Bab 40

Romance Series 31043

AKU tersenyum sembunyi saat melihat mata Rayyan yang sudah menghelang ke meja sebelah. Sebelah itu pun boleh tahan jauh. Jarak antara meja di sini boleh memuatkan dua buah meja sama di tengahnya. Mungkin untuk memberi pelanggan lebih privasi.

Aku mengerling meja sebelah juga. Terus mata bertentangan dengan mata lelaki yang sedari tadi asyik pandang aku. Memang cari nahas lelaki itu. Berani betul dia melirik perempuan yang datang dengan seorang lelaki di tempat seromantis ini?

"Abang..." panggilku.

"Hm?" Barulah Rayyan memandang aku semula.

"Abang tengok apa?" soalku.

"Tak ada apa."

Ewah, dia berselindung pula.

Aku tersenyum. "Jangan risau, dia bukan yang pertama. Setakat terjeling-jeling, tak ada apanya."

"Kenapa? Mamat-mamat dekat sana pun suka main mata dengan Dhia?" Nada tak sukanya sudah menguasai. Jelas.

Aku mengangguk saja. Dah benda betul.

"Patutlah langsung tak fikir pasal abang. Ramai calon pengganti rupanya." Nada cemburu pula.

Aku tergelak kecil. Alahai!

"Dhia langsung tak fikir pasal abang sebab Dhia bencikan abang. Lagipun Dhia sibuk dengan belajar..." Dan berlatih.

"Pasal lelaki, Dhia tak ada masa untuk ambil tahu. Dia orang jeling, Dhia pandang dan buat bodoh. Dia orang minta nombor, Dhia kata yang Dhia dah kahwin dan suami Dhia tengah tunggu dekat mana-mana. Selesai."

Rayyan merenung aku bagai sedang menilik kalau-kalau aku menipu, tapi bila aku tersenyum, Rayyan terus tunduk dan sambung memotong steak di atas pinggan.

"Jadi apa tea yang Dhia cakap petang tadi?"

Hm, tea? Oh!

"Dhia ada banyak tea. Coffee pun ada. Mana yang abang nak? Teh, manis sikit walau ada kelatnya di hujung-hujung. Kopi, pahit. Dhia akan beri abang satu peluang untuk kopi, dan satu untuk teh." Teh, pendedahan yang lebih ringan. Kopi? Yang berat.

"Kalau kopi?"

"Perempuan itu sumbat makanan dalam mulut arwah ibu, buli ibu, tengking dan mengutuk ibu sampai ibu hampir tak bernafas dikerjakannya. Ibu tak bercakap dan mempertahankan hujahnya di depan abang sebab ibu takut abang akan pergi kerana terlalu percayakan perempuan itu. Sepanjang tempoh perkahwinan abang, ibu menangis sendirian hampir setiap malam."

Mata Rayyan mula mendung. Aku tahu dia ingat peristiwa itu sebab aku yang bercakap dengan dia. Tapi Rayyan tak percaya...

Dia percaya cakap perempuan itu.

"Dan abang tak berpeluang untuk minta ampun pada ibu..." kata Rayyan di hujung bibir. Suaranya bagai tak mahu keluar. Terlalu berat.

"Dan ibu salahkan diri sendiri untuk segala apa yang abang hadap lalu berikan kepada dia. Ibu tak pernah salahkan abang," tambahku. Menambah lagi mendung di wajah Rayyan.

Tanganku turun ke bawah meja. Menyentuh pahanya sebelum tersenyum nipis.

"Ibu hanya nak abang bahagia, jadi berbahagialah. Kebahagiaan abang akan buatkan segala sakit yang arwah hadap dulu berbaloi. Jangan sia-siakan segala sakit itu dengan berduka dan menyesali, abang."

Mendengar itu, Rayyan terus memaksa bibir untuk tersenyum. Matanya berkelip lembut membalas pandangan aku.

"Abang akan bahagia. Bersama Dhia dan keluarga kita," tekadnya.

Tapi bersama aku? Pasti ke dia?

"Ah! Cukup yang sedih-sedih. Apa kata kita tukar ke teh pula?"

Rayyan ikut berlagak biasa semula. "Apa tehnya?

"Abang rasa?"

"Dhia nampak perempuan itu curang?"

Hm! Bijak!

"Lebih kurang. Tapi bukan nampak, dengar. Dia kata dia suka Abang Diy depan arwah ibu dan Dhia. Dia juga kutuk abang, kayu, tak bagi perhatian, sibuk dengan kerja, tak romantik dan entah apa lagi. Dhia dah lupa."

"Dhia rasa yang sama?" soalnya.

Aku rasa yang sama? Ada ke?

Aku menjongket bahu. "Entahlah. Dhia tak rasa apa-apa melainkan yang abang kayu. Itu Dhia memang setuju. Abang langsung tak romantik. Tapi itulah, sebab abang tak suka Dhia dan kita tak pernah jadi suami isteri yang betul, jadi mungkin sebab itu Dhia tak nampak hal-hal romantik yang abang boleh buat. Bab bagi perhatian, Dhia tak rasa kurang perhatian pun. Lagipun Dhia suka menyendiri. Ada masa peribadi sendiri. Mungkin sebab itu dia tak rasa yang itu juga. Kalau bab asyik dengan kerja, Dhia setuju."

Bibirnya tertarik sedikit. Tersenyum pendek.

"Abang orang yang keras, Dhia. Betul, abang tak romantik dan kayu. Abang juga memang gila kerja. Orang selalu kata, abang bengis dan ada aura yang gelap. Abang tak boleh ubah sebab itu diri abang. Itulah yang buatkan abang jadi lelaki bernama Rayyan Halzeri."

Aku tersenyum. Aku faham. Kak Qila itu mungkin cinta pertama dia sebab Rayyan memang hanya hidup untuk bina diri dan kerjaya. Dia hidup untuk pegang harapan keluarganya. Mungkin nak bermanis tak ada dalam senarai kepakaran Rayyan.

"Orang juga ada kata yang sisi-sisi romantik itu akan keluar bila kita dengan orang yang tepat. Mungkin suatu hari nanti, abang akan dengan semulajadinya tunjukkan sisi tersembunyi. Siapa tahu?" balasku. Hanya mahu buat dia lebih tenang dan tak menyalahkan diri.

"Bagi abang peluang, dan abang akan tunjuk pada Dhia."

Eh?

Terus terdiam aku dibuatnya. Dengan mata yang redup memandang aku, Rayyan betul-betul buat aku terkedu. Dia nak tunjuk pada aku? Aku?

"Dhia tak nak balas perbuatan abang dalam masa lima bulan, jadi kita tukar peraturannya. Dhia beri abang masa lima bulan, masa bersama peluang dan ruang. Dan abang akan buat Dhia jatuh cinta pada abang. Sekali lagi..."

TANGANKU ditarik lembut menuju ke arah tempat duduk di tepi tasik. Di tanganku ada kipas mini yang kami beli di kedai serbaneka sebelum ke sini. Kata Rayyan, dia nak gunakan masa bersendirian tanpa Raees dengan sebaiknya memandangkan esok hari sabtu.

Kiranya, dia ajak aku untuk tidur lambat.

Sekarang sudah jam 12 malam dan kami masih di luar. Malahan semakin jauh dari rumah. Rayyan bawa aku pusing kawasan bandar ini sebaik saja habis makan malam tadi. Dari jam 10 sampai jam 12.

Gila! Siapalah yang kayu benar ajak isteri dating dalam kereta sambil pusing satu Kuala Lumpur ini sampai berjam-jam? Rayyanlah itu!

Sebelum aku dibenarkan melabuh duduk, Rayyan letak sehelai kain di atas kerusi sebagai alas. Hanya cukup untuk aku.

"Abang pernah bawa Dhia ke sini dulu kan?" soalku sebaik saja duduk dilabuh. Tersenyum tenang memandang tasik yang gelap di depan.

Kalau sendiri ini memang kirim salamlah nak bertenang. Awal-awal aku sudah cabut lari. Trauma dengan kejadian ragut dulu. Tak kiralah pandai berlawan atau tidak, keselamatan perlu diutamakan. Tak selamanya nasib baik akan menyebelahi.

Hanya kerana ada Rayyan, aku tenang.

"Dhia ingat lagi? Tapi dulu kita ke sini waktu pagi."

Aku mengangguk. Mestilah aku ingat. Tentang dia semua ada dalam kepala. Tersimpan kemas walaupun setelah benciku kepada dia mula bercambah.

"Ingat. Abang bawa Dhia keluar dengan arwah ibu dan umi. Kita berjoging di depan sana, tapi ibu dan umi pancit awal, jadi mereka tengok saja kita. Kemudian, abang bawa kami breakfast di kedai nasi campur. Lepas itu, terus abang hantar balik."

Rayyan mengangguk. Mengiakan memori yang aku punya. Kiranya dia juga mengingati memori itu.

Diam menyapa dan aku hanya bernafas tenang menikmati pemandangan malam yang tidaklah istimewa. Hanya malam ini terasa tenang sekali. Aku tersenyum saat Rayyan mendepa sebelah tangannya pada penyandar kerusi.

Aku terus bersandar pada tangannya. Sesekali kipas itu akan aku lalukan pada lehernya. Biar dia rasa anginnya juga. Malaysia ini panas lain macam. Malam pun boleh berpeluh. Macam sekaranglah.

"Petang tadi abang bawa ke sekolah. Sekarang abang bawa ke sini. Sengaja atau tidak?" Aku membuka mulut.

"Sengaja. Abang nak bawa Dhia berjalan dalam memori Dhia sendiri. Memori kita."

"Kita ada banyak memori..." Memori buruk pun...

"Sangat banyak..." Rayyan mengangguk lembut.

"Kalau abang boleh minta sesuatu dan ia akan jadi kenyataan, abang akan minta untuk putarkan waktu. Abang akan pulihkan segala memori buruk Dhia bersama abang sehingga hanya yang manis tersisa."

"Kalau hanya yang manis, kita tak akan berkahwinlah. Sebab yang buruk hanya berlaku selepas kita berkahwin, abang."

"Abang akan maniskan yang buruk. Abang akan putarkan waktu sejauh mana pun ia sehingga yang abang lihat dan temui hanyalah Dhia."

Aku tersenyum nipis. Sudah tak tahu nak cakap apa.

"Tapi akhirnya, hanya sesal yang tersisa. Memori itu tak akan boleh diperbaiki lagi. Abang hanya boleh pastikan yang memori akan datang itu manis dan berharap yang Dhia akan maafkan segala memori buruk itu. Dhia hanya perlu beri peluang dan ruang dan abang akan baiki segalanya untuk kita."

Kami senyap. Senyap kerana aku tak membalas apa-apa. Sehinggalah bila tiba-tiba melodi klasik kedengaran.

Rayyan meletakkan telefonnya yang sedang bernyanyi perlahan ke dalam poket seluar. Tanganku dicapai sebelum aku ditarik lembut untuk berdiri. Tangannya naik melingkari pinggangku setelah tanganku diletakkan pada bahunya.

Bersama sorotan lampu yang terpacak di sebelah kerusi ini, kakinya mula memandu aku untuk menari mengikut irama tenang muzik yang dimainkan. Sambil menari, sambil itu sebuah kucupan ringkas hinggap pada ubun-ubunku.

"Kalau Raees tengok, mesti macam-macam soalan dia tanya kita," bisikku. Tersenyum lagi bila teringatkan soalan Raees.

Mommy dengan daddy dah sayang ye? Haha!

"Sikapnya sama macam Dhia. Manja, banyak soal dan ceria."

"Abang mesti berkenan dengan Dhia sangat kan? Itu yang terkenan dekat anak." Aku mengusik dia. Tapi betullah itu, Raees memang seperti aku versi lelaki.

Manja terlebih!

"Siapalah yang tak berkenan bila tengok Dhia?" Hidungku dicuit.

Aku tergelak kecil bila Rayyan mengatur langkah menghimpit seakan mahu aku menjatuhkan badanku. Tapi sebab aku tak mahu menari sampai tahap tango itu, maka aku lebarkan bukaan kaki sehingga Rayyan pula yang rergelak.

"Malam ini, Dhia sangat cantik..." bisiknya.

"Malam lain tak cantik?"

"Setiap masa dan saat, Dhia cantik. Hanya malam ini, dia lebih cantik sebab Dhia berada dalam dakapan abang."

Hohoi!

Baru aku nak buka mulut lagi, tiba-tiba kedengaran bunyi derapan tapak kaki yang banyak seperti sedang menghampiri. Terus tarian terhenti dan kami berpusing ke arah bunyi. Terjongket kening saat melihat lapan orang lelaki  tua dan muda di depan kami.

Muka baik. Tapi muka saja tak boleh pakai. Jangan kata mereka nak meragut pula!

"Assalamualaikum," kata salah seorang daripada mereka.

Hai, tak akanlah peragut nak beri salam dulu? Sopan benar!

"Waalaikumussalam," jawab Rayyan.

"Maafkan saya kalau terkasar bahasa, tapi haram perempuan dan lelaki berdua di kawasan seperti ini. Lebih-lebih lagi dalam keadaan seperti ini. Saya bukan pencegah maksiat atau orang agama, tapi saya tahu hukum-hakam Allah. Berzina itu ada banyak cara, encik dan cik. Pandang pun boleh jatuh zina mata, apatah lagi berpelukan dan menari di tengah kegelapan malam dan di tempat yang tak ada orang ini."

Aku rasa bagai nak tergolek masuk ke dalam tasik bila dengar hujahnya. Adeh!

"Abang, kami ini..." Baru nak bercakap, Rayyan menahan. Tangannya menggenggam tanganku sebagai isyarat.

Tak banyak cerita, Rayyan terus buka dompetnya. Sekeping kad dikeluarkan sebelum diserahkan kepada lelaki itu. Mereka masing-masing menjeling dan memeriksa kad itu sebelum kesemuanya mula tayang muka malu.

Kad perakuan nikah.

Elok saja mendapat bukti kukuh, mereka terus minta maaf pada kami, beri salam dan masing-masing berundur tanpa perlu diminta. Tinggallah aku dan dia semula.

Aku dan Rayyan berpandangan. Bagai sama-sama berjanji, terus tawa kedua kami meletus serentak.

"Nasib baik abang bawa bukti. Kalau tidak, mahu dia orang seret ke pejabat agama." Hahaha! Mahu berpoligami dengan diri sendiri aku dibuatnya. Menikah kali kedua dengan orang yang sama.

Kami kembali duduk, tapi tak lama bila Rayyan menyoal.

"Dah penat?"

Aku tak penat mana. Tapi sebab aku sudah tak mahu di sini, aku terus mengangguk. Nak balik. Karang tak pasal-pasal kena cekup lagi.

"Jom balik?"

Aku terus mengangguk setuju. Jom balik! Tidur!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience