Bab 53

Romance Series 30734

TAIPAN telan ditangkap bersama ahli sindiket lainnya. Lelaki itu tidak muncul di depanku, kerana Rayyan sudah menangkapnya terlebih dahulu bersama Hail dan Izz. Kadang-kadang, aku berharap yang berhadapan dengan Taipan itu adalah aku, dan bukan mereka. Kerana hanya dengan itu, aku tak perlu tahu siapa di sebalik topeng itu dengan mata kepalaku sendiri.

Kak Qila juga sedang berhadapan dengan tindakan undang-undang. Naik turun mahkamah. Rayyan juga sibuk untuk itu kerana Raeeslah mangsanya.

Ibu Kak Qila, dengar cerita dia dibelasah teruk oleh budak-budak ahlong kerana tak mampu membayarnya. Bukan ahlong itu cari sampai ke Indonesia, tapi dia balik ke Malaysia kerana perkhabaran apa yang berlaku pada anak perempuannya itu. Sudah tak pasal-pasal dia masuk dalam mulut buaya. Tak habis buaya, naga pula datang bila Rayyan ambil keputusan untuk bawa kes khianat terhadap aku yang mereka lakukan lima tahun lepas itu ke pengadilan.

Abang Diy, tiada khabar berita. Ini sudah hari ke 57 dia pergi mencuri masa.

Kerana semua yang berlaku, aku jadi percaya bahawa kehidupan itu memang seperti roda. Hari ini aku buat jahat pada orang, esok lusa pasti akan ada balasannya.

Namun, aku tidaklah nak berlagak baik. Aku tahu aku juga bersalah kerana bersetuju dengan permintaan arwah ibu, padahal Rayyan itu suami orang. Mungkin segala kacau-bilau, keguguran, kehilangan orang yang aku sayang satu demi satu itu semua adalah balasan untukku.

Tapi umi kata, bersangka baiklah dengan Allah. Jadi aku menganggap segalanya sebagai bahagian hidup masing-masing.

"Mommy..."

Aku terus memandang Raees yang masuk ke dalam bilik bersama senyuman manisnya. Di tangannya ada pistol besar. Mesti Rayyan baru belikan itu.

"Ya, sayang?" Aku menggamitnya untuk mendekati aku yang sedari tadi termenung di dalam bilik.

Sungguh, aku kerap berkurung saja dalam bilik ini sejak hari itu.

"Daddy panggil."

"Daddy?"

"Hm. Daddy kata, daddy tunggu dekat taman bunga." Raees terangguk-angguk.

Oh, apa pulalah yang nak dibacarakan.

"Okay, sekejap lagi mommy turun."

"Kena cakap dengan daddy?" soalnya, polos.

Aku mengangguk. "Ya, pergi cakap dengan daddy."

Elok saja Raees keluar, aku terus bangun dan berdiri di depan cermin. Wajah dan tubuh diperiksa. Tak mahu selekeh di depan sesiapa saja. Rambut ditenung lama sebelum aku terus menuju ke arah almari dan mencari sehelai kain yang ringan, namun begitu berat untuk aku sarung ke kepala selama ini.

Tudung.

Yakin yang auratku sudah tertutup, barulah aku turun ke bawah dan mencari kelibat Rayyan. Melalui taman bunga aku melihat Rayyan yang sedang berdiri membelakangi aku sambil memerhati sekeliling kawasan rumah ini.

Berdiri di belakangnya, aku hanya senyap. Memerhati dia.

Dia kelihatan begitu tenang hari ini. Setelah berhari-hari aku dan dia sibuk dengan segala macam hal yang perlu diuruskan, ini mungkin kali pertama kami akan bertemu dalam tenang dan tanpa resah.

"Waktu abang buat rumah ini, yang ada dalam fikiran hanyalah Dhia dan sentiasa Dhia..."

Aku tersentak sesaat. Tak sangka yang dia sedar kewujudan aku di sini walaupun dia masih berdiri statik seperti tadi.

"Taman bunga, konsep rumah, keluasan perkarangan rumah dan rumah yang jauh sedikit daripada kesibukan kota. Abang buat semuanya untuk Dhia."

Aku kekal senyap.

"Tapi mungkin abang tak sedar suatu hal yang pasti. Segala ini, segala yang abang buat untuk Dhia seakan keju dalam perangkap tikus. Hanya hiasan yang membawa kepada kelukaan."

Benar... Ia memang seperti itu.

"Di sebalik pagar yang tinggi mengelilingi segenap rumah, rupanya ia hanyalah sangkar untuk abang memerangkap Dhia di sini demi ego dan kepentingan diri sendiri. Sedangkan Dhia langsung tak bahagia dan tak sudi lagi untuk bersama abang."

Aku turut memerhati pagar yang mengelilingi rumah ini. Benar katanya. Ia seperti sebuah sangkar.

"Abang terlupa yang bukan semua orang boleh dibeli dengan kemaafan, wang ringgi atau seribu rayuan. Dan abang tak rasa pun apa yang abang buat pada Dhia layak untuk dimaafkan." Rayyan berpusing memandangku.

Sempat keningnya terjongket naik seakan terkejut melihat aku sekarang, namun rasa terkejut itu berganti dengan senyuman yang cukup nipis. Senyuman yang cukup ikhlas dalam perit dan itu tidak pernah aku lihat lagi.

"Tapi abang dah mencuba. Abang dah cuba segala yang abang mampu untuk mendapatkan hati Dhia semula walau setiap masa, mesti ada saja halangannya. Abang dah rendahkan ego, dah buang segala maruah sebagai seorang lelaki dan suami untuk memetik hati Dhia semula, tapi gagal."

Dan aku menjadi saksi kepada segala usahanya itu.

Rayyan mendekati aku sehingga tinggal dua langkah jarak di antara kami. Aku ditenungnya bagai ini kali terakhir dia akan berpeluang untuk merenung aku.

"Abang tak nak kurung Dhia bersama abang di sebalik pagar yang rupanya sangkar dan di sebalik keindahan yang rupanya umpan. Segala yang berlaku dah cukup keras untuk Dhia dan abang tak nak menambah seksa Dhia lagi. Kalau arwah papa masih hidup, mesti ini juga permintaan arwah. Untuk abang biar Dhia terbang sendiri"

Aku tersenyum nipis. "Arwah papa mesti nak itu juga. Untuk tengok Dhia terbang bebas."

Rayyan membalas senyumanku sebelum sebelah tangannya menyentuh tanganku. Tanganku dibawa melekap pada dadanya.

"Abang dah gagal untuk buat Dhia jatuh cinta pada abang sekali lagi. Allah juga dah buktikan yang abang memang tak layak untuk mendapat kemaafan daripada Dhia selepas abang dapat tahu tentang keguguran itu. Jadi dengan ini, abang menyerah kalah. Minta, dan abang akan tunaikan."

Giliran aku untuk memberi jawapan. Sekurang-kurangnya itulah apa yang Rayyan tunjukkan, bahawa dia sedang menunggu aku untuk menberi jawapan. Oh, lebih kepada untuk membuat permintaan itu.

"Boleh Dhia panggil Raees?" Sebaliknya, aku menyoal balas pula.

Lambat-lambat Rayyan mengangguk.

Aku terus memandang ke arah pintu rumah. Raees sudah memerhatikan kami sedari tadi di situ. Aku menggamitnya, dan Raees terus berlari ke arah kami. Tiada senyuman. Dia nampak sedih seolah dapat membaca suasana antara kami sekarang.

Aku menarik tanganku daripada pegangan Rayyan. Tangan itu beralih menyentuh Raees sebelum aku bercangkung supaya separas dengannya. Kedua bahu Raees diusap lembut.

"Raees sayang mommy?" soalku.

Dia mengangguk.

"Mommy juga sayangkan Raees. Raees kena tahu dan ingat itu, hm?"

Raees mengangguk lagi.

"Terima kasih sebab sudi jadikan mommy, mommy Raees."

"Kenapa mommy nangis?" Raees menyoal bersama cebikan bibir. Sedih wajahnya.

Aku segera menyentuh pipi sendiri. Oh, air mataku tumpah setitis.

"Mommy menangis sebab mommy gembira. Akhirnya mommy dapat apa yang mommy idamkan selama ini," jawabku.

"Untuk tak sayang daddy lagi?"

Dahiku berkerut mendengar itu. Aku yakin yang Rayyan juga terkejut mendengar soalan Raees.

"Mommy dengan daddy sama macam kawan Raees punya mommy. Dia dah tak sayang papa kawan Raees lagi, jadi dia pergi jauh-jauh. Tapi Raees tak nak mommy pergi jauh-jauh. Nanti Raees rindu mommy." Cebikannya makin jelas serentak air matanya merambu keluar.

"Jadi Raees nak ikut mommy?"

"Raees nak ikut mommy dengan daddy."

Aku tersenyum nipis. Air matanya aku seka sebelum hidungnya aku cuit lembut.

"Then, lukcy you. Mommy masih sayangkan daddy. Jadi mommy takkan pergi jauh."

Srttt!

Raees sedut hingus sementara Rayyan pula, dia sedang berkerut memandang aku.

"Betul?" soal Raees.

Aku mengangguk yakin. "Mestilah betul."

Senyuman lebar terbit di bibir Raees. Matanya yang sempat basah tadi terus bersinar memandang aku dan Rayyan bergilir.

"Betul ke, daddy?!" soal Raees lagi. Teruja sangat!

Tapi Rayyan tak punya jawapan untuk itu. Kerana dia sendiri pun tak menerima apa-apa jawapan daripada aku.

"Daddy..." Raees merengek-rengek. Tangan Rayyan digoncang meminta jawapan.

Namun Rayyan masih senyap.

"Raees, pergi masuk rumah dulu." Sudahnya hanya itu yang keluar dari mulut Rayyan.

Makin sedihlah budak itu dibuatnya. Aku dipandangnya dengan mata yang sudah kembali berkaca.

Aku tersenyum dan mengangguk lembut. Turut mengisyaratkan dia untuk mendengar arah Rayyan.

Sebaik saja Raees masuk ke rumah, tanganku disentuh semula. Rayyan menarik aku sedikit rapat sebelum matanya menikam mataku dalam-dalam.

"Jangan buat Raees berharap dengan harapan palsu, Dhia. Itu akan hanya buat dia lebih sedih," katanya.

"Siapa pula kata itu harapan palsu?"

"Jadi apa semua itu?"

"Apa? Itulah dia. Jawapannya." Takkan dah tua-tua pun tak faham kut? Bukan ke dia antara budak seusia di sekolahnya dulu yang punya IQ tinggi?

Tak macam pun...

"Apa jawapannya?"

Lah!

"Abang sengaja buat-buat tak faham ke?" soalku. Mulalah nak naik angin!

Rayyan mengerutkan dahinya tanda dia memang tak faham.

Haduhai, anak Uncle Remy ini!

"Tak adalah, Dhia malaslah nak cari lelaki lain. Bukan senang nak kenal orang, nak bercinta, apatah lagi nak berkahwin dan hadap perangai keluarga dia pula." Aku memulakan mukadimah.

Makin bertambahlah kerutan Rayyan jadinya.

Aku tersengih. "Jadi abang hadap jelah muka Dhia sampai bila-bila ya?"

"Jadi permintaannya?"

"Itulah permintaannya. Ke abang yang dah ada perempuan lain ini?!" Bertambah naik angin!

"Jadi Dhia nak terus hidup dengan abang? Dhia sanggup?"

Aku menjongket bahu. "Sangguplah kut. Elok juga jadi isteri orang kaya ini. Oh, jangan lupa belikan rumah sebiji atas nama Dhia ya? Kata boleh minta apa saja."

Muahahaha.

"Dhia, jangan bergurau sekarang. Abang serius, jawab dengan serius. Abang tak nak seksa Dhia lagi."

"Abang masih sayangkan Dhia tak?" soalku. Tekan mood serius semula.

"Dah tentu."

"Abang ada perempuan lain?"

"Astaghfirullah haladzim. Sudah-sudahlah cemburu dengan anak mak cik itu, Dhia."

Eii, dia tahu pula!

"Dhia dah fikir habis-habis. Dhia tak nak hilang seorang lagi manusia yang Dhia sayang. Dhia sedar yang ini semua bukan salah abang sepenuhnya. Ia juga ada salah Dhia dan salah semua orang yang terlibat sama..." Termasuklah arwah papa, ibu, Kak Qila dan mak kesayangan dia itu.

"Dhia yang pilih untuk terima, maka Dhia yang rela untuk terjun dalam risiko dibenci oleh abang. Jadi bila abang benci Dhia, tak patut Dhia berlagak macam manusia paling tersakiti, padahal Dhia yang ambil risikonya."

Rayyan senyap. Aku dipandang dengan penuh harapan.

"Jadi, abang... Boleh tak abang ambil Dhia untuk terus jadi isteri abang sampai bila-bila? Penat tahu tak nak sampai ke tahap ini? Macam-macam Dhia hadap dari zaman sekolah sampai dah jadi mak orang ini, dan semua itu untuk capai impian hidup bersama abang." Aku mengelipkan mata. Tunjuk comel walaupun punah!

"Ini paksa ke rela?" soalnya.

"Dhia rela, tapi Dhia tengah paksa abang. Boleh tak abang jadi Rayyan Halzeri yang Dhia gilakan dulu itu semula? Yang jantan..." Aku mulalah menggedik. Hampir terkehel tulang punggung berpusing-pusing mengingatkan dia yang dulu.

"Yang cool, yang dingin, yang jual mahal dan yang hot dan seksi amat!"  Hehe!

Bila aku memandang Rayyan semula, aku melihat bibirnya terangkat sedikit seolah sedang terkejut dan teruja melihat aku sekarang. Matanya bersinar seolah sedang melihat sebuah permata.

"I found you." Tiga patah perkataan terbit di bibirnya sambil mata tak berkelip dan tak lepas merenung aku.

"Ha?" Tapi aku tak faham. Jumpa apa pula ini?

"Dhia Elaine abang sudah memekar semula."

Oh?

Aku terdiam seketika. Seakan baru tersedar yang kegedikan tahap gaban aku dulu baru saja terlepas keluar walau bukan sepenuhnya. Perlahan-lahan bibir ikut tersenyum sepertinya. Entah kenapa aku rasa sebak sekarang.

Seakan aku baru menemui sesuatu yang aku cinta dan aku sudah kehilangannya buat masa yang begitu lama.

Mataku berkaca memandangnya sebelum aku terus merapatinya dan tubuh Rayyan aku peluk seerat yang mampu.

Baru sekarang aku faham, betul apa yang Rayyan kata. Dhia yang dulu masih ada, hanya ia bersembunyi kerana keterpaksaan aku untuk menjadi kuat.

Pelukanku dibalas sama erat sebelum bertubi-tubi ciuman menghiasi dahi dan tudungku.

"Maaf kerana terlambat untuk abang sedar yang abang perlu dan sayangkan Dhia," bisik Rayyan.

Aku mengangguk dalam pelukannya.

"Terima kasih, peaches."

Aku mengangguk lagi.

"Jadi malam ini dan seterusnya, boleh abang masuk tidur tanpa izin dalam bilik kelamin kita?"

Aku tergelak. Kesian betul dia ini dapat isteri macam aku. Sampai nak tidur sebilik pun kena minta izin. Hahaha!

Dengan kepala yang mendongak memandangnya, aku terus menganggu.

"Mestilah. Raees pun..."

"Tak ada Raees. Tak habis-habis dengan Raees. Raees tidur dalam bilik dia sendiri."

Aku terus tersengih. Apa-apa sajalah, abang!

Baru nak sambung berpelukan, tiba-tiba kami mendengar bunyi sorakan dan tepukan seolah Malaysia baru menang piala dunia.

Rupa-rupanya, umi, nenek Raees dan Raees sedang menonton aksi kami dari tingkap bilik Raees di tingkat dua.

Cis!

Hahahaha!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience