Bab 4

Romance Series 30734

AKU sentuh bingkai gambar yang terletak di atas meja penyambut tetamu. Gambarnya aku tenung lama. Emosi berkecamuk dan aku hanya diam saja. Gambar Rayyan dan isterinya. Ye, isteri. Sudah sah bergelar isteri beberapa jam yang lalu.

Hai, Dhia… Nampaknya cinta monyet ini memang tak ada kebahagiaan walau sesaat. Betullah kata Abang Diy, saat mereka bahagia, aku yang akan terluka melihatnya. Aku sepatutnya dengar nasihat Abang Diy dari awal. Sekarang aku pula yang makan hati padahal hati aku tak pernah dipandang dan dipeduli.

“Dhia, kenapa tak masuk ke dalam dan tengok pengantin?”

Aku alih perhatian kepada ibu Rayyan yang datang entah dari mana.

“Dhia dah tengok tadi,” jawabku.

Aku memang dah tengok. Cukup romantik mereka jalan berpegangan tangan terus ke pelamin. Orang kata, sama cantik sama padan. Tak dapat dinafikan. Aku pilih untuk keluar sebaik saja acara bersanding bermula.

“Ye ke? Papa dan umi masih ada di dalam?” soal ibu Rayyan lagi.

Aku mengangguk. “Ada lagi. Tengah makan.”

“Dhia dah makan?”

“Dah, ibu,” jawabku.

Ibu Rayyan tersenyum. Bahuku diusap lembut.

“Dhia nampak muram. Dhia sedih sebab Rayyan kahwin ye?”

Oh, ibu nampak rupanya. Ingatkan tak ada siapa perasan. Oh, atau mungkin mereka tak nampak dan tak perasan sebab mereka tak peduli. Bagi mereka, aku budak. Tapi anehnya, adakah perasaan budak-budak itu tiada nilai pada mata dewasa?

“Dhia jangan sedih macam ini. Walaupun Rayyan dah kahwin, Dhia tetap boleh berjumpa dengan Rayyan macam biasa. Tak ada siapa nak halang. Rayyan pun dah lama kenal Dhia. Tak mungkin dia lupakan Dhia macam itu je. Dhia kan adik dia juga?”

Adik…

Hanya sekadar itu yang ibu tahu tentang aku dan Rayyan. Rayyan anggap aku seperti adiknya dan bagi ibu, aku juga hanya mengganggap Rayyan sebagai abang semata. Mungkin itulah yang sebaiknya. Aku adik dan dia abang. Takkan lebih dan tak mungkin lebih.

“Masuk dalam. Dekat dalam itu macam-macam makanan ada. Manisan dan sebagainya. Dhia kan suka benda manis? Ardiy selalu cerita tentang Dhia.”

Tengoklah itu. Abang Diy lagi. Sungguhlah Rayyan tak pernah peduli tentang aku.

Ibu tersenyum sebelum terus berlalu masuk ke dalam dewan. Aku ditinggalkan sendiri di sini bersama tetamu lain yang sedang berpusu keluar dan masuk.

Aku mengeluh sebelum pandang ke sekeliling. Mencari kelibat Abang Diy yang sedari tadi tak kutemui. Mana Abang Diy ini? Tak akanlah Abang Diy tak hadir ke majlis perkahwinan Rayyan? Mustahil!

Telefon dikeluarkan. Nombor Abang Diy cuba aku hubungi. Kerana tak mahu nampak macam tiang elektrik di sini, aku terus berjalan masuk ke dalam dewan semula. Tapi aku tak ke dewan makan. Sebaliknya aku terus melalui lorong yang menempatkan bilik rehat untuk pengantin dan satu lagi bilik untuk ibu menyusu.

Aku nak duduk di situ kalau tak ada orang di dalam.

“Sekarang ini kau dah tak ada kuasa atas anak kau. Jangan lupa keutamaan Rayyan sekarang adalah Qila. Kalau kau melebih, kau akan jadi mentua dari neraka yang dibenci oleh seluruh Malaysia.”

Terus mati gerak tangan yang baru nak tolak pintu bila telinga menangkap suara di dalam. Bukan suara yang menarik perhatianku, tapi nama yang disebut. Rayyan dan isterinya.

“Anak aku takkan terus diperbodohkan oleh manusia macam kau. Aku akan pastikan yang Rayyan tahu mana kaca dan mana permata suatu hari nanti.”

Dahiku terus berkerut. Itu suara ibu!

“Kau tak nampak ke macam mana sayangnya Rayyan pada anak aku? Kau dah cuba halang perkahwinan ini kan? Macamlah aku tak tahu yang kau hasut Rayyan untuk tak kahwin dengan Qila selama ini. Tapi dia tak nak dengar cakap kau kan? Dia tetap kahwin dengan anak aku. Dan ini bermaksud, dia tetap dan akan tetap pilih anak aku berbanding kau, ibu dia sendiri.”

Sekejap! Kalau ikutkan perbualan itu, aku boleh faham yang sedang bercakap penuh jahat tadi adalah ibu pengantin perempuan. Tapi kenapa dia cakap macam itu? Nada dan segala ayatnya penuh kebencian.

“Kau jangan berangan yang Rayyan akan dengar cakap kau lagi lepas ini. Aku akan pastikan yang anak aku dapat goda Rayyan sampai Rayyan tinggalkan kau. Lepas itu senanglah hidup aku. Menantu kaya, anak cantik, cucu semestinya comel-comel. Kau ingatkan sumpah aku dulu? Bersedialah untuk dibuang oleh anak yang kau puja selama ini, Lisa. Kau akan rasa sakit yang berlipat kali ganda melebihi sakit yang kau pernah bagi pada aku dulu mulai saat ini! Aku akan rampas anak kau seperti mana kau rampas Remy daripada aku!”

Aku cepat-cepat orak langkah menuju ke arah bilik pengantin yang hanya terletak di sebelah bila aku dengar bunyi orang berjalan semakin mendekat di sebalik pintu sana.

Buka saja pintu, aku terus menyorok di belakang pintu dengan pintu yang dibuka separuh. Tak sempat tutup bila dengar bunyi pintu dibuka dan orang bergerak mendekat.

“Mommy buat apa dekat dalam itu?” Suara isteri Rayyan.

Dia pun ada dekat sini? Bukan patutnya dia tengah bersanding ke?

“Jumpa dengan penyondol itulah, apa lagi?”

“Mommy cakap apa dekat dia?”

“Adalah sikit. Yang kamu ke sini kenapa? Kalau Rayyan cari macam mana?”

“Mommylah! Buat Qila risau je. Mommy jangan lepas laku dekat sini. Ramai orang tahu? Buatnya waktu mommy bertekak dengan penyondol itu tiba-tiba ada orang lain dengar? Nanti baka anak dia yang hensem tak dapat, duit keturunan Halzeri yang berkepuk itu pun tak dapat!”

Wah! Aku dah faham apa yang sedang berlaku sekarang. Mungkin ibu pernah rampas entah siapa daripada wanita di luar ini, lalu dia berdendam dan balas semula menggunakan anaknya dan Rayyan?

Jadi Rayyan adalah mangsa keadaan?

“Kamu jangan nak mengada-ngada ye, Qila? Muka dia itu dapat dari ayah dia, bukan mak dia.”

“Lah, bila masa pula Qila kata muka dia macam perempuan itu? Lagipun mommy, muka Rayyan itu memang ikut perempuan itu pun. Yang dapat dari ayah dia hanya badan, mata dan tinggi je.”

“Qila! Jangan nak buat mommy sakit hati ye.”

Dan aku tak tahu apa yang jadi seterusnya. Yang aku tahu, kedua-dua manusia itu sudah berlalu pergi sebab aku tak dengar apa-apa bunyi lagi di luar sana.

Perlahan-lahan aku mengintai ke luar. Bila yakin yang mereka betul-betul tak ada, barulah aku keluar. Baju ditepuk-tepuk. Takut melekat habuk atau cat dinding masa menyorok tadi.

Pintu bilik pengantin ditutup dan aku terus pandang telefon. Sampai ke sudah panggilan itu tak berangkat. Mana Abang Diy ini?

“Dhia?”

Aku keras semula. Terasa habis ketat skru kepala untuk pusing pandang belakang. Ibu baru saja panggil namaku tadi.

“Dhia?” Namaku sekali lagi diseru sebelum kali ini ibu yang mendekati aku dan berdiri di depanku tanpa perlu aku pusing belakang.

“Ye, ibu?” sahutku, teragak-agak.

Tak tahu nak bagi reaksi apa.

“Dhia buat apa dekat sini?” soal ibu.

“Oh, Dhia nak guna bilik sebelah ini tadi, tapi…” Erk! Alamak, aku terlepas cakap!

Wajah ibu terus berubah.

Alamak, alamak! Macam mana ini? Ah, kenapalah kau jujur sangat ini Dhia?

“Dhia dengar ye?”

“Err, dengar apa?” Aku buat-buat tak faham.

“Dhia tahu yang Dhia langsung tak pandai menipu kan?”

Huaaa!

“Dhia minta maaf, ibu. Dhia tak sengaja. Dhia memang nak guna bilik untuk rehat sambil tunggu umi dan papa je. Sambil itu Dhia nak cuba hubungi Abang Diy. Dhia tak ada niat langsung nak curi dengar.”

Ibu mengangguk. “Apa yang Dhia dengar?”

“Erm, pasal Abang Rayyan dan ibu.”

Dengar saja jawapan aku, tiba-tiba ibu terus terduduk di atas karpet sebelum tangisan mula kedengaran. Kelam-kabut aku sambut ibu supaya dia tak terus terbaring atas lantai. Ibu betul-betul lembik. Seperti nyawanya baru direntap keluar.

“Ibu…”

“Ibu tak rampas sesiapa, Dhia. Ibu tak tahu arwah ayah Rayyan dah bertunang dengan perempuan lain. Ibu langsung tak tahu, Dhia. Arwah tak pernah buka mulut sampailah kami kahwin dan ibu mengandungkan Rayyan. Ibu tak tahu apa-apa sampailah suatu hari Jue serang ibu di rumah dan mengaku yang dia adalah bekas tunang arwah. Ibu tak bersalah, Dhia.”

Aduh, apa aku nak buat ini?

“Apa yang ibu kena buat, Dhia? Mereka pergunakan Rayyan dan Rayyan langsung tak nak dengar nasihat ibu. Dia dah cinta mati pada perempuan itu.  Macam mana dengan Rayyan, Dhia? Macam mana kalau Qila buang Rayyan lepas mereka dapat apa yang mereka nak selama ini? Kesian anak ibu, Dhia.”

“Ibu…” Aku tak tahu nak cakap apa! Aku tak pernah ada dalam situasi ini atau lihat situasi ini.

“Kita masuk bilik dulu ye, ibu? Ibu rehat dulu ye? Dhia tak nak orang tengok ibu macam ini. Kalau perempuan berdua tadi tengok ibu menangis macam ini, mereka akan lagi suka dan gembira. Kita masuk bilik dulu ye?”

Ibu tak berkeras. Ibu ikut saja aku yang terus tarik dia masuk ke dalam bilik semula.

Elok saja ibu labuhkan punggung di atas sofa, telefonku serentak berdering. Nama Abang Diy terpapar pada skrin telefon. Aku terus jawab panggilam itu.

“Hello, abang?”

“Dhia dekat mana?”

“Dekat dewan.”

“Ye? Abang tak nampak pun Dhia dalam dewan ini?”

Oh, Abang Diy dah sampai! Kan aku dah kata tadi. Mustahil Abang Diy tak datang majlis perkahwinan kawan baiknya dari kecil.

“Dhia ada dekat nursing room dengan ibu,” jawabku.

“Ibu Rayyan?”

“Ye.”

“Dhia buat apa dekat situ?"

Aku terus pandang ibu. Ibu masih menangis. Cuma mungkin sebab aku tengah jawab panggilan, jadi ibu tahan esak tangisnya. Hanya air mata yang tetap mengalir jatuh. Kesian ibu.

“Dhia temankan ibu.” Aku jawab macam itu supaya Abang Diy tak syak yang bukan-bukan walaupun aku tak tahu apa yang ada untuk dia syak apa-apa.

“Dhia nak abang ke sana?”

Eh!

“Tak payahlah. Ini kan nursing room? Mana boleh lelaki masuk. Apalah abang ini. Abang pergilah makan dulu. Umi dan papa pun ada dekat situ. Kejap lagi Dhia masuk temankan abang ye?”

“Okey. Jangan lambat sangat. Kalau perlukan teman, abang boleh ke sana. Teman duduk luar pintu pun tak apa.”

Aku tersengih. Ada-ada jelah Abang Diy ini. Aku kata aku temankan ibu. Dah tak pasal-pasal dia pula yang nak temankan aku. Ada ke aku minta peneman? Haha.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience