Bab 3

Romance Series 30734

AKU berlari terus ke muka pintu bila dari tingkap dapur lagi aku sudah nampak kereta Rayyan yang sedang membelok masuk ke dalam perkarangan rumah ini. Baju dan rambut dibetulkan. Harapnya tak adalah bau bawang. Sebab aku tengah tolong umi masak makan petang.

Biasalah… Aku kan nak jadi isteri terbaik untuk Rayyan. Semua pun boleh buat! Jadi kenalah praktis dari sekarang. Hehe.

Pintu rumah dibuka dan aku terus kuntum senyum paling manis bila lihat Rayyan sedang berdiri di sisi pintu kereta yang terbuka. Pintu bahagian penumpang. Agaknya ibu ikut tak?

Tapi senyuman itu terus mati bila rupanya yang keluar dari kereta bukanlah ibu, tapi bakal isteri Rayyan yang Abang Diy panggil Qila. Tersenyum lebar sambil berterima kasih pada Rayyan yang sudah baik hati bukakan pintu untuknya.

Eiii, apa dia buat dekat sini? Selepas setahun lebih tak nampak perempuan itu, tiba-tiba mereka muncul pula! Bukan ke mereka sudah tunda majlis hari itu? Patutnya dah lama mereka kahwin, tapi tunda. Aku ingatkan terus tak jadi kahwin!

Aku sudah nak masuk umur 20 tahun lagi beberapa bulan. Argh! Aku patutnya dapat tempat itu, bukan dia!

“Dhia, pergi panggil papa. Biar umi jemput mereka,” arah umi.

Aku menurut. Terus atur kaki menuju ke arah bilik umi dan papa yang terletak di tingkat dua rumah ini. Ajaibnya, ini kali pertama aku menurut bila umi suruh tinggalkan Rayyan yang ada di depan sana. Selalunya aku akan menolak dan terus berlari menjemput Rayyan.

Pintu bilik umi dan papa dibuka. Aku menjenguk ke dalam. Ada papa yang sedang duduk di atas sofa sambil membaca Al-Quran.

“Pa…” panggilku, lembut.

Papa terus angkat kepala. “Dhia. Kenapa?”

“Rayyan datang,” beritahuku.

“Oh, dah sampai Rayyan itu ye? Ada ke bakal isterinya datang sama?” Papa menyoal sambil Al-Quran ditutup dan diletakkan atas meja kopi. Papa terus bangun sambil mengurut tengkuknya.

Agaknya sengal lepas menunduk lama.

“Ada.” Sepatah! Kalau boleh tak nak ada patah pun!

“Mari kita ke depan, Dhia. Abang Rayyan kamu nak kenalkan bakal isterinya dan jemput kita ke majlis nanti. Pergi berbual dengan bakal isteri Abang Rayyan kamu. Berapa bulan lagi dah jadi kakak kamu pula,” kata ayah sambil tarik aku untuk mengekorinya terus ke ruang tamu.

Eii, kakak? Bila masa pula aku dengan Rayyan ada hubungan sedarah? Aku kenal Rayyan pun sebab ibu Rayyan selalu datang beli bunga di kedai umi. Lama-lama mereka jadi rapat dan ibu anggap aku macam anaknya memandangkan ibu tak ada anak perempuan. Tak ingin aku ada kakak!

Setibanya di ruang tamu, aku terus duduk di tengah-tengah papa dan umi. Mata ditala pandang teko kopi atas meja. Tak nak pandang yang di depan sana. Dua-dua buatkan aku rasa nak terajang orang!

“Rayyan sihat?” soal papa.

“Alhamdulillah, pak cik. Makin sihat sejak-sejak nak kahwin ini.”

Eii, geli!

“Mana tak sihatnya kalau dapat isteri macam ini kan? Alhamdulillah. Tunda pun, akhirnya tamat juga zaman bujang kamu tak lama lagi. Ini bilanya nak langsung?” soal papa lagi.

“Dua bulan lagi, pak cik.” Aku nampak tangan Rayyan menghulur sampul surat kepada papa. Sampul surat bertukar tangan.

“Kami buat majlis kecil-kecilan je. Kedua-dua belah pihak dalam satu majlis. Jemput yang penting-penting je. Pak cik datang ye? Bawa mak cik dan Dhia sekali,” tambah Rayyan.

Huh! Tak ingin aku datang majlis mereka. Kalau aku datang pun, aku akan datang sebagai pengganas. Aku akan hancurkan majlis itu. Bom dewan mereka sampai bersepai! Sudahlah hantar jemputan kemain punya awal. 60 hari sebelum! Nampak benau gelojohnya. Menyampah!

“InsyaAllah, kami sekeluarga datang jika diizinkan Allah.”

Sakit tengkuk asyik tunduk saja, aku terus angkat kepala. Pandang terus ke depan. Sempat bertentangan mata dengan Rayyan, tapi aku lekas toleh pandang yang di sebelahnya pula. Juga sedang pandang aku. Agaknya dua orang ini sedang bertepuk tangan dalam hati melihat aku.

Aku kerutkan dahi bila tiba-tiba bakal isteri Rayyan kuntum senyum. Apasal nampak tak ikhlas ye? Agaknya dia tahu yang aku sukakan Rayyan kut. Cemburu ke?

“Dhia masih belajar kan?” Tiba-tiba dia menyoal. Suaranya ramah, tapi mukanya…

Hm, fishy!

“Ye, Dhia masih belajar. Buat masa sekarang belajar jelah di Malaysia kan? Mak cik belum yakin nak hantar dia merantau sendiri. InsyaAllah kalau suatu hari nanti dia serius untuk sambung belajar di peringkat lebih tinggi, mak cik nak hantar dia belajar di luar sana. Biar dia belajar berdikari. Duduk sini asyik berkepit dengan kami. Manja jadinya.” Ibu yang tolong jawabkan bila aku hanya senyap.

“Manjanya tak buat menyampah, mak cik. Menghiburkan hati. Tak ada masalah,” celah Rayyan.

Huh, aku sudah mula menyampah dengar suara itu!

Umi dan papa hanya gelak sambil terangguk-angguk bila dengar pujian Rayyan. Aku masih diam.

“Dhia jangan tak datang majlis kakak dengan Abang Rayyan tahu? Kami akan bagi meja paling depan sebab selalu hiburkan hati Abang Rayyan. Nanti kakak minta catering sediakan makanan sedap-sedap dekat atas meja Dhia,” kata bakal isteri Rayyan pula.

Hai, kenapa aku dengar seperti ada nada sindiran ye? Macam sengaja nak sakitkan hati aku dengan beri aku meja paling depan. Atau aku sudah benci sangat sampai tak mampu fikir positif lagi?

“Bagus idea itu. Dhia tetamu istimewa kita.” Rayyan menyahut setuju. Mereka ketawa pula. Bahagia betul bunyinya.

Argh! Kenapa aku kena tengok semua ini?!

“Assalamualaikum.”

Aku terus angkat kepala pandang ke arah muka pintu bila dengar suara memberi salam. Suara yang cukup aku kenali.

“Maaf lambat sikit. Ada kemalangan dekat atas jalan tadi. Sangkut sepuluh minit.” Abang Diy!

Dari tadi emosi seperti petir guruh, tiba-tiba bertukar jadi pelangi bila lihat Abang Diy yang sedang berdiri sambil tersenyum ke arah kami. Mata bertentangan dan aku terus melambai sepenuh hati. Abang kesayanganku pun ada rupanya!

Aku terus bangun lalu melompat duduk di sofa yang ada di kiri meja. Sofa untuk dua orang duduk. Nak duduk dengan Abang Diy!

Abang Diy sengih lihat aku yang terlebih aktif. Papa dan umi hanya menggeleng sambil tersenyum lucu.

“Minum dulu, Ardiy. Ini ada kopi dan kek. Kek ini Dhia yang buat,” jemput umi.

Baru umi nak tuang kopi ke dalam cawan kosong, aku terus menahan dengan tayang tapak tangan dikembang besar. Papa dan umi pandang aku dengan riak hairan.

“Abang Diy tak minum kopi. Abang Diy minum teh. Biar Dhia pergi buatkan,” kataku.

Aku kenyit mata pada Abang Diy yang sudah tergelak kecil. Abang Diy memang macam itu. Mudah terhibur!

“Kurang manis kan abang? Tunggu kejap erk!” Aku cepat-cepat bangun lalu terkedek-kedek masuk ke dapur.

Dari sini aku boleh dengar perbualan mereka juga. Dapatlah dengar umi yang bergurau-senda dengan Abang Diy. Umi dan papa memang lebih rapat dengan Abang Diy. Aku pun macam itu juga. Walaupun aku suka gila dekat Rayyan, tapi aku kurang rapat dengan dia. Mungkin sebab Rayyan tak pernah layan aku seperti Abang Diy layan aku.

“Kek apa ini, mak cik?” soal Abang Diy. Merujuk kepada kek yang aku berhempas-pulas buat malam tadi.

“Entah apa nama keknya. Red velvet agaknya. Mak cik pun tak tahu. Biasalah budak-budak muda sekarang. Bab masak semuanya tengok dalam internet. Mak cik tak kenal kek macam ini,” balas umi.

Hehe! Aku memang suka ikut resipi dalam internet. Selalunya menjadi. Umi kata, apa saja yang aku campak dalam kuali mesti sedap. Kuasa seorang Dhia yang cantik dan comel. Muahaha.

Selesai bancuh air teh untuk Abang Diy, aku terus ke depan semula. Air dituang ke dalam cawan lalu aku serahkan kepada Abang Diy. Laju saja Abang Diy hirup. Hilang setengah isipadu dalam cawan itu.

“Kenapa abang datang sini?” soalku.

“Apa tanya macam itu, Dhia?” tegur papa.

Eh, aku tanya je! Salah ke? Sebab yang nak memperkenalkan isterinya itu Rayyan, bukan Abang Diy. Kalau Abang Diy yang bawa isteri, aku mesti terus melompat. Sebab aku masih ada peluang untuk dapatkan Rayyan.

“Saja. Nak jumpa Dhia. Dua minggu tak jumpa Dhia.”

“Abang rindu Dhia erk?” Aku mengacah.

“Rindulah juga. Tak ada kawan berbalah yang degil dan keras kepala ini.”

Aku ketawa dan Abang Diy tersengih. Oh, terlupa sekejap tentang Rayyan dan bakal isterinya. Aku terus pandang ke arah mereka. Keduanya sedang pandang ke arah kami. Terutamanya yang perempuan itu. Matanya bagai menggambarkan kemarahan mendalam. Wajah yang sudah tak mesra semakin menjadi-jadi tak mesra.

Ha, apasal pula ini? Marah aku curi spotlight ke?

Tapi lantaklah! Kau curi bakal suami aku tak apa pula!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience