Bab 49

Romance Series 30734

BERHENTI saja kereta, aku terus berlari ke arah Jebat yang sedang berdiri bersama Q. Hail dan Izz juga baru saja tiba sebentar tadi, lebih awal daripada aku dan Rayyan yang sempat ke balai polis terlebih dahulu.

"Kau buat report polis?" soal Jebat kepada Rayyan yang sedang menyarungkan jaket kulitnya.

Wajah keduanya serius.

"Aku buat report untuk polis cover kalau apa-apa berlaku. Bomba boleh buat sesuatu. Ikhtiar terakhir kalau rundingan dia dan Dhia tak berjaya, dan aku tak dapat hentikan dia tepat pada masanya. Aku dah beritahu ugutan perempuan itu."

Perempuan gila itu mengugut untuk terus tolak Raees jika kami melaporkan kepada mana-mana pihak, terutamanya polis. Dia hanya nak aku naik, berseorangan.

"Dhia, kau betul nak runding? Aku rasa lagi bagus kalau kita serang." Q mencelah.

"Jangan, ada jiran bertentangan yang menghadap balkoni apartmen dia beritahu, perempuan gila itu dah bersedia dekat balkoni," celah Izz pula.

"Biar aku runding." Itu saja jalan yang ada.

"Tak boleh. Biar abang yang naik."

Aku terus memandang Rayyan dengan dahi yang berkerut. Dia yang naik?

"Abang tak dengar ke? Perempuan itu hanya nak Dhia yang naik. Kalau dia betul-betul tolak Raees macam mana?"

"Kalau Dhia naik, dan dia bersenjata atau pasang apa-apa perangkap, macam mana? Abang tak boleh hilang Dhia dan Raees sekali gus!" Rayyan naik angin.

Tak, aku mengerti perasaan dia. Dia sedang ketakutan walaupun tak begitu terlihat melalui riaknya sekarang. Rayyan hanya marah kerana dia tak mahu apa-apa yang buruk berlaku.

Aku menggenggam jaket Rayyan. Memandangnya lembut sambil kepala terangguk perlahan. Memujuk dan menyakinkan.

"Dhia boleh buat. InsyaAllah. Abang hanya perlu percayakan Dhia."

"The worst is yet to come. Perempuan itu ambil syabu. Methamphetamine. Aku rasa dia tengah high teruk itu. Sangat bahaya untuk Dhia masuk." Hail pula menambah.

"Abang masuk. Dhia tunggu sini!" Dan disebabkan kata-kata Hail itu, Rayyan terus menolak tanganku. Dia sudah berura untuk melangkah ke arah unit tersebut, namun aku segera menahannya.

"Dhia, keputusan abang muktamad! Dhia tak ada kena mengena dengan sengketa abang dan dia. Jangan buat abang marah!" marahnya.

"Tapi Dhia ada kena mengena dengan Raees. Dia anak Dhia! Kalau abang naik, dia mengamuk dan terus buat benda bodoh pada Raees, Dhia takkan dapat maafkan diri sendiri. Dan dia tak akan pernah maafkan abang lagi." Tapi kali ini, aku membalas amarahnya. Sama tinggi.

"Then, don't! Jangan maafkan abang. Jangan maafkan abang selama-lamanya. Dhia nak apa, abang akan buat. Nak teruskan dengan permintaan berpisah tu? Abang akan ikut. Itu semua lebih baik daripada lihat Dhia cedera atau lebih teruk..." Hilang suaranya di situ. Hanya matanya memandang aku.

Aku sudah tak tahu mahu cakap apa. Rayyan sudah kembali berjalan menuju ke arah lif. Butang lif ditekan bertalu-talu.

"Rayyan." Tapi tangan Rayyan terhenti bila suara Jebat kedengaran memanggil.

Aku melihat Jebat sedang melangkah tenang, namun tegas menuju ke arah Rayyan. Sempat dia berpandangan dengan aku sebelum mengangguk lembut, tanda dia yang akan menguruskan Rayyan.

Bahu Rayyan ditepuk.

"Aku yang latih dia lebih lima tahun. Dia satu-satunya manusia yang aku tak berani untuk jadikan musuh. Kekuatan fizikal dia memang tak sekuat kita, tapi sini..." Jebat mengetuk kepalanya dengan hujung jari telunjuk.

"Sini, tak ada siapa yang boleh lawan dia. Black Mamba terkenal dan ditakuti. Semua itu bersebab. Sebab dia bijak dan mental dia kuat mengalahkan aku dan kau. Hail, dia berlatih punya lama, tapi kalau letak sebelah Dhia, dia tak ada apanya. Dalam keadaan macam ini, bukan fizikal yang utama. Raees perlukan orang yang bijak dan tak bertindak ikut perasaan dan ketakutan. Biar dia pergi, Rayyan. Aku dan kau akan berkawal dan naik secara sembunyi semasa Dhia berunding. Aku takkan biarkan Dhia kena apa-apa. Aku dah jaga dia lima tahun lamanya. Dia adik aku."

Rayyan memandang aku sebelum matanya beralih ke arah Izz dan Hail. Kedua-dua lelaki itu mengangguk seakan turut bersetuju dengan Jebat.

Jebat, dia yang tahu segalanya dulu. Malahan dia bertindak lebih pantas berbanding cikgu Raees. Rupanya selama ini dia juga memasang mata untuk mengawasi aku. Cuma disebabkan kes di depan sekolah, bila Kak Qila cuba menikam aku, terus Jebat mengarahkan matanya untuk melihat gerak-geri Kak Qila. Itu pun sebab Jebat tahu yang Rayyan ada untuk mengawasi aku.

Rayyan akhirnya berundur. Dan itu sudah cukup untuk menjadi isyarat bahawa dia mengizinkan aku untuk naik.

Aku segera melangkah ke arah lif, tapi ditahan. Pintu lif sudah terbuka, tapi Izz segera masuk ke dalam dan menekan butangnya supaya tak tertutup.

Jebat dan Rayyan, kedua-duanya menahan aku serentak.

Jebat mengeluarkan pisau lipatnya, lalu diselit ke dalam lengan hoodie hitamku Sementara Rayyan terus menarik aku ke dalam pelukannya.

"Hati-hati. Pastikan yang Dhia dan Raees pulang ke pangkuan abang tanpa segaris calar. Kalau situasi dah di luar kawalan, panggil abang. Panggil, dan abang akan datang. Faham?"

Aku mengangguk sambil menadah dahi saat Rayyan mengucup lembut.

Sudah di situ, aku segera masuk ke dalam lif dan Izz keluar semula.

"Kau naik atas dulu. Kami akan menyusul supaya perempuan itu tak nampak kami."

Aku mengangguk. Saat pintu merapat, aku menguntum senyuman nipis untuk Rayyan.

Dhia akan baik-baik saja, abang.

HAMPIR tak bernafas aku dibuatnya dengan bau yang menusuk hidung saat melangkah masuk ke dalam rumah ini. Bau tengik, pahit dan busuk. Rumah ini bersepah dan begitu kotor sampai lantainya melekit bila dipijak.

Aku menutup pintu kembali, namun tidak ditekan rapat. Kaki melangkah masuk ke dalam rumah dengan penuh berhati-hati sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Kata Jebat, perempuan itu ada di balkoni. Tapi sekarang balkoninya kosong.

Melangkah masuk ke sebuah bilik, aku melihat Raees yang sedang terbaring di atas lantai. Bibirnya berdarah dan darah itu sudah kering. Pipinya biru ternasuk sekitar rahang dan tubuhnya. Raees tidak berbaju.

Aku segera menerpa ke arah Raees. Tubuh Raees disentuh lembut sebelum pipinya aku tepuk sedikit untuk menyedarkannya.

"Raees? Raees?" Aku memanggil namanya, namun tiada sahutan.

Aku segera merapatkan telinga ke dadanya. Masih ada detak jantung. Nafasnya diperiksa pula. Masih ada nafas.

Satu hentaman keras yang singgah di belakang badanku membuatkan aku terbaring di sisi Raees. Aku hampir berguling menahan sakit kalau tidak kerana dia yang berterusan menyerang, dan aku mengelaknya.

Aku melompat naik ke atas katil sebelum objek berupa papan pemotong daging itu ditendang hingga terlucut daripada tangannya.

Kak Qila tergelak besar sebelum dia menendang tubuh Raees sedikit ke tepi. Panas hati aku melihat itu.

Sial, betul! Serang hendap. Aku sempat terleka.

"Kau kata nak berunding, ini bukan berunding namanya," kataku.

"Kenapa aku kena berunding dengan kau? Aku nak berunding dengan Rayyan, menggunakan kau. Sebab kelemahan Rayyan ada 50 persen pada Raees, dan selebihnya pada kau."

Ah?

"Apa yang kau nak?"

"Duit. RM 5,000,000."

Mak cik dia! Berjuta-juta dia minta macam seringgit! Aku pun tak pernah minta duit sebanyak itu daripada Rayyan.

"Aku dah minta dekat Rayyan, tapi dia tak nak bagi. Dia bodoh. Aku boleh senyap dan duduk diam-diam kalau dia bagi aku duit, tapi dia pilih untuk biar aku beraksi. Dan sekarang aku sedang beraksi. Kau dan anak dia akan sama-sama mampus hari ini."

"Kau nak buat apa dengan duit sebanyak itu?"

"Untuk berjolilah, apa lagi? Lagipun, mak aku berhutang dengan ah long, kemudian cabut lari dengan suami baru dia. Sekarang ah long itu cari aku. RM 1,000,000. Dia bawa lari duit itu untuk hidup dengan suami baru dia dekat Indonesia. Memang bangsat punya mak!"

Pula?

"Eh, lagipun setakat RM 5,000,000 itu celah gigi je Rayyan boleh bagi. Kalau aku masih isteri dia, senang-senang je dia boleh tabur duit itu dalam akaun bank aku. Tapi kau!"

Tiba-tiba dia mencerlung.

"Kau penyebabnya. Rayyan berubah sebab kau. Sejak dia tidur dekat rumah mak dia yang bodoh itu semalaman lepas kau kena ragut, dia terus berubah! Dia tak sayang aku lagi dah. Dia tak percaya dekat aku lagi dah! Dia tak sentuh aku lagi dah! Dia tak nak bagi duit lagi dah!!!" Kak Qila menjerit bagai orang gila sambil rambutnya dikusutkan.

Aku sudah seram melihatnya.

"Aku tak tahulah kenapa kau kena wujud antara aku dan dia. Banyak lagi jantan dalam dunia ini, kenapa Rayyan juga yang kau pilih?! Aku ada segalanya. Ada suami yang kacak, yang kaya, yang bagi aku apa saja aku nak. Tapi aku hilang semuanya disebabkan kau. Dia tak habis-habis dengan kau! Sikit-sikit Dhia. Dhia itu, Dhia ini! Walaupun waktu tu dia kononnya bencikan kau pun, dia tetap tak habis-habis bercerita tentang kau! Asyik nama kau je yang diratib hari-hari!

Sampailah dia mula asingkan aku. Dia asyik ke rumah penyondol tu. Kononnya nanti penyondol itu marah sebab tak tengok kau, nak buat syarat saja supaya orang tak cakap macam-macam, atau pergi sebab nak tengok penyondol itu, tapi aku tahu yang dia memang cari kau! Kau tahu kenapa aku bagi pil itu pada kau? Sebab aku benci kau! Aku sangat-sangat bencikan kau dan benci itu semakin tinggi bila aku nampak Rayyan tulis surat, siap dengan kotak cincin untuk kau! Dia beli cincin untuk aku, tapi dia buat cincin itu sendiri untuk kau. Kenapa kau lagi istimewa daripada aku?! Kau punca segalanya, Dhia! Anak kau memang layak mati!"

Aku mengepal penumbuk yang disorokkan pada belakang badan. Menahan diri yang pada mulanya hanpir bersimpati kepadanya, sehinggalah kandungan aku disebut.

Tapi aku terpaksa bertenang. Kalau ikutkan hati, beribu-ribu kata cacian ingin aku hambur supaya perempuan ini sedar yang segala kehilangan itu berpunca daripada dirinya sendiri, bukan aku. Namun aku terpaksa bersabar. Jika dia makin naik hantu, semuanya akan semakin teruk. Tugasku hanya untuk menyelamatkan Raees, bukan untuk berlawan mulut dengan dia.

"Mana Rayyan?" soal Kak Qila.

"Kau kata nak berunding dengan aku, jadi hanya aku dekat sini."

Tiba-tiba wajahnya bertukar hiba. "Dhia... Kau perempuan kan? Kau mesti faham aku kan? Kau muda lagi, kau cantik lagi dan kau ada segalanya. Kau boleh cari lelaki lain senang-senang je. Kau tolong aku dan aku akan bagi kau duit. Kau boleh pergi sejauh mana yang kau nak dan buat apa saja yang kau suka. Tapi minta cerai daripada Rayyan dulu. Biar aku kembali pada Rayyan semula, dan lepas itu aku akan suruh dia untuk bagi kau berapa saja yang kau nak."

"Kenapa kau tak cakap sendiri dengan Rayyan? Suruh dia ceraikan aku."

Wajah Kak Qila berubah berang semula. Semudah itu emosinya bertukar. Entah high tahap mana dah dia ini.

"Kau fikir dia nak ikut cakap aku ke?!"

"Jadi kau fikir dia nak ikut cakap aku? Kau fikir aku tak pernah minta untuk dilepaskan? Lepas apa yang kau dan dia dah buat pada aku dulu, kau fikir dengan bahagianya aku boleh jadi isteri dia macam dulu semula? Aku dah minta. Berkali-kali! Tapi dia tak nak. Dia tak nak lepaskan aku."

Dia mula mengetap gigi sebelum dia menghentak-hentak kaki sekuat hati sambil tangan meraup kepala dan muka. Semakin dia berkelakuan seperti itu, semakin takut aku melihatnya.

"Argh!!! Kau dengan dia, dua-dua sama! Dua-dua tak boleh pakai!" Perempuan itu menerpa ke arahku, tapi segera aku melompat turun dari katil.

Sebelah tangan tanpa pisau, dilayang ke arahnya. Perempuan itu terus jatuh terbaring kerana daya yang aku berikan. Sementara itu, aku mengambil peluang untuk terus merapati Raees yang masih terbaring tidak sedarkan diri. Tubuh itu aku angkat sebelum aku segera melangkah ke arah ruang tamu.

Ingin segera pergi.

Tapi baru melepasi pintu bilik, tiba-tiba rambutku ditarik. Aku terundur ke belakang dan hampir jatuh kalau tak kerana tangan segera berpaut pada bingkai pintu.

Kakiku naik menendang tulang kering perempuan itu. Bila dia terduduk dan merintih kesakitan, aku lantas mempercepat langkah. Tiba di pintu rumah, tombol terus dipusing.

Saat pintu ditarik, tiba-tiba sesuatu menggores lenganku. Sakitnya tidak terus terasa, namun aku terkejut bila rupanya yang menggores itu adalah sebilah pisau dapur. Aku yakin yang menjadi sasarannya adalah tubuhku. Entah ini adalah nasib baik, aku dilindungi oleh Allah atau dia sudah terlalu khayal.

Tak sampai beberapa ketika kemudian, darah mula keluar membasahi hoodie itu.

Aku tidak mencuba untuk melawannya, apatah lagi untuk membalas. Sakit yang mula terasa ditahan saja sambil aku berlari selaju yang mungkin ke arah tangga kecemasan. Pintu dibuka lalu aku berlari masuk sambil dikejar oleh perempuan itu yang masih setia menggenggam pisaunya.

Terbuka saja pintu, aku melihat Jebat dan Rayyan sedang berdiri di sisi kanan dan kiriku. Bersembunyi di sebalik pintu. Aku memberi isyarat kepada mereka sebelum aku menuruni separuh tangga itu supaya fokus Kak Qila tetap pada aku.

"Kau nak lari mana, bodoh?! Kau dengan budak itu, dua-dua akan mati hari ini!"

Pintu sekali lagi terbuka dan Kak Qila meluru masuk dan menuju ke arahku tanpa menyedari bahawa Rayyan dan Jebat sudah bersedia untuk menjeratnya.

Aku berundur bila dia semakin dekat. Dia menuruni tangga seperti pemangsa terulung yang dahagakan darah. Saat pisau diangkat untuk dihunus ke arahku, Rayyan menendangnya dari belakang sehingga dia jatuh terperosok ke lantai. Aku sudah awal-awal mengelak dan turun satu lagi tangga.

Kesakitan pada lengan sudah tak terasa bila melihat ketiga-tiga manusia itu. Aku terlalu risau dan takut sampai yang terasa hanyalah sensasi lembab dan melekit pada lenganku.

Rayyan memijak tangan Kak Qila yang masih menggenggam pisaunya. Perempuan itu terjerit nyaring, namun Rayyan sedikit pun tidak bersimpati. Tetap tangan itu dipijak sehabisnya sebelum pisau dirampas.

Yakin yang mereka boleh mengawal selebihnya, aku terus keluar melalui pintu kecemasan tingkat 16 dan masuk ke dalam lif yang kebetulan terbuka. Darah sudah mengalir melalui jari, menitis ke lantai, seluar putihku dan tercalit pada tubuh Raees. Tapi itu tak penting lagi.

Raees perlu menerima rawatan dengan kadar segera.

Raees, bertahan untuk mommy!

....

Lagi beberapa bab, dan Rayyan Halzeri : The Finale akan melabuhkan tirai. Ready???

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience