Bab 32

Romance Series 30734

"ADA potensi Dhia itu. Macam itu pun boleh kalah dengan kau ke dulu?"

Langkahku terhenti bila terdengar suara Hail dari dalam bilik yang menempatkan Raees. Macam biasa, budak itu asal habis teruja saja terus tidur. Cuma aku saja yang baru selesai mandi dan bersiap untuk balik  setelah tamat sesi belajar bersama Rayyan. Kali kedua berguru dengannya dan aku boleh kata yang Rayyan bukan calang-calang orang.

"Kalah apanya?" Rayyan membalas. Tak mengerti.

"Kau kan kuat buli dia dulu? Macamlah aku tak tahu. Izz yang duduk jauh di Dubai pun tahu pasal kau jadi suami dayus."

Aku tersengih mendengar kata-kata Hail. Dah macam penumbuk tiga empat das dia bagi dekat Rayyan. Aku terus labuhkan duduk di kerusi kecil berdekatan bilik. Malas nak menganggu dan aku nak dengar apa yang mereka bualkan tentang kami.

"Kau jangan nak buat cerita, Hail. Aku jahat-jahat pun tak akan naik tangan dekat perempuan. Tak ada dalam kamus hidup aku. Lagi pula dekat isteri?"

Okey, tak ada bantahan sebab Rayyan memang tak pernah naik tangan walau macam mana marah sekalipun.

"Mulut pun kira juga apa?" bidas Hail.

Rayyan senyap. Langsung tak ada balasan. Kalau boleh nak saja aku tengok apa reaksi dia sekarang, tapi nanti tak dapatlah nak dengar perbualan lagi. Mesti mereka akan terus tukar topik.

"Apapun, macam mana dengan Rafiq?" Izz mencelah.

Tapi Rafiq? Siapa pula?

"Entah." Sepatah suara Hail membalas. Macam tak berminat nak bahas isu itu.

"Tapi dengar cerita dia tak berniat untuk bunuh kau kan?" Izz bersuara lagi.

"Katanya macam itulah. Dia tengah mabuk waktu itu. Dia orang jumpa tiga empat botol arak dekat dalam bilik. Mendatangkan kecederaan tanpa niat membunuh. Tapi tak niat pun, dua kali juga aku kena tikam. Pula itu, dia cuba perkosa bini aku. Banyak tuduhan yang dia kena dengan mamat sorang lagi itu. Berpuluh tahun juga dengan berapa entah sebatan. Aku tak ambil port. Hani, mungkin."

"Kau yang kena, kau tak ambil port pula?" Izz lagi.

"Dia pernah jadi kawan, bro. Antara yang aku rapat. Kalau ikutkan sayang sesama kawan, aku nak je tarik kes itu kalau boleh tarik walaupun hukumannya dah muktamad dan dia dah meringkuk bertahun-tahun dalam itu. Kalau boleh maafkan depan hakim pun aku akan buat. Tapi dia kena belajar dan diajar. Apa yang dia buat dekat aku tak ada apanya. Aku anggap itu sebagai kifarah atas dosa-dosa aku terutamanya pada dia. Tapi apa yang dia buat pada isteri aku, langsung tak boleh dimaafkan.

Isteri aku tengah mengandung waktu itu. Lagi-lagi isteri aku tak ada kena mengena pun dengan masa lalu itu. Isteri aku bukan tempat untuk dia lepaskan dendam pada aku. Biarlah dia dihukum untuk itu."

Senyap...

"Akiq macam mana?" Rayyan menyoal pula.

Akiq itu siapa pula dah?

"Dia macam itulah. Good boy. Paling behave antara kita. Tengah bahagia sekarang," balas Izz.

"Baguslah. Macam mana dengan info Jebat yang aku suruh kau cari hari tu?" Soal Rayyan. Nada suaranya bertukar kali ini. Entah apa... Tapi aku rasa macam lebih tegas.

Jebat?

"Tak ada banyak info baru. Macam yang kau tahu, Jebat tu nama sebenar dia. Nama panggilan dia, King atau Cobra. Dia ada tattoo pada bahagian leher yang bertulis Black Mamba." Izz.

"Black Mamba?"

"Ya, Black Mamba. Nama panggilan untuk salah seorang daripada mereka yang identitinya masih tak dapat dikenal pasti. But shockingly, dia seorang perempuan. Dekat sini ada dua info..." Aku tak tahu apa yang ditunjukkan, tapi aku yakin memang ada 'pembentangan' sedang berlaku di dalam sana.

" ...Tapi yang mana satu betul, aku belum pasti lagi. Info pertama, Black Mamba tu satu-satunya perempuan antara mereka. Perempuan tapi sangat hebat, sebab tu Jebat sampai cacah tattoo dengan nama panggilan perempuan tu. He adore her so much. Info yang kedua, Black Mamba tu adalah teman wanita Jebat. Dah bersama selama dua tahun. Jebat dah intip perempuan tu setahun sebelum berkenalan.

Kiranya, Jebat dah lama suka dekat perempuan di sebalik nama Black Mamba ni. Bila dia dapat je perempuan ni, dia terus latih sampai habis. Bukan dia je, malahan Taipan pun turut sama latih dia sekali. Orang kata, Black Mamba ni sangat licik dan pandai psycho kepala orang. Dan yang paling best, dia dapat gelaran Black Mamba ni dari Jebat sendiri. Sebab macam Black Mamba, she's silent but deadly
Sebab dia perempuan, ramai lawan pandang rendah pada dia. Tapi stats yang aku dan Hail dapat, Black Mamba tak pernah kalah. Walaupun berlawan dengan lelaki yang dua kali ganda besar daripada dia. Tak pernah, walau sekali."

Suara Hail mencelah pula. "Dia tak lawan guna kekuatan semata, dia lawan guna akal. Long story short, she is the ultimate weapon of Barrio. Dia sangat pantas, sangat berbisa, sangat mematikan dan sangat agresif jika diusik. Tambahan satu lagi, ada budak dari Barrio yang dah cuci tangan kata, Black Mamba ni tak pernah munculkan diri. Dia datang senyap-senyap, keluar pun senyap-senyap. Hanya Taipan dan King je yang selalu jumpa dia. Budak tu beritahu pada aku, ada desas-desus daripada orang yang pernah lawan dengan Black Mamba ni kata perempuan ni sangat cerdik dan sangat cantik."

Aku tersengih.

"Dia berlatih dengan Taipan?" soal Rayyan.

"Yep! Dia berlatih dan dilatih secara peribadi. Berdua dan berdepan dengan Taipan sendiri. Macam yang kita tahu, Taipan itu tak ada ganti. Tak ada yang boleh tewaskan dia. Kalau sebut pasal kuat, Taipan akan menang tanpa bertanding. Kalau sebut pasal laju, Taipan juga akan menang macam tu je. Tak ada siapa yang berani berdepan dengan dia kecuali kita bertiga. Semua takut. Tapi..." Hail tiba-tiba berhenti di situ. Berjeda seketika yang buatkan aku lebih gementar dan berkobar nak tahu kesinambungannya.

"Ular?" Rayyan.

Entah itu soalan atau tebakan. Aku tak tahu.

"Ya, ular. Tapi kau tahu ular jenis apa ni?" balas Hail

Lama senyap... Sebelum aku dengar Rayyan ketawa.

"Kalau kau bawa ular tedung dan ular sawa depan aku sekarang pun, aku tak boleh beza."

Lah, itu yang dia gelakkan rupanya! Tengah tunjuk gambar ular ke?

"Ini sejenis ular yang dikenali serata dunia, habitatnya lebih ke Afrika. Salah satu daripada ular paling berbahaya dalam dunia. Juga salah satu daripada ular paling berbisa dalam dunia. Ular berbisa kedua terpanjang selepas King Cobra. Dia sangat laju, malahan dia yang paling laju. Pantas dan agresif bila diancam. Boleh bunuh seorang manusia sepantas 25 minit. Dilaporkan hampir berpuluh ribu orang yang jadi mangsanya setiap tahun. Kau boleh teka apa jenis ular ni sekarang?" Hail.

"Black Mamba?" Rayyan meneka.

Tiba-tiba ada bunyi sepasang tangan bertepuk dari dalam. Aku syak itu Hail.

"There you have it," kata Hail.

"Jadi, kau nak cakap yang dia boleh kalahkan Taipan?"

"Bukan saja Taipan, malahan King sekali." Hail membalas penuh yakin.

"Dia perempuan kan? Macam mana kau boleh yakin sangat?" Macam tak dapat nak terima pendapat tentang Black Mamba itu, Rayyan mempersoal.

"Macam yang aku dan Izz cakap tadi. King dan Taipan sendiri yang latih dia. Tiga tahun dia dilatih secara peribadi oleh King dan Taipan. Segala kelebihan yang ada pada Taipan dan King, ada pada dia. Kelemahan Taipan dan King pastinya dah ada dalam tangan dia. Macam Yin dan Yang. Kalau ada orang yang boleh tumbangkan Taipan dan King. Maka dialah orangnya. Black Mamba."

"Aku tak setuju dengan penilaian kau kali ni. Macam mana seorang perempuan boleh kalahkan dua orang lelaki yang latih dia dari zero to hero? Kalau kelemahan dua orang manusia itu ada dalam tangan dia, maka kelemahan dia juga ada dalam tangan dua orang manusia itu. Sama." Rayyan membalas lagi.

Hm, bijak!

"Exactly. Sebab itulah dia tak boleh berseorangan. Sama ada dia lelaki atau dia perempuan dan sama ada semua rumors itu betul atau tidak, dia perlukan orang untuk bersama dia yang boleh jatuhkan dua mamat itu. Orang yang ada skill sukar untuk dibaca."

Kali ini aku tak tertahan lagi bila mereka sambung senyap semula. Aku terus panjangkan kepala dan mengintai sedikit. Barulah aku nampak Hail dan Izz yang keduanya sudah pandang Rayyan berjemaah. Rayyan pula sudah berkerut.

"Kau nak aku berkerjasama dengan dia?" balas Rayyan.

"Pandai pun! Dia boleh beritahu segala kelemahan dua mamat itu, sementara kau boleh serang semua kelemahan dia orang. Tapi dia juga boleh tolong kau. Cover kau contohnya? Kalau dia memang perempuan, jadilah kau dengan dia macam Mission Impossible. Romeo dan Juliet. Jack dan Rose. Cuma versi ini, dia bukan perempuan lemah yang perlu diselamatkan." Izz.

"Baik punya idea. Aku ada isteri. Kalau Dhia tahu pasal itu, makin bencilah dia dibuatnya."

"Apa ada hal? Lelaki boleh kahwin empat." Hail menyahut riang.

Wah, engkau ini! Kau tunggu nanti, aku cari bini kau dan report dekat dia! Dasar lelaki gatal!

"Hai, kejap je hilang buaya?" Suara Izz kedengaran.

"Eh, aku tak cakap pasal aku. Aku cakap pasal Rayyan. Aku memang dah tak ada buaya. Sekarang dah jadi cicak. Kena jentik dengan bini, terus patah ekor. Lagipun dia terlalu sempurna untuk ditukar ganti. Aku sekarang ini lagi takut kalau dia yang madukan aku dengan lelaki lain!"

Hahaha! Okey, aku batalkan niat tadi. Hail selamat.

"Tapi kalau Rayyan..." Hail melirik Rayyan pula.

"Aku sanggup serang buta-buta daripada menduakan Dhia. Kau jangan nak ajar aku yang bukan-bukan," bidas Rayyan.

Dan mereka tergelak lagi.

"Tapi kalau dia awek Jebat, tak akanlah dia nak belot?" Rayyan kembali bersuara. Ingatkan semula dua lelaki tadi topik sebenar mereka.

"Itulah masalahnya. Tapi kalau dia bukan awek Jebat macam mana?" Dan kali ini, Hail membiarkan ruang di hujungnya kosong bagai teka-teki.

Bilik terus senyap selepas itu. Habis agaknya topik tadi. Jadi aku pun terus bangun dan melangkah masuk ke dalam bilik bagai tiada apa yang berlaku. Nampak saja aku yang sedang berdiri di muka pintu, Rayyan terus pusing melihat Raees. Barulah dia terburu-buru nak mengejutkan budak itu.

Agaknya tadi dia sibuk bersembang sampai lupa nak menguruskan Raees. Lama juga Raees tidur. Aku sudah hampir patah pinggang berlatih dengan Rayyan pun, Raees masih lena. Nasib badanlah bila Rayyan isytihar untuk aku berlatih dengannya pada setiap hujung minggu selepas dia menjadi saksi di IOI Putrajaya hari itu.

Rayyan tak menyoal banyak, tapi dia mengerah tenaga aku untuk 'mengasah' skill. Katanya!

"Dhia rajin-rajinlah datang sini. Kalau selalu berlatih, mesti skill boleh diasah lagi."

Aku terus pandang Izz bila dia bersuara. Aku senyum saja. Tak tahu nak balas apa. Kalau Rayyan bawa, aku buatlah. Ada bagusnya juga memandangkan sekarang aku sudah tak boleh berlatih. Satu, sebab tiada masa. Dua, sebab ada Rayyan. Tiga, sebab tempat latihan yang ada di sini sudah dicerobohi dan tidak lagi selamat.

Pusat itu masih beroperasi. Semua jurulatih ada di sana. Cuma yang perlu orang tahu adalah, itu hanya pusat latihan suka-suka aku. Jurulatih aku ada nun jauh di luar negara sana termasuklah pusat latihannya. Kiranya di sini aku hanya pinjam tempat saja.

"Itulah. Nanti abang bawa isteri abang untuk temankan Dhia. Dia pun ada belajar juga seni mempertahankan diri ini masa muda-muda dulu," sahut Hail. Terangguk-angguk lelaki itu bersetuju dengan Izz.

Aku pandang Rayyan bila Hail dan Izz terus tenung Rayyan, seolah-olah semuanya nak menagih sebuah jawapan. Lelaki itu yang sedang sibuk menguruskan Raees terus terdiam sekejap. Pandang kami bergilir-gilir sebelum dia tersenyum nipis.

"Kalau ada masa, abang bawa."

Wah! Lampu hijau! Tak sangka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience