Bab 56

Romance Series 30734

AKU gagal sesi temuduga yang baru berlangsung tak sampai tiga jam yang lepas. Ditolak mentah-mentah kerana ada calon yang lebih layak kerana memiliki pengalaman dalam bidang tersebut, walau pembelajarannya sama tinggi saja dengan aku.

Sedihlah juga, tapi aku terima jawapan itu dengan hati terbuka memandangkan Rayyan sudah kata awal-awal yang dia hanya menilai dengan adil. Dapat, tahniah. Tak dapat, takziah. Dan kali ini, takziah.

Sekarang aku sedang dalam perjalanan untuk bertemu dengan orang yang merindui aku. Rayyan sedang memandu. Keluar lebih awal daripada yang sepatutnya walaupun waktu kerja belum habis.

Lebih kurang 25 minit perjalanan, akhirnya kereta membelok masuk ke sebuah tanah perkuburan.

Melihatkan itu, aku sudah dapat meneka siapa yang dimaksudkan oleh Rayyan.

Orang yang masih belum aku kunjungi walau sudah berbulan-bulan aku pulang. Orang yang menjadi penyebab aku dan Rayyan seperti sekarang.

Kereta diparkir. Rayyan keluar dan menuju ke arah pintu tempat duduk aku. Elok saja pintu dibukanya, Rayyan terus tersenyum nipis.

"Orang yang rindukan dia sedang menunggu. Dhia tak jenguk dia lagi?"

Bibir diketap menahan rasa sebak sementara aku keluar dan melangkah ke arah pagar perkuburan itu. Masuk saja ke dalam bersama Rayyan, aku dipimpinan hingga kami tiba di sebuah pusara yang tak punya sebarang hiasan, batuan mewah seperti yang lain. Hanya ada batu nisan yang terukir namanya bagi memudahkan kami untuk mencari.

Ibu...

"Assalamualaikum ibu." Rayyan memberi salam sambil batu nisan itu disentuhnya.

Sehelai lain nipis dibentang sebelum Rayyan mengisyaratkan aku untuk duduk di situ.

Aku menurut.

"Hari ini Rayyan tak dapat bawa Raees. Ini pun ponteng kerja sekejap untuk ke sini."

Aku memerhatikan Rayyan yang sedang bercangkung sambil tangan tak lepas menyentuh batu nisan itu. Diusap lembut seakan itu adalah ibu.

Tiba-tiba Rayyan memandang aku. Tanganku dicapai sebelum dibawa menyentuh batu nisan itu bersama tangannya yang menindih dan menahan.

"Tapi Rayyan bawa orang yang lebih ibu nantikan berbanding Raees. Gadis yang ibu puja setiap masa. Yang ibu sebut namanya sampai ke detik terakhir." Sebelah lagi tangan Rayyan naik menyentuh bahuku. Diusap lembut.

"Dhia di sini, ibu. Rayyan dah bawa Dhia ke sini. Maafkan Rayyan yang tak dapat bawa Dhia saat ibu masih mampu menyentuhnya."

Hatiku terasa sayu bila Rayyan menggosok hidung seolah sedang menahan diri daripada menangis.

"Bila Rayyan minta ampun, ibu kata tak akan ada ampun melainkan jika Dhia maafkan Rayyan dan Rayyan membahagiakan Dhia. Sekarang ibu dah ampunkan ke? Atau Rayyan masih gagal untuk kesemuanya?"

Dahinya berkerut. Anak matanya bergetar.

Rayyan...

Sedang hancur.

Baru aku mengerti kenapa Rayyan kata, dia tak sempat minta maaf pada ibu. Rupanya kerana ibu tak mahu memaafkannya jika dia tidak mendapat kemaafan aku.

Patutlah dia sanggup menolak segala ego dan maruahnya sebagai seorang lelaki demi mendapatkan kemaafan aku. Rupa-rupanya kerana kemaafan aku itu membawa kepada kemaafan ibu.

Rayyan memandang aku.

"Abang duduk di tepi sana sekejap. Dhia duduk di sini." Hanya itu yang Rayyan kata, sebelum lelaki itu bangun dan menuju ke arah sebatang pokok yang agak jauh daripada pusara arwah ibu.

Aku nampak dia mendongak.

Aku rasa Rayyan sedang melayan perasaannya.

Dan aku...

Menarik semula tangan yang menyentuh batu nisan itu.

Aku termenung memandang nama yang terukir di situ sebelum mataku turun memerhati pusara ini. Tak sangka ibu yang dulunya menemani aku tidur, membawa aku ke mana-mana saja sudah bersemadi di sebalik pusara ini.

Seakan semuanya seperti sebuah mimpi. Sama seperti kepergian arwah papa. Mimpi ngeri.

Angin bertiup lembut menampar tubuhku walau cahaya matahari agak terik.  Aku tersenyum nipis sebelum tanganku menarik daun kering yang ada di pusara itu dan dibuang ke tepi. Hanya membiarkan rumput dan daun yang masih hijau warnanya.

"Assalamualaikum ibu. Dhia dah sampai." Aku berbisik sendiri.

Tanganku mengusap noda hitam pada batu nisan ibu yang berwarna putih. Diusap hingga noda itu pudar sedikit.

"Mesti lama ibu tunggu Dhia melawat untuk tengok sendiri kubur ini kan?"

Aku tersenyum nipis. "Dhia dah datang. Maafkan Dhia yang larut dalam kemarahan sampai tak melawat ibu sama sekali."

Mata meliar mencari Rayyan. Dia sudah tiada di pokok tadi. Rupa-rupanya dia dah berdiri si sisi kereta bersama sebotol mineral besar di tangan sambil memandang ke arah aku. Seakan sedang menunggu dan memberi aku masa untuk bersendirian.

Mataku kembali turun memandang pusara. Tangan memeluk tubuh sambil mengusap-usap. Cubaan menenangkan diri.

"Dhia dah dewasa, ibu. Dhia dah belajar tinggi-tinggi. Dhia dah membesar dengan baik. Ibu jangan risau atau serba salah lagi. Dhia dah mampu untuk buat segalanya sendiri. Dhia dah terbang tinggi dan bebas."

Aku menarik nafas dalam-dalam. Jangan menangis!

"Dhia juga dah berbaik dengan Rayyan. Semuanya dah baik-baik saja di sini, ibu. Semuanya dah jadi seperti yang ibu inginkan dulu. Rayyan nampak gembira. Raees pun sama. Dhia dah reda dan berdamai dengan segalanya, termasuklah memaafkan Rayyan."

Semoga kemaafan ibu juga sampai buat lelaki itu. Mungkin hanya dengan itu, Rayyan akan lebih tenang.

Tanganku bermain dengan rumput-rumput pada pusara itu. Aku tersenyum dalam mata yang mula berkaca, sedang tubuh mula diposisikan membelakangi Rayyan.

"Ibu tahu? Rayyan jaga Dhia dengan sempurna. Dia sanggup hadap seorang lelaki yang digeruni ramai supaya Dhia tak perlu menghadap lelaki itu dan menanggung risikonya. Dia datang setiap kali Dhia memanggilnya. Sama seperti yang ibu harapkan dulu."

Jari menyeka air mata yang mula tumpah. Sekuat mana pun aku cuba untuk menekan diri, akhirnya air mataku jatuh juga.

"Ibu, bersemadilah dengan tenang. Tersenyumlah di sana, sebab semua di sini sudah baik-baik saja. Semoga ibu dan papa dapat bertemu supaya papa boleh ceritakan segalanya yang berlaku di sini selepas ibu pergi. Semoga papa boleh minta maaf pada ibu untuk Dhia."

Ampunkan Dhia, ibu.

Aku lekas menyeka muka dengan hujung lengan baju bila bahuku disentuh. Rayyan sudah berdiri di sisiku bersama botol mineral tadi.

Bila aku memandangnya, terus dia tersenyum. Botol itu diberikan kepada aku.

Aku memahaminya. Penutup botol dibuka, air disiram atas tanah yang tiada sebarang batuan. Giliran Rayyan, air itu dilalukan pada batu nisan. Batu nisan dicuci bersih dengan air sebelum sisanya dijirus pada tanahnya juga.

"Ibu, Rayyan bawa Dhia balik dulu. Lain kali, kami akan datang bersama umi dan Raees. InsyaAllah, nanti Rayyan bawa Dhia ke kubur arwah ayah dan papa pula." Rayyan membantu aku untuk bangun semula. Kain tadi dilipatnya setelah dikibas.

"Kami balik dulu, ibu. Assalamualaikum." Rayyan menarik tanganku dan kami melangkah ke arah kereta semula.

Sempat aku berpaling seketika memandang ke arah pusara itu. Bibir tersenyum sedangkan air mata sekali lagi mengalir.

Seakan mengerti, Rayyan menarik aku sehingga tersandar pada tubuhnya.

Dhia maafkan segalanya, ibu. Tiada lagi amarah dan dendam atas apa saja. Dhia maafkan semua orang yang pernah menganiaya dan membenci Dhia.

Kerana Dhia hanya mahu hidup dengan sepenuhnya ketenangan.

Assalamualaikum ibu.

"MACAM mana temuduga itu, Dhia?"

Masuk saja ke dapur, itulah soalan pertama yang umi ajukan kepada aku.

"Tak dapat, umi."

Sebab tukang interview terlebih adil. Cable pun tercahut kali ini. Kalau tak disebabkan apa yang Rayyan buat itu memang baik, memang adalah yang tidur di luar dan berpuasa paksa setahun!

"Hai, interview dengan suami pun tak dapat? Apa Dhia tak buat research ke sebelum itu?" soal umi.

"Mana sempat. Baru minta malam, esoknya dia dah suruh datang interview. Rayyan itu tahu jelah. Mana ada kompromi. Terlebih tegas. Tak rasa special pula jadi isteri dia."

Tengah sedap aku mengutuk dia, tiba-tiba tuan badan melangkah masuk ke dapur bersama Raees dan nenek.

"Apa pula tak ada kompromi? Sebelum subuh lagi abang dah tolong Dhia buat persiapan. Abang siap beritahu CV yang kami suka, latar belakang syarikat dan soalan bocor. Itu pun tergagap-gagap menjawabnya lagi," kata Rayyan sebelum hidungku dikepitnya.

Ish, asyik main hidung je!

"Alah, tak apalah kalau dah macam itu. Esok lusa, cuba lagi. Tak dapat di syarikat Halzeri itu, pergilah cari di tempat lain." Umi memberi saranan.

"Eh, ya juga kan? Untung-untung anak tuan punya syarikat tu hensem dan bujang ke. Boleh juga..." Kata-kataku mati di situ bila Rayyan yang sudah berdiri di tepi rak pinggan mangkuk menjongket kening ke arahku.

Ugutan. Kalau aku berani cakap macam-macam, memang adalah yang kena ini.

Aku terus tarik sengih seram. Baru nak mengusik, sudah dijegil macam itu.

"Kenapa mommy nak kerja? Nanti Raees tak ada kawan. Nanti mommy asyik sibuk je macam daddy." Raees mencelah dengan muka masamnya.

"Mommy tak macam daddy." Sebab mommy bukan workaholics yang buat kerja itu sebagai isteri pertama. Aku ini isteri kedua dia je. Bermadukan kerja!

Inilah yang Kak Qila meroyan dulu sampai terpikat dengan Abang Diy. Anehnya, kenapa Abang Diy? Mana pula dia tahu Abang Diy itu romantik ke apa? Okaylah, mungkin kerana sifat Abang Diy yang ambil peduli. Tak macam yang seorang lagi itu!

Nasib baik dia ambil peduli tentang aku!

"Dah, mari duduk makan. Lama kita tak makan beramai-ramai macam ini. Raees duduk sini dengan tok umi." Umi mula memberi titahnya.

"Tak nak. Nak duduk dengan mommy." Raees terus menggeleng sebelum kerusi ditarik dan dia menggamit aku.

Umi sudah pasrah saja. Nenek yang menggantikan Raees di sebelah umi sementara aku dan Raees duduk bersebelahan. Aku diapit kiri dan kanan oleh Rayyan dan Raees.

"Mak, nanti mak ikut kami ya?" Sedang makan, Rayyan bersuara.

"Ke mana pulanya?" soal nenek Raees.

Rayyan memang sentiasa panggil nenek sebagai mak. Mungkin sebab Raees sudah panggil nenek.

"Rayyan dan Dhia nak buat umrah. Umi dan Raees, semuanya ikut. Mak ikut sekali ya?"

Aku terus tersenyum bila nenek Raees seperti terkejut. Ya! Kami nak buat umrah. Bulan depan. Ia akan jadi umrah pertama aku dan Raees. Mungkin juga nenek sekali. Sebab umi dan Rayyan sudah pernah buat umrah sebelum ini.

"Kalau tak menyusahkan, mestilah nak ikut," jawab nenek sambil tersenyum suka.

"Kalau macam itu, hujung minggu kita pergi shopping sikit. Dhia, tolong umi dan mak buat persiapan."

Hm? Aku pun tak pernah ke sana, mana pula aku tahu apa nak disiapkan. Tapi tak apalah, Google kan ada!

"Habis itu, kalau Dhia dapat kerjanya tadi, memang terus cutilah ya?" Umi menyoal hairan.

"Kalau Dhia dapat kerja, dia tinggallah sorang-sorang dekat sini. Tak akan baru kerja dah nak cuti panjang pula?"

Aku terus menepuk paha Rayyan. Benci betullah! Sampai hati nak tinggalkan aku!

Rayyan tersengih. Tangan kirinya naik melingkari pinggangku.

"Tak akan nak tinggal isteri sendiri? Mestilah abang bawa. Abang tak akan tinggalkan Dhia lagi. Tak akan pernah lagi."

Sebab dulu dia pernah tinggalkan aku! Itu yang banyak benar laginya.

"Kiranya lepas umrah bolehlah sambung cari kerja," kata umi.

"Tak payah cari lagi. Dhia masuk kerja dengan abang."

"Kerja apa pula? Bukan abang tak nak bagi cable ini ke?" Aku menyindir dia.

"Cable apa? Bukan kerja dengan company, dengan abang. Jadi macam isteri Hail. Personal assistant suami sendiri. Jadi Dhia tak akan ada peluang untuk main mata dengan lelaki lain."

"Dan abang pun tak akan ada peluang untuk main mata dengan perempuan lain," balasku.

Rayyan tersengih. Nampak seperti suka dengan balasan.

"I have my eyes on you. Only you."

Geez!

Oh!

Aku lupa sesuatu!

"Tunggu sekejap." Aku terus berlari anak masuk ke dalam bilik.

Sesuatu di atas singki dicapai sebelum aku kembali berlari anak turun ke dapur semula. Elok saja aku berdiri di sebelah Rayyan, terus aku bawa keluar alat itu sambil menayangkan kepada seisi dapur itu apa yang sedang dalam genggaman aku.

"Is that pregnancy test?" soal Rayyan dengan dahi yang berkerut.

Aku tersengih lebar. Ya, ia pregnancy test!

"Apa result dia? Bagi abang." Rayyan cuba mengambil pregnancy test itu daripada aku, tapi aku segera melarikannya.

"Jawab soalan Dhia dulu. Dekat mana kita berjumpa untuk kali pertama?"

Rayyan terdiam. Aku dipandang lama sebelum sengihan terbit di bibirnya.

"Masa umi datang ke rumah untuk hantar bunga."

"Betul!!!" Aku terus menyerahkan alat itu kepada Rayyan.

Elok saja matanya mendarat pada skrin kecil itu, terus Rayyan berdiri dan tubuhku digendong!

"Apa result itu? Mengandung ke?" Umi mula menyoal teruja.

Aku segera mengangguk.

"Ya! Raees akan dapat adik!" jeritku.

"Tapi adik dekat syurga." Raees pula bersuara. Sedih bunyinya sampai Rayyan terus melepaskan aku semula.

"Ini adik yang lagi satu. Raees dah ada dua orang adik," pujuk Rayyan.

"Adik ini tak akan pergi syurga juga ke?"

Terus terkedu kami dibuatnya. Aku terus menyentuh perut sendiri. Takut jika itu berlaku.

"Sebab tu Raees kena doakan adik. Minta dekat Allah, jangan bagi adik pergi syurga cepat sangat sebab Raees nak kawan dengan adik dulu."

Terus Raees tersenyum bila umi pula memujuknya. Baru faham! Dia terus turun dari kerusi dan mula berjoget lambak di sisi kami.

Riuh satu dapur dengan gelak tawa mereka semua. Wajah Rayyan berseri-seri. Umi teruja. Nenek tak habis beralhamdulillah.

Ah, ini kali kedua rahimku diisi dengan sesuatu yang bakal ditiupkan nyawa buatnya nanti. Membesarlah dengan selamat, anak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience