Bab 6

Romance Series 30734

“AKU terima nikahnya Dhia Elaine…” Tangan digoncang, lafaz alhamdulillah disebut oleh semua orang kecuali si pengakad sendiri. Bacaan doa bermula, dan dia hanya mahu tak mahu mengaminkan doa yang dibaca.

Sungguhlah aku hanya perigi mencari timba di matanya.

Sesi bersalaman, Rayyan salam dengan semua orang. Semua kecuali aku. Aku yang sepatutnya dituju terlebih dahulu langsung tak dipedulikannya. Sehingga ibu terpaksa sampaikan arahan bahawa sesi membatalkan wuduk akan diadakan dalam bilik pengantin sendiri. Itu pun disambut dengan pandangan tajam Rayyan yang begitu bencikan apa yang berlaku pada hari ini.

“Dhia masuk dalam bilik ye? Bagi salam pada suami dan jangan takut. Dhia kuat, Dhia mesti boleh uruskan semuanya dengan tenang dan matang. Dhia tolong ibu ye?” Bisikan ini. Kalau tak kerana bisikan ini yang meluluhkan hatiku dengan tangisannya, memang tidaklah aku nak korbankan diri untuk digelar penyondol dan automatik dbenci masyarakat. Malahan Abang Diy juga mengamuk kerana pilihan aku.

Hanya kerana bisikan oleh suara inilah aku sanggupkan hati. Kerana aku tak mahu ibu terus resah dan menangis memikirkan Rayyan yang langsung tak sedar dia sedang dipergunakan.

Satu bulan. Satu bulan selepas pergaduhan tempoh hari, Rayyan langsung tak balik ke rumah. Ibu datang ke rumah kami untuk sampaikan permintaannya dan tanya kalau-kalau aku masih lagi setuju untuk membantunya. Kata ibu, aku perlu tinggal dengannya selepas kahwin. Jadi Rayyan akan terus terikat dan tak boleh tinggalkan ibu memandangkan aku juga ada bersama ibu.

Aku tak tahu apa relevannya itu memandangkan kalau dah Rayyan sanggup tinggalkan ibu sebulan tanpa khabar, apatah lagi aku ini?

Aku melangkah masuk ke dalam bilik terlebih dahulu. Rayyan sedang bercakap dengan umi dan papa. Mukanya serius, begitu juga muka umi dan papa. Seperti ada sesuatu yang penting sedang dibualkan mereka.

Duduk dilabuhkan atas sofa bilik ini. Bilik ini letaknya di rumah ibu dan arwah ayah Rayyan yang kini sudah menjadi ibu dan ayahku juga. Bilik Rayyan sewaktu lelaki itu bujang. Sekarang Rayyan dah duduk di rumah sendiri bersama isterinya a.k.a maduku yang pahit. Ah, akulah yang pahit itu. Aku kan penyondol?

Antara sebab ibu mahu aku tinggal di sini selepas bernikah, adalah supaya senang untuk ibu awasi aku. Ibu takut kalau sampai dua beranak itu berani apa-apakan aku. Tapi aku rasa macam tak adalah beza mana pun kalau aku duduk di rumah umi dan papa. Yelah, ibu pun asal diganggu mereka saja mesti kerjanya menangis saja. Kalau papa, mungkin kena tampar bertalu-talu dua manusia itu. Tapi tak apalah, kata umi sekurang-kurangnya ibu ada aku untuk temankan dia. Umi pula ada papa, tapi ibu tiada siapa-siapa lagi.

Aku genggam tangan sendiri bila pintu dibuka dari luar. Abang Rayyan masuk ke dalam bilik selepas pintu ditutup dan dikunci. Dia tak terus melangkah ke arahku, sebaliknya Abang Rayyan terus berjalan ke arah meja solek lalu tanggalkan jam dan songkoknya. Tangan Rayyan naik menanggalkan butang baju Melayu cekak musang sebelum lelaki itu melangkah menuju ke arahku.

“Dhia tahu ini bilik siapa?” soal Abang Rayyan sambil berdiri di depanku.

Teragak-agak aku mengangguk. Suaranya tak mesra sama sekali. Wajahnya juga begitu.

“Baguslah kalau Dhia tahu. Untuk pengetahuan Dhia, ini juga tempat abang dan Kak Qila bersama buat kali pertama.”

Dahiku berkerut. Apa motif dia beritahu aku benda macam itu?

“Abang beritahu sebab abang tak nak Dhia berharap yang abang akan sentuh Dhia. Tak sama sekali. Sentuh Dhia terasa sama macam abang sentuh adik sendiri. Jadi abang tak nak Dhia berangan.”

Woo, woo! Siapa kata aku nak disentuh? Aku tak suka berkongsi dan ia termasuk berkongsi lelaki. Tak pedulilah rupanya macam mana pun, bagi aku, sama ada aku sahaja atau tiada sama sekali. Sungguh aku hanya terima semua ini untuk pastikan yang Abang Rayyan tak benak dek cinta semata. Bukan untuk tuntut apa-apa. Atau mungkin juga kerana perasaan aku pada dia. Tapi bukan itu yang utama! Utamanya adalah ibu.

Rayyan seluk poket baju Melayu sebelum kotak cincin dikeluarkan. Kotak itu dibuka sebelum Rayyan tersengih melihat isi dalamnya yang aku pun tak tahu apa. Tapi kalau tengok saiz, memang cincinlah agaknya.

“Pandai ibu pilih cincin. Tapi malangnya Dhia tak dapat permata sebesar Qila yang abang pilih dan belikan sendiri,” katanya.

Tanganku dicapai sebelum kotak cincin diletakkan atas tapak tanganku. Tiada sama sekali sesi sarung cicin. Itulah sesi pemberian cincin dan itu jugalah sesi batal wuduk. Hanya itu.

Maksudnya cincin ini ibu yang beli untuk akulah ye? Sementara Rayyan hanya goyang perut dan datang untuk akad nikah saja. Semua yang lain diuruskan oleh ibu dan keluargaku. Siap sebut tentang saiz permata yang cantik bertakhta di cincin ini pula itu. Sinis bunyinya seperti sengaja nak menyakitkan hati aku.

“Saiz dan nilai cincin tak ada apanya kalau nak dibandingkan dengan nilai cincin yang Qila dapat. Itu juga sebagai petanda yang Dhia tak ada apanya di mata abang kalau nak dibandingkan dengan Qila.”

Wah, sakitnya.

“Dhia akan tinggal di sini kan?” soal Rayyan.

Aku mengangguk sekali.

“Baguslah. Sekurang-kurangnya Dhia boleh berkawan dengan ibu. Sebab Dhia perlu tahu yang abang takkan kerap datang ke sini. Dua bulan sekali mungkin. Itu pun untuk lawat ibu. Yelah, Qila tengah mengandung bukti cinta kami. Abang akan sangat sibuk untuk layan isteri dan anak abang yang bakal lahir.”

Oh sumpah, dia memang sengaja nak menyakitkan hati aku. Dan dia berjaya! Aku memang sakit hati. Bukan cemburu, tapi benggang dengan cara dia melayan aku sekarang. Rayyan yang ini adalah puaka niyang rapik, lanun tambah separuh perangai Netanyahu yang buatkan aku rasa nak mencarut seribu patah perkataan! Apa perlunya dia untuk menyindir-nyindir?

“Dhia jangan contact abang melainkan ada kecemasan atau terdesak. Abang tak nak Dhia ganggu hidup abang, terutamanya mental dan emosi Qila. Jangan cuba cari abang di ofis, apatah lagi untuk mengaku yang Dhia isteri abang. Abang tahu Dhia takkan berani mengaku. Dhia dah digelar penyondol sekarang. Tapi dalam apa-apa kes Dhia hilang kewarasan, abang nak Dhia tahu yang abang malu untuk mengaku Dhia sebagai isteri. Abang tak nak dituduh pedophile yang bernafsu pada budak-budak. Jadi berkerjasama dan jangan cuba langgar arahan abang.”

Jangan hubungi? Jangan ganggu dia? Jangan ganggu isteri dia? Jangan cari dia? Jangan mengaku yang aku isteri dia? Aku penyondol?

Oh, semua itu tak sesakit mana. Yang paling sakit adalah saat dia kata yang dia malu untuk mengaku aku ini isteri. Sakitnya betul-betul seperti jarum sebesar alam yang panjang menusuk terus ke hati. Tiada luka, tapi sakitnya menggila. Budak-budak? Kau hanya tua tujuh tahun daripada akulah, sengal!

“Dhia boleh terus belajar. Ikutlah Dhia nak pergi mana dan ke mana pun. Ke luar atau dalam negara. Abang akan tanggung semua kos pembelajaran Dhia dan kos sara diri Dhia semasa belajar selama Dhia masih di bawah tanggungjawab abang. Tapi hanya sekadar itu yang abang boleh bagi. Anggaplah ini ehsan seorang abang kepada seorang adik. Juga hadiah sebab selalu temankan ibu dan perlu temankan ibu mulai hari ini. Tak lebih.”

Oh Allah, cepatkan masa supaya semua ini segera habis dan lelaki ini ghaib daripada pandanganku. Aku dah tak tahan dengan mulutnya yang melemparkan kata-kata hinaan buat aku yang bergelar isteri. Sungguh aku rasa seperti hilang segala maruah di depannya. Maruahku dipijak-pijak.

Aku mengeluh lega bila pintu tiba-tiba diketuk. Akhirnya! Itu mesti isyarat yang masa untuk membatalkan wuduk sudah tamat. Baguslah! Aku nak keluar. Kalau tak aku yang keluar, tolonglah suruh lelaki ini yang keluar. Hari pertama yang tak sampai sejam bergelar isterinya pun hati aku sudah terbakar dan berdarah. Aku tak tahu macam mana nak hadap hari-hari yang seterusnya.

Adakah aku patut saingi tahap kurang ajarnya?

Oh, tak! Aku tak patut buat macam itu. Ibu nak aku tarik hati Rayyan supaya aku boleh kawal Rayyan. Ibu harapkan aku untuk jadi punca Rayyan tak membuta-tuli ikut telunjuk perempuan itu. Jadi untuk turut berkeras bukan pilihan yang baik.

“Baik, abang.” Setelah berdiam begitu lama, akhirnya aku bersuara tenang bersama senyuman nipis di bibir.

Sampai berkerut Rayyan dibuatnya! Agaknya dia mengharapkan aku untuk terus mengamuk, marah dan tunjuk baranku pula. Kalau macam itu, mesti dia lagi senang. Tuduh je aku isteri nusyuz. Habis satu kerja. Tak pun dia akan gunakan kesempatan itu untuk bakar aku lagi teruk dengan bait katanya yang pedih.

“Jangan nak baik, baik, saja. Nanti jangan pula pura-pura tak sengaja atau terlupa,” tambah Rayyan.

Tak habis lagi itu!

“InsyaAllah, Dhia tak lupa.” Dan tak akan lupa. Aku akan ingat kata-kata hinaan ini selamanya, Rayyan. Selamanya.

“Esok pagi abang akan gerak balik ke rumah. Kalau ibu tanya apa-apa, cakap saja yang abang tak tahan berlama dalam rumah ini. Rasa panas. Abang nak balik dan teman isteri abang.”

Rasa panas pula? Apa-apa sajalah Rayyan. Jangan nanti bila isteri tercinta kau itu dah tunjuk belang baru kau tahu mana panas, mana sejuk.

Mataku menyorot langkah Rayyan terus ke pintu bilik. Saat dia keluar, sempat mata kami bertentangan sekali lagi sebelum aku kuntum senyum manis untuknya. Berkerut lagilah anak tunggal Uncle Remy itu dibuatnya bila aku masih tak reti nak marah.

Huh! Tak semudah itu, Rayyan Halzeri.

......

Okey, sebelum apa-apa. Saya nak kata, jangan marah saya sebab bab akan datang akan lagi menyakitkan hati yang akan buatkan korang rasa Rayyan red flag abadi!✋??

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience