Bab 38

Romance Series 31043

SECAWAN teh aku letak di atas meja kopi. Abang Diy yang sedang duduk sambil lihat iPad di tangan terus berhenti dan pandang aku. Tersenyum dia bila lihat teh di atas meja.

"Kurang manis?" soalnya.

"Mestilah. Teh panas kurang manis. Teh serbuk, bukan teh uncang." Aku terus labuhkan duduk di kerusi bertentangan Abang Diy.

Sudah malam-malam ini takut jadi fitnah pula bila duduk dekat-dekat. Oh, malam ini Abang Diy akan tidur di sini. Umi yang minta izin Rayyan dan Rayyan izinkan. Atau pun sebenarnya dia tak sampai hati nak tolak sebab umi yang minta. Kalau aku yang minta, rasanya memang sudah lama Abang Diy dihalau keluar.

"Dhia sentiasa tahu apa yang abang suka," katanya. Abang Diy terus sisip air itu. Tersenyum lagi dia bila air itu mungkin kena dengan harapannya.

Kami berbagi senyum bila Abang Diy terus letak iPad di tepi lalu berikan sepenuh perhatian kepada aku. Abang Diy yang sama seperti dulu. Tak pernah berubah. Hanya makin menawan!

"Abang Diy sihat?" soalku.

Abang Diy mengangguk. "Dhia pula macam mana? Makin cantik abang tengok Dhia sekarang."

Hehehe! Dhia memang dari dulu sentiasa cantik!

Kalau aku masih Dhia yang dulu, mesti itulah yang akan keluar daripada mulutku.

"Abang pun sama. Terkejut Dhia bila tengok abang tadi. Abang pergi buat badan eh?"

"Mana ada. Abang bersukan, masuk gym bila ada kelapangan. Itu je. Lagipun bukan jauh beza badan ini dengan dulu."

Hm, betul. Badannya tak jauh beza. Sebab dulu pun badan Abang Diy cantik. Yelah, dia pengawal peribadi Rayyan. Rayyan pula badannya sudah sedia cantik, besar dan tinggi. Kalau majikan dah macam itu, mestilah bodyguard perlu sama-sama besar. Kalau tak orang tak tahu siapa yang kena jaga siapa pula.

Tapi rupa dia. MasyaAllah! Makin matang, makin kacak!

"Abang Diy dah ada seseorang ye?" Entah kenapa soalan itu terletus dulu. Tapi aku tahu firasat aku betul. Aku sudah perhatikan Abang Diy sedari tadi. Maksud aku, pada kali pertama bersua mata dengan dia tadi.

Dia berseri lain macam! Satu lagi, dia agak banyak melekat dengan telefon. Padahal Abang Diy yang aku kenal lebih kurang saja dengan Rayyan. Dua-dua buat telefon itu macam aksesori tambahan. Tak penting.

Abang Diy gelak. "Seseorang apa pula ini?"

"Abang Diy janganlah malu dengan Dhia. Abang Diy dah sediakan kakak ipar untuk Dhia ke?"

"Kakak ipar?"

Aku angguk laju-laju. "Yelah. Abang nampak berseri sangat. Macam orang tengah bahagia pun ada."

"Ini bahagia?" Dan Abang Diy sambung gelak.

"Abang bahagia sebab dapat jumpa Dhia. Berseri sebab dapat tengok Dhia semula," tambah Abang Diy.

Tapi aku tak percaya. Tak menyakinkan. Tapi tak apalah, lambat-laun aku akan tahu juga. Tak akanlah Abang Diy kahwin tak jemput aku akan?

"Abang duduk mana sekarang?"

"Berpindah-randah. Kadang-kadang abang ada di KL, kadang-kadang terbang ke England. Abang sedang meneroka dunia. Menikmati semua keindahan yang abang tak dapat nikmati dulu."

Begitu...

Fokus teralih bila terdengar bunyi deheman seseorang dari arah tangga. Rayyan. Dia sedang menuruni tangga sambil pandang ke arah kami. Lebih tepatnya, tajam ke arah aku.

Rayyan labuhkan duduk di sebelahku. Sempat aku nampak mata dia mengerling cawan teh sebelum naik pula pandang muka aku semula. Tiba-tiba tangan Rayyan naik diletakkan atas bahu sofa di belakang bahuku.

"Abang tunggu Dhia, tapi Dhia tak masuk-masuk. Dekat sini rupanya," kata Rayyan.

Oh, hari ini aku akan tidur dengan dia. Biasalah tipikal novel, takut orang nampak kami tidur berasingan. Untuk kes ini, takut Abang Diy nampak. Kalau umi itu, dia pun sudah masak dengan keras kepala aku. Tapi Abang Diy pun sebenarnya cukup kenal aku. Rasanya kalau aku kata yang aku dan Rayyan tidur asing pun, dia tak akan terkejut.

"Apa khabar, Rayyan?"

Rayyan terus pandang Abang Diy bila lelaki itu menyapa tenang. Seharian ini, baru ini kali pertama mereka bercakap sesama sendiri.

"Alhamdulillah, baik. Kau apa khabar?"

Ah, cair hati aku. Terharu bila dapat lihat mereka bercakap walau tak semesra dulu. Terasa rindu dengan zaman kecilku.

"Baik. Kau pula makin tegap sekarang. Dulu waktu berbini dua hampir bongkok aku tengok."

Terus sunyi sekejap suasana bila Abang Diy tarik tentang itu. Aku rasa dia sengaja mahu bercakap tentang Kak Qila. Mungkin nak beri sedas dua dekat Rayyan kerana perbuatan Rayyan dulu.

"Nanti kau kahwin, kau tahulah macam mana," balas Rayyan. Mudah.

Tapi Abang Diy balas dengan sengihan. "Orang tak kahwin pun boleh nampak sebabnya. Mana tak penat kalau bini menipu pun boleh percaya bulat-bulat? Sanggup buang kawan dan sakitkan satu-satunya perempuan selain mak sendiri yang boleh terima apa adanya, demi perempuan yang mati-mati gunakan demi kepentingan dan dendam."

Alamak! Sesi sindir menyindir sudah bermula. Cancel terharu!

"Abang!" Aku segera memotong bila Rayyan sudah buka mulut untuk membidas. Kalau dibiarkan mahu betul-betul kena halau Abang Diy nanti.

Rayyan pandang aku, begitu juga dengan Abang Diy. Aku terus kuntum senyum paling manis untuk Rayyan. Tangannya aku peluk.

"Jom naik? Dah lewat malam. Dhia dah mengantuk." Aku terus angkat tangan dan berpura-pura seolah sedang merenggangkan badan. Berlakon mengantuk.

Nasib baiklah Rayyan ikut saja permintaan aku. Terus tanganku digenggam sebelum kami sama-sama berdiri.

"Kami masuk bilik dulu. Esok pagi sarapan sama," kata Rayyan.

Adalah eloknya itu bila dia sempat ajak sarapan esok. Tak adalah marah sangat dengan sindiran Abang Diy.

Abang Diy diam saja sebelum matanya turun pandang tangan kami yang bersatu. Lebih erat genggaman Rayyan pada tanganku dibuatnya.

"Abang, Dhia masuk bilik tau? Abang jangan tidur lambat. Rehat cukup-cukup."

Abang Diy tersenyum padaku sambil mengangguk. "I will, princess. Dhia pun rehat cukup-cukup. Selamat malam dan mimpi yang indah, Dhia."

Kami berbalas senyuman sebelum aku ditarik oleh Rayyan terus naik ke atas dan masuk ke dalam bilik. Elok saja masuk ke dalam bilik, automatik tanganku dilepaskannya. Rayyan buat seperti tak ada apa yang berlaku. Terus lelaki itu labuhkan tubuh atas katil.

Senyap.

Aku ke bilik air. Cuci muka dan basuh kaki sedikit memandangkan tadi aku sudah ke hulu dan ke hilir dalam rumah. Nasib baik aku sudah mandi awal-awal. Malahan aku memang sengaja mandi awal supaya aku tak perlu terserempak dengan Rayyan dalam keadaan paling janggal.

Yelah, ini kali pertama kami tidur sama. Yang hari itu tak kira memandangkan sudah lewat malam dan kami sudah sama-sama kepenatan. Ini aku segar dan sedar, dia juga begitu.

Dan disebabkan itu, aku terus tarik bantal dari atas katil lalu aku bawa ke sofa. Baru nak selongkar almari untuk ambil selimut, tiba-tiba aku lihat sofa itu sudah berpenghuni. Rayyan sudah baring di atas sana. Tidak lagi di atas katil.

"Abang?" Dia buat apa ini?

"Kalau Dhia tak mahu sekatil dengan abang, cakap je. Abang faham. Abang ini ada juga air muka nak dijaga. Tak adalah setiap masa nak buat muka tak tahu malu pada orang yang tak sudi," katanya. Senada.

Aku terkebil-kebil sekejap. Walaupun apa yang dia kata itu betul, aku memang tak mahu sekatil dengan dia. Tapi dah kenapa pula dia yang kena tidur atas sofa? Ini rumah dia. Aku ini menumpang je.

"Abang pergilah tidur atas katil. Dhia boleh tidur atas sofa. Lagipun bukan tak biasa. Dulu pun sofa juga tempat Dhia tidur." Aku peluk selimut dan melangkah ke arah sofa. Rayyan hanya tenang di situ. Sudah siap berbaring sambil tangan diletakkan atas dahi.

Macam tension je dia ini.

Rayyan pandang aku. Kerutan di dahinya jelas menunjukkan yang dia tak tahu tentang hal yang satu itu. Yang dulu aku tidur di sofa.

Aku tersenyum nipis. "Kan abang kata itu tempat pertama abang bersama dia? Kiranya special kan? Jadi Dhia tak sentuh sama sekali. Kecuali..."

Tettt... Tak mahu ingat!

Aku dengar dia mengeluh pula. Betul-betul tension!

"Abang tipu."

"Ha?" Apa tipu?

"Abang tipu. Helah untuk sakitkan hati Dhia. Lepas nikah, kami terus ke rumah lama abang. Tak pernah kami bermalam di situ sebab abang tak mahu ibu bergaduh dengan dia."

Oh? Nampaknya Rayyan juga pandai menipu! Ceit, apalah yang aku harapkan? Dia pun manusia juga. Cuma tipu dan Rayyan sangat tak masuk sebab dia bukan lelaki yang suka menipu. Dia jahat, mulutnya menyakitkan fizikal dan mental orang, tapi menipu bukan sebahagiannya.

"Well, tipu ke betul ke, sama je. Dhia dah biasa tidur atas sofa. Lagipun sofa ini lagi selesa daripada sofa di rumah ibu itu." Aku tersenyum sendiri bila ingatkan sofa itu.

Oh, bercakap tentang rumah.

Aku terus duduk di atas sofa. Betul-betul di sisi pinggang Rayyan. Hujung-hujung saja punggungku dapat duduk kerana badannya yang besar.

"Abang, betul ke umi kata yang abang dah jual rumah lama abang?" soalku. Rumah lama itu aku maksudkan dengan rumah dia dan Kak Qila dulu.

Yang mengejutkannya, Rayyan mengangguk. Tenang saja dia.

"Kenapa abang jual? Rumah itu kan istimewa? Rumah pertama yang abang beli dengan duit sendiri?"

"Istimewa pun tak ada guna lepas segala yang pahit datang, Dhia. Kalau boleh, rumah arwah ibu dan ayah pun abang nak jual sama."

"Kenapa?" Rumah ibu dan ayah pun ada kenangan pahit ke?

"Di situ tempat segala memori buruk Dhia tersimpan.  Dan dalam memori itu, abanglah antagonisnya."

Aku terus terdiam. Tak sangka itu yang akan dibalasnya. Memori buruk aku?

"Abang hanya tak jual sebab di situ juga ada memori bersama ibu dan ayah. Di situ juga ada memori abang melihat Dhia yang melawat arwah ibu bersama umi dan arwah papa setiap hujung minggu. Abang melihat Dhia yang membesar di depan mata abang. Tumbuh sempurna menjadi perempuan paling cantik yang pernah ada."

Gulp!

"Bukan saja cantik, tapi Dhia juga tumbuh sempurna sebagai perempuan yang baik hati budinya. Hanya abang yang buta untuk nampak segalanya. Walaupun abang tak nampak banyak perkara, tapi abang tak cukup buta untuk tak lihat betapa baiknya Dhia yang sanggup menjaga dan temankan ibu bila abang dah kahwin. Abang anak kandungnya, satu-satunya orang yang patut jaga dia. Tapi tidak... Bukan abang yang jaga, tapi Dhia. Ibu tak sunyi, terima kasih kepada Dhia. Ibu tak kehilangan abang, terima kasih kepada Dhia. Bukan, sebenarnya abang yang tak kehilangan ibu dan abang tak akan pernah mampu untuk ucap cukup terima kasih kerana itu kepada Dhia."

Errr... Alamak, macam mana nak sudahkan perbualan ini ye? Topik ini buat aku seram sejuk walaupun Rayyan hanya memandang tenang saja.

"Huaaa, dah mengantuklah. Dhia nak tidur." Sambung berlakon lagi. Muahaha.

"Pergilah tidur," katanya.

"Abanglah. Ambil tempat Dhia."

"Tempat Dhia atas katil. Ini bilik Dhia. Abang buat bilik ini untuk Dhia. Pemandangannya yang cantik juga untuk Dhia."

Aduh! Cukup! Makin panjang, makin seram!

"Okeylah kalau macam itu. Dhia tidur atas ye?" Aku terus bangun bila Rayyan mengangguk. Bila teringat tentang selimut yang masih dipeluk, aku terus pandang Rayyan. Dia masih pandang seperti tadi.

Aku tunduk lalu selimut itu aku kemaskan pada tubuhnya. Rayyan hanya membenarkan.

Selesai, aku terus panjat katil dan tarik conforter. Baru nak pejam mata...

"Kalau Dhia masih marahkan arwah ibu, abang minta maaf. Maafkan dia dan gantikan kemarahan itu pada abang. Ibu hanya kecewa dan ibu tak pernah berhenti sebut nama Dhia walau sehari pun selepas Dhia sambung belajar. Ibu sangat rindukan Dhia."

Aku peluk bantal guling bila ibu disebut. Perasaan bila Rayyan yang sebut tentang ibu itu berbeza berbanding bila orang lain buat perkara yang sama. Rasa lebih sayu. Mungkin sebab Rayyan manusia yang paling dekat dengan arwah ibu. Anaknya.

Aku tak mahu bercakap tentang ini atau bahaskan tentang ini, tapi asal aku tahu bahawa aku sudah lama maafkan ibu. Hanya kecewa yang masih bersisa menghalang aku untuk ucapkan kata itu.

Senyap...

Aku angkat kepala seketika. Pandang ke arah sofa, rupanya Rayyan masih berjaga. Posisinya sudah berubah. Tadi kepalanya mengarah katil, kali ini kakinya mengarah katil pula. Dia sedang pandang aku.

"Abang nak tidur sebelah Dhia?" soalku. Satu jemputan.

Tapi Rayyan senyap.

"Bila abang bercakap tentang ibu, Dhia rasa sunyi. Ibu selalu temankan Dhia tidur di biliknya lepas kita kahwin. Cuma jangan peluk Dhia macam hari itu."

Diam lagi.

"Tak apalah. Kalau abang tak nak, Dhia tidur dulu. Selamat malam, abang." Aku terus tutup lampu tidur. Pejam mata dan bersedia untuk masuk ke alam mimpi.

Tapi tak lama kemudian, aku dapat rasa katil di sebelahku dihenyak. Dia betul-betul menunaikan permintaan aku. Langsung dia tak sentuh atau cuba sentuh. Hanya baring.

"Selamat malam, peaches."

Dan aku lena. Tapi tak lama. Sebab entah berapa jam kemudian, aku dengar telefon Rayyan berbunyi. Aku buat-buat tak dengar saja, tapi telinga sudah tercacak menanti apa-apa bunyi.

"Kau dengan Hail tak boleh cover ke? Kalau Dhia sedar aku tak ada macam mana?" Suara Rayyan. Lebih dalam berbanding biasa. Mungkin sebab tadi dia sempat tidur sekejap. Suara bangun tidur.

"Okey. Aku datang."

Tak lama kemudian, pintu dibuka dan kembali ditutup. Rayyan hilang. Aku terus capai telefon sendiri. Jam dipandang sekali gus melihat kalau ada apa-apa panggilan dan mesej, tapi kosong. Informasi apa pula yang mereka dapat?

Aku cepat-cepat sorokkan telefon dan pura-pura tidur semula bila Rayyan kembali masuk ke dalam bilik. Tak lama kemudian, dahiku terasa diusap lembut dan sebuah kucupan ringkas hinggap di situ.

"Tunggu abang," bisiknya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience