Bab 8

Romance Series 30734

KENAPA ye? Aku rasa dari saat aku pijak kaki atas lantai ofis ini hinggalah ke saat aku berdiri di pintu besi lif, semua orang pandang aku macam aku ini tentera Zionis. Penuh kebencian, cercaan dan kutukan yang dizahirkan melalui mata mereka. Mereka, bukan bermaksud tiga empat orang semata. Tapi mereka itu merujuk kepada hampir kesemua mereka terutamanya perempuan yang bekerja di ofis ini.

Nak kata aku pakai pakaian tak sopan dan mendatangkan kebencian, macam tak. Aku hanya ringkas dengan slack coklat dan kemeja putih je.

Nak kata aku ada buat salah dengan mereka pun macam tak ada. Bila masa pula aku ada waktu untuk buat salah kalau bercakap dengan dia orang pun aku tak pernah?

Pintu lif terbuka. Tiga orang perempuan yang ada di dalam butangkan mata bila lihat aku. Muka benci dan menyampah mereka terus timbul tak sampai beberapa saat.

Aku masuk ke dalam dan diam saja. Sampai di destinasiku, pintu lif terbuka dan aku terus keluar. Belum pun selangkah aku keluar, tiba-tiba aku dengar suara yang sedang bercakap di dalam kotak lif.

“Itulah penyondol itu kan? Tak sedar diri betul. Keluarga Encik Rayyan baik dengan dia dari kecil, dah besar menyondol pula. Budak-budak sekarang memang perangai pelik-pelik. Itu yang dekat media sosial itu muka penyondol tak lain tak bukan mesti budak-budak muda.”

“Masalahnya penyondol yang viral itu semua muka tak laku. Perempuan itu pula penyondol muka miss world. Mana tak senang-senang je sondol laki orang!”

Hanya sekadar itu yang aku dengar sebab seterusnya pintu lif sudah tertutup rapat.

Ha, sebab itu rupanya orang pandang aku macam aku ini penjajah. Isu sondol menyondol. Tapi siapa pula yang canang ceritanya kalau yang tahu aku dan Rayyan berkahwin itu hanya keluarga terdekat sahaja? Tak akan Rayyan buka mulut sendiri kut?

Tak mungkin! Dia yang tak nak orang tahu status kami. Jadi siapa?

“Dhia?”

Langkah terhenti bila nama diseru. Aku terus cari arah suara tadi. Bibir terus tersenyum lebar bila lihat Abang Diy yang sedang berdiri di belakangku. Entah dari mana dia datang, tapi dia sedang berjalan melalui lif yang baru aku lepasi.

“Abang Diy…”

“Dhia buat apa dekat sini?”

“Dhia tak boleh ke sini?” Soalan dibalas soalan. Terasa pula dibuatnya bila dengar suara Abang Diy yang tak semesra biasa.

“Atau abang pun dah bencikan Dhia?” Mungkin sebab ini.

“Kenapa abang nak bencikan Dhia?” Dengan dahi yang berkerut, Abang Diy menyoalku.

“Dhia kan penyondol?”

Abang Diy geleng kepala dengar kata-kata aku. Laju saja Abang Diy menghampiri aku sebelum beg tanganku ditarik. Abang Diy bawa aku masuk ke dalam sebuah bilik. Alah, ini bilik mesyuarat. Aku sudah biasa menjelajah ofis ini masa zaman sekolah dulu.

Kerusi ditarik dan Abang Diy arahkan aku untuk duduk. Dia sekadar duduk di hujung meja saja.

“Beritahu abang, siapa yang cakap semua itu dekat Dhia?”

“Adalah. Yang pasti, Dhia tahu yang satu ofis ini dah bencikan Dhia dan label Dhia penyondol. Mungkin abang juga rasa benda yang sama. Tapi Dhia tak salahkan abang pun.” Aku senyum.

“Dan Dhia juga tak boleh salahkan diri Dhia. Orang tak tahu apa yang Dhia tahu. Mereka tak tahu apa-apa melainkan apa yang Dhia pilih untuk tunjuk pada mereka. Dhia bukan penyondol. Jangan akui diri dengan gelaran kotor itu. Dia tak pernah sondol sesiapa. Dhia hanya terima dalam keterpaksaan sebab Dhia kesiankan ibu dan nak selamatkan Rayyan. Abang tak suka Dhia akur dengan tuduhan mereka.”

Ah, aku terharu! Sentiasa dan mesti Abang Diy yang pertahankan aku. Tak ada nama lain kecuali Ardiy. Bukan Rayyan atau sesiapa kecuali Ardiy.

“Jadi kenapa abang lari daripada Dhia?” soalku.

Terus terdiam Abang Ardiy. Dia membatu seperti itu entah buat beberapa saat sebelum keluhan panjang kendengaran.

“Dhia dah jadi isteri orang. Isteri Rayyan. Tak manis untuk kita masih berhubungan dengan status Dhia yang baru. Sekarang orang dah mula tuduh Dhia yang macam-macam. Abang tak nak sampai mereka tuduh Dhia curang pula. Mulut manusia ini sangat laju, Dhia. Sampai mereka lupa yang setiap patah perkataan itu ada dosa dan pahalanya. Bercakap perkara sia-sia pun berdosa, apatah lagi mengumpat dan memfitnah?”

“Tapi abang, Dhia tak ada kawan kalau abang pun tak nak layan Dhia lagi. Lagipun Rayyan tak peduli apa yang Dhia buat. Dhia malas nak fikir apa yang orang cakap, Dhia hanya nak berkawan dengan abang macam biasa.”

“Dhia…”

“Abang… Jangan buat Dhia sedih. Cukuplah Rayyan je yang buat Dhia sakit hati dan menyesal. Abang terlalu penting dan istimewa untuk Dhia benci,” potongku.

“Apa yang Rayyan buat dekat Dhia?”

Aku diam. Hanya cebik bibir menjadi jawapan. Sungguhlah bila disoal baru terasa air mata nak gugur. Baru terasa sakit dan sedihnya bersatu.

“Dhia…” Tangan Abang Diy naik seolah ingin menyentuh bahuku, tapi hanya sekerat jalan sebelum terhenti dan Abang Diy mendengus geram.

Sudahnya Abang Diy hanya dapat memandang aku tanpa sepatah kata.

“Rayyan jahat. Dhia patut sedar dari dulu lagi yang Rayyan itu tak baik pun. Dia sindir Dhia macam-macam. Dia bandingkan Dhia dengan isteri dia. Dhia tak peduli kalau dia tak nak anggap Dhia macam isteri, tapi tak payahlah nak sakitkan hati orang.” Aku lepaskan apa yang aku rasa depan Abang Diy.

“Dasar lelaki tak sedar diri. Dia fikir isteri dia itu sayang dekat dia macam mana dia sayangkan perempuan itu ke? Tak lama lagi, dapat anak, mahu perempuan itu mandrem Rayyan dan rampas semua harta yang ada. Rayyan itu dah buta dan bodoh sebab cinta yang takkan bawa dia ke mana pun.” Aku sambung.

“Dhia tak baik cakap macam itu.”

“Tapi memang betul pun.”

“Abang tahu. Tapi Rayyan dah jadi suami Dhia. Tak baik Dhia cakap macam ini lagi-lagi dengan orang luar. Dah kira buka aib suami tahu?”

Aku terus diam. Betul juga itu. Kalau aku buka aib orang, nanti Allah akan buka aib aku. Tak nak! Aku pun bukannya baik sangat.

“Abang tahu niat Dhia baik. Yakinlah yang semuanya akan berjalan dengan baik selagi Dhia tetap dengan niat sebenar Dhia.”

Huh, aku tak nampak pun aura semuanya akan berjalan dengan baik itu. Malahan sekarang bila aku tidur, aku sudah takut nak bangun semula kerana risaukan apa yang menanti pada hari itu. Hari ini contohnya.

Aku dan Abang Diy serentak toleh ke arah pintu bila tiba-tiba pintu itu terkuak.

“Diy, tolong I boleh? Belikan Aglio Olio dekat H’s. I mengidam…” Terus mati segala katanya bila mata kami bertentangan. Qila.

Dia tersengih. Nampak geram dan sinis dalam satu masa. Aku lihat Qila terus berpeluk tubuh dan bersandar pada bingkai pintu bilik mesyuarat yang sudah terkuak besar ini.

“Ha, penyondol ini ada dekat sini rupanya.”

Hai mulut dia ini! Perempuan licik tak sedar diri!

“Qila, jaga mulut.” Abang Diy menegur tegas.

“Kenapa I kena jaga mulut? I bukan menipu atau menuduh. Memang perempuan ini penyondol dan suami I yang dia sondol. You nak sokong dia kenapa, Ardiy? Oh, yelah. You mesti spesis jantan yang sokong sesama kaum walaupun jantan itu dah menyundal dengan betina lain belakang isteri yang tengah mengandung kan?”

Aku bangun. Baru nak membalas, tiba-tiba Abang Diy berdiri di depanku. Membelakangi aku sekali gus menghalang aku daripada terus menyerang Qila.

“Aglio Olio kan? Nanti I hantar. You pergi berehat dulu,” kata Abang Diy. Cuba untuk menenangkan suasana yang mula tegang antara kami.

“Tak nak. I dah tak ada selera nak makan lepas tengok muka penyondol itu. Kenapa you sorokkan dia, Ardiy? Sana!” Serentak itu tubuh Abang Diy terus terketepi bila ditolak oleh perempuan itu.

Saat Abang Diy mahu menyelamatkan aku semula, aku terus angkat tangan. Isyarat yang aku boleh uruskan ini.

“Hi, penyondol,” sapanya sambil tersengih sinis.

“Hi, isteri tua.” Bukan Dhia kalau nak mengalah lawan mulut. Memang aku balas baliklah! Sampai berubah muka dia.

“Macam mana pengantin baru? Mesti kau kegersangan kan? Rayyan tak nak sentuh kau,” bisiknya.

Ha, ini pun Rayyan cerita dekat perempuan gila ini ke? Mata tambahan tahap kebencian aku buat Rayyan!

“Tak dapat Rayyan, Ardiy pun boleh. Kan?” Dia menambah.

Wah, dia baru keluarkan satu tuduhan.

“Betul. Kalau tak Rayyan, Ardiy pun boleh. Kenapa tak? Dua-dua sama kacak. Oh, bezanya poket Adriy tak setebal Rayyan. Tapi saya tak kisah sebab yang saya kejar bukan duit. Saya boleh kerja dan dapatkan duit itu sendiri.” Aku kuntum senyum sinis. Kali ini giliran aku pula!

“Tapi tak semua perempuan sama macam saya. Ada segelintir perempuan yang memalukan kaum Hawa. Yang malas nak berusaha dan hanya harapkan lelaki. Dapat kikis lelaki kaya setiap hari dengan mandat isteri. Padahal dari awal lagi dia dah rancang untuk kikis sampai habis lalu tinggalkan lelaki itu bila lelaki itu dah tak ada apa-apa. Kan?”

Mukanya berubah. Hoho, baru tahu yang aku tahu tentang rancangan kau? Well, hello!

“Tapi saya harap perempuan macam itu tahu yang sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah juga jatuhnya, bukan ke bulan,” tambahku. Senyuman semakin lebar sebelum aku tergelak kecil.

Baru nak bangga diri, tiba-tiba perempuan itu tolehkan mukanya ke satu arah seolah baru kena tampar sebelum satu jeritan nyaring dilepaskannya.

What the?

Abang Diy menarik aku dengan mata yang sudah bulat terkejut.

“Dhia pukul dia?” soal Abang Diy.

Pukul?!

Tak sempat aku nak jawab soalan itu lagi, tiba-tiba Rayyan meluru masuk ke dalam bilik. Isterinya yang satu itu terus didekati sebelum bertalu soalan diajukan. Terpaling risau!

“Dia tampar I, Rayyan!” Qila tunding jari telunjuknya tepat ke mukaku.

“Kenapa dia tampar you?” Rayyan pandang aku sekilas sebelum kembali pandang Qila.

“Dia marah sebab I beritahu yang I perlukan you untuk ada dengan I waktu-waktu macam ini. Dia nak you selalu dengan dia, jadi dia tak suka I berkepit dengan you. I faham, tapi I tak boleh nak buat apa. Baby kita perlukan you.”

Oh, gila. Drama tahap Oscar. Scarlett Johansson pun kalah kalau duduk sebelah perempuan ini. Bila masa pula aku ada masa nak membebel panjang-panjang macam itu?

Aku senyap bila Rayyan terus toleh pandang aku. Dahinya sudah berkerut. Hampir bercantum kening yang terlukis cantik itu. Mukanya ketat dan garang. Kalau tak sebab aku perempuan, mahu sudah melayang penumbuk sulung tangannya yang besar itu.

Rayyan mendekatiku.

“Datang sini semata-mata nak cari pasal dengan Qila?” soalnya. Suara diperlahankan, tapi amarahnya terserlah.

Aku datang sini nak jumpa Abang Diy! Bini kau itu yang datang cari pasal dengan aku. Tak adil punya suami! Langsung tak tanya atau minta kepastian daripada aku sama ada apa yang dituduh itu benar atau tidak. Elok saja isterinya terlentok paling sedih, terus aku disabit kesalahan. Memang Rayyan tak boleh jadi hakim! Mahu terus masuk neraka.

“Aku biarkan kau ke sini bukan untuk cari pasal dengan isteri aku. Aku dah kata, Dhia. Jangan berharap. Kau tak ada apanya di mata aku melainkan seorang budak mentah yang terhegeh-hegeh. Nak sentuh kau pun aku geli. Apatah lagi nak habiskan masa dengan kau dan biarkan isteri aku yang tengah bawa perut itu sendiri.”

Segala amarah dan kudrat untuk membalas segala tomahan itu seakan hilang saat aku dengar kata-kata Rayyan. Aku, bukan lagi abang. Kau, bukan lagi Dhia. Terhegeh-hegeh. Geli…

“Rayyan, aku bukan nak masuk campur urusan kau. Tapi Qila yang…”

“Ardiy pun tengok je I kena sembur dengan perempuan ini. Dia tak buat apapun untuk hentikan perempuan ini. Sampai perempuan ini tampar I pun dia hanya tengok je, Rayyan. Apa salah I?”

Hampir bernanah telinga aku dengar suara paling sedih Qila yang laju saja potong Abang Diy bila lelaki itu nak terangkan hal yang sebenar. Dasar perempuan gila! Hipokrit dan munafik!

Mata Rayyan beralih kepada Abang Diy pula. Wajah itu semakin tegang dan ketat. Tangannya sudah dikepal kemas tinggal menunggu masa untuk dihayunkan.

“Mulai saat ini, jangan tunjukkan muka kau dekat depan aku. Kau dipecat,” kata Rayyan.

Mataku terbuntang. Sempat aku tangkap senyuman Qila yang terus lebar bila dengar keputusan Rayyan.

“Abang Diy tak ada kena mengena dengan apa yang jadi. Dhia dan Qila yang…”

“Diam!”

Terasa luruh segala apa yang ada di tubuh bila aku ditengking oleh Rayyan. Betul-betul depan muka. Terasa habis lucut segala maruahku. Dan ini juga termasuk segala perasaan yang pernah ada buatnya. Hilang begitu saja. Inilah belang yang tak pernah kulihat dan sedar dulu. Betul kata Rayyan, aku akan menyesal.

Dan saat ini aku sedang menyesali segalanya. Bahkan saat pertama kali aku bertemu dengannya sudah bukan lagi detik terindah dalam hidupku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience