Bab 30

Romance Series 30734

"DHIA nak ke mana?"

Aku yang baru nak buka langkah menuju ke pagar rumah, sambil jari sibuk mengetuk skrin telefon terus terhenti apabila Rayyan menyoal. Lelaki itu baru keluar dari kereta. Berkemeja hitam. Tali leher pula sudah terbang entah ke mana. Baru balik dari ofis.

"Nak keluar," kataku.

"Keluar ke mana?"

"Jumpa kawan." Aku nak jumpa Ilyana. Dah berjanji untuk keluar bersama hari ini setelah bertahun-tahun tak jumpa.

"Ke mana?" Abang Rayyan tegaskan soalannya.

Okey, ke mana, bukan dengan siapa atau untuk apa.

"Putrajaya."

Dahi Abang Rayyan berkerut. Nampak tak senang dengan jawapan aku. Rayyan menyeluk poket seluar slack lalu keluarkan telefonnya. Jeling skrin sesaat sebelum kembali pandang aku.

"Buat apa jauh-jauh sampai ke Putrajaya? Kenapa tak jumpa dekat-dekat sini? Tak lama lagi dah maghrib."

Giliran dahi aku pula untuk berkerut. Dah kenapa pula keluar jauh pun jadi masalah? Lagipun Putrajaya itu bukan jauh mana. Tekan sikit minyak sampailah dalam belasan minit kalau jalan tak sesak.

"Rumah kawan Dhia dekat-dekat situ," jawabku.

Sekali lagi Rayyan menjeling skrin telefonnya sebelum tiba-tiba Rayyan buka pintu kereta semula. Kali ini, Rayyan membuka pintu sebelah pemandu. Rayyan pandang aku dan isyaratkan aku untuk masuk ke dalam.

Eh, Rayyan nak tolong hantar aku ke Putrajaya ke?

"Tak apalah. Dhia naik Taxi atau Grab je."

"Get in, Dhia."

"Tapi abang, Dhia boleh pergi sendirilah. Baik abang masuk dan rehat. Raees dah tunggu abang dekat dalam." Aku bukan buat cerita semata-mata nak menolak pelawaan itu, tapi Raees memang sedang duduk di ruang tamu sambil tunggu daddynya.

Dari tadi Raees bersemangat beritahu aku yang sekejap lagi daddy akan balik. Bukan tadi je, memang selama aku di sini, dia akan melapor bila waktu pejabat hampir tamat. Raees tahu yang daddy dia nak balik pun melalui televisyen. Nampak kartun Pada Zaman Dahulu itu, maksudnya daddy dia dah nak sampai.

Pandai budak ini!

Rayyan tak balas apa-apa. Tapi tiba-tiba dia memberi isyarat untuk aku tunggu di sini sebelum dia terus masuk ke dalam rumah. Tak lama kemudian, Rayyan keluar bersama Raees yang sudah terlompat-lompat kegembiraan. Sudah siap berjaket dan bertopi budak kecil itu. Padahal kali terakhir aku tengok sepuluh minit lepas, dia hanya berbaju T Marvel.

Jangan kata...

"Kita nak pergi mana, mommy?"

Ternganga aku bila mendengar soalan Raees yang penuh teruja dan tak sabar itu. Terlompat-lompat sambil tarik tanganku untuk masuk ke dalam kereta. Aku pandang Rayyan.

Wah, elok saja dia pasang muka tak berperasaan itu. Nampaknya Rayyan dah tekad nak hantar aku. Tapi tak apa ke? Macam mana kalau Raees nak ikut aku nanti? Aku memanglah tak ada masalah kalau Raees ikut. Tapi kalau Rayyan juga temankan Raees? Lagi haru kalau Raees panggil aku mommy depan orang.

Ah, tak sanggup! Mahu aku diusik oleh Ilyana nanti. Dia tahu betapa aku gilakan Rayyan dulu!

"Get in, Dhia," arah Rayyan.

Dan bila Raees berterusan menarik tanganku, aku terpaksa akur. Terus masuk ke dalam kereta. Hanya aku duduk di kerusi belakang bersama Raees. Pintu yang dibuka Rayyan tadi aku tutup semula.

"Seronoknya dapat jalan-jalan! Dah lama daddy tak bawa pergi jalan-jalan! Kita nak pergi mana? Boleh tak Raees nak toy baru, daddy?" Raees membebel sendiri sambil sesekali melompat-lompat dan kacau Rayyan di depan.

Ah, haraplah semuanya baik-baik saja nanti!

AKU terus keluar dari kereta sebaik saja Rayyan berhentikan keretanya di salah satu pintu masuk IOI Putrajaya ini. Tapi tak sempat nak tutup pintu lagi, tiba-tiba Raees sudah menangis memanggil aku. Kelam-kabut aku pusing pandang Raees semula. Pipi Raees memerah.

Aduhai, sudahlah di sini tak boleh berhentikan kereta terlalu lama.

"Kenapa Raees?" soalku.

"Nak ikut mommy." Raees merengek.

Alamak! Inilah yang aku takutkan tadi. Tapi kesianlah pula. Bawa jelah!

Aku terus pandang Rayyan di depan yang tenang memerhati kami melalui cermin pandang belakang. Entah bila kemeja hitamnya sudah ditarik keluar daripada seluar. Siap dua butang teratas sudah dibuka. Terus jadi pakaian smart casual!

"Dhia bawa Raees boleh? Dhia tak ke mana pun. Duduk dekat restoran bawah ini je." Aku menyoal Rayyan. Duduk di restoran, tapi restoran yang mana satu itu aku tak tahu. Belum buat keputusan nak makan apa.

"Bawalah."

Wah, tak sangka semudah itu Rayyan memberi keizinan.

Ah, mudah atau tak, aku perlu cepat-cepat bawa Raees masuk ke dalam supaya Rayyan boleh meneruskan pemanduan. Kereta di belakang sudah beratur menunggu kami selesai. Pegawai keselamatan bertugas pun sudah terjeling-jeling.

"Jom." Aku hulur tangan kepada Raees. Laju saja budak hensem itu menyambut tanganku, lalu tersengih-sengih melompat turun daripada kereta. Siap tolong tutupkan pintu tanpa pandang pun daddynya.

Hahaha!

Berjalan masuk ke dalam, aku terus nampak Ilyana yang sedang berdiri tercegat sambil menunduk tengok telefon. Memang kami sudah berjanji untuk bertemu di bahagian ini.

Nampak saja aku, Ilyana terus tersenyum lebar. Tapi elok saja matanya turun pada Raees, terus Ilyana terjegil.

"Bila masa kau ada anak, Dhia?!"

Weh!!!

"Kau jangan merepek kuat sangat. Ini anak Rayyan, bukan aku!" Aku berbisik. Takut Raees dengar. Sedih budak itu nanti.

Gila ke? Tengok muka pun dah tahu ini bukan anak aku. Tak perlu buat ujian DNA. Sebiji muka daddy dia! Tapi itulah, boleh jadi juga kalau anak aku pun ikut muka Rayyan kan? Tetap juga akan jadi anak aku. Tapi itu lain punya kes.

"Abang Rayyan yang kau suka gila dulu itu... Ehm!" Tenggelam suara Ilyana bila aku tekup mulutnya yang begitu laju macam machine gun bongkarkan rahsia zaman batu aku depan anak Rayyan sendiri.

Tengok muka Raees yang terkebil-kebil, aku rasa aku selamat. Dia tak faham kut. Tapi kalau dia faham pun tak apa rasanya. Bukan ke Rayyan dah jelaskan soal 'sayang' itu? Cuma Ilyana tak tahu yang aku sudah jadi isteri orang. Aku tak pernah beritahu dia atau mana-mana kawan kami.

Ilyana terus melambai Raees. Tangan disua untuk mengajak Raees pegang tangannya sama, tapi Raees tak mahu. Malahan kedua-dua tangan Raees terus naik memeluk tanganku sampai terbongkok aku dibuatnya.

"Mommy..." Raees berbisik panggil aku. Dah dua-dua pun ambil giliran nak main bisik-bisik!

Sempat aku nampak Ilyana yang sudah ternganga bila Raees panggil aku mama.

"Ye, saya?" Aku menyahut saja. Tersenyum pandang Raees.

"Mana daddy?"

Ewah, dah selamat daddy dia hilang 15 minit, baru teringat nak cari ye? Tadi lambai pun tidak. Hai, Raees.

"Daddy..."

"Daddy dekat sini."

Terus tegak badan aku bila dengar suara yang menjawab soalan Raees, sekali gus memotong kata-kataku itu. Tambah terkejut bila mata menangkap Rayyan yang sedang melangkah ke arah kami.

"Daddy!" Tanganku dilepaskan dan Raees terus berlari ke arah Rayyan. Kembali melompat kegembiraan.

"Dhia, you have a lot to explain," bisik Ilyana. Juga melihat ke arah Rayyan.

Alahai, inilah dia! Kan sudah tak pasal-pasal bertambah kerja aku nak buat karangan jelaskan keadaan sekarang supaya Ilyana tak salah faham.

"Aku pergi cop meja dulu. Kita makan nasi eh? Kau mesti rindu nasi kan?" Tak menyempat, Ilyana terus berlalu meninggalkan kami bertiga.

Macamlah di luar negara sana tak ada nasi!

Elok saja Ilyana berlalu, Raees dan Rayyan terus menghampiriku. Sebelah tangan Raees naik memaut tanganku dan sebelah lagi masih memegang tangan daddynya. Nampak seronok betul bila ada daddy dia sekali.

"Abang nak ke mana?" soalku. Kut-kutlah Rayyan nak ke tempat lain. Kid Zoona yang ada di tingkat atas, contohnya.

"Teman Raees."

"Teman Raees?" Dahiku berkerut tak mengerti.

Teman Raees? Raees pula nak ikut aku. Jadi maksudnya Rayyan pun akan ikut aku sekali ke?

"Jangan risau, abang akan duduk di meja lain dan tengok-tengokkan Raees kalau Dhia tak selesa. Dia buas sikit kalau di luar. Lagipun Raees tak nak berpisah dengan Dhia. Dhia pun nampak kan?"

Duduk di meja lain pula dah? Aduh, pening kepala aku.

"Abang duduk jelah sama. Tapi jangan janggal pula sebab sekejap lagi kawan Yana akan join sekali. Bolehlah abang berborak dengan dia." Itu pun kalau masuk! Jarak umur Rayyan dan kami beza tujuh tahun. Takut topik kami tak sesuai dengan jiwa dia.

"Kawan lelaki?" Rayyan menjongket kening.

Aku mengangguk.

Bila tiada reaksi, aku terus menuju ke arah Ilyana yang sudah berdiri menunggu kami di depan sebuah restoran. Raees mengikut saja arah tarikan aku, begitu juga dengan Rayyan.

Rayyan memesan makanan untuk Raees dulu sementara kami bersembang dan menunggu kawan Ilyana yang belum sampai. Betullah Rayyan kata, Raees buas bila di luar. Budak itu langsung tak nak duduk diam. Semua meja nak diterjahnya. Rayyan terpaksa bawa Raees keluar dan berlari di luar kedai sambil mengawasi Raees supaya budak itu tak berlebihan sampai orang lain rasa tak selesa. Nasib baik pelanggan lain hanya tersenyum. Untunglah comel!

"Abang tak nak makan?" soalku bila kebetulan Rayyan kembali ke meja makan. Boleh tahan lama dia melayan Raees sampai makanan kami dah sampai.

Rayyan ambil kentang yang ada dalam pinggan Raees lalu kunyah.

"Dhia ada pesan apa-apa untuk abang?"

"Untuk abang tak ada sebab Dhia tak tahu abang nak makan apa. Tapi Dhia punya chicken mandy. Kalau abang lapar, makanlah Dhia punya. Dhia boleh order baru."

"Dhia tak lapar?" Rayyan mula panggil Raees untuk kembali ke meja. Itu tandanya mungkin Rayyan menerima tawaran aku tadi.

"Tak berapa."

"Mommy, I'm thirsty," adu Raees. Siap usap leher lagi.

Aku tersengih. Air coklat sejuk yang Rayyan pesan untuk Raees tadi aku ambil dan sua pada bibir Raees. Rakus airnya disedut. Haus betul! Itulah, lari tak ingat dunia lagi.

"Mommy, apa itu?" Raees panjat kerusi dan tunding pinggan chicken mandy atas meja. Rayyan yang juga sudah duduk di sebelah Raees hanya tersenyum saja melihat telatah anak bujangnya.

"Ini chicken mandy. Nasi dengan ayam."

"Besarnya ayam! Mommy punya ke?"

"Itu mommy dan daddy punya. Mommy kongsi dengan daddy."

Hai, sejak bila aku setuju nak berkongsi dengan dia pula ini? Tapi kalau ikutkan saiz hidangannya memang patut kami berkongsi. Dua orang makan punya saiz. Aku pula kurang makan nasi tapi kuat makan lauk.

"Raees kongsi dengan mommy juga?" soalnya. Polos sungguh.

"Raees kan ada makanan sendiri? Makanlah yang itu," jawab Rayyan.

"Tapi Raees nak kongsi juga."

Aku dan Rayyan berpandangan sebelum aku tersengih. Ikut jelah daddy! Nanti anak awak merajuk kan susah? Kalau dia larikan diri di tengah-tengah shopping mall ini macam mana? Haha!

"Tolong daddy minta pinggan untuk Raees dari uncle itu." Rayyan menuding ke arah pelayan yang sedang berdiri di depan kaunter, menunggu jika khidmatnya diperlukan.

"Daddy tak nak pinggan?"

"Daddy dan mommy kongsi satu pinggan," balas Rayyan. Dia buat keputusan tanpa persetujuan aku lagi. Sabar jelah.

"Raees nak kongsi juga!"

Adeh! Hahahah! Tengok perangai Raees ini, aku rasa Kak Qila atau Rayyan berkenan dekat aku masa budak ini masih dalam perut. Perangainya sebiji aku! Terkenan kut!

"Wah, wah, keluarga bahagia ini. Entah-entah dah tak sedar kitaorang tercegat dekat tepi." Tiba-tiba Ilyana bersuara.

Waktu itu jugalah aku baru ingat yang kami tak hanya bertiga di sini. Terus panas muka bila rupa-rupanya kawan Ilyana sudah tiba dan siap sudah duduk tenang, tapi aku langsung tak perasan!

Argh, malu!

Aku lihat Rayyan bersalaman dengan lelaki itu. Hm, tapi ini kawan yang aku tak kenal. Dan aku dengan Ilyana cukup rapat sampai aku boleh kenal setiap kawannya. Lagi-lagi kalau kawan yang dibawa berjumpa aku. Orangnya pun nampak seperti berumur sedikit.

Lelaki itu tiba-tiba hulurkan tangannya kepada aku. Tapi tak sempat aku nak buat apa-apa lagi, tangan itu sudah terlebih dahulu disambut oleh Rayyan. Sudahnya aku hanya mampu senyum pada lelaki itu. Tak mahu cari gaduh dengan Rayyan.

Lagipun eloklah. Tengok gaya orangnya, aku rasa tak sedap hati. Adalah yang aku sekolahkan Ilyana ini sekejap lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience