Bab 31

Romance Series 30734

"SAYA minta diri sekejap. Nak ke tandas." Lelaki bernama Jimmy itu terus bangun dan berlalu mencari tandas.

Elok saja hilang bayangan lelaki itu, aku terus merenung Ilyana dalam-dalam. Tengok muka gelisah dia sekarang, aku rasa dia takut dengan renungan aku ini.

"Apa hubungan kau dengan dia?" soalku.

"Dia abang angkat aku je."

Keningku terus terjongket. "Abang angkat je?"

"Yelah, abang angkat je. Aku kenal dengan dia masa reunion kelas kita tahun lepas. Dia abang Emilia."

Emilia? Oh, aku ingat nama dan muka pemilik nama itu. Tapi abang angkat? Aku masih tak boleh terima dan cerna yang satu ini.

"Motif ada abang angkat?" soalku lagi.

"Motif apa pula? Dah nama pun abang angkat. Macam kau dengan Abang Aridylah. Kan dia pun kau anggap macam abang juga?"

Aku kerling Rayyan di sebelah bila aku perasan yang dia terus berhenti mengunyah saat nama Abang Ardiy disebut. Malahan sudu dan garpu yang masih digenggam pun terus pegun. Aku rasa dia tak suka bila nama itu bangkit dalam topik kami. Tapi memang itu saja yang sesuai untuk dibandingkan dengan situasi Ilyana sekarang. Nak ganti Abang Diy dengan Rayyan? Huh! Seumur hidup aku tak pernah menganggap Rayyan ini abang aku. Aku suka pada dia gila-gila kut dulu!

Dan Yana tahu fakta yang satu ini. Rayyan tak pernah  dan tak akan pernah aku anggap sebagai abang.

"Masih tak jelaskan apa motif kau ada abang angkat segala bagai ini. Aku tengok lelaki itu macam something off. Aku tak senang tengok dia."

Ilyana tergelak. Tengoklah, dia tak ambil serius pun apa yang aku kata. Masalahnya, aku tak tipu. Lelaki bernama Jimmy itu memang nampak pelik di mata aku. Aku rasa tak suka dan tak selesa bila melihat dia.

"Kau ini overthinking sangatlah, Dhia. Dia memang abang angkat aku je. Abang dengan adik, mana ada apa boleh jadi."

Bibirku menyenget sinis bila dengar balasan Ilyana. Abang dengan adik tak ada apa boleh jadi ye? Yakin?

"Jangan nak percaya dan yakin sangat dengan terma abang dan adik angkat itu. Abang kandung pun boleh makan adik sendiri, apatah lagi setakat abang angkat. Kau dengan dia halal untuk berkahwin, jadi hati-hati. Bukan hati-hati sikit, tapi banyak. Ada sesetengah orang itu, dia anggap je kita macam adik angkat. Kononnya tak bernafsu atau rasa jijik untuk sentuh sebab dah anggap macam adik, tapi sudahnya si 'adik' itu mengandungkan anak dia pula."

Bum! Satu das sindiran aku tepek pada Rayyan di sebelah. Satu peluru, dua mangsa. Ilyana terus senyap dan Rayyan pula, dari ekor mata aku nampak dia sedang tenung muka aku. Cuma aku tak adalah nak membalas pandangan dia. Nanti nampak ketara sangat pula yang aku sedang bercakap tentang dia. Bukan Rayyan yang aku takutkan, tapi Ilyana.

"Kau ini apa pula cakap macam itu? Aku tahulah mana batasnya." Ilyana membela diri.

"Yelah, kalau kau tahu batasnya bagus. Tapi kalau si lelaki yang tak tahu batas, macam mana?" Kali ini aku tak lagi menyindir Rayyan, tapi aku rasa Rayyan masih tersindir sebab dia masih senyap di sebelah.

Bukan apa, tapi dulu aku yang tergedik-gedik sukakan Rayyan. Jadi ayat kau tahu batas itu tak sesuai untuk aku. Aku rempuh segala batas sebab aku tak pernah menganggap dia sebagai abang!

"Kau doa jelah yang baik-baik."

Fine!

Aku toleh pandang Rayyan bila terasa diri masih lagi diperhati. Mata bertentangan dengan matanya yang sedikit tajam dan keningnya yang terjongket sebelah pandang aku. Macam nak kata, amboi bukan main menyindir ye?

Aku jongket balas keningku. Kedua-dua belah terus! Bahasa mulutnya, betul apa?

Perhatian kami kembali teralih bila Jimmy kembali ke meja. Dia tersenyum lebar sebelum duduk semula di sebelah Ilyana.

"Mommy, Raees nak air itu boleh?" Raees yang entah bila sudah turun dari kerusinya tiba-tiba menepuk paha aku.

"Air? Air ini?" Aku angkat just oren yang aku pesan.

Bibir tersenyum bila Raees mengangguk. Siap muncung mulut lagi! Tak sabar betul nak songlap air aku ye? Tapi aku kan baik. Jadi aku berikan saja air itu kepada Raees. Terus dia bawa cawan itu ke tempat duduknya.

"Raees ini bukan anak Dhia kan?" Tiba-tiba Jimmy bersuara, menyoalku.

Rasa tersepit bila dengar soalan itu. Ini kalau aku kata bukan, mesti Raees akan sedih. Kalau aku mengaku pula...

"Anak Abang Rayyan." Sudahnya itu saja yang aku jawab. Betullah kan?

"Tapi kenapa dia panggil Dhia mommy?"

Ya Allah, banyak tanya pula!

"Sebab..."

"Sebab Dhia memang mommy Raees. Dia isteri aku, jadi dia juga ibu Raees. Tak kiralah siapa yang beranakkan dia, Dhia tetap ibu Raees."

Oh, nak pengsan! Rayyan menghantar pertolongan yang tak diperlukan. Dia siap tekankan aku ini ibu Raees tiga kali!

"Ha?!" Dan itu dia yang aku paling tak mahu berlaku sudah berlaku, Ilyana sudah ternganga sampai sudunya terlepas daripada genggaman. Aku dipandang dengan mata terbeliak.

"Bila masa kau kahwin, Dhia?"

Damn it!

Aku terus menoleh pandang Rayyan. Tengoklah itu, muka tak bersalahnya! Tak faham-faham lagi ke yang aku tak mahu orang tahu aku ini isteri kau?! Kenapa kena mengaku dekat depan kawan aku? Kenapa tak boleh ikut saja rentak aku? Rayyan memang tak pernah fikir tentang perasaan orang lain.

Menyakitkan hati!

Dengan dahi yang sudah berkerut marah, aku terus mencapai beg tangan. Nak angkat kaki dulu. Pandai-pandailah Rayyan bayar semuanya nanti!

"Mommy!"

Tapi kakiku terus pegun bila dengar suara Raees yang memanggilku. Suaranya seperti mahu menangis. Aku automatik kembali berpusing pandang Raees yang sudah berlari cuba mengejar langkahku. Rayyan pula sudah berdiri di tepi kerusinya.

Kenapa aku berhenti pula ini?

Badanku bergegar sekejap bila Raees terus memeluk kakiku. Dia mendongak bibir yang tercebik dan mata yang sudah berkaca.

"Mommy nak tinggal Raees?" Polos soalannya.

Dan aku tak sampai hati!

Aku paksa bibir untuk menguntum senyum. Badan ditundukkan sebelum aku bercangkung rapat di depannya. Tanganku naik menyentuh tubuh Raees. Anak ini tak bersalah. Betul, dia tak tahu apa-apa. Nanti aku akan kerat sepuluh daddy dia!

"Mommy jangan tinggal Raees. Raees sayang mommy..."

Oh...

Air matanya jatuh setitis. Segera jariku menyeka air mata itu sebelum senyuman lebih lebar aku ukir untuknya.

"Mommy tak tinggal Raees. Mommy nak ke kedai sana. Mommy nak belikan toys untuk Raees. Raees nak ikut mommy?"

Ye, aku tak tersilap. Bukan aku terlucut bahasakan diri sebagai mommy. Aku menyedari yang aku sedang bahasakan diri sebagai mommy dan bukan kakak. Sebab aku mahu.

"Nak beli toys? Nak! Nak!" Raees terus menenyeh matanya sambil terlompat-lompat kegembiraan. Tanganku terus digenggam. Raees lupakan daddy dia sekali lagi! Hahaha.

Memang padan dengan muka Rayyan yang masih berdiri memerhati kami dari meja sana. Siapa suruh dia cari pasal dengan aku? Tengok, anak pun nak ikut mommy dia tahu? Huh!

"Raees nak aiskrim?" Elok sangat booth aiskrim ini terletak betul di depan restoran tadi.

"Kalau Raees nak aiskrim, boleh ke beli mainan juga?"

Alooo!

"Mestilah boleh. Raees nak aiskrim yang mana?" Aku terus angkat Raees supaya dia dapat lihat apa yang ada di sebalik kaca.

"Nak yang itu!" Raees tunjuk aiskrim vanilla and cookie.

Sementara pekerjanya menyiapkan pesanan kami, aku terus menggeledah beg tangan. Baru nak menarik keluar dompet, tiba-tiba ada tangan yang terus masukkan semula dompet aku ke dalam beg.

Aku pandang dia. Rayyan.

"Dhia tak nak aiskrim?" soal Rayyan. Sambil itu Rayyan berlalu ke kaunter.

Aku geleng saja. Tak mahu! Lagi pula kalau dia yang bayar. Huh!

Selesai dengan aiskrim, kami terus masuk ke kedai mainan selepas Raees menghabiskan aiskrimnya. Dapatlah dia paw daddy kesayangan dia itu tiga mainan baru. Semuanya harga beratus-ratus. Takut aku tengok resit! Resit pendek, tapi harga panjang! Alang-alang sudah ada di sini, Rayyan bawa kami ke kedai baju pula. Katanya nak beli baju.

Sementara Rayyan sibuk memilih baju bersama Raees, aku berdiri di tepi sambil memerhati mereka. Sesekali Raees akan datang dan tunjuk mana-mana baju yang dia suka. Siap minta nak beli padahal itu saiz dewasa!

Sibuk memerhati, tiba-tiba dari hujung mata, aku dapat mengesan satu susuk tubuh yang berdiri tak jauh dari kami. Daripada bahasa isyarat tubuhnya, aku mengerti apa tujuannya berada di situ. Sedang memandang ke arah kami sambil kadangkala memerhati kawasan sekeliling. Niatnya jahat. Tapi apa yang disasarkan?

Aku pandang di sekelilingku. Mata mendarat pada seorang perempuan yang berdiri tidak jauh dari aku. Sedang sibuk memilih baju.

Alahai... Patutlah. Telefonnya diletakkan pada poket seluar di bahagian belakang. Sudahlah Iphone keluaran terkini yang aku pun fikir sepuluh kali untuk beli kerana harganya yang buat aku tercekik.

Aku memerhati gerak lelaki yang sudah semakin menghampiri. Makin dekat, makin kerap lelaki itu pusing ke kiri dan ke kanan. Di satu sudut lain, aku nampak seorang lelaki bertubuh sasa, bertattoo di lengan sedang memerhati. Pastinya itu tukang jaga line sekiranya ada apa-apa yang berlaku.

Saat lelaki itu berjalan di belakang kami, aku nampak sebelah tangannya menarik keluar telefon dari poket belakang perempuan itu, sebelum dia berjalan di belakang aku pula. Nak cabut larilah itu.

Laju saja aku melunjurkan sebelah kaki ke belakang. Lelaki itu tersungkur, tapi nasib baiklah dia sempat berpaut pada rak baju. Kalau tak, mesti dah bercumbu dengan lantai.

Marah dengan tindakan aku, terus lelaki itu cuba meraih leherku. Aku segera berpusing sebelum tangannya dicapai, lalu aku pulas. Sudah macam beruk kena senggugut dia menahan sakit.

Suara wanita menjerit terkejut kedengaran. Lambat betul dia menyedari keadaan semasa. Cukup tak fokus!

Saat dia cuba untuk melawan, aku terus menujah kepala lutut ke perutnya. Berdentum di situ. Terus lelaki itu terduduk menahan senak.

"Bagi sini telefon tu." Aku menghulurkan tangan.

Ingatkan sudah insaf. Tapi rupanya tidak. Tanganku direntapnya sehingga aku ikut terbaring di sebelahnya. Melihatkan dia yang sudah berura bangkit, aku segera memanjangkan kaki sebelum lehernya dikepit antara dua kepala lutut. Dia kembali meronta.

Tanganku turun meraba poket seluarnya. Jumpa saja, terus tangan menyeluk poketnya. Telefon itu dipulangkan kepada perempuan yang sudah ternganga melihat aksi di depan mata.

Waktu ini jugalah aku baru perasan yang Rayyan sudah berdiri betul-betul menghadap kami. Wajahnya kelihatan sedikit terkejut melihat aksi aku.

Oops! Terlebih sudah.

Baru nak bangun...

"Hoi!" Ada suara lelaki menyergah.

Seorang lelaki bertattoo berlari ke arah kami. Tapi elok saja matanya bertentangan dengan mataku, tiba-tiba kudrat kakinya seperti ghaib seketika. Terketar-ketar.

"Black..."

Aku menjegil. Amaran!

"Err... Blackpink in your area!"

Untung dia sempat tukar!

"Korang dah tak ada kerja lain ke? Nak jadi perompak dekat tengah-tengah shopping mall ni pulak?" Aku mula membebel.

"Maaf! Maaf! Kami janji kami tak buat lagi," ucap lelaki berbadan sasa yang menyergah tadi. Sambil itu dia terus melangkah takut-takut mendekati aku. Beberapa kali dia menggerakkan telapak tangan yang dirapatkan keduanya tanda memohon ampun.

Hai, melebihlah pula dia ni...

Aku terus lepaskan lelaki tadi. Lelaki berbadan sasa itu laju saja membantu kawannya untuk bangun sebelum keduanya berlari meninggalkan kami sambil sesekali berpusing untuk melihat aku semula.

Aksi tamat bila kakiku dipeluk oleh Raees yang sudah bersinar matanya.

"Wah! Mommy hebat!"

Aku mengerling Rayyan.

Hm, habislah aku!

...

Esok ada update Querida Cinderlisa tahu. Jangan lupa baca!?? Kalau tak baca, Rayyan sekali dengan Dhia dan Raees merajuk??

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience