Bab 10

Romance Series 30734

MALAS-MALAS aku menuruni tangga. Rasa macam nak je berguling sampai bawah. Malas betul nak jalan. Lagi-lagi bila tengok siapa yang tengah berdiri di hujung tangga itu. Rayyan dengan muka ketatnya.

Tangga terakhir dan aku terus diam di situ.

“Kenapa lama sangat bersiap? Kita dah lewat lima minit tahu?”

Aku jongket bahu. Sebenarnya aku ada jawapannya, tapi aku malas nak cakap. Mahu aku ditengkingnya lagi. Jawapannya adalah sebab aku tak nak keluar dengan dia. Aku tak nak dekat dengan dia. Kalau boleh muka dia pun aku tak nak tengok.

“Apa yang umi dan papa akan fikir kalau baru kali pertama menantunya dijemput untuk ke majlis bersama keluarga dah lambat?” tambah Rayyan.

“Kalau abang tak nak pergi, abang boleh balik. Dhia boleh pergi sendiri.” Jangan fikir yang aku nak sangat kau ikut. Kalau tak sebab ibu, umi dan papa, memang aku akan pura-pura mati saja malam ini.

“Kalau ikutkan hati, jejak rumah ini pun aku tak nak. Jangan fikir yang aku dah lupa apa kau buat pada Qila. Dia masih trauma dekat rumah sampai bila aku sebut nama kau masa beritahu yang kita akan keluar sekali pun dia menangis tahu? Aku hanya datang untuk penuhi permintaan ibu, umi dan papa.”

Nak saja aku rolling mata sekali. Tapi itulah kalau aku buat, mahu betul-betul aku mati malam ini. Aku pun tak inginlah kau ikut! Dan trauma? Huh! Drama. Entah apa yang perempuan itu nak traumakan pun aku tak tahu. Malahan akulah yang trauma tengok drama dia!

Aku terus melangkah keluar dari rumah bila telefon Rayyan berdering. Malas nak tunggu dia jawab panggilan itu. Lagi-lagi bila nampak nama yang terpapar pada skrin. Isteri dia itulah! Tak lain tak bukan mesti nak meroyan dan rosakkan malas ini supaya suami kesayangan…

Oops, supaya bank kesayangan tak dapat luangkan masa dengan aku.

“Cantiknya Dhia bertudung. Betul-betul naikkan muka Dhia yang lembut tapi elegan.”

Aku tersenyum bila tukang kebun rumah ini yang kebetulan sedang mengemas di sini memuji aku. Orangnya tidaklah tua sangat. Tapi dalam umur 40 an jugalah agaknya.

“Tak adalah. Saya biasa-biasa je, pak cik.”

“Apa pula biasa-biasa? Dhia cantik sangat. Muka Dhia mahal. Bila pakai tudung, makin terserlah manisnya.”

Aku yang dah tak tahu nak cakap apa akhirnya senyum saja. Kebetulan Rayyan pun sudah berdiri di sebelahku. Dia bersalaman dengan tukang kebun sebelum beri isyarat mata mengarah aku untuk masuk ke dalam kereta segera.

“Untung Rayyan. Dua-dua isteri cantik. Tapi Dhia itu cantiknya lain macam. Cantik mahal. Mesti pening nak jaga kan? Cantik, muda pula itu.”

Aku terus lenyapkan diri ke dalam kereta. Tak nak ada kena mengena atau dengar apa yang Rayyan akan balas. Sebab sekarang aku dah tak rasa yang Rayyan akan cakap hal baik-baik tentang aku lagi. Mungkin dia akan balas dengan menghina aku dan memuji Kak Qila. Siapa tahu?

Dan aku tak nak tahu!

Lebih kurang setengah jam perjalanan, akhirnya kami tiba di rumah keluargaku. Dari luar lagi dah nampak lampu yang berkelip bukan main meriah macam dah malam raya padahal sekarang sudah hujung tahun.

Kereta diparkir lalu aku terus berlari anak masuk ke dalam rumah. Tak fikir dah pasal Rayyan. Memang umi dan papa saja yang ada dalam kepala setelah lebih dua minggu tak bertemu selepas majlis kami.

“Umi!” Aku melaung nama umi yang sedang berdiri di tepi meja makan sambil bersembang dengan tetamu. Papa pun ada sama!

Aku terus peluk umi bergilir dengan papa. Huaaa, rindu!

“Alahai, anak manja ini dah sampai rupanya. Ingatkan siapalah tadi tiba-tiba peluk kita. Rupanya anak sendiri. Cantik Dhia bertudung.” Papa usap pipiku.

Rasa nak menangis! Aku rindu untuk dengar seorang lelaki yang penting dalam hidupku bercakap penuh lembut dan kasih sayang seperti ini. Bukan seperti Rayyan yang setiap patah perkataannya menyakitkan hati aku.

“Dhia sihat?” soal umi.

Aku angguk. Sihat saja! Yang tak sihat hanya hati.

“Rayyan mana? Tak datang sama?” Papa mula terjengah-jengah mencari Rayyan.

Itulah, mana pula dia ini? Tak masuk rumah lagi ke? Tak akan nak duduk dalam kereta sampai habis majlis kut? Tak sopan betul.

“Kejap, Dhia tengok.” Aku terus berlalu ke arah tenpat letak kereta semula.

Lihat saja Rayyan yang sedang pegang telefon sambil bersandar pada kereta, terus aku mengeluh. Dengar skala lembut dan penuh memujuk itu, aku tahu yang sedang dihubungi adalah Kak Qila. Tapi tak boleh ke tutup sekejap telefon itu dan fokus dengan keluarga aku? Aku tahulah dia tak anggap aku macam isteri sama sekali. Tapi keluarga aku tak tahu semua itu. Sekurang-kurangnya hormatlah keluarga aku juga.

Malas nak pening kepala, aku terus masuk ke dalam dan beraktiviti tanpa fikirkan dia lagi. Bila umi dan papa tanya, aku hanya beritahu hal sebenar. Yang dia sedang bercakap dalam telefon dengan isteri pertamanya. Pandai-pandailah dia hidup sendiri.

“APA kau cakap dekat umi dan papa tadi?”

Baru lima minit dalam kereta, tiba-tiba Rayyam buka mulut. Nadanya yang tak mesra dan sedikit kasar sudah cukup untuk beri petanda yang aku sekali lagi salah di matanya.

“Cakap apa?”

“Papa tegur aku untuk jaga hati kau. Apa yang kau mengadu dekat dia orang?”

“Dhia tak mengadu apa-apa kecuali jawab soalan mereka bila mereka tanya abang di mana dan tengah buat apa sebab abang langsung tak masuk ke dalam rumah sepanjang majlis.”

Rayyan mendengus sekali gus kelajuan kereta ini semakin bertambah. Marah.

“Abang marah sedangkan Dhia hanya jawab jujur?” soalku.

“Itu bukan jujur. Itu mengadu. Kalau kau tahu peranan sebagai isteri, kau tak akan keluarkan jawapan yang boleh buat aku malu atau nampak buruk. Tapi apalah yang aku boleh harapkan daripada budak mentah macam kau?”

Aku diam. Sejak bila pula dia anggap aku sebagai isteri? Jadi kiranya memang aku tak ada sebarang peranan dekat sini.

Kalaulah aku nak mengadu, mahu hari ini juga Rayyan sudah hilang nyawanya selepas diterajang oleh papa. Papa adalah orang yang paling gangster kalau ia melibatkan aku dan papa juga akan jadi orang yang paling lembut disebabkan aku. Kalau papa tahu segala apa yang dilontarkannya, sungguh aku tak rasa malam ini Kak Qila akan tidur bertemankan Rayyan yang bernyawa.

“Asalkan kau tahu, Dhia. Sama ada kau, umi atau papa tak ada hak untuk salahkan aku atas apa alasan sekalipun. Yang salah adalah kau kerana terhegeh nak kahwin dengan aku. Kalau kau tak wujud, sekarang aku mungkin sedang berduaan dengan isteri yang aku cintai tanpa perlu dia call aku tiga empat kali semata-mata nak dapatkan perhatian dari seorang suami.”

Tak tahan lagi, aku terus paling muka pandang ke arah cermin tingkap. Hanya pandang jalan yang lenggang memandangkan sekarang sudah hampir jam 12 malam.

“Disebabkan kau, seorang isteri sedang menangis bersendirian menunggu suami yang sibuk melayan isteri keduanya. Kau perempuan tapi kau tak hormat perasaan perempuan yang lain. Kau rampas suami orang, kau tampar dan hina pula dia yang suaminya kau rampas. Kau adalah racun paling tajam dalam kaum kau sendiri.”

Dan air mataku jatuh.

“Kau akan terima balasan yang sama atau lebih sakit suatu hari nanti, Dhia. Orang teraniaya doanya tak akan ditolak sama sekali. Kau mungkin boleh gembira atas tangisan orang sekarang, tapi berapa lama? Sebulan? Setahun? Atau mungkin esok kau dah melutut menangisi balasan yang kau dapat?”

Bibir diketap. Sebelah tangan menekup mulut supaya tiada esak yang terlepas keluar.

“Aku tahu segala yang kau cakap pada Qila. Kau tuduh dia hanya nakkan harta aku. Kau dan ibu memang sama saja. Tak boleh tengok orang bahagia. Dan ibu pula langsung tak boleh bezakan yang mana kaca dan mana permata. Qila dah ada dengan aku dari zaman aku belajar. Dia tak pernah tahu siapa keluarga aku sampailah aku melamar dia tak berapa lama lepas arwah ayah meninggal. Kalau yang boleh dituduh hanya nakkan aku sebab harta itu, tak lain tak bukan hanya kau. Sebab kau saja yang kenal aku dengan status aku.”

Cukup!

Aku terus buka tali pinggang keledar. Pintu yang berkunci cuba dibuka. Melihatkan aku yang sudah agresif, terus Rayyan berhentikan kereta di sisi jalan.

“Kau dah kenapa?!” herdiknya.

Tapi aku tak peduli! Sebaik saja pintu dapat dibuka, aku terus keluar dan hempas pintu keretanya sekuat hati. Beg tangan digantung pada bahu sebelum aku melangkah laju menuju ke arah pondok bas yang tadi sempat aku lihat. Rasanya dari sini mungkin ada dalam 700 meter jaraknya untuk ke pondok bas itu.

Aku nak tunggu teksi atau Grab di sana. Aku dah tak sanggup dengar segala cacian itu.

“Dhia!” Namaku dilaung Rayyan. Berang.

Aku buat tak dengar saja.

“Lantak kaulah! Kalau apa-apa jadi, jangan salahkan aku. Aku pun dah penat hadap perangai kau.” Dan tak lama kemudian, enjin menderum kuat tanda kereta itu sudah kembali membelah jalan dengan lajunya.

Pergilah! Pergi jauh-jauh! Aku seribu kali penat berbanding kau! Aku tak dibayar untuk korbankan diri bagi menyelamatkan kau daripada hubungan yang penuh kepalsuan itu! Aku tak dapat apa-apa melainkan air mata semata! Kalau kau yang bodoh dan tak kenang budi, maka aku tak ada halangan lagi. Pergi! Aku dah tak nak peduli lagi!

Pergi!!!

Aku tunduk sebelum air mata berjuraian turun. Telefon digenggam erat. Kepala diangkat mendongak langit sebelum satu jeritan sekuat hati kulepaskan. Terasa bagai nak koyak anak tekak, tapi itu pun masih belum dapat redakan kemarahan yang sudah menggunung dalam hati.

Aku bersandar pada sebarang pokok di tepi jalan. Bercangkung dan menangis lagi.

Permata dan kaca? Jadi akulah kacanya? Baik! Kau tunggulah saat yang permata itu buka topengnya! Waktu itu baru kau tahu permata yang kau simpan selama ini akan toreh segala luka di segenap pelusuk tubuh kau! Rayyan bodoh!

Aku pandang depan bila terdengar bunyi motorsikal yang seakan berhenti di depanku. Tak sempat nak proses apa yang berlaku, tiba-tiba beg tanganku direntap. Disebabkan beg itu tersangkut pada bahuku, jadi aku juga ikut tertarik sama. Aku rasa sakit pada lenganku.

Dua orang lelaki, seorang mengacukan pisau ke mukaku dan seorang lagi berterusan menarik beg tanganku. Aku terjatuh saat beg tangan direntap sebelum kedua lelaki itu terus panjat motorsikal mereka dan terus menderum laju.

Beg…

Aku bangun semula. Tubuh diperiksa. Terasa seperti nak menangis bila lihat lengan baju yang sedikit terkoyak seperti kesan torehan. Cecair merah mula mengenai lengan baju. Terus aku periksa lengan sendiri. Ada luka lebih kurang dua sentimeter panjangnya di situ.

Oh, telefon!

Aku terus tunduk mencari telefonku. Sebuah keluhan kelegaan terbit di bibir saat terpandangkan telefonku yang sudah terbaring di atas rumput. Mungkin jatuh semasa pergelutan tadi. Telefon itu terus aku capai sebelum nombor Rayyan dicari.

Sekejap.

Tidak, bukan Rayyan.

Aku berlari anak melalui sisi jalan menuju ke arah pondok bas. Aku perlu cari tempat yang lebih ramai orang. Aku leka dengan perasaan sampai lupa tentang bahaya yang menanti tadi.

“Dhia?” Suara itu automatik buatkan tangisan aku kembali terhambur. Terus teresak-esak aku menangis

“Dhia, Dhia kenapa?” Suara itu kedengaran begitu risau.

“Abang Diy, Dhia kena ragut.”

“Ya Allah, Dhia? Dhia dekat mana? Dhia okey? Dhia cedera? Dhia hantar lokasi pada abang, abang on the way sekarang juga.”

Dapat aku dengar bermacam jenis bunyi di hujung sana. Bunyi barang jatuh, bunyi nafas Abang Diy yang lebih laju daripada biasa, bunyi langkah Abang Diy yang seolah sedang berlari sebelum terdengar pula bunyi enjin dihidupkan sekali gus pintu kereta ditutup.

Makin lebat air mata aku dibuatnya.

Kenapa di saat ini bukan orang yang bergelar suami dapat aku harapkan untuk fikir dan risaukan aku? Kenapa orang lain yang lebih peduli?

“Dhia? Dhia dekat mana? Jangan diam, Dhia!”

Atau adakah aku sudah salah mencintai?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience