BAB 23

Romance Series 30734

AKU hampir pengsan buat kali kedua yang kali pertamanya di depan kedai bunga umi, bila lihat ada seorang budak lelaki sedang berdiri tegak di depan pintu sambil terkebil-kebil pandang aku.

Kejap. Matanya seperti…

Aku pandang Abang Rayyan yang masih statik di tempatnya. Itu dia. Sama seperti mata Abang Rayyan.

“Raees. Janganlah menyorok jauh-jauh sangat, sayang. Penatlah nenek nak kejar.” Suara lain mula kedengaran sekali gus seorang wanita muncul di sebelah budak lelaki bernama Raees ini.

Tercungap-cungap.

Raees, inilah dia. Budak ini yang berinteraksi dengan aku melalui panggilan telefon tempoh hari.

“Mana ada nyorok,” jawab anak kecil itu.

Matanya sama dengan mata Rayyan. Warna kehijauan yang sangat cantik. Wajahnya juga sama persis Rayyan, cuma rautnya lembut berbanding Rayyan yang bengis.

“Ini anak abang?” soalku.

“Raees pergi main dengan nenek dekat bawah. Daddy tengah bercakap.” Soalan aku dibiarkan sepi, tapi cukup baik untuk menjadi jawapan secara tak langsung buat aku

Wah, sungguhlah! Nampaknya ini bukan mimpi. Abang Rayyan sedang mengarah anaknya dan anaknya menurut saja sambil sesekali tetap terkebil-kebil memandang aku.

Berlalu saja mereka berdua, Rayyan terus tolak pintu. Tak ditutup sepenuhnya. Separuh terbuka.

“Ini anak dengan Kak Qila?” Kut-kutlah dia ada kahwin lain ke. Siapa tahu?

Rayyan diam dan aku anggap itu sebagai jawapannya. Raees, wajahnya langsung tak sama dengan Kak Qila. Sekali pandang pun sudah nampak wajah Rayyan pada wajahnya. Cuma kulit yang cerah itu saja ikut Kak Qila.

“Dhia nak keluar. Kita tak boleh berdua macam ini. Apa Kak Qila fikir kalau nampak kita berdua dalam bilik macam ini?”

“Kenapa dengan dia?”

Dahiku berkerut dengar kata-kata Rayyan itu. Dia tanya lagi kenapa? Kalau orang tak bertamadun itu tahu aku dan dia berdua dalam bilik yang sama, entah apa jenis ubat pula dia masukkan ke dalam air aku.

Tapi aku malas nak bertekak. Tolonglah. Aku sudah penat nak bergaduh.

“Abang ada isteri yang abang pilih. Dhia bukan isteri pilihan abang. Abang ada isteri yang abang sangat sayang dan cintakan selama ini, jangan khianati dia yang abang pertahankan mati-matian.”

"Apa kena mengena dengan dia?

Apa dia cakap ini? Apa kena mengena? Dia dengar tak apa yang dia baru cakap tadi?

“Abang sedang kurung Dhia dalam bilik berdua dengan abang. Dhia ini orang yang mungkin paling dia benci dalam muka bumi. Kalau isteri abang itu nampak, nanti Dhia yang kena tahu?”

“Abang dah ceraikan dia lebih tiga tahun lepas.”

Oh, wow. Dah bercerai rupanya. Kenapa aku tak tahu apa-apa?

“Kenapa?” soalku. Mungkin ke tujuan ibu menyatukan aku dan Rayyan dulu sudah tercapai? Atau…

“Curang.”

Mataku terbeliak. “Abang curang?!”

Gosh, ini ke Abang Rayyan yang aku suka bagai nak gila dulu?!

“What? No, Dhia. Bukan abang.”

Okey, perempuan itu curang? Masuk akal. Lagipun perempuan itu memang hanya nak harta benda Rayyan saja selama ini. Kalau dia yang curang, tak pelik. Dia siap mengaku depan aku dan ibu yang dia suka dekat Abang Ardiy kut!

Ah, sudahlah. Bukan hal aku.

“Dhia nak keluar. Dhia nak balik.” Aku terus tolak tangannya yang masih melekat pada pintu.

“Dhia nak balik mana?”

“Balik rumah umilah.” Ayoo, soalan apa ini?

“Abang tak benarkan.”

Pulak?

“Abang ini kenapa?" Aku sudah tak puas hati. Naik baran aku jadinya dengan lelaki ini.

“Kalau Dhia jatuh pengsan di mana-mana nanti macam mana? Tinggal di sini. Kita boleh jaga umi sama-sama. Sekurang-kurangnya di sini beban Dhia berkurangan. Dhia tak perlu uruskan semua seorang diri.”

 “Apa abang peduli? Dulu Dhia sakit ke, Dhia tenat ke, abang tak kesah pun. Dhia kena ragut pun abang tak peduli. Tak payahlah nak berlagak baik sekarang. Semua itu dah terlambatlah. Kalau nak berlakon, bukan depan Dhia. Dhia dah kenal abang yang sebenar dan imej baik ini takkan dapat tutup siapa diri abang yang Dhia kenal.”

“Dhia…”

“Abang jangan buat Dhia tak selesa. Dhia tak nak bergaduh dengan sesiapa dah. Dhia dah cukup besar, abang. Abang pun dah cukup tua untuk faham semua itu. Jangan buat Dhia ungkit semua yang pernah abang ucap dan buat pada Dhia.”

“Abang juga tak nak bergaduh atau cari gaduh dengan Dhia. Abang juga nak kita berbaik. Dhia mommy buat Raees.”

Wo, wo, wo! Apa dia?

“Dhia tak ada anak.” Aku menggeleng.

No, bukan tak ada.

“Anak Dhia dah mati. Abang dah lupa apa yang jadi? Abang nak Dhia ceritakan semula? Dhia gugurkan anak Dhia sendiri. Abang lupa? Abang takkan maafkan Dhia sampai bila-bila. Dhia pembunuh. Abang lupa itu juga?”

“Dhia, Raees anak abang dan ia bermakna dia juga anak Dhia.”

“Eii, tolonglah! Dengar balik apa yang abang cakap. Dia anak abang, betul. Memang dia anak abang. Abang tak faham ke? Dhia tak ada anak. Budak itu bukan anak Dhia. Dia tak ada kena mengena dengan Dhia.” Aku terus keluar dari bilik tanpa beri Rayyan peluang untuk bercakap lagi. Terasa seram sejuk bila tengok dia yang macam ini.

Aku tergamam lihat suasana rumah ini. Semuanya cukup ringkas tapi cukup menenangkan. Sedap mata memandang. Dari kombinasi warna hinggalah pilihan perabot, semuanya cantik. Cukup minimalis dan cukup kena dengan citarasa aku.

Aku menuruni tangga terus ke ruang tamu. Masuk ke dapur, sekali lagi aku tergamam. Cantiknya! Rasanya antara semua bahagian di bawah ini, dapur yang paling cantik. Sudah macam dapur dalam gambar Pinterest. Ada kitchen island yang besar dan luas. Peti sejuk sebesar alam! Siap ada skrin pada peti sejuk.

Aku pejam mata bila terasa hembusan nafas dari tubuh yang sedang berdiri di belakangku. Sebelah tangannya naik menarik rambutku ke belakang lalu diselit pada cuping telinga.

“Abang tumpukan pada dapur sepanjang rumah ini disiapkan. Setiap kali ada yang tak kena pada mata abang, abang akan arahkan mereka untuk ubah dan buat semula sampai sempurna. Abang nak tempat ini jadi tempat paling sempurna dan yang paling Dhia suka, memandangkan Dhia suka memasak. Ini juga tempat kegemaran abang. Comfort space abang. Ia mengingatkan abang dan buat abang rasa dekat dengan Dhia.”

Hampir saja tangan ini naik menyiku Rayyan bila dia secara tiba-tiba menggenggam tanganku. Sudah itu tak habis-habis guna ayat yang menyeramkan. Tak sempat nak marah dia, tiba-tiba tubuhku terasa bergegar sesaat bila ada tubuh lain yang melompat memeluk aku. Lebih tepatnya, peluk kaki aku.

Aku terus tunduk pandang orang ketiga itu. Hanya ini bukan penyondol, tapi si kecil yang sedang tersengih sambil memeluk kakiku.

“Daddy…” Raees panggil Rayyan.

“Ye, sayang?”

“Kenapa kita peluk mommy?”

Mommy? Raees panggil aku mommy? Dan peluk? Rasanya dia saja yang peluk aku. Rayyan hanya pegang tangan. Kalau Rayyan berani peluk aku, memang aku terus buka gelanggang di sini. Lantaklah dia tahu apa yang aku sembunyikan itu atau apa. Jangan cari pasal!

“Itu sebagai tanda yang kita sayang mommy. Peluk dan sentuh mommy tanda kasih sayang,” jawab Rayyan.

“Daddy sayang mommy?”

Nak saja aku menjerit sekuat hati bila tiba-tiba Rayyan mengangguk sekali. Mengiakan soalan Raees yang aku harapkan jawapan bertentangan. Gila! Dia dah gila!

“Kalau tak sayang, takkanlah Raees ada adik dalam syurga.”

Oh la la!

“Oh! Sebab itu kita kena sayang mommy!” Raees terus eratkan pelukannya pada kakiku sambil terangguk-angguk faham.

“Tahu tak apa. Dan sebab itu jugalah mommy kena belajar untuk kembali sayangkan daddy.” Di hujung ayatnya Rayyan perlahankan suara seakan tak mahu Raees dengar.

Kembali sayangkan dia? Wah, mulalah aku rasa nak jadi manusia paling kejam dekat sini. Sesedap hati dia je cakap dan buat apa yang dia nak. Dia ingat aku ini masih Dhia budak hingusan yang terhegeh-hegeh dekat dia itu kut.

"Mommy..." Tiba-tiba anak Abang Rayyan panggil aku pula. Penuh comel dan lembut suaranya sampai cair aku yang mendengar ini.

Nak menyahut, tapi sudah macam aku mengiakan panggilan mommy itu pula. Jadi akhirnya aku hanya pandang Raees sambil menunggu Raees bersuara.

"Terima kasih sebab balik rumah semula. Raees rindu mommy banyak-banyak!" Dan pelukan pada kakiku semakin dieratkan.

Tapi rindu? Rindu apanya kalau ini kali pertama dia bertemu dengan aku? Jangan kata yang anak dengan bapa sudah sama-sama mereng pula. Mommy awak bukan kakaklah, Raees.

"Raees pergi masuk bilik. Ambil kain tuala dan mandi. Sekejap lagi daddy minta nenek naik dan tolong Raees pilih baju."

"Tapi Raees nak mommy yang pilih baju." Raees pandang aku dengan mata yang dikelip-kelip bukan main comel. Mata cantik Abang Rayyan yang ada pada Raees buatkan pesona si kecil itu jadi lebih menggila!

"Mommy tak boleh, Raees. Mommy sangat penat dan mommy perlukan rehat. Kalau tak nak nenek yang pilih, nanti daddy yang tolong."

Wah, aku tak sangka aku dapat saksikan pemandangan di mana Abang Rayyan yang suka ikut kepala sendiri ini akan berdiplomasi dengan orang lain. Pujuk, cakap elok-elok dan lembut. Oh, yelah aku lupa. Ada seorang manusia lagi yang dapat layan yang sama seperti Raees. Kak Qila!

"Tapi..."

"Raees..." Dan itu dia. Masa berbaik-baik dah tamat. Rayyan sudah mula tekan suaranya. Tegas bunyinya. Inilah suaranya bila dia sibuk sakitkan hati aku dulu.

Agaknya Raees takut dengan Rayyan, terus budak itu berundur selangkah demi selangkah naik ke tingkat atas dengan bibir yang tercebik sedih bila permintaannya ditolak. Aku yang tengok pun ikut sedih juga. Kesian dia.

"Dhia pun, pergi masuk bilik dan rehat. Bilik kita di sebelah bilik Raees," arah Abang Rayyan sebelum dia seperti berura untuk berlalu pergi.

Wo, wo! Kejap! Aku cepat-cepat menahan dia. Apa dia tadi?

"Bilik kita?" Aku dan dia ke?

"Ye, bilik kita. Kenapa?"

Fuh, apa yang ada dalam kepalanya sampai dia fikir aku nak masuk dalam 'bilik kita' itu? Setelah hampir lima tahun berpisah?

"Pertama, Dhia tak pernah cakap yang Dhia setuju untuk duduk di sini buat sementara waktu. Kedua, Dhia tak nak ada 'bilik kita'. Dhia lagi sanggup tidur di luar rumah."

Abang Rayyan kembali mendekatiku. Jarak yang dekat buatkan tingginya semakin ketara sampai aku perlu mendongak untuk menentang pandangan mata tajamnya itu. Nak tunjuk yang aku memang maksudkan itu!

"Pertama, abang tak pernah cakap yang Dhia akan duduk di sini buat sementara waktu. You're going to stay here, live here forever. For eternity, unless we move out of this home. Kedua, nak atau tidak, itu bilik kita. Abang buat untuk kita berdua. Kalau Dhia lagi sanggup tidur di luar, abang akan tarik bantal dan selimut untuk tidur di luar bersama Dhia."

Apakah...

Tanpa beri aku ruang untuk melawan atau membantah, Rayyan terus berlalu keluar dari rumah. Entah ke mana dia nak pergi, tapi pokoknya jawapan dia tadi memang dah berjaya untuk diamkan aku.

Dasar lelaki gila talak!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience