Bab 26

Romance Series 30734

AKU yang baru nak ke tandas terus terhenti bila lihat lelaki yang sedang berdiri di sisi lambakan pasu dengan bunga bermacam jenis di sisi kanan kedai ini. Dia sedang menilik satu persatu bunga dengan penuh khusyuknya. Aku rasa dia minat bungalah. Tapi susah nak jumpa lelaki yang suka bunga. Nak kata dia adik-adik pun bukan. Punyalah gagah bergaya tak akan adik-adik pula.

Aku terus menghampirinya. Tengoklah, aku dah berdiri di belakangnya pun dia masih tak sedar kerana begitu ralit melihat bunga.

Ehem!

Aku berdehem. Barulah dia pusing dan pandang aku.

"Encik yang tempah bouquet bunga dahlia palsu sebesar alam itu kan?" soalku.

Aku ingat lagi lelaki ini. Dialah yang berurusan dengan kami untuk jambangan bunga dahlia saiz paling besar kami mampu buat. Sebesar satu pelukan aku!

"Betul," jawabnya, sepatah.

Hm, kurang bercakap juga.

"Encik nak cari bunga lagi ke?" soalku.

Dia mengangguk. "Saya tempah untuk esok."

"Untuk encik?"

Dia senyap. Oops, agaknya aku tak sopan terus tembak orang itu. Mukadimah dulu!

"Maaflah kalau saya banyak tanya. Cuma jarang sangat ada lelaki yang berulang ke sini. Selalunya sekali je untuk beli hadiah, lepas itu tak ada dah. Tapi tengok encik beli berkali-kali sambil ralit dengan bunga, saya rasa encik lain. Encik suka bunga ke?"

Dia menggeleng pula.

Oh, jawapan yang tak disangka. Aku salah kali ini. Dia tak suka bunga.

"Saya beli untuk orang, bukan untuk saya."

"Orang itu juga ke yang buat encik ralit tengok bunga?"

"Saya percaya yang kalau kita sayangkan seseorang, kita akan sanggup sakit untuknya. Dan saya juga percaya yang kalau kita sayangkan seseorang, kita akan bahagia untuk selami punca kebahagiaannya."

Oh! Kiranya dia sedang menyelami punca kebahagiaan orang istimewa itu. Sayangkan seseorang pula... Cinta? Dia sedang bercinta? Atau dilamun cinta? Apapun ia cukup manis. Lelaki yang sanggup selami isi hati wanitanya sampai sanggup pakukan mata berpuluh minit menilik bunga yang tak ada apanya.

"Lain kali encik tak perlu datang ke sini untuk buat tempahan. Encik ambil nombor kami dan boleh call saja. Kami boleh aturkan rider untuk hantar tempahan encik, atau encik boleh ambil sendiri pada hari pick up. Jimat masa dan minyak encik."

"Saya tinggal berdekatan."

Oh, aku anggap dia maksudkan yang dia tetap nak ke sini juga. Jadi terpulanglah. Apa yang pelanggan suka, aku ikut saja.

Ani datang bersama resit dan duit baki. Elok saja dia sambung melayan pelanggan, aku terus masuk ke dalam tandas. Bila berseorangan seperti ini mulalah aku fikir tentang isu peribadi. Cubaan aku untuk menentang tempoh hari ditolak mentah-mentah oleh Rayyan bila umi juga ikut sokong keputusan Rayyan. Umi tak nak aku tinggal berseorangan di sana. Puas aku merayu pada umi, tapi tetap umi tak izinkan.

Umi kata baru-baru ini ada kes pecah rumah dekat kawasan situ. Terus semakin keraslah Rayyan dibuatnya. Terus dia bulatkan keputusannya untuk aku tetap tinggal di situ bersama umi. Tertekan betul aku dibuatnya. Sekejap lagi kedai dah nak tutup dan aku kena balik rumah. Tapi sekarang ini terbayangkan rumah Rayyan itu pun aku sudah rasa tak rela.

Jadi tadi aku bohong sunat. Hm, ye aku tahu tak ada bohong sunat. Bohong separuh terpaksalah kiranya! Aku kata tempahan sekarang terlalu banyak, jadi aku perlu siapkan semuanya memandangkan pekerja hanya ada seorang. Alasan punya alasan, sudahnya aku cakap yang aku kena tidur di kedai hari ini.

Umi marah, tapi yang mengejutkannya, Rayyan izinkan! Kiranya aku lepas untuk tidur di sini.

"Saya nak balik dulu ye? Saya dah siapkan semua kerja. Hari ini ada makan-makan dengan keluarga. Hari gaji, nak bawa keluarga saya makan dekat luar. Jadi saya kena balik cepat." Ani terus meluru ke arahku sebaik saja aku keluar dari tandas.

Oh, yelah kan. Hari gaji. Bercakap tentang gaji, aku rasa kedai ini sudah mampu untuk gajikan seorang lagi pekerja. Waktu ada ibu senanglah. Ibu itu siapkan satu bouquet tak sampai 15 minit. Kami ini level beginners lagi.

"Baliklah. Kirim salam dekat keluarga awak sekali."

Dapat saja kebenaran aku, Ani terus capai beg dan keluar dari kedai. Tapi belum pun bayang Ani hilang, bayang lain pula datang. Sebuah kereta mewah berwarna hitam mendarat cantik di depan pintu kedai. Elok, tak payah aku nak susah-susah gantung papan 'CLOSED' itu.

Pintu terbuka dan orangnya keluar. Bukan seorang, tapi dua orang. Yang kecil terus berlari masuk ke dalam kedai dengan penuh semangatnya sebelum yang besar mengikut di belakang.

"Mommy!!!" jeritnya. Raees!

Dan ye, di belakangnya dah tentulah Rayyan. Siapa lagi kalau bukan dia? Tapi apa pula dua beranak ini buat dekat sini? Masalahnya Raees siap peluk patung pisangnya. Kali terakhir aku tengok patung itu, ada di bilik tidur. Raees peluk masa tidur.

"Hi, Raees." Aku menyapa lembut. Raees yang terus berlari ke arahku itu terus aku sambut dengan satu pelukan.

"Raees rindu mommy!" Budak hensem ini kan! Cair hati kita.

"Ye ke rindu ini?" balasku, mengusiknya. Sempat pinggang Raees digeletek manja sebelum Raees menjerit kegelian, lalu berlari dan menyorok di belakang Rayyan.

Hahaha, comel!

Aku pandang Rayyan pula. "Kenapa abang datang sini?"

"Temankan Dhia," jawab Rayyan.

"Temankan? Maksudnya?"

"Teman tidur, teman bermalam. Dhia nak tidur sini kan? Jadi abang dan Raees juga akan tidur di sini dengan Dhia."

Apa dia?! Nak bermalam di sini?!

"Abang, apa pula ini? Dhia..."

"Dhia lupa apa yang abang cakap? Kalau Dhia tak nak tidur di bilik kita, abang akan ikut Dhia tidur di mana saja Dhia nak. Tidur depan rumah ke, di kedai ke, abang akan ikut. Dhia lari sejauh mana pun, abang akan kejar."

Sudah!

"Ya Allah, abang. Ini tempat kerjalah. Kedai. Dekat sini bukannya ada tilam. Bawa Raees pula itu. Kesian dia. Dekat sini dia nak main pun tak bebas."

"Jangan risau. Abang ada bawa air mattress. Nanti abang pam saja, kita boleh bentang dekat atas lantai. Raees pula abang dah ingatkan untuk duduk diam-diam. Abang tak nak bawa dia, tapi Raees sangat rindukan Dhia. Abang terpaksa bawa."

Siap ada tilam! Huaaaa, apa semua ini!

Perhatian kami teralih bila seorang pelanggan masuk ke dalam. Berdiri di muka pintu sambil menjengah kami. Aku terus kuntum senyum lebar untuknya.

"Masih buka ke ye?" soal pelanggan itu.

"Maaf, tapi kedai dah tutup. Cik boleh ke lawan web kami untuk buat tempahan. Laman web itu beroperasi 24 jam. Cik juga boleh datang esok." Dapat saja jawapan aku, dia terus mengangguk faham.

"Boleh saya dapatkan laman webnya?"

"Cik Google Debunga florist, nanti akan keluar," jawabku.

Bila pelanggan itu pergi, aku terus kunci pintu. Papan tanda 'CLOSED' dipusing sebelum aku tutup suis papan nama premis di luar sana. Hanya roller shutter saja yang belum ditarik supaya tak susah untuk Rayyan keluar masuk. Tadi kan dia kata ada bawa tilam? Mestilah nanti kena ambil.

Kalau ikutkan hati, aku boleh saja ajak balik. Sama jelah kiranya di sini atau di rumah kalau dah dia pun nak tidur di sini. Tapi masalahnya, aku sudah terima pesanan agak banyak berbanding yang sepatutnya untuk aku buat selepas kedai ditutup. Aku fikir dah alang-alang aku tidur di sini, eloklah aku ambil beberapa pesanan untuk aku buat sambil-sambil tunggu waktu tidur. Jadi nak atau tak, aku kena tidur juga di sini untuk siapkan semuanya.

"Mommy, mana kartun? Daddy kata ada kartun." Raees kembali merapati aku selepas dia tawaf satu kedai ini.

"Kartun? Kartun apa?" Dekat sini TV pun tak ada.

"Umi kata dalam bilik kerja ada projektor. Umi suruh guna untuk bagi Raees tengok kartun." Rayyan tolong jawabkan.

Projektor? Sudah. Aku yang anak tauke ini pun baru tahu tentang itu. Dekat mana? Aku tak pernah nampak langsung.

"Dhia tak payah fikir tentang itu. Biar abang yang uruskan. Kedai dah selesai tutup ke? Kalau belum abang boleh tolong. Roller shutter itu tak payah tarik sekarang. Dah nak tidur nanti baru abang tarik." Rayyan terus masuk ke bilik kerja umi.

Aku tak tahu apa yang dia buat di dalam, tapi Raees laju saja mengekori Rayyan. Sementara Rayyan buat kerjanya di dalam sana, aku terus sambung kerja aku pula. Ambil alatan yang diperlukan. Imej contoh untuk pesanan yang diterima terus ditiru sebiji-sebiji.

Sesekali aku kerling Rayyan yang sudah keluar dari bilik. Matanya seakan mencari sesuatu sebelum kunci yang ada atas kaunter dicapai.

"Ini kunci pintu ye?"

Aku angguk.

Rayyan terus buka pintu kedai semula. Keluar dan pergi ke keretanya sebelum kembali dengan beg besar. Dua buah beg besar! Dia nak pindah masuk kedai ini ke apa?

"Mommy, tengok ini! Daddy ada tilam boleh masuk angin!" Raees melapor sambil tunjuk salah satu beg besar itu. Beg itu diangkat begitu saja oleh Raees.

Oh, kiranya itu beg air mattress ye? Habis yang satu lagi itu beg apa pula?

Selesai dua beranak itu dengan hal di bilik sana, kedua-duanya keluar dan memerhatikan aku. Kedua-duanya sedang berdiri di depan meja kerjaku sekarang sambil diam memerhati. Sama-sama gayanya. Copy paste. Bapa borek anak rintik sungguh.

"Ada yang abang boleh tolong?"

Tolong? Hmm, elok juga itu! Kiranya bayaran tumpang tidur di sinilah. Huhu.

"Tolong masukkan kertas lapik ini dalam setiap raga itu boleh?" Aku tunding jari ke arah bakul wishlist yang bertingkat di atas meja.

Tak banyak cakap, Rayyan terus ke meja itu. Tarik kerusi dan terus ambil satu raga. Kertas bercorak dengan warna pastel dilapik dalam raga lalu Rayyan tunjuk pada aku kalau apa yang dia buat itu betul atau tidak. Aku angguk. Betul.

"Semua ini tempahan untuk esok?" soalnya.

Aku angguk lagi.

"Banyak juga."

"Dhia terima lebih tempahan."

Giliran Rayyan pula untuk mengangguk.

"Jangan biasakan, Dhia. Abang tak nak Dhia sakit lagi."

Dahiku berkerut sesaat. Dah bila masa pula aku sakit? Pasal aku rebah depan kedai ini ke? Kalau yang itu bukan sakitlah kiranya. Kan doktor kata aku penat? Penat dan sakit itu berbeza kan?

"Sesekali je." Tapi hanya itu yang aku balas. Tak mahu berdebat dengannya.

Dan dengan itu diam antara kami kembali menyelit bila aku sibuk dengan kerjaku dan dia sibuk dengan tugasannya. Raees pula hanya berulang-alik ke meja aku, lalu ke meja Rayyan pula. Kadang-kadang dia menyibuk nak sentuh itu dan ini, tapi Rayyan segera seru nama Raees sampai budak itu batalkan niat murninya. Jadi bila tak boleh sentuh, dia ganti pula dengan menyoal segala jenis benda yang dia nampak.

"Ini apa, mommy?"

"Ini apa, daddy?"

"Kenapa ada banyak flowers?"

"Daddy kata tak boleh main gunting, mommy. Nanti luka!"

Sampai jenuh aku dan Rayyan nak jawab soalannya. Tapi aku nampak yang Rayyan tetap berusaha untuk jawab semua soalan Raees. Komunikasi yang tetap utuh walau dia tengah buat kerja. Patutlah Raees petah bercakap.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience