul-betul mahu terus menjanda aku hari ini. Apa yang aku cakap itu pun dah buat muka dia berubah, apatah lagi nak sambung ayat seperti itu. Bahaya dan bencana!

Bila Rayyan diam, terus aku rasa nak mendabik dada. Menang!

“Tapi abang kata Abang Diy ada di ofis, boleh tak Dhia nak ke ofis? Dhia bukan nak kacau abang. Dhia nak cari Abang Diy je.”

“Suka hatilah.”

Cantik! Kalau macam inilah, aku sanggup jadi isteri yang dibenci sampai bila-bila pun. Punya senang nak minta izin memandangkan dia langsung tak peduli tentang aku. Hahaha!

“Abang jangan beritahu ibu tahu? Dhia tak nak ibu salah faham bila Dhia nak cari Abang Diy.”

Rayyan pandang aku dengan kening yang dijongket hairan.

“Dhia kan menantu pujaan yang ibu terlebih sayang dan agungkan sampai paksa dan ugut abang untuk kahwin dengan Dhia? Tak mungkin ibu salah faham.”

Aku mengeluh. Menyampah! Aku tahu yang Rayyan tengah menyindir aku.

“Esok Abang Diy kerja tak?” Aku pedulikan sindirannya. Dia ingat aku ada masa ke nak layan sesi sindir menyindir atau sengaja nak sakitkan hati aku itu?

“Kerja.” Sepatah.

Cantik! Esok juga aku nak serbu ofis itu dan cari Abang Diy. Aku perlu jumpa dan yakinkan Abang Diy yang aku baik-baik saja. Aku tahu Abang Diy risaukan aku dan hanya nak yang terbaik untuk aku. Tapi buat masa ini aku rasa tak adalah teruk sangat hidup aku selepas berkahwin dengan Rayyan. Nak kata baik, jauh sekali. Tapi nak kata teruk pun tidak. Aku dapat duit belanja angka ribu percuma saja! Tak payah buat apa.

Yelah, nak buat apa kalau dah dia pun balik ke sini ikut mood sendiri je? Aku masih hidup macam biasa. Macam orang bujang. Masih dengan hidupku, pembelajaranku dan masa 'bujangku'.

Tapi sekejap! Dah Rayyan ada di sini, aku rasa eloklah aku cuba jadi isteri walaupun tidak diiktiraf. Mana tahu kalau dia suka, dia akan ke sini selalu. Yang bahagia pun ibu.

Err, tapi nak buat apa ye?

Aku pandang Rayyan atas bawah. Hm, nampak kurang terurus macam tengah kepenatan. Aku rasa kejap lagi mahu dia tertidur itu. Yelah, baru lepas makan.

"Abang nak mandi?" soalku.

Rayyan pandang aku. Dahinya sedikit berkerut.

"Kalau abang nak mandi dan rehat, Dhia boleh sediakan tub mandi. Nak takung air pun ambil masa juga," kataku.

"If you insist... Air suam."

Ceit! If you insist konon. Sebenarnya kau memang nak kan?

Aku terus masuk ke dalam bilik air. Pili dibuka untuk takung airnya. Sambil itu aku terus buka kotak aromaterapi yang aku bawa daripada rumah kami. Umi yang bagi. Semuanya bau bunga. Umi kan ada kedai bunga? Di situ ada jual produk bauan aromaterapi ini juga. Ibu selalu suruh aku guna waktu belajar atau tidur.

Diffuser dihidupkan selepas aku isikan dengan air dan bebeapa titis aroma lavender. Aku tak letak banyak supaya baunya tak kuat. Bagi aku, aroma yang lembut dan baunya nipis saja adalah yang terbaik untuk bertenang dan berehat.

Aku capai speaker pula. Terus sambung dengan telefon lalu aku cari video yang selalu aku buka setiap kali waktu belajar, sebelum tidur dan waktu aku berlama dalam bilik mandi. Selalunya bila berendamlah.

Relaxing sleep music tajuknya. Ada bunyi air dan piano yang merdu dan mendamaikan. Video itu aku mainkan juga sayup sekadar untuk sedap didengar dan tak terlalu sunyi saja.

Pili ditutup sebaik saja air penuh. Aku capai kantung bunga kering lalu aku masukkan kesemuanya ke dalam tub mandi. Mandi bunga. Ini pun aku ambil daripada kedai umi. Hahahaha! Mandi bunga sudah jadi rutin mingguan. Mungkin sebab itu aku manis macam bunga kut?

"Abang, dah siap." Aku kejutkan Rayyan yang sudah pejam mata atas katil.

Celik saja matanya, dia terus pandang aku. Aku ingatkan dia nak terus bangun, tapi aku salah bila malahan dia terus betulkan posisinya tidurnya di atas bantal sebelum kembali pejamkan mata.

"Abang... Dhia dah siapkan tub mandi."

"Nanti jelah. Abang mengantuk."

Terus mati semangat aku bila dengar balasannya. Punyalah beria aku siapkan semuanya, sudahnya dia pilih untuk tidur saja?

"Tapi abang..."

"Dhia, boleh faham tak? Abang penat. Penat kerja, penat ulang-alik ke rumah sini dan sana. Dhia menambahkan penat yang tak sepatutnya ada dengan wujud sebagai isteri kedua. Jangan sampai abang naik hantu."

Fine!

"Suka hatilah." Dan aku terus tarik komputer riba dan keluar daripada bilik itu dengan hati yang mendongkol geram.

Tak ingin aku beria lagi dah!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience