Bab 42

Romance Series 30734

"KITA tak naklah! Tak nak!!! Raees tak nak ikut auntie! Raees nak duduk sini sampai daddy dengan mommy sampai!!!"

Terus kelam-kabut aku keluar daripada kereta bila lihat Raees yang sedang bergelut dengan Kak Qila sambil menjerit-jerit enggan. Cikgunya juga ada sedang cuba menenangkan Kak Qila dan memujuk perempuan itu supaya tak mengganggu Raees.

"Hoi!" Aku melaung geram. Terus terpusing kepala perempuan itu sebelum dia menjeling marah pada cikgu-cikgu yang sudah berundur selangkah.

Mesti dia tahu siapa punya angkara yang boleh buatkan aku tersadai di sini di saat-saat penting macam ini. Tak lain tak bukan sebab cikgu Raees hubungi Rayyan, lalu Rayyan hubungi aku memandangkan aku paling dekat dengan playschool Raees. Elok pula aku memang ada di supermarket berdekatan untuk beli barang dapur sementara menunggu waktu habis sesi persekolahan hari ini bagi menjemput Raees.

Ngam soi!

"Mommy!!!" Raees menjerit memanggilku. Dia sudah mula menangis sebaik saja sedar yang aku sudah ada di sini.

"Mommy?! Hei! I'm your mommy! Perempuan itu bukan mommy you, Raees Halzeri!" marah Kak Qila. Semakin kuat aku nampak pegangannya pada tangan Raees.

"Tak nak! Auntie bukan mommy Raees! Mommy yang mommy Raees! Raees tak nak ikut auntie! Auntie jahat!"

"Kurang ajar! Kecil-kecil lagi mulut dah ikut sama dengan penyondol ini! Ini mesti perempuan bodoh ini yang ajar kau untuk cakap macam ini dekat aku kan?!"

Tak tahan lagi. Aku ingat mahu berunding dengan mulut memandangkan di sini ada ramai budak-budak yang memerhati. Tak boleh tunjuk contoh yang tak baik. Tapi bila tangan Kak Qila tiba-tiba naik menunjal kepala Raees, aku rasa badanku hampir terbakar marah.

Terus aku meluru ke arah Kak Qila. Tangannya yang mencengkam tangan Raees itu aku genggam sebelum aku cengkam dengan cukup daya sehingga perempuan itu terus berkerut menahan sakit. Tapi dia masih berkeras. Terus aku tekan lebih kuat di tengah-tengah pergelangan tangannya sampai perempuan itu terus ternganga.

"Lepaskan tangan anak aku," kataku.

"Bodoh punya penyondol! Kau dah lupa ke yang kau dah bunuh anak kau sendiri?! Ini anak aku!"

Aku tersenyum. Ibu jariku terus menekan sekuat hati kawasan yang hanya bawah sedikit daripada urat tangannya. Hampir saja kuku aku terbenam di situ kalau tak kerana dia yang terus merentap tangannya kerana sudah tak tertahan dengan sakit yang aku beri.

Elok saja tangan Raees dilepaskan, aku terus tarik Raees supaya menyorok di belakangku. Raees yang masih menangis terus peluk kaki aku. Raees betul-betul ketakutan. Tubuhnya menggigil.

"Cikgu, saya bawa balik Raees awal sikit hari ini ye?" Aku meminta izin.

Cikgu Raees terus mengangguk. Salah seorang daripada mereka masuk ke dalam sekejap sebelum kembali dengan beg Raees. Beg Raees bertukar tangan sebelum aku terus tarik Raees menuju ke arah kereta. Cikgu-cikgu Raees juga sudah masuk ke dalam dan tutup pintu. Agaknya mereka risau kalau selepas aku pergi, Kak Qila akan mengamuk dekat dia orang kut.

Dari ekor mata aku nampak Kak Qila seluk beg tangannya. Aku pedulikan. Terus Raees dimasukkan ke dalam kereta. Aku buka tingkap Raees sedikit sekadar cukup untuk udara luar keluar masuk.

"Raees tutup mata," arahku.

Walaupun Raees seperti tak mengerti, tapi dia tetap ikut arahan itu. Terus tangannya naik menekup muka sendiri. Raees tunduk.

Aku pula terus turunkan beg tangan. Dipegang saja sambil mata memandang pantulan pada cermin kereta. Tepat saatnya, terus aku berpusing sebelum beg tangan itu aku ayun hingga berdentum dengan tangan Kak Qila. Sebilah gunting jatuh ke bawah sementara Kak Qila pula terus tertunduk sambil usap tangan yang terus berbirat merah selepas menerima ayunan padu itu.

Dengan mata yang mencerlung, Kak Qila angkat muka dan pandang aku. Dan aku, tak beri dia masa untuk bersantai atau bersuara. Laju saja tanganku naik sebelum mendarat pada mukanya. Terteleng.

Tanganku naik mencengkam tulang pipinya. Diangkat dan ditarik perempuan itu sampai dia tersandar pada badan kereta, lalu terdongak memandang muka aku. Mukanya berang, tapi aku dapat kesan gerun dalam pandangannya.

Huh, as you should! Untunglah aku guna tangan kiri. Tak sekuat mana kerana aku tidak dominan tangan itu. Kau patut sujud syukur!

"Kau nak mati ye?" kataku.

"Kau mengugut?! Aku boleh buat laporan polis tahu?!"

Aku terus tergelak. Laporan polis? Dia ini bodoh ke apa?

"Silakan. Itu pun kalau kau rasa yang kau takkan kena gelak dengan pegawai itu lepas mereka tengok rakaman CCTV perbuatan kau tadi." Aku terus kerling ke arah CCTV yang cantik melekat pada dinding berdekatan pintu masuk playschool.

Terus berubah muka dia bila nampak benda itu. Tadi gerunnya hanya di mata, tapi kini satu muka.

Dia ini bodoh agaknya. Nama pun sekolah, mestilah merata CCTV terpacak. Port baiklah nak cari pasal dengan aku.

"Ini amaran aku yang kau perlu ambil serius, jangan sentuh anak aku lagi. Kalau kau rasa yang ini setakat amaran di mulut..."

Pang!

Mendarat satu lagi tamparan pada muka di sisi lainnya. Terus ternganga kuasa dua perempuan itu dibuatnya.

"Tidak. Ini bukan. Dan aku boleh buat lebih lagi daripada ini kalau kau cabar aku dan kau ganggu anak aku. Ingat satu perkara ini, Qila. Dhia yang kau pandang sekarang bukan lagi Dhia yang dulu. Aku boleh buat kau merana dan kesakitan lebih daripada apa yang kau buat pada aku selepas misi untuk kau kikis Rayyan porak-peranda itu. Lebih dan lebih lagi."

Pang!

Kali ini terus Kak Qila meronta. Agaknya dia sudah nampak yang aku memang tak akan berhenti menamparnya selagi aku belum puas hati. Tapi belum habis! Aku terus kunci tubuhnya pada badan kereta. Kaki menyilang pada kakinya.

"Itu anak aku. Raees Halzeri akan jadi anak aku bermula kali pertama dia datang pada aku dan gelar aku sebagai mommy dia dan akan kekal sampai bila-bila."

"Itu anak akulah, bodoh!"

Aku tersengih. "Kau bunuh anak aku dulu dan sekarang aku akan ambil Raees sebagai penggantinya. Lagipun kau bukannya sayang anak kau pun. Kau ingat aku tak tahu apa yang kau buat sampai Rayyan tak lagi benarkan kau untuk ambil dia melainkan jenguk di rumah? Tapi itu dulu, Qila. Dulu masa aku tak ada, bolehlah kau buli budak ini. Tapi sekarang, kau cuba sentuh dia dengan hujung jari kelingking dan kau akan rasa seperti tak mahu hidup di muka bumi ini lagi. Tanam ayat itu dalam kepala kau sebab aku takkan ragu-ragu untuk buat."

Aku terus melepaskannya. Pada mulanya dia seperti mahu menerkam aku lagi, tapi bila sekali lagi penampar hinggap di mukanya, terus perempuan itu terduduk di atas jalan. Kali ini kerana daya yang cukup kuat, hujung bibirnya mula berdarah.

"Aku rasa tamparan ini tak ada apanya nak dibandingkan dengan sakit yang kau beri bila kau bunuh anak aku. Tak, aku tak cakap tentang sakit mental, tapi fizikal. Saat ubat itu bertindakbalas dalam badan aku, Allah je yang tahu betapa sakitnya aku waktu itu. Dan kau juga perlu tahu yang tamparan ini tak seberapa kalau nak dibandingkan dengan apa yang aku boleh buat pada kau. Jadi pergi berambus dan jangan munculkan diri depan aku dan anak aku lagi."

Pandanganku teralih sekejap bila tiba-tiba kereta Rayyan menggelungsur masuk ke dalam pekarangan sekolah. Hampir saja dia drift di situ!

Rayyan keluar daripada kereta dengan muka bengisnya. Dia meluru ke arah Qila, tapi Qila pula terus bangun dan segera berlari selaju yang mungkin. Perempuan itu ketakutan.

Mana tidaknya kalau Rayyan sudah macam pemangsa yang nak baham tikus!

Hilang saja Kak Qila, aku terus buka pintu kereta. Raees yang masih tutup muka terus pandang aku. Dia nampak ketakutan.

"Raees okay?" soalku.

"Raees sakit tangan..." adunya sebelum Raees menunjukkan pergelangan tangannya yang sudah memerah bagai bentuk jari menjalar di situ.

Perempuan ini! Aku patutnya beri lagi sepuluh tamparan!

"Nanti sampai rumah mommy sapu ubat ye?" Sambil bercakap, sambil itulah aku gosok tangannya.

"Kenapa dengan Raees?" Tiba saja Rayyan di sisi kami, terus dia menyoal risau. Tak payah susah-susah aku nak jawab, laju saja matanya mendarat pada pergelangan tangan Raees. Tegang muka Rayyan.

"Raees tak nak pergi school. Raees takut nanti dia datang lagi. Raees nak duduk dengan mommy, daddy. Raees takut." Raees mengadu. Terus terhambur lagi tangisannya.

Aku dan Rayyan berpandangan sebelum Raees terus diangkat dan dibawa ke dalam dukungan oleh Rayyan. Kepala anak itu diusapnya lembut sebelum Rayyan mengangguk lembut.

"Okay. Raees boleh cuti dulu. Nanti bila Raees tak takut lagi, Raees pergi school semula ye?"

"Okay, daddy."

Rayyan kembali letakkan Raees ke dalam kereta. Letak terus di car seat. Tanpa tutup pintu, fokus Rayyan terus beralih kepada aku pula. Aku nampak mata dia naik turun memerhati satu badanku seolah sedang cuba mencari sebarang kecacatan sebelum tangannya mencapai tanganku. Tangan kiri yang digunakan untuk menampar Kak Qila tadi.

"Kenapa merah menyala tangan ini?" soalnya. Tegas.

"Sebab panas kut." Aku menipu.

"Ye? Panas itu memang kena dekat sebelah tangan je?" Tapi mestilah Rayyan tak akan terpedaya dengan tipu helah aku. Siap menyindir lagi. Teringat pula masa dia sindir aku bercakap dengan mangkuk jamban dulu.

"Dhia tampar cinta hati abang. Tiga empat kali jugalah sampai berdarah bibir dia. Kenapa? Abang nak marah Dhia? Atau abang nak pulangkan tamparan itu pada Dhia semula? Kalau itu..." Tak sempat habis kata-kata aku, tiba-tiba tangan Rayyan mula mengusap lembut tapak tanganku.

Mengusap seperti mengurut. Sehelai kain sapu tangan dikeluarkan daripada poket seluarnya sebelum tanganku digosok lembut dengan kain itu seperti sedang membersihkannya. Tiba-tiba tapak tangan itu dinaikkan dan bibirnya mendarat di situ. Sampai terkedu aku dibuatnya!

"Sakit?" soalnya. Sepatah.

Tanganku masih dalam genggamannya. Hanya dia tak lagi mengusap.

Err... Aku tak tahu nak cakap apa. Masih terkedu. Jadi aku senyap saja.

"Lain kali jangan guna tubuh Dhia untuk orang macam itu. Ambil beg, pukul. Ambil kain, libas. Kalau tak ada semuanya, tunggu abang. Kan abang dah kata? Panggil abang, dan abang akan datang. Jangan sakitkan diri kalau boleh dielak. Abang tak nak Dhia sakit lagi."

Gulp!

Tak habis terkejut lagi, tiba-tiba tanganku itu ditarik lembut yang membuatkan tubuhku juga tertarik sama. Semakin dekat sebelum sebuah kucupan ringkas hinggap di dahiku. Gulp kuasa dua!

"Terima kasih sebab jaga Raees untuk abang, peaches," bisiknya. Ada seribu kelagaan dalam suaranya yang buatkan aku ikut lega sama.

Alhamdulillah untuk semuanya. Untuk nyawa yang masih panjang, untuk diri yang tak berjaya dicederakan dan untuk keluarga yang dapat kulindungi. Semua kerana bantuan Allah. Alhamdulillah.

"Dhia masuk. Abang akan drive di belakang Dhia sampai rumah. Bawa hati-hati dan jangan tergesa-gesa. Abang di belakang."

Aku mengangguk faham. Sebaik saja Rayyan selesai bercakap dengan Raees sekejap, terus lelaki itu masuk ke dalam keretanya. Sebelum aku ikut masuk ke dalam kereta milik arwah ibu yang aku gunakan ini, aku sempat tarik tisu daripada beg tangan sebelum gunting yang ada di atas jalan itu aku kutip dan balut.

Aku mengerling kereta Rayyan yang sudah bersedia dengan lampu isyarat berkelip-kelip. Aku segera masuk ke dalam kereta. Sempat Raees diperiksa sebelum kereta dipandu. Elok kereta ini keluar, barulah Rayyan ikut keluar sama.

Sehingga tiba di depan pagar rumah, dia setia menemani perjalanan kami. Hanya setelah itu Rayyan membelok semula dan meninggalkan perkarangan rumah. Mungkin dia mahu ke ofis semula. Ada kerja yang tak boleh ditinggalkan agaknya.

"Mommy, daddy pergi mana?" soal Raees. Dia pun tahu yang Rayyan mengikut tadi. Mungkin dia dengar perbualan kami.

"Daddy pergi kerja semula."

"Kenapa daddy tak balik dengan kita?"

"Sebab daddy sibuk. Daddy ada banyak kerja. Nanti bila dah siap kerja, daddy baliklah."

Melihat wajah Raees yang mendung, aku terus tersenyum. Hai, anak manja yang seorang ini.

"Raees nak tak tolong mommy? Kita masak untuk daddy sama-sama? Jadi bila daddy balik, daddy akan happy."

"Nak!" Mata Raees membulat. Hilang mendung!

"Kalau macam itu, jom kita masuk rumah. Raees pergi mandi dulu."

"Okey, mommy!"

Terus aku keluar dan buka pintu kereta untuk Raees. Budak itu tak menyabar, terus lari masuk ke dalam rumah sambil memanggil tok umi dan neneknya. Aku rasa tak lama lagi mesti sampailah cerita itu ke telinga umi.

Baru nak mencapai beg tangan, tiba-tiba telefonku berbunyi. Mesej masuk. Rayyan.

Missing you already, peaches.

Dalam tak sedar dan tak tertahan, bibir tersengih sendiri. Rasa lucu dan rasa pelik dalam satu masa. Rasa macam tak percaya aku akan terima mesej seperti ini daripada lelaki bernama Rayyan Halzeri itu.

Hai!

...

Ha, mesti ramai nak tengok Dhia balas dendam dekat Qila kan?? Nah, secebis kejahatan Dhia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience