Bab 21

Romance Series 31043

"KENAPA makan sikit sangat Dhia?"

Aku terus angkat kepala bila suara umi kedengaran. Umi yang baru masuk ke dapur itu pandang aku dengan wajah risaunya. Kerusi ditarik dan umi duduk di sebelahku.

"Dhia diet," jawabku. Alasan.

"Diet apanya lagi? Nak sekurus mana lagi? Anak umi ini cantik dan sempurna. Makan banyak sikit, Dhia. Itu satu senduk pun tak sampai umi tengok."

Aku tersengih. Cantik dan sempurna ye? Kalau cantik dan sempurna sangat tidaklah aku menjanda tak sah taraf di usia muda.

Tapi kerana tak mahu umi susah hati, aku terus tambah nasi. Satu senduk. Aku sebenarnya tak ada selera nak makan. Asyik teringatkan kejadian tiga hari lepas. Pertembungan aku dan Rayyan dalam keadaan seperti itu berjaya menghantui siang dan malamku. Aku tak sangka kami akan bertemu lagi dengan cara yang seperti itu selepas lebih empat tahun tak bersua. Rasanya beberapa bulan lagi masuk lima tahun dah dari tarikh aku keguguran.

"Sedap tak?" soal umi.

Aku mengangguk. "Mana boleh masakan umi tak sedap. Kalau tak fikirkan badan, memang seperiuk Dhia habiskan."

Tergelak umi dengar balasanku. Syukurlah aku buat pilihan untuk balik ke Malaysia dan jaga umi. Sebab hanya bersama aku umi dapat tersenyum seperti ini. Walaupun aku tahu saat beginilah papa akan paling dirindui, tapi sekurang-kurangnya umi ada aku.

"Dhia ada pergi lawat kubur arwah ibu?"

Aku terdiam lama. Tangan hanya menguis-nguis nasi bila nama ibu ditarik dalam perbualan. Ibu meninggal selepas dua tahun aku sambung belajar di Italy. Umi dan papa ada minta aku untuk balik, tapi aku tak mahu. Pengkhianatan ibu yang mempercayai fitnah dan perbuatan Kak Qila masih bermain dalam kepala sampai ke hari ini. Aku sudah gadaikan diri untuk menyelamatkan anaknya sekali gus menyelamatkan hubungan dia dengan anaknya, tapi ibu pilih untuk khianati aku pada akhirnya.

"Tak ada," jawabku setelah lama senyap. Dua patah.

"Kenapa tak pergi? Arwah ibu dah meninggal dua tahun lebih, tapi sekali pun Dhia tak melawat kuburnya. Dhia tahu yang arwah ibu sangat sayangkan Dhia kan?"

Sayang? Sayang atau hanya memerlukan?

"Entahlah, umi. Sebolehnya Dhia tak nak bercakap soal ini. Lagipun sama ada Dhia lawat kubur arwah ibu atau tidak tak akan bawa apa-apa perbezaan pun."

"Manakan tidak pula? Ia akan bawa perbezaan pada Dhia. Dhia akan mula memaafkan." Umi tersenyum sanbil tangannya menarik tanganku. Tanganku diusap sayang seakan ingin memujuk.

"Umi tahu Dhia anak yang sangat baik. Dhia hanya terluka dan kecewa dengan arwah ibu. Tapi Dhia tak boleh salahkan ibu seratus-peratus. Arwah ibu tak tahu yang Dhia dianiaya. Hati dia sebagai seorang ibu dan sepatutnya nenek kepada anak Dhia hanya terluka dan kecewa dengan berita itu. Kalau dia mahukan cucu, daripada Dhialah yang paling dia inginkan. Arwah ibu sentiasa kata pada umi yang dia rindukan Dhia."

"Umi..."

"Okay, maaf. Umi tahu. Dhia makanlah dulu. Umi nak ke atas dan solat zohor sekejap. Dhia pun jangan lupa solat zohor. Sekarang ini umi tengok Dhia selalu lambat-lambatkan solat. Berdosa besar tahu?"

Urgh, habis bab arwah ibu, umi masuk bab agama pula. Layanlah!

"Okay, umi. Lepas makan nanti Dhia terus solat."

Tersenyum umi dibuatnya. Umi mengangguk sebelum aku dihampiri. Dahiku dikucup sayang sebelum umi berlalu masuk ke biliknya. Hilang saja kelibat umi, aku terus mengeluh pendek.

Arwah ibu...

Perlu ke aku melawat pusaranya? Ah, fikir kemudian.

Selesai makan, aku terus kemas dapur. Aku masuk ke dalam bilik dan tunaikan solat zohor terlebih dahulu. Elok saja memberi salam terakhir, mataku terpandangkan kotak yang diberikan oleh Cik Diba tempoh hari.

Sudah lebih seminggu rasanya, tapi aku masih tak buka kotak itu. Bunganya ada dalam pasu bilik ini. Itu, berdekatan meja bacaan. Kek pula sudah habis selepas aku kongsikan bersama Ani dan pelanggan yang datang pada hari tersebut.

Sejadah dilipat dan diletakkan pada hujung kaki katil. Aku terus capai kotak itu. Tali yang mengikatnya dibuka sebelum penutup kotak itu tertarik sama.

Huh? Jam tangan jenama Cartier.

Aku terus tarik telefonku. Layari laman web Cartier lalu cari jam serupa. Mata terus membulat bila lihat harganya. RM 43,500! Empat puluh tiga ribu untuk jam tangan?! Kejap, mana certificate of authenticity jam ini? Selalunya barang berjenama mewah akan sertakan itu. Kotaknya pun bukan dari Cartier. Ini ciplak ke?

Mata dikecilkan bila rupanya ada tulisan yang terukir di sekeping kad kecil dalam kotak sama.

Happy birthday, peaches.

Mulut terus ternganga serentak kotak itu aku campak ke atas katil sekali dengan jamnya. Seolah baru kena renjatan elektrik!

Rayyan?!

Hanya Rayyan yang gelar aku dengan nama itu. Peaches. Kalau Abang Diy, princess. Tapi kalau Rayyan, maksudnya budak bernama Raees itu...

Anaknya?

Huuu, ya Allah! Seram sejuk aku dibuatnya. Pertemuan di ruang latihan kami, perlawanan tak sengit itu lalu hadiah ini. Semuanya begitu mengejutkan dan meresahkan. Aku tak tahu kenapa aku perlu resah, tapi ye aku resah!

Bahkan pada saat pengebumian arwah papa pun lelaki itu tak datang, kenapa tiba-tiba buat shocking entrance dengan hadiah hari lahir ini? Bukan hanya itu, malahan seumur hidupku Rayyan tak pernah beri walau hanya satu ucapan selamat hari lahir. Yang sentiasa ingat hanyalah Abang Diy. Jadi kenapa dia tiba-tiba berubah macam ini?

Ya Allah, aku sudah lemah lutut menahan seram sejuk.

"BUNGA dahlia ada?"

Aku toleh pandang ke arah kaunter. Ada seorang lelaki sedang berdiri di depan Ani. Tengok sekilas pun sudah boleh bau gaya-gaya lelaki idaman hawanya. Tapi lelaki dan bunga? Hm, nak berikan pada orang istimewa mungkin?

"Oh, fresh flower bunga dahlia tak ada. Tapi kalau nak, bunga hiasan adalah. Bunga tipu-tipu. Kalau nak juga, kita ada daisy. Keluarga yang sama dengan Dahlia."

Tersengih aku dengar penjelasan Ani. Tiba-tiba bunyinya bertukar jadi comel. Mesti perempuan itu tengah gementar berdepan dengan pelanggan yang elok rupa. Hahaha! Bunga tipu-tipu!

"Memang tak ada fresh flower dahlia ye?"

"Tak ada. Dekat sini memang kami jarang buat bouquet dengan dahlia. Selalunya bunga mawar jadi pilihan."

"Kalau macam itu, artificial flower dahlia. Bouquet. Saiz paling besar yang boleh dibuat."

Aku masuk ke dalam bilik kerja umi sebelum rebahkan tubuh pada kerusi. Seharian ini kepala terasa melayang-layang. Agaknya aku terlalu penat sejak kebelakangan ini. Mana nak teruskan rutin, mana nak jaga kedai dan mana nak menguruskan keluarga. Sebab umi dalam edah, kerja luar semua aku yang buat. Ini pun aku baru balik daripada beli barang dapur dan hantar barangnya ke rumah.

Laci meja dibuka sebelum kotak ubat-ubatan dikeluarkan. Sebiji panadol dimasukkan ke dalam mulut sebelum aku teguk air bagi menelannya. Harapnya lepas ini ringan sikitlah kepala.

Lebih kurang satu jam lagi ada pelanggan yang akan datang untuk mengambil tempahannya. Rasanya itu Ani boleh uruskan. Dan kira-kira dua jam kemudian slot untuk penghantaran bahagian petang akan berlangsung. Waktu itu paling kurang adalah dalam lima penghantar bermotor akan berbaris untuk mengambil tempahan pelanggan. Itu memang aku perlu tolong.

Tapi sebelum itu, aku nak tidur sekejaplah. Terus aku bangun lalu berjalan ke sofa yang terletak di bilik yang sama. Elok saja aku rebahkan badan, aku terus syahid. Sampailah bila dentingan loceng tanda penghantaran bagi slot petang akan bermula lagi setengah jam. Loceng itu memang dipasang untuk mengingatkan kami supaya tak terleka.

"Semua bouquet dah siap ke, Ani?" soalku.

"Dah, kak. Tapi ada wishlist bucket yang belum siap. Ada satu je lagi."

Aku mengangguk. Terus gambar contoh tempahannya aku tengok sebelum bakul dicapai. Tempahan coklat premium seperti Ferrero Rocher dan sebagainya. Yang ini senang saja. Elok aku siapkan yang satu itu, tak lama kemudian satu demi satu penghantar bermotor datang. Selesai mengatur segalanya serta mengagihkan tempahan, kami terus berkemas pula. Sedia untuk tutup kedai memandangkan kedai ini hanya beroperasi sehingga jam lima petang.

"Tempahan melalui laman web awak dah asingkan untuk esok, Ani?"

"Dah. Saya dah buat tadi."

Aku mengangguk faham. Kalau macam itu semuanya dah selesai kecuali beberapa hal.

"Awak baliklah dulu, Ani. Yang lain saya boleh kemaskan," kataku sambil kerling jam dinding. Sudah hampir jam lima petang.

"Betul ini?"

Aku mengangguk. Tapi tengok muka Ani, aku rasa dia tak percaya yang aku boleh buat semuanya sendiri.

"Tapi saya tengok Cik Dhia macam lembik dan tak larat je hari ini. Tak apalah, biarlah saya tolong sampai tutup kedai," katanya.

"Tak adalah, saya okey. Ani pergilah balik. Jangan bazir masa. Saya ini kalau betul-betul tak larat pun boleh je tidur dekat kedai. Ani pergilah, balik dan rehat."

Sudahnya Ani akur juga. Dia berkemas dan terus bersalaman dengan aku.

Sebaik saja Ani pergi, aku terus selesaikan segala tugasan yang tinggal. Yakin yang semuanya sudah sempurna barulah aku keluar dari kedai. Roller shutter ditarik sebelum aku bercangkung untuk menguncinya. Saat aku bangun semula, tiba-tiba kepala seakan dihentam sesuatu. Kepalaku terasa semakin berat dan aku mula pening lalat. Tangan terus berpaut pada roller shutter saat tubuh terasa ingin rebah. Tapi kerana permukaan yang licin, aku terus jatuh sebelum perlahan-lahan mata terpejam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience