Bab 1

Romance Series 30734

AKU hampir jatuh tergolek bila sebuah kereta meluncur lalu berhenti di depan perhentian bas. Pintu pemandu terbuka sebelum si pemandu keluar dan berdiri tenang di sisi kereta. Cermin mata hitamnya ditolak naik ke atas. Aku dipandang dengan mata yang sedikit mengecil menahan terik matahari.

“Rayyan?” Aku sebut namanya. Punggung diangkat lalu aku berlari anak dengan tangan yang sedang memeluk buku menuju ke arahnya.

Rayyan yang begitu kacak! Rawrrr! Wajah yang nampak bengis, tapi bila senyum, masyaAllah! Kulit yang tan. Pandangan yang dingin, dan ia buatkan Rayyan bertambah-tambah jantan. Ah, inilah lelaki idamanku! Akan aku ajak dia untuk kahwin dengan aku lepas aku tamat sekolah nanti.

“Abang. Jangan nak panggil nama je.” Rayyan bersuara, tegas.

Dia tunduk pandang aku yang sudah tentu terlebih rendah ini. Ah, baru saja kami buat ujian SEGAK beberapa minggu lepas. Tinggi aku 164 cm untuk gadis yang masih berusia 17 tahun! Aku tinggi jugalah kiranya. Rayyan itu yang tinggi sangat. Sudah macam balak terpacak di depan. Dengan tubuhnya yang tinggi, Rayyan buatkan aku terasa kerdil.

“Tak nak. Dhia nak panggil Rayyan juga,” tegasku.

“Peaches, kenapalah yang degil sangat ini? Berbuih dah abang ingatkan untuk panggil abang, bukan Rayyan. Abang Rayyan pun tak apa. Dhia panggil Rayyan saja, orang kiri kanan pandang pelik dekat abang tau?”

Aku terus pandang kiri kanan. Perhatikan sekeliling yang sudah lenggang memandangkan waktu balik sesi pagi sudah lama berlalu. Aku disidai lebih satu jam di luar sambil menunggu umi atau papa yang tak kunjung tiba. Sampai pengawal keselamatan sudah dua tiga kali keluar dan suruh aku menunggu di pondok pengawal. Takut diculik.

Tapi sekarang aku rasa penantian tadi tak sia-sia. Baru ingat nak berleter dekat umi dan papa. Tapi bila nampak saja seraut wajah kacak ini yang datang menjemputku, terus aku batalkan niat murni itu. Kalau yang ini, tunggu sehari lagi pun tak apa!

“Mana ada oranglah,” kataku.

“Sekarang memang tak adalah. Waktu lain? Bukan dekat sini je Dhia panggil abang dengan nama. Behave sikit. Abang tua hampir sedekad daripada Dhia.”

Aku terus tayang muka cemberut bila telinga dapat mengesan nada menahan marah dalam suara Rayyan. Terus aku beri jelingan, pusing dan berlalu masuk ke dalam kereta. Tempat duduk belakang! Sebagai tanda protes kerana dia sudah berani memarahi aku. Tapi jangan ingat aku nak ikut kata dia. Rayyan sudah beri amaran berkali-kali untuk aku panggil dia abang dan bukan dengan nama, dan tak ada satu pun amaran dia yang aku dengar.

Aku tetap nak panggil dia dengan nama Rayyan. Abang? Hm, save the best for the last! Dah kahwin nanti, baru guna panggilan itu seperti yang aku tengok di televisyen di mana watak isteri memanggil suaminya abang dengan penuh santun. Ah, sweet betul!

Rayyan ikut masuk ke dalam kereta. Kereta mula dipandu dan aku diam saja di belakang.

“Nampak macam banyak sangat je buku, sampai kena gendong pakai tangan. Kenapa tak tinggal dalam loker?” Rayyan bersuara setelah beberapa minit senyap antara kami. Dia jeling cernin pandang belakang.

“Biasalah. Kami sekolah kerajaan. Meja pun susah nak jumpa yang semengah, apatah lagi nak ada loker. Lainlah sekolah antarabangsa macam anak orang kaya.” Termasuklah yang sedang memandu itu!

Rayyan senyap.

“Umi dan papa minta abang tolong ambilkan Dhia. Mereka ada urusan. Balik nanti, ambil kunci dalam pasu bunga. Mereka tak ada dekat rumah, jadi duduk rumah diam-diam. Jangan nak merayap atau buat kerja dalam itu. Balik, terus tidur atau siapkan homework. Faham?”

Umi dan papa tiada di rumah?! Inilah masanya untuk berkepit dengan Rayyan! Kalau ada umi dan papa, pasti telingaku sudah dijentik kerana terlalu gedik.

“Tak payahlah hantar Dhia balik. Dhia nak ikut Rayyan ke ofis, boleh?” soalku. Aku terus merapat ke kerusi depan. Peluk kerusi sambil tayang muka comel.

Tolonglah kata boleh!

“Abang kerja, Dhia. Dhia ikut pun tak ada apa yang menarik nak dibuat. Duduk dekat rumah lagi bagus. Boleh berehat. Lagipun esok sabtu. Balik awal, rehat awal. Esok bangun awal. Barulah rasa cuti yang berkualiti dan tak terasa pendek.”

Ah, ceramah pula dah!

“Tapi dekat ofis ada Abang Diy!”

“Hai, dengan Ardiy baru reti nak berabang?” Rayyan jeling cermin pandang belakang lagi.

“Mestilah. Rayyan lain. Abang Diy lain.”

“Apa yang lain?”

“Abang Diy macam abang Dhia. Rayyan bakal suami Dhia.” Aku tersengih manja. Abang Diy dan Rayyan, dua-dua aku suka! Abang Diy sebab dia sangat baik. Sentiasa melayan aku.

“Peaches…” serunya. Panjang entah berapa harakat.

Aku pandang Rayyan yang sudah tetapkan mata pada cermin pandang belakang sebaik saja kereta berhenti di lampu isyarat. Panggilan peaches itu memang selalu Rayyan gunakan. Tambah-tambah lagi bila dia mahu sekolahkan aku.

“Dhia masih belajar. Fokus pada pelajaran. Belajar rajin-rajin dan pergi sambung belajar di luar sana. Orang yang merantau adalah orang yang bijak. Dhia masih ada banyak perkara untuk dilihat dan dipelajari. Tak perlu sibuk melayan perasaan. Fokus untuk SPM tahun ini. Boleh?”

“Kalau Dhia lulus SPM, Rayyan nak kahwin dengan Dhia tak?”

“Ya Allah, Dhia. Jangan cakap macam itu. Nanti orang fikir abang ini pedophile pula. Kan abang selalu kata, Dhia sambung belajar nanti, lagi berlambak lelaki yang Dhia akan jumpa. Lebih kacak, lebih baik, lebih segalanya. Sekarang Dhia fokus pada pelajaran. Abang faham, ini memang masa remaja macam Dhia nak belajar mengenal perasaan. Tapi percayalah, peaches. Bila Dhia dah besar nanti, Dhia akan segan bila ingat semula apa yang Dhia cakap pada abang sekarang. Dhia akan menyesal dan malu.”

“Selagi Rayyan tak kahwin, selagi itulah Dhia nak suka Rayyan,” putusku. Dan Rayyan terus tak terkata lagi.

"RAYYAN!"

Aku terus berlari ke arah Rayyan yang sedang duduk di sebuah kerusi luar gelanggang futsal. Oh, kacaknya Rayyan! Dia sedang kesat segala peluh pada mukanya, dan dia nampak begitu menawan sekali. Hai, bakal jodoh aku nantilah itu!

Hakhak!

Aku kuntum senyum lebar saat Rayyan menoleh ke arahku. Nampak saja aku, dia terus pandang ke arah bertentangan. Aku nampak tangannya naik mengurut belakang leher sendiri sebelum dengan muka yang serius dia pusing semula untuk memandangku.

Hm, kenapa Rayyan macam tak suka aku dekat sini ye? Tapi tak mungkinlah. Ini mesti Rayyan penat selepas bermain futsal.

"Dhia buat apa dekat sini?" soal Rayyan sebaik saja aku berdiri di depannya.

"Oh, Dhia datang sebab nak tengok Rayyan dengan Abang Diy main futsal."

"Datang dengan siapa? Ardiy?"

Aku terus mengangguk sebelum tunding ke arah Abang Diy yang baru nak berjalan masuk ke sini selepas pusing satu parking lot untuk mencari kotak kosong. Sebab hari ini ada perlawanan badminton di court sebelah sana, terus parkir di sini penuh dengan kereta penyokong mereka. Sebab tak sabar nak jumpa Rayyan, aku terus lompat turun dulu dan biarkan Abang Diy cari kotak parkir sendiri.

Muahahaha!

"Papa dan umi bagi ke Dhia keluar ini?" soal Rayyan lagi.

"Abang Diy dah minta izin dekat papa. Papa yang bagi Dhia keluar hari ini. Lagipun hari ini kan cuti?"

"Hm, yelah." Sudahnya hanya itu balasan Rayyan.

Aku lihat Rayyan capai botol air yang sudah berpeluh selepas keluar dari kotak aisnya. Air diteguk sehingga botol kemek! Haus benar.

"Budak bertuah, sampai hati Dhia tinggalkan abang cari parkir sendiri."

Dengar saja suara Abang Diy yang sudah geram itu, aku terus tergelak. Alah, Abang Diy ini janganlah tak faham yang kitanya nak jumpa Rayyan cepat-cepat. Membazir masa dekat luar bukannya dapat apapun. Hehe.

"Dhia duduk dekat sini. Abang nak main futsal. Dekat depan sana ada, tapi jangan pergi sendirian. Kalau nak ke sana, panggil abang. Abang temankan." Abang Diy terus keluarkan kasutnya. Beg dicampak ke lantai sebelum kasut disarungkan ke kaki.

Hm, Abang Diy memang selalu terlebih risau! Dia lupa kut yang aku sudah 17 tahun. Lagi sebulan nak ambil SPM dah pun! Tak akanlah nak ke kedai tepi sana pun kena berteman. Tapi kalau Rayyan yang nak teman, aku on saja!

Aku duduk di kerusi sambil perhatikan sekeliling kami. Ada orang dalam gelanggang futsal yang sudah mula buat renggangan. Agaknya itu yang baru sampai macam Abang Diy kut. Kesemuanya mula ambil tempat sendiri sambil berborak antara satu sama yang lain. Dah nak mulalah itu.

"Kenapa kau bawa Dhia datang sini?"

Telinga menangkap suara Rayyan menyoal Abang Diy. Perlahan, tapi aku boleh tangkap suara itu. Mulalah aku tak sedap duduk ini. Rayyan betul-betul tak suka aku ke sini ke?

"Apa salahnya? Aku yang bawa, aku yang hantar. Kesian dia kalau asyik menghadap buku dan terperap di rumah saja."

Betul! Penat tahu asyik belajar saja? Bila Abang Diy datang dan ajak untuk tengok mereka main futsal, aku terus terlompat keriangan sambil pujuk papa dan umi untuk beri kebenaran.

"Jangan nanti aku yang kena sudahlah. Kalau Qila datang tak pasal-pasal bergaduh pula, nanti dia fikir yang bukan-bukan."

"Kalau Qila fikir yang bukan-bukan, nampak sangat kau dah salah buat pilihan hidup. Dengan Dhia pun nak tergugat dah kenapa? Kau tak payah risau, Dhia datang dengan aku. Aku yang bawa. Kalau dah masalah sangat untuk kau, kau anggap je Dhia tak wujud. Senang."

Dan Abang Diy terus masuk ke dalam gelanggang meninggal Rayyan yang terus campak botol ke dalam tong sampah hitam yang berada di belakang kami. Sebelum Rayyan ikut sama masuk ke dalam gelanggang, sempat aku dipandangnya.

Disebabkan perbualan mereka, aku sudah jadi tak tahu nak beri reaksi apa. Jadi bila Rayyan pandang, aku hanya toleh pandang tempat lain.

Permainan dimulakan sebaik saja Rayyan masuk dalam kumpulannya. Rayyan dan Abang Diy dalam kumpulan berbeza. Berlawan semasa sendiri dan mempamerkan skill masing-masing. Walau aku teruja melihat Abang Diy yang agak ganas hari ini sampai Rayyan terseret ditolaknya, tapi aku tetap tak boleh buang perbualan mereka daripada kepala sendiri.

Siapa Qila? Kenapa Rayyan nampak betul-betul tak suka bila aku ikut untuk menonton sama?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience