Bab 35

Romance Series 30734

AKU menuruni tangga sambil rambut dilurut. Baru keringkan rambut tadi. Tak sempat nak berdandan. Hanya sempat sikat sikit dan terus turun memandangkan Rayyan kata dia tunggu aku di bawah. Tak baik buat orang menunggu lama.

Mataku melilau mencari Raees. Tadi sebaik saja habis mandi, aku menyuruh Raees pergi ambil baju dari bilik dia dan kembali untuk aku tolong pakaikan. Tapi sudahnya budak itu langsung tak muncul-muncul sampai ke sudah.

Langkah terhenti seketika bila mata menangkap kehadiran kelopak bunga berteraburan di atas lantai yang mengarah terus ke arah dapur. Bunga mawar.

Aku mengelak sehabis boleh daripada terpijak kelopak bunga itu. Elok aku kutip buat mandi bunga atau buat rose oil dan rose water nanti. Muehehe.

Separuh jalan, aku lihat ada kertas yang ditindih kelopak rose berlonggok di atas lantai. Aku terus tunduk lalu kertasnya aku ambil. Apa yang tertulis, aku baca sekali lagi.

Dah mandi, peaches?

Sekarang dah tenang dan tenteram? Kalau sudah, alhamdulillah. Jadi mungkin Dhia boleh gunakan ketenangan itu untuk beri abang sedikit ruang berduaan dengan Dhia hari ini.

Kalau Dhia sudi, teruskan berjalan. Abang tunggu Dhia.

Can't wait to see you, peaches.

Kertas itu aku pegang saja sebelum kaki kembali melangkah. Melalui ruang tamu, aku lihat ada sebuah meja yang sepatutnya jadi tempat pasu hiasan duduk sudah elok terletak di tengah-tengah ruang tamu. Dikitari kelopak mawar. Semakin dekat, semakin jelas apa yang ada di atasnya. Dua buah kotak putih. Satu, kotak panjang dan satu lagi kotak pendek.

Aku buka kotak panjang itu dulu. Kening terjongket bila lihat seutas gelang tangan emas di dalamnya. Gelang yang sangat cantik. Tak tebal, tak terlebih gah sampai nampak macam mami jarum. Tak ada charm yang meleret dan penuh.

Tanganku turun pula pada kotak pendek. Baru nak angkat, tiba-tiba kertas yang dilipat mengikut saiz kotak kelihatan sebaik saja kotak terangkat sedikit. Ditindih dengan kotak ini.

Kertas itu dicapai sambil kotak dibuka. Dahi berkerut tengok isinya. Cincin.

Princess cut diamond ring.

Aku baca kertas itu pula.

Dhia mungkin tolak, tapi abang harap jangan.

Maafkan abang yang lancang menyakitkan hati Dhia dulu. Sungguh, sampai ke saat ini abang menyesali setiap kata yang abang lemparkan pada Dhia.

Maafkan abang, peaches.

Dan tiba-tiba tanganku disentuh. Cincin itu bertukar tangan sebelum tangan kananku dibawa naik. Rayyan. Dia sedang menggenggam tanganku. Mengusap lembut jari manisku sebelum cincin itu disarungkan pada jari itu. Lembut dan santun.

"Cincin ini abang reka sendiri bersama kumpulan design consultants. Abang yang pilih batu apa untuk ada di sini, apa potongannya, apa ciri khas yang ada padanya, apa warnanya dan apa setiap kecil dan besar yang ada padanya. Cincin ini abang buat di Dubai. Beberapa hari sebelum Dhia gugur, cincin ini sampai ke tangan abang. Abang hanya tak ada kesempatan untuk beri pada Dhia."

Dahiku semakin berkerutlah jawapnya. Dia buat cincin ini sebelum kami bercerai? Hai, pelik ini. Patut ke aku berhelo sendiri dengan kedai yang buat cincin ini untuk sahkan kata-kata Rayyan itu? Sebab bukan ke dulu dia yang bukan main membandingkan cincin Kak Qila dengan cincin aku yang dibeli oleh arwah ibu?

"Dhia nampak?" Tanganku diangkat lebih lagi supaya lebih dekat dengan wajahku. Rayyan tanggalkan cincin itu sebelum diletakkan atas tapak tanganku. Terlihatlah ukiran halus nama pada bahagian dalam gegelung cincin.

Halus sangat.

Halzeri.

"Halzeri ini nama keluarga arwah ayah sebelum dia masuk Islam. Ayah simpan nama Halzeri sebab itu adalah lambang keturunan dan keluarganya.  Arwah ayah datang dari keturunan kenamaan. Halzeri itu sangat dihormati. Orang selalu sebut Hal, ikut ejaan. Tapi sebenarnya sebutan dia adalah Helzeri. Sama macam kita sebut neraka, hell. Kalau budaya lain, nama ini akan dibawa pada setiap masa oleh anak lelakinya. Anak perempuan pula selalunya sebelum kahwin saja. Abang bawa nama Halzeri itu kepada Raees. Itu adalah tanda keluarga, keturunan dan sekarang, kepunyaan. Dhia Halzeri."

Rayyan pandang aku.

"Dhia Elaine, satu-satunya perempuan yang dapat gunakan nama Halzeri di belakang nama. Abang tak nampak lagi Dhia pakai cincin kahwin kita dulu. Mungkin sebab Dhia dah tak lagi sudi untuk sarungkan cincin itu selepas segala yang Dhia perlu hadap, jadi gantikan dengan ini. Cincin itu simpan untuk hargai arwah ibu saja."

Aku nak buka mulut untuk menolak pemberiannya, tapi laju saja Rayyan angkat jari telunjuknya. Seakan amaran tanpa suara untuk aku. Dia tahu apa yang aku nak buat. Dah baca dari awal agaknya.

Tanganku digenggam. Rayyan bawa aku terus ke dapur. Melalui dapur, kelopak bunga itu membawa kami keluar dari rumah ini ke kawasan belakang rumah pula. Kawasan ini masih dikitari taman bunga. Ada ruang untuk berkelah dan beraktiviti seperti bbq juga.

Tapi kali ini, di situ ada sebuah meja yang telah dilengkapi dengan hiasan ringkas. Di atas meja ada dua pinggan yang ditutup dengan sesuatu seperti tudung saji, tapi diperbuat daripada plastik. Sekadar cukup untuk tutup satu pinggan dalam satu masa.

Rayyan tarik kerusi sebelum mempersilakan aku untuk duduk di situ. Aku menurut saja. Terus labuhkan duduk. Elok kami labuhkan punggung, tiba-tiba Raees muncul bersama kain di tangan. Budak kacak itu tersengih pandang aku sebelum kain tadi dilapik atas pahaku.

"Mommy jangan makan tumpah-tumpah tau?" Siap sempat bagi pesanan penaja!

Aku tersengih sebelum mengangguk. Comel! Siap berpakaian macam pelayan di hotel mewah. Bertuxedo lengkap. Hai, budak kecil ini. Patutlah tak masuk ke bilik semula. Rupanya nak jayakan plan daddy dia ye?

Hilang saja Raees, suasana terus bertukar sunyi. Alahai, aku dan dia masih tak habis kekok lagi.

Tengah sibuk layan kesunyian antara kami, tiba-tiba mata menangkap kertas sama yang terselit di bawah pinggan. Aku pandang Rayyan. Rupanya dia memang sedang pandang aku. Dia hanya pandang sambil tersenyum nipis seakan memang menunggu aku untuk sedar akan kewujudan kertas itu.

Kertas itu terus aku tarik. Mata mula melihat isi kertas walaupun kepala tengah sibuk memikirkan kenapa Rayyan tak bercakap saja. Yelah, dia duduk depan aku je kut. Buat habis dakwat je.

Hey, peaches.

Kalau Dhia dah pegang nota ini, maksudnya Dhia juga dah terima segala yang hadir sebelumnya. Abang harap Dhia ikhlas untuk duduk bersama abang hari ini.

Dhia, abang lupa untuk hargai kehadiran Dhia dalam hidup abang dulu. Abang tak sedar yang Dhia adalah penyeri dan pemanis sehari-hari dalam hidup abang. Bukan saja abang, tapi semua yang mengenali Dhia.

Perwatakan, kata-kata dan gaya Dhia begitu menghiburkan. Tak ada Dhia, kusam hidup kami. Dan abang adalah testimoni paling utama. Hidup abang baik-baik saja walau apapun yang berlaku sebelumnya, sehinggalah Dhia terbang untuk sambung belajar. Semuanya berubah. Abang marahkan Dhia, tapi abang juga rasa kosong.

Pada awalnya abang tak tahu apa yang hilang. Tapi pada suatu hari, abang ke rumah umi dan papa untuk melawat. Tak sampai dua bulan Dhia ke sana, abang lihat umi dan papa sudah kurang cerianya dan rumah terasa kusam.

Abang tidur semalaman di sana, tidur di bilik Dhia. Bila abang terjumpa album gambar Dhia dari kecil sampai besar, abang tahu apa yang hilang itu. Abang hilang Dhia. Hilang orang yang selama ini jadi penyeri semua orang tanpa abang sedar.

Pulangnya Dhia, abang kecewa sekali lagi. Malahan abang rasa lebih kehilangan berbanding dulu. Dhia yang abang kenal dah bukan lagi Dhia yang sama. Cahaya dan seri Dhia dah berubah. Tapi abang sedar, abanglah yang malapkan cahaya itu.

Hanya di situ sebelum tiba-tiba sebelah tanganku ditarik Rayyan untuk bersantai di atas meja. Tangan itu diusap sambil matanya cuba mencari mataku.

"Jadi, peaches... Izinkan abang untuk hidupkan semula Dhia yang dulu," katanya.

Dahiku berkerut sedikit. Tak tertahan. Rasa pelik pula. Bukan dia ke yang tak suka dengan aku dulu? Kalau Abang Diy yang cakap macam ini nak jugalah aku percaya, tapi kalau dia...

Humph!

Tanganku ditarik semula. Aku terus lipat kertas itu dan letak di atas meja.

"Dhia dah besar, abang. Dhia yang dulu sebab Dhia masih kecil, masih muda, masih belum matang. Dhia yang sekarang adalah Dhia yang sebenar. Dhia dengan identiti seorang Dhia Elaine yang sudah dewasa. Melainkan kalau abang boleh putar masa dan kembali ke zaman remaja Dhia, maka inilah Dhia yang sebenar."

"Tak. Dhia tetap Dhia yang sama. Dhia mula berubah lepas kita kahwin," balas Rayyan sambil menggeleng lembut. Menidakkan kata-kata aku.

Tersenyum sinis aku bila dengar balasan itu. Aku mula berubah lepas kahwin ye?

"Jadi mungkin dengan berpisah dan Dhia sudah lucut gelaran sebagai orang yang dah berkahwin itu dapat kembalikan Dhia yang dulu. Apa kata..."

"Dhia, jangan mulakan." Rayyan memotong.

"Kenapa tak? Dhia dah berkali minta abang untuk lepaskan Dhia dengan cara baik, tapi abang tetap tolak dan mengelat. Abang, Dhia dah habiskan terlalu banyak masa untuk bergelar isteri dalam hubungan yang entah apa dan suami yang..." macam bukan suami.

Ah! Tapi itu terlalu kurang ajar. Aku tak diajar oleh umi atau arwah papa untuk jadi sekurang ajar itu. Arwah papa sudah tiada. Aku yang bawa nama baiknya sekarang. Jangan burukkan nama arwah papa dan umi kerana marah, Dhia!

"Susah sangat ke untuk abang lepaskan Dhia?" Sudahnya soalan yang aku ajukan. Sabar.

"Abang sayangkan Dhia..."

"Tak. Abang tak sayangkan Dhia. Kalau sayang pun, itu hanya perasaan abang kepada adiknya. Abang dah ulang banyak kali dulu. Abang hanya terdesak untuk tahan Dhia di sini. Untuk jadi mommy Raees mungkin? Atau sebab abang takut bersendirian memandangkan abang dah tak ada sesiapa lagi? Abang, Dhia janji Dhia akan jadi mommy Raees walau kita dah tak bersama lagi. Walaupun Raees bukan anak Dhia, tapi Dhia akan pejam mata dan tetap jadi mommy dia. Abang ada umi, abang ada Raees. Tapi tolong beri Dhia kebebasan Dhia. Dulu Dhia korbankan kebebasan dan masa muda Dhia demi abang dan ibu. Demi cinta monyet Dhia. Dhia tak tahu kalau abang dah tahu tentang semua itu atau tak, tapi tolonglah." Dan aku juga tak tahu kalau dia sudah tahu tentang punca sebenar keguguran itu atau tidak, tapi lantaklah.

Biar dia tak tahu supaya lagi senang untuk aku pergi.  Biar aku yang salah, biar dia terus percaya aku yang membunuh zuriat kami. Mungkin dengan itu dia boleh lepaskan aku tanpa rasa bersalah atau menyesal.

"Abang..." Aku sudah tak tahu cara untuk merayu lagi bila sudahnya Rayyan hanya diam dan pandang aku. Pandangannya aku tak dapat tafsirkan. Wajahnya juga.

Aku terus berpaling ke arah dapur rumah bila terdengar bunyi esakan yang ditahan-tahan. Membulat mataku bila lihat Raees yang sudah teresak sambil menyorok di celahan pintu dapur memandang ke arah kami. Mukanya merah dan dia sedang menenyeh mata sendiri

"Raees, mommy..." Tak sempat. Raees terus lari masuk ke dalam rumah sebelum sempat aku ingin memujuknya.

Ya Allah, mesti dia dengar yang aku cakap dia bukan anak aku!

Aku pandang Rayyan yang masih sama sebelum pandang pula ke arah dapur yang sudah kosong. Tak mahu berlama, aku terus bangun untuk mencari Raees. Tapi baru tiga empat langkah menapak...

"Dhia..." Rayyan memanggil.

Aku terus pandang Rayyan semula. Dia masih duduk di situ. Matanya masih lurus ke arah tempat duduk aku tadi.

"Setahun."

"Ha? Apa yang setahun?"

"Setahun. Tetap di sini untuk setahun. Kemudian abang akan beri Dhia kuasa untuk memilih."

Semakin berkerutlah dahi aku jawabnya. Setahun? Untuk apa setahun itu? Dia tak tahu ke setahun itu lama? 365 hari bersamaan 12 bulan. Aku nak habiskan dua bulan di sini pun sudah mengah, apatah untuk 12 bulan lagi?

"Lapan bulan."

Tanpa menjawab soalanku, Rayyan melontarkan lagi angka seterusnya. Dah main tawar menawar pula?

"Abang..."

"Lima bulan."

Ini kalau aku teruskan menolak, mungkin akan turun jadi sehari. Kira baguslah itu!

"Abang tengah cakap apa ini? Untuk apa masa itu?"

"Lima bulan. Angka paling singkat boleh abang tawarkan. Lima bulan juga masa yang sama Dhia bergelar isteri abang sebelum Dhia keluar daripada hospital selepas gugur. Pulangkan lima bulan yang abang pinjamkan pada Dhia dulu dengan cara ini. Marah abang, herdik abang dan bencilah abang sepuas hati. Pulangkan sakit dan hinaan yang sama pernah abang beri pada Dhia dulu. Buat abang rasa apa yang abang buat pada Dhia dulu."

Apa? Dia ini mabuk ketum ke? Siap minta untuk disakiti. Dia fikir apa yang dia buat pada aku dulu sikit-sikit ke?

Aku berundur selangkah bila Rayyan bangun dan berjalan ke arahku. Matanya tepat merenung aku.

"Jadi isteri abang dan jadi mommy Raees untuk lima bulan lagi bermula esok. Lepas lima bulan, keputusan di tangan Dhia."

"Dhia tak nak buat macam itu. Apa yang Dhia dapat kalau Dhia sakitkan orang yang sakitkan Dhia? Itu hanya buatkan Dhia tak ada beza dengan abang."

"Abang akan hanya lepaskan Dhia kalau Dhia buat. Selagi abang tak rasa sakitnya, lima bulan itu takkan dikira sama sekali.."

Apakah?

"Jangan buat gila, abang."

"Maybe I already am." Dan Rayyan terus berlalu masuk ke dalam rumah meninggalkan aku dengan meja yang masih tak berusik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience