Bab 36

Romance Series 30734

PINTU bilik Raees dibuka. Aku intai ke dalam sekejap. Bila yakin yang Raees sedang duduk dalam bilik, aku terus capai mainan yang aku beli khas untuk dia. Jam lapan pagi aku sudah terpacak di kedai mainan menunggu kedai itu untuk dibuka, padahal waktu pembukaannya pada jam 10 pagi.

Tapi demi Raees!

Sebenarnya aku keluar awal sebab tak boleh sambung tidur selepas subuh. Semuanya sebab Rayyan yang tiba-tiba beraksi abnormal. Pagi-pagi sebaik saja azan subuh, dia masuk ke dalam bilik aku. Ajak solat bersama. Dia berlagak biasa seolah perbalahan kami tak pernah berlaku. Siap minta aku buat roti bakar untuk dia bersarapan sebelum ke ofis. Jadi aku ikut saja, bakar roti dan bancuh kopi atas permintaan Rayyan. Bila dia nak keluar pula, Rayyan siap hulur tangan! Bersalaman dan cium dahi aku.

Aku rasa dia memang mabuk ketumlah.

Aku capai alat kawalannya dulu sebelum mainannya diposisikan betul-betul depan pintu. Sedia, pintu terus ditolak dan kereta dikawal masuk ke dalam.

Dengar saja bunyinya, Raees yang sedang main sendirian bersama robot dan dinasour terus angkat kepala dan pandang aku. Nampak saja apa yang ada di depan mata, dia terus terbeliak sebelum terlompat keterujaan.

"Car?!" Raees terjerit pula. Siap tekup mulut!

"Raees nak car tak?" soalku.

Tiba-tiba budak itu terdiam seketika sebelum kembali labuhkan duduk depan mainannya seperti awal tadi. Kembali muram.

Aduh, tak menjadi ke?

"Raees..." Mainan ditinggalkan. Aku menghampiri Raees sebelum labuhkan duduk di depannya. Tapi Raees hanya tunduk dan main tanpa hiraukan aku.

Aku ini sudahlah tak pandai pujuk orang, dah dia merajuk tiga hari dua malam pula. Macam mana aku nak pujuk budak kecil ini kalau kereta elektrik yang harganya mencecah RM 700 ini pun Raees tak mahu layan kerana masih sedih?

"Raees sayang mommy tak?" Aku cuba mencuit paha Raees. Nak ambil perhatiannya.

Raees angguk. Sekali. Tapi masih tak pandang aku. Masih sibuk bermain. Robot lawan dinasour.

"Kalau sayang, janganlah sedih lama-lama. Mommy sedih tahu bila Raees tak nak kawan dengan mommy?"

"Raees sayang mommy, tapi mommy tak sayang Raees pun."

Sambung luluh hati.

"Siapa kata mommy tak sayang? Kalau mommy tak sayang, mommy tak adalah duduk sini untuk temankan Raees." Aku cuba berdiplomasi. Kutlah jalan.

Tapi anak itu makin muram. Makin tunduk.

"Raees..."

"Kenapa Raees bukan anak mommy?"

Aku terdiam mendengar soalan itu. Raees masih tunduk, tapi kekal mahu bersoal jawab denganku. Tapi jawapan apa yang harus aku beri untuk itu?

"Raees tahu tak yang Raees ada mommy lain?" Aku menyoal, lembut. Cuba untuk tidak buatkan Raees semakin jauh hati.

Raees angguk.

Oh, jadi dia sedar yang dia ada mommy lain?

Baru aku nak menyoal lagi...

"Tapi Raees tak nak auntie itu, Raees nak mommy." Raees mendongak pandang aku. Mukanya sudah mula memerah tanda sekejap lagi air matanya akan keluar lagi.

"Kenapa tak nak?" Dan auntie? Kenapa auntie dan bukan mommy?

"Raees tak suka dia. Dia suka marah-marah Raees. Dia cubit Raees. Dia kata Raees susahkan dia. Raees tak nak dekat dengan dia. Dia tak sayang Raees. Raees nak mommy je, tapi mommy pun tak sayang Raees." Akhirnya keluar  juga air mata anak itu dengan aku yang masih dipandang.

Dengan dahi yang berkerut, aku terus sentuh wajah Raees. Menahannya untuk tetap pandang aku. Sesekali tanganku menyeka air matanya.

"Kenapa dia buat macam itu dekat Raees?"

Raees menggeleng pula. "Tapi Raees tak buat jahat, mommy. Raees good boy. Raees duduk dengan robot je. Raees takut, tapi auntie pukul Raees juga."

Oh, sayang...

Aku terus tarik Raees dan bawa dia rapat ke dada. Peluk Raees dengan seluruh tubuhku. Ubun-ubun anak itu diusap bersamaan jari yang tak berhenti menyeka air matanya. Bila tangisannya sudah mula berkurangan, aku terus bawa Raees untuk kembali memandang aku seperti tadi. Anak itu senyap sesekali menenyeh mata sendiri.

"Jangan sedih lagi. Raees ada mommy dan selamanya pun Raees akan ada mommy. Mommy sayang Raees sangat-sangat."

"Tapi mommy kata dekat daddy..."

"Mommy marah daddy. Daddy naughty sangat. Dia buat mommy marah. Mommy tak sengaja cakap macam itu. Lepas ini, mommy janji mommy takkan cakap macam itu lagi."

"Pinky promise?" Raees hulurkan jari kelingkingnya pada aku dan aku tak teragak, terus menyambut. Akhirnya terbit juga sengihan di bibir Raees sebelum budak bermata hijau itu terus lompat ke dalam pelukan aku semula.

"Boleh Raees cium mommy?"

Aku terus tayang pipiku sambil mengangguk. Laju saja Raees bangun dan pipiku dikucup sayang. Aku depakan tangan sebelum Raees terus masuk ke dalam pelukan semula. Memeluk aku erat-erat sambil tersenyum dengan muka yang masih merahnya.

Sedang berpelukan, aku nampak mata Raees tak habis mengerling ke arah kereta elektrik tadi. Mesti dia malu nak minta kereta itu lepas merajuk dengan aku tadi. Hahaha!

"Sekarang Raees nak naik kereta tak? Penat tau mommy pergi beli. Pagi-pagi mommy dah bangun untuk cari kereta ini." Jadi aku buat-buatlah macam aku pula yang tengah merajuk.

Raees terus tersenyum lebar. "Nak!"

"Kalau nak, jom!" Raees terlebih dahulu berlari ke arah kereta sementara aku pula terus kemaskan mainannya. Elok saja aku pusing pandang Raees, tiba-tiba mata secara tak sengaja terpandangkan tubuh yang sedang berdiri di muka pintu sambil tenang melihat ke dalam bilik. Matanya juga sedang tepat menghala ke arah aku.

"Abang?" Dah lama ke dia duduk dekat situ? Siap lengkap berpakaian kerja lagi. Dia balik lunch ke?

Rayyan senyum segaris. Dua saat, dan senyuman itu hilang. Hanya dua saat. Tapi hilang tak bermakna dia tayang muka marah atau apa, dia hanya tidak lagi tersenyum. Muka serius sambil pandang Raees yang baru sedar daddy dia ada di situ.

"Daddy! Tengok ini mommy beli car besar untuk Raees!" Kelam-kabutlah budak itu melapor. Kereta itu terus ditarik supaya lebih dekat dengan daddy dia.

Aku mendekati mereka. Becok Raees bercerita tentang kereta itu. Siap beritahu yang aku ini mommy dia berkali-kali. Teruja sangat!

Berpandangan dengan Rayyan, aku terus kuntum senyum.

"Abang, jom bawa Raees main dekat laman rumah?" Aku ajak Rayyan. Bukan apa, kereta ini berat! Tak larat aku nak bawa turun sendiri.

Aku ada tengok kereta yang harga lebih murah di kedai lain, dalam RM 300 dan ringan. Masalahnya mungkin tak mampu tanggung berat Raees kerana ringan sangat. Itu yang aku beli ini juga.

Rayyan sudah berura untuk angkat kereta, tapi tiba-tiba sewaktu Rayyan membongkok, Raees terus cium pipi Rayyan. Terdiam sekejap Rayyan jadinya sebelum lelaki berdua itu sama-sama berbagi senyuman.

"Bercinta pula anak beranak ini!" usikku.

Rayyan tersenyum saja. Tapi Raees pula...

"Mommy pula kiss daddy!"

What?!

"Mommy, pleaseee..." Tahu yang aku ada ura nak menolak, terus lapan harakat panjang dia punya please!

Aku pandang Rayyan pula. Dia juga sedang pandang aku. Hanya mukanya serius, tak macam Raees yang sedang memujuk. Aku cebik bibir pada Rayyan. Aku harap dia faham yang aku sedang terdesak. Tapi sebab sampai ke sudah dia hanya pandang, aku terpaksa menurut juga. Baru tadi berjaya pujuk Raees, tak akan nak buat budak itu sedih semula.

Argh!

Tanganku terus naik mencengkam kolar baju kemeja yang dipakai Rayyan. Tarik dia supaya dia menunduk dan lebih rapat, sebelum bibirku mendarat laju pada pipinya. Sekilas dan sesaat!

Kolar baju dilepaskan dan aku terus pandang Raees.

"Jom kita turun?" ajakku. Sepantas kilat!

Raees terus mengangguk. Tanganku dipegang dan kami terus berlari anak keluar dari bilik, meninggalkan Rayyan yang masih di situ dalam posisi semasa ditarik olehku tadi. Membatu pula dia!

Setibanya kami di laman rumah, aku terus menolong Raees untuk naik kereta elektrik. Alat kawalannya aku tekan, dan kereta terus bergerak. Raees sudah terjerit-jerit. Entah dia takut atau teruja, mungkin juga kedua-duanya sekali. Haha!

Kereta berpusing bila hampir tiba di kolam renang. Biasalah, mommy belum master alat kawalan ini lagi. Hehe.

"Abang kerja ke hari ini?" soalku pada Rayyan yang sedang berdiri di sebelahku. Hanya jadi pemerhati.

"Hm, balik sekejap untuk lunch."

Wah, seingat aku selama duduk di sini dia tak pernah balik sekejap-sekejap untuk lunch ini. Bukan saja di sini, malahan selama ini! Dia kan workaholics? Sampai Kak Qila kutuk Rayyan kaw-kaw dulu kena asyik dengan kerjanya.

"Jadi kenapa tak pergi makan? Dhia ada masak gulai lemak labu dan sambal sotong," kataku.

Sejak dah dapat pekerja dan banyak duduk di rumah ini, aku dah kembali rajin memasak. Seronok bila tengok umi dan yang lain-lain menikmati masakan aku. Tak sia-sia belajar dengan umi dari kecil. Bermula dengan Maggi, lalu telur dan semakin susah dari masa ke semasa. Baby step orang kata.

"Sekejap lagi abang makan."

Okey!

Agaknya dia sudah bosan dengan kereta, Raees terus minta untuk kembali kepada kami. Sampai saja dia di depan kami, Raees terus tersengih sambil tunjuk gigi susunya.

"Boleh tak Raees nak mandi kolam?" soalnya.

Kolam pula dah?

"Mandilah," kataku.

"Tapi Raees nak mandi kolam dengan mommy."

"Tapi mommy baru je mandi."

"Alaaa..." Mulalah Raees nak sedih semula. Manja!

"Daddy, temanlah Raees..." pintanya pada Rayyan pula.

"Tapi daddy kena masuk kerja sekejap lagi, sayang." Aku tolong jawabkan. Kalau Rayyan yang jawab, takut nanti dia merajuk pada kami berdua. Biar salah seorang, jadi Raees ada tempat untuk mengadu masa merajuk.

"Alaaa..."

Budak itu terus turun daripada kereta. Merajuk.

"Pergi tunggu daddy dalam kolam. Kolam kecil ye?" Tiba-tiba Rayyan bersuara. Mengarah Raees.

Terus bersinar mata budak itu. Tak jadi nak merajuk! Raees terus berlari dan melompat masuk ke dalam kolam kanak-kanak sebelum terjerit panggil kami berdua untuk mandi bersama.

"Abang, sempat ke abang nak mandi dan makan pula?" Dia ini biar betul?

"EL." Sepatah tak cukup syarat sebelum Rayyan terus cabut tali leher dan baju kemejanya. Dibaling ke atas kereta Raees lalu tanpa dijangka, tiba-tiba aku disauknya. Diangkat!

"Argh! Abang!" Apa ini?!

Tiba-tiba lagi tubuh rasa melayang sebelum bush! Tenggelam ke dalam air. Tapi tak lama, Rayyan angkat aku semula sehingga aku kembali berdiri dan kembali ke permukaan. Nafas panjang terus ditarik dan dihembus. Fuh!

"Abang! Dhia baru mandi tadi!" marahku. Bahunya aku tampar geram.

Tapi Rayyan hanya senyum saja. Tak ada pula dia nak balas kemarahan aku itu. Raees pula terus panjat dan masuk ke dalam kolam dewasa. Terkejut aku dibuatnya bila tengok Raees yang elok saja berenang dalam kolam ini. Padahal aku pun tinggal leher dan kepala saja yang lepas permukaannya. Kecil-kecil lagi dah pandai berenang. Jiwa athletic macam daddy dia juga.

Tapi...

"Abang serius nak ambil EL?"

Rayyan angguk sekali. Wah, mentang-mentanglah company tu dia yang punya.

"Ui! Bukan main berenang sekeluarga. Rayyan tak kerja ke?"

Kami terus pandang ke arah rumah. Di muka pintu ada umi yang sedang berpeluk tubuh sambil tersenyum memerhati kami. Entah sejak bila umi ada dekat situ. Tapi harapnya umi tak nampaklah babak aku disauk tadi!

"Rayyan nak ambil EL, umi!" aduku.

Rayyan pula laju saja kepit aku di celah ketiaknya.

"Abang!" Eiii, main ketiak pula dia!

"Alah, biarlah dia. Rayyan itu memanjang kerja dari muda sampai ke sekarang. Tak pernah nak rehat dan cuti melainkan masa dia jatuh sakit dulu. Dhia layanlah!" balas umi. Sama-sama melaung memandangkan jaraknya boleh tahan besar.

Aku dan Rayyan berpandangan. Rayyan sudah menjongket kening. Bangga bila umi membela dan aku hanya tayang muka menyampah. Kami kembali bermain dengan Raees. Sesekali anak itu akan menjerit bila digeletek atau bila daddy dia hilang dan menyergah dari mana-mana permukaan air.

Rasanya kalau tangkap gambar sekeping dua, mesti orang fikir kami ini keluarga bahagia. Haha!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience