Bab 25

Romance Series 30734

AKU menjengah ke arah halaman rumah ini. Dari sini, aku boleh nampak Rayyan dan Raees sedang mengejar bola di gelanggang persendirian sebelah kolam renang. Mereka nampak rapat. Raees juga nampak gembira dan ceria.

“Dhia…”

Aku pusing belakang bila namaku diseru. Umi.

Umi sedang menghampiri aku sambil tersenyum nipis. Berdiri saja di sebelahku, umi terus pandang ke arah Rayyan dan Raees juga. Tersenyum umi bila tengok gelagat mereka.

“Comel Raees tu kan?” kata umi.

Aku mengangguk. “Comel. Mata Rayyan.”

“Bukan mata je. Muka pun sama macam Rayyan. Yang ikut maknya hanya kulit.”

Sama macam apa yang aku fikir.

“Umi tak beritahu pun Dhia yang Rayyan bercerai dengan perempuan itu,” kataku.

Umi terus pandang aku. Mata sedikit mengecil macam dah mula buat andaian sendiri. Hey, not so fast, umi!

“Jangan fikir bukan-bukan, umi. Dhia tanya sebab selalunya umi mesti cerita sikit-sikit apa yang jadi pada orang-orang yang Dhia kenal.” Aku betulkan fahaman umi. Tak nak dituduh masih sukakan Rayyan walaupun aku tahu yang umi tak akan ada masalah dengan itu.

“Umi malas nak cerita. Umi tak nak Dhia bangga atau suka dengan kejatuhan orang lain. Sebab umi tahu Dhia masih marahkan perempuan itu dan Rayyan.”

Mestilah aku marah. Aku masih marah dan akan tetap marah sampai bila-bila. Perempuan itu perangkap aku sekali gus bunuh anak dalam kandungan aku. Dia yang buat Rayyan semakin gila menuduh dan membenciku.  Kononnya dia baik sangat sebab hentikan Rayyan daripada terus memarahi aku. Padahal dialah penyebab anak aku mati.

“Mestilah Dhia marah. Lagi marah bila tak ada seorang pun yang percayakan Dhia kecuali Abang Diy” Aku mengeluh perlahan. Tapi aku yakin umi dengar.

“Bukan umi dan papa tak percayakam Dhia. Kami hanya terlalu terkejut dan tak tahu macam mana nak proses semuanya dalam masa yang begitu singkat. Waktu itu kami tahu Dhia mengandung dan waktu itu juga kami dapat tahu yang Dhia  keguguran. Bila mereka kata yang mereka jumpa pil gugurkan kandungan dalam beg Dhia, makinlah kami terkejut. Umi dan papa berperang dengan perasaan sendiri memikirkan mana yang patut kami percaya. Sebab itu jugalah umi dan papa biarkan Dhia terbang  macam yang Dhia nak dan sambung belajar.”

Kali ini aku senyap saja. Tak mahu membantah. Tak mahu juga melawan. Kalau itu yang umi rasa, terpulanglah.

“Ini, kenapa turun? Tak rehat ke? Dhia perlu rehat banyak tahu? Doktor beritahu yang Dhia pitam sebab penat dan tak cukup tidur. Sebab Dhia tertekan.”

“Rayyan ajak bersembang. Lagipun Dhia okey, umi.”

“Okey apa kalau Rayyan nampak Dhia jatuh dan terbaring di kedai? Kalau tak ada dia, entah apa jadi. Nampak dek orang jahat, mahu dirompak dan dicabul. Tadi pun Dhia hampir jatuh tangga sebab berjalan dalam tidur kan? Dah macam-macam jadinya, Dhia. Tak pernah-pernah Dhia macam ini."

“Umi…” Hai, ini yang aku tak suka ini. Cakap benda yang dah lepas lalu berkalau-kalau dengan sesuatu yang negatif.

“Ye, tahu. Umi nak ke dapur. Tolong nenek Raees masak makan malam.”

“Nenek Raees? Itu mak perempuan itu ke?” Takkankah dalam masa lima tahun sejauh itu dia menua?

“Bukan. Mak perempuan itu terus ghaib lepas anak dia buat hal. Dulu bukan main, setiap kali jumpa orang saja terus dicanangnya nama menantu. Bangga sangatlah ada menantu macam Rayyan itu. Katanya anak dia cantik dan baik sebab itu dapat lelaki macam itu. Ha, lepas itu malu sendiri. Lagipun mereka nak kejar harta Rayyan itu je. Eloklah bercerai pun.”

“Habis itu, itu siapa?” soalku lagi.

“Itu orang yang jaga Raees sejak Rayyan dan perempuan itu bercerai. Baik orangnya. Buat Raees itu macam cucu sendiri. Tidur pun sama-sama.”

Oh, itu penjaga Raees ke? Faham.

Mungkin baru sedar yang aku ada di sini, Rayyan terus sudahi aktiviti bersama Raees. Mulanya Raees enggan, tapi sudahnya terpaksa juga menurut bila Rayyan arahkan Raees untuk masuk ke dalam rumah dan diberi keizinan untuk tengok kartun di televisyen.

“Mommy!” Raees menyapa aku sebaik saja dia turut sedar akan kehadiran aku di sini.

Aku tersenyum buatnya. Tangan melambai Raees bila Raees terus berlari ke arah kami. Elok saja berdiri di depan aku, terus kakiku dipeluknya.

“Hai, baru jumpa sehari dah mesra ye? Siap bermommy lagi,” komen umi.

“Biasalah budak-budak.” Aku cuit pipi Raees. Hai, hensem betul budak ini!

“Dah. Umi nak ke dapur.”

Aku mengangguk bila umi minta diri. Sempat umi pesan pada Raees untuk tak masuk ke dapur dan hanya tengok televisyen di ruang tamu. Takut kena minyak panas katanya.

“Mommy nak main bola dengan Raees ke?” Raees menyoalku.

Eh! Tak habis lagi pasal bola ini rupanya.

“Raees...”

Raees terus cebik bibir bila namanya diseru oleh Rayyan yang sedang berjalan tenang ke arah kami. Seruan melarang dan mengingatkan Raees yang aku masih perlukan rehat.

“Kalau mommy kena rehat, kenapa mommy tak duduk dalam bilik?” soal Raees. Entah kepada siapa soalan itu ditujukan, tapi aku yakin yang ada nada tak puas hati dalam suaranya.

Hahaha!

“Daddy nak bercakap dengan mommy sikit,” jawab Abang Rayyan.

“Kenapa nak cakap? Kan mommy penat?”

Aku tutup mulut sambil tahan gelak dengar soalan bertalu Raees itu. Geliga otak budak seorang ini! Ada tokoh nak jadi peguam bila besar nanti. Haha.

“Bercakap mana ada penat. Main bola penat.” Abang Rayyan membalas.

“Tapi daddy kata kalau Raees banyak tanya, nanti daddy penat nak jawab. Lepas itu, kalau Raees degil, daddy penat nak cakap.”

Ha, sudah! Hahahaha!

Aku dan Rayyan berpandangan. Aku sudah tak dapat tahan. Sudahnya terhambur juga gelak besar aku. Kelakar betul Raees ini. Pandai dia perangkap bapa sendiri sampai tak terkata dah Rayyan itu. Mulutnya sebiji mulut Rayyan masa zaman dia berbinikan aku Hahahaha!

Eh, bukan aku masih bini dia ke?

“Dah. Pergi masuk dalam. Daddy bagi tengok kartun sampai daddy masuk rumah semula.”

Raees pandang Rayyan lalu pandang aku pula. Bibir dijuih tak puas hati sebelum akhirnya mengalah dan terus masuk ke dalam rumah. Duduk di sofa ruang tamu lalu buka televisyen dengan alat kawalan jauh sendiri.

“Bukan main gelakkan abang.”

Aku pandang Rayyan semula. Dia sedang tersenyum nipis.

“Bukan gelakkan abang. Gelak tengok Raees. Pandai dia bercakap. Macam abang.”

“Ye?”

Aku angguk. “Abang pandai melaser, menuduh, menyakitkan hati, membanding-bandingkan, sengaja nak menyentap dan banyak lagi.”

Terus kaki dibuka menuju ke arah sebuah meja yang terletak di tepi kolam. Kerusi ditarik dan aku labuhkan duduk sambil pandang ke sekeliling rumah ini. Besar rumahnya. Tapi halaman juga sama besar sehingga mampu menempatkan kolam dewasa, kolam kanak-kanak, gelanggang dan taman bunga. Sekejap, penekanan. Seluruh halaman ini memang penuh dengan bunga, tapi ada satu kawasan yang lebih banyak bunganya hingga terlihat seperti taman. Siap ada kawasan untuk berkelah atau buat barbeku lagi.

“Mana Abang Diy?” Belum sempat Rayyan duduk, aku sudah menyoalnya.

Yelah, aku tak nampak dia pun walau dah berhari-hari di Malaysia.

Rayyan tak terus menjawab. Dia duduk dan pandang aku dulu. Beberapa ketika kemudian yang boleh tahan lamanya, barulah dia buka mulut.

“Entahlah.” Sepatah.

“Entah? Tapi abang dengan Abang Ardiy kan rapat? Takkan tak tahu kut?”

“Kami dah lama tak jumpa, Dhia.”

“Okey, faham. Sebab abang masing-masing duduk dekat negara lain kan? Tapi takkanlah abang langsung tak tahu mana Abang Ardiy sekarang.”

“Bukan hanya tak jumpa, tapi tak contact juga,” tegas Rayyan.

Tegas habis sampai terkedu aku dibuatnya.

“Tapi kenapa?”

Aku lihat Rayyan pandang ke arah lain. Dadanya naik dan turun mengambil nafas sebelum aku kembali dipandang. Kedinginan pada matanya semakin bertambah. Wajahnya semakin tak mesra. Kalau orang lain yang tengok, mesti mereka takut atau rasa serba-salah. Tapi aku dah biasa. Ini jauh lebih baik daripada wajah yang selalu dia tayang untuk aku dulu.

“Dhia apa khabar? Dhia dah genap 25 tahun kan?"

Rayyan tukar topik. Tapi kenapa? Aku tahu yang dia tahu jawapan tentang umur itu. Bukan ke dia yang hantar hadiahnya tempoh hari?

“Abang dan Abang Ardiy masih bergaduh ke?” Aku acuhkan soalannya. Tapi itu kan hal lama? Tapi yelah, Rayyan pecat Abang Diy sebab perempuan itu kut. Mungkin Abang Diy yang masih marahkan Rayyan.

“Dhia ada plan apa nak buat lepas ini?” Tapi soalanku tak dijawab. Siap dibalas dengan soalan dalam topik berbeza.

“Dhia?”

“Tak ada. Belum fikir lagi,” balasku sambil geleng kepala. Tinggalkan topik tadi walau dalam kepala masih memikirkan soal itu.

“Dhia boleh ambil masa. Sambil itu tinggal di sini. Umi dah setuju untuk tinggal di rumah ini buat beberapa bulan. Jadi bila abang tak ada di Malaysia, umi boleh teman mak untuk tengok-tengokkan rumah ini.”

“Abang nak ke mana?”

“Tak ke mana. Abang dah pindah Malaysia for good. Cuma bila ada urusan kerja, abang akan fly dengan Raees. Mungkin beberapa minggu. Boleh capai beberapa bulan juga.”

Oh, outstation. Agaknya bisnes keluarga Rayyan sudah melebar agaknya. Lebih hebat berbanding dulu mungkin. Aku tak tahu. Tak ambil port pasal bisnes mereka. Tak minat. Cuma aku tahu yang tak lama lepas aku sambung belajar, Rayyan selalu ulang-alik ke Dubai dan kemudian tinggal di sana. Lebih-lebih aku tak tahu.

“Lusa Dhia nak balik rumah,” kataku. Aku dah buat keputusan selama setengah jam di bilik tadi. Aku nak balik rumah. Aku lagi selesa di rumah sendiri.

Lagipun aku pitam je. Bukannya ada sakit kronik sampai perlukan rawatan rapi dan pemerhatian 24 jam sehari oleh orang sekeliling.

“Dhia…”

“Abang, Dhia dah besarlah. Dhia bukan budak SPM yang abang nampak bertahun-tahun lepas. Sekarang Dhia dah 25 tahun pun. Lagipun umi masih dalam edah. Mana boleh tinggalkan rumah suami sesuka hati."

“Dhia masih perlukan orang untuk jaga Dhia walau berapapun usia Dhia. Abang dah tanya pada ustaz dan ustaz kata ada kelonggaran kalau memang mudarat untuk umi tinggal di rumah kelamin. Abang nak Dhia tinggal dengan abang. Abang tak nak Dhia penat dan buat semua benda tanpa bantuan lagi. Di sana tak ada siapa boleh jaga umi kalau Dhia tinggal di sini. Bahaya untuk umi. Papa minta abang untuk jagakan Dhia dan umi, dan abang sedang melaksanakan permintaan itu."

“Tapi Dhia tak nak duduk dekat sini."

“Bagi abang alasan yang munasabah dan kuat, hanya dengan itu abang akan cuba bertoleransi dengan Dhia."

Alasan yang munasabah? Aku ada dekat sini, di rumah suami yang tak aku lihat hampir lima tahun ini pun sudah begitu tak munasabah. Mana nak cari munasabahnya?

Kalau dah susah sangat...

"Abang nak tolong Dhia kan?" soalku.

Rayyan senyap.

"Abang tak nak Dhia buat semuanya sorang-sorang kan? Kalau macam itu, apa kata umi tinggal di sini. Dia boleh berkawan dengan nenek dan Raees sementara tunggu edah habis. Dhia pula tinggal di rumah keluarga Dhia. Dhia akan datang setiap kali lepas kerja untuk jenguk umi, dan Dhia akan balik sebelum isyak. Itu cara paling baik untuk abang tolong Dhia."

"Dhia ingat abang ini budak mentah yang boleh dibodoh-bodohkan? Abang tujuh tahun tua daripada Dhia. Sebelum Dhia makan garam, abang dah makan Ajinomoto dulu. Tak, yang abang perlukan itu Dhia, bukan umi. Umi bukan keutamaan abang. You're my wife and that makes you my priority. Dhia tinggal di sini dan abang akan jaga Dhia dan umi. Bukan Dhia ke sana dan umi di sini."

Huh! Makan Ajinomoto konon. Dia itu 7 tahun tua daripada aku, tapi masih tak cukup bulan. Kiranya enam tahun lebih je! Asal nak menang saja mesti tarik umur. Kalau tak umur, mesti mandat sebagai suami. Menyampah betul lelaki gila talak ini!

"Kalau macam itu, Dhia akan bawa umi balik semula."

Rayyan sudah berkerut-kerut. Aku tahu dia marah. Tapi pelik pula tengok Rayyan yang berusaha menahan marahnya. Kalau dulu itu...

"Well, abang. Take it or leave it. Dhia di sana, dan umi di sini. Dhia akan sentiasa ke sini, tapi Dhia tak nak tinggal di sini. Dhia boleh duduk di rumah ini dari pagi ke malam, tapi pada waktu tidur, Dhia nak balik dan tidur di katil Dhia sendiri."

Dalam erti kata lainnya, aku takkan beri atau biarkan apa-apa saja pun untuk buka ruang antara kau dan aku. Antara kita tak akan pernah aku benarkan untuk berlaku apa-apa yang akan menyusahkan aku untuk berpisah nanti.

“Dhia dah tak selesa dengan abang lagi ye?” soalnya.

Tak selesa?

“Sejak kita kahwin, Dhia memang tak pernah selesa dengan abang.” Itu.

Rayyan senyap.

“Tapi biasalah itu. Dulu pun abang tak selesa dengan Dhia. Abang tak suka pun kalau Dhia ada. Abang selalu cakap yang Dhia buat abang tak selesa. Yang selesa dan layan Dhia hanya Abang Ardiy,” tambahku.

Tak menunggu balasan Rayyan, aku terus bangun dan buka langkah masuk ke dalam rumah semula. Mungkin kata-kata aku tadi sedikit kurang ajar atau kedengaran seakan sengaja nak sentapkan orang, tapi aku tak bermaksud macam itu. Aku hanya cakap apa yang benar dan aku rasa benar. Dan itu memang benar. Tak ada satu manusia pun dapat sangkal kebenarannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience