Bab 34

Romance Series 30734

MATA dipejam rapat-rapat bila terdengar bunyi pintu bilik dibuka dari luar. Diam seketika sebelum bunyi lagaan sesuatu kedengaran. Seakan barang seperti dompet dan kunci diletakkan atas meja. Kembali senyap sebelum tiba-tiba katil terasa dihenyak.

Aku sudah mula tak senang. Tak senang berlakon tidur! Apa pula Rayyan buat masuk ke dalam bilik ini? Dia dah janji untuk beri aku ruang bersendiri selama aku setuju untuk tinggal di sini. Jangan dia ambil kesempatan sudahlah. Asal dia tahu walaupun dia tak tahu, tadi itu hanyalah aku yang masih dalam kawalan!

Belum naik syeikh lagi. Cuba ambil kesempatan dan tahulah dia ginjal siapa yang hilang satu sekejap lagi.

Aku berusaha untuk menenangkan badan supaya tetap lembut bila terasa Rayyan seakan sedang baring di belakangku. Tak mahu dia sedar yang aku masih berjaga.

Rambutku terasa diusik. Dielus jarang sebelum pipi terasa dicuit lembut. Terasa helaan nafasnya jatuh pada dahiku.

"Abang sayangkan Dhia." Dan dahiku terasa disentuh bibirnya.

Tahan, Dhia! Tahan!!!

"Abang terpaksa sentuh perempuan lain. Abang tak curang tahu? Dhia jangan risau." Rayyan berbisik halus di telingaku. Tenggelam timbul suaranya yang dalam.

Sentuh perempuan lain? Maksud dia, sentuh Black Mamba?

"Tapi dia mengingatkan abang kepada Dhia. Tubuhnya... Sama. Tapi mustahillah. Dhia yang lemah-lembut dan sangat manja ini abang dah cukup kenal. Si peaches yang terlalu manis sampaikan singular sudah tak cukup lagi untuk gambarkan kemanisannya. Peaches, plural. Tanda Dhia terlalu manis."

Aku rasa nak menjerit bila tiba-tiba bibir hampir tersenyum mendengar itu. Hati pun tiba-tiba berbunga. Argh! Apa ini?! Ayat tangkap lentok penuh kepalsuan walaupun dia tak ada motif untuk itu sebab aku tengah tidur dan dia sudah panggil aku dengan nama itu sejak azali!

Terdengar nafas berat Rayyan menggambarkan kepenatan lelaki itu. Aku tahu yang Rayyan sudah bersihkan diri sebelum masuk ke sini. Sebab kami sampai di rumah hanya berselang lebih kurang sepuluh ke lima belas minit. Aku tiba dulu. Aku terus masuk, campak baju ke beg pakaianku dan mandi.

Satu lagi sebab bau wangian yang dipakainya semasa perjumpaan tadi sudah hilang. Yang tinggal hanyalah bau tubuh Rayyan.

"Abang nak tumpang tidur dengan Dhia sekejap. Tak lama, abang janji. Sebelum subuh abang akan keluar," bisiknya.

Hm, minta izin dekat orang yang tengah 'tidur' pula. Mana adil.

"Penatnya hari ini. Tapi bila tengok Dhia, cium dan sentuh Dhia, terus hilang semua penat abang. Isteri solehah, abang. Si penyejuk mata dan hati dari dulu sampai sekarang. Dhia mimpikan abang ye? Semoga mimpi itu akan buka hati Dhia untuk maafkan abang. Selamat malam, peaches." Rambutku terasa dikemaskan sebelum tangannya turun memeluk pinggangku. Erat.

Kemudian, senyap.

Aku bertahan seperti itu lebih satu jam sebelum aku perlahan-lahan melepaskan pelukan Rayyan. Aku jarakkan diri sedikit. Rayyan yang sudah tidur di sebelah aku perhatikan seketika. Dia memang keletihan. Kesian dia.

Perlahan-lahan aku mengesot turun dan masuk ke dalam bilik air. Pintu ditutup dan lampu dibuka. Baju di bahagian belakang diselak sedikit sambil tubuh membelakangi cermin. Kepala menoleh ke belakang sebelum satu keluhan terbit di bibir.

Kesan tendangan tadi sudah mula jadi lebam. Kurang ajar punya lelaki! Aku dapat kau nanti, siaplah kau!

Oh ye... Aku baru teringat sesuatu.

Aku segera keluar dari bilik air. Lampu dimatikan sementara telefonku dicapai. Aku kembali ke katil. Perlahan-lahan mengesot kembali mendekati Rayyan. Buka lampu suluh telefon sebelum dengan penuh berhati-hati aku menyuluh ke arah leher Rayyan.

Itu dia... Kesan libasan topi tadi. Berbirat di leher Rayyan. Panjangnya sama seperti saiz jari kelingking aku.

Maaf, abang...

Aku suluh pula dahinya. Nasib baik jentikan itu tak meninggalkan sebarang kesan. Kalau tak...

Aku hampir baling telefon bila tiba-tiba mata Rayyan tercelik tepat bertentangan dengan mataku. Terkebil-kebil aku dibuatnya sampai kejung setempat sementara Rayyan sudah kuntum senyum nipisnya.

Belum sempat otak nak arahkan badan untuk berpura-pura mati atau pengsan, tiba-tiba tangan Rayyan naik menarik telefonku. Lampu dimatikan dan telefon diletakkan pula atas night stand di sisinya. Aku ditarik lembut sebelum kembali dibaringkan seperti awal tadi. Di sebelahnya. Cuma kali ini, menghadap Rayyan.

Gulp!

"Abang tumpang tidur sekejap. Sekejap je..." Tangannya naik kembali memeluk pinggangku.

"Selamat malam, sayang." Dan matanya terpejam.

Aku rasa Rayyan memang betul-betul terus lena semula. Dia tak tunjuk sebarang tanda sedang cuba untuk tidur atau berpura tidur sama sekali. Penat sangat itu sampai boleh main sambung-sambung lena semudah buat kerja sekolah budak darjah satu.

Pandang Rayyan yang sudah lena, lama kelamaan mataku juga ikut tertutup sama. Turut lena dalam pelukannya.

"MOMMY! Daddy!"

Aku celik paksa mata yang masih berat bila dengar suara Raees menyeru kami. Buka saja mata, aku lihat budak kacak itu sudah berdiri di atas katil sambil terlompat-lompat. Senyum bukan main lebar.

Aku pandang pula Rayyan. Dia juga sama terpisat seperti aku.

Agaknya Rayyan mengantuk lagi, sebab Raees terus ditarik untuk menyelit di antara kami. Raees pun ikut saja. Terus baring di antara aku dan Rayyan sebelum tangannya memeluk tanganku. Aku kembali pejamkan mata, begitu juga Rayyan.

Mengantuk lagi!

"Mommy dengan daddy dah sayang ye?"

Mata kembali tercelik. Kali ini pakej kerutan. Hilang sekejap kantuk.

"Ha?"

Raees yang terkebil-kebil pandang aku itu tersengih suka. "Tok umi kata mommy dengan daddy tidur sama-sama sebab mommy dengan daddy dah sayang semula."

Umi? Ish, tak habis-habis beri ajaran sesat dekat budak kecil ini.

"Kalau mommy dengan daddy tak tidur sama, maksudnya mommy dengan daddy tak sayang kan?" soal Raees.

Aduh, dia tanya soalan KBAT pagi-pagi ini pula dah. Aku terus cuit bahu Rayyan. Suruh dia uruskan soalan anak terunanya ini sementara aku pula terus sambung pejam mata.

"Mommy dan daddy tidur sama atau tak, kami tetap sayang. Sekarang Raees duduk diam-diam. Kalau tidur sama, lagi bagus. Mommy dan daddy masih nak tidur."

"Oh, okey okey."

Aku tersengih dengar balasan Raees. Terus perlahan suaranya. Cerdik!

Diam di antara kami bertiga hinggalah aku kembali lena. Entah jam berapa, entah kalau Raees ikut tidur sama, yang pasti aku memang pulas tidur hari ini. Sudah lama tak rasa tidur yang seperti ini.

Entah berapa lama kemudian, aku terjaga kembali bila terdengar bunyi air dari dalam bilik air. Mata terus tercelik. Lihat di sebelah, Rayyan dan Raees sudah tiada. Tengok pula ke arah bilik air, pintunya terbuka.

"Daddy, banyaknya flower!" Suara Raees.

Hai, apalah dua beranak itu tengah buat dalam bilik air?

Mata mengerling jam dinding. Sudah jam 9 pagi rupanya. Oh, jangan kata aku tak bangun solat subuh pula. Hakikatnya Rayyan kejut aku untuk solat subuh. Kami solat bersama sebelum Rayyan beritahu yang dia masih mengantuk. Aku pun kebetulan mengantuk lagi, maka kami terus panjat katil dan berdengkur semula. Lupa terus tentang syarat yang dipersetujui dan kononnya Rayyan akan keluar sebelum subuh itu.

Janji palsu!

Tapi tak apalah. Malam ini saja. Aku tahu yang dia juga penat seperti aku. Mungkin berkali ganda penat sebab seharian bekerja, balik rumah, layan Raees, rehat sekejap dan terus keluar. Kami di sana pada jam satu pagi dan Rayyan tiba di rumah dalam jam 2:30. Tidur pula mungkin dalam jam tiga. Manalah cukup tidur itu.

Aku tolak comforter. Baru nak turun dari katil, tiba-tiba Rayyan sudah keluar dari tandas dan terus melangkah ke arahku. Ada senyuman tenang di bibirnya. Raees pula ikut saja mana daddy dia pergi.

"Morning, peaches." Dan tanpa salam, tiba-tiba tubuhku disauk. Aku terus diangkat sampai aku terjerit gayat.

"Abang, abang buat apa? Raees tengoklah."

"Biarlah dia tengok. Contoh yang baik, apa pula nak sorok?"

Aku dibawa masuk ke dalam bilik air. Bila hidung menghidu haruman citrus dan telinga menangkap melodi piano bersama hujan, aku terus alih perhatian sendiri. Pandang terus ke seisi bilik air ini.

Huh... Wow.

Tab mandi sudah diisi air. Ada tujuh jenis bunga dan limau nipis di dalamnya. Aku yakin ada garam bukit yang sudah larut di dalam air. Diffuser terpasang merembes haruman citrus dengan speaker yang sekadar sayup melontarkan melodi tenang itu. Persis seperti apa yang pernah aku buat untuk Rayyan, tapi Rayyan sia-siakan dengan tidur.

Aku dimasukkan ke dalam tab mandi dengan pakaian yang masih melekat pada tubuh. Nasib baik hanya pyjama. Hanya aku.

"Dhia mandi dan rehat. Take your time. Dah siap, panggil abang." Hidungku dicuit sebelum Rayyan terus tarik Raees untuk keluar dengannya. Rasanya kalau tak tarik, memang Raees takkan keluar sendiri.

Pintu bilik air ditutup dan aku terus tersenyum.

Apalah yang dia cuba buat ini?

Baru nak bertenang, tiba-tiba mata terpandangkan kertas yang terletak di meja kelengkapan tepi tub mandi. Kertas itu ditindih dengan botol pencuci mukaku. Aku terus lap tangan pada tuala kecil yang seakan sengaja diletakkan atas meja yang sama sebelum kertas itu pula aku capai.

Aku kembali bertenang. Bersandar pada tab mandi sambil mata mula melihat apa yang tertulis pada kertas itu.

Morning, peaches.

How was your sleep? Abang harap Dhia mimpi yang indah saja.

Dhia ingat kenangan dulu? Dhia sediakan tab mandi yang penuh dengan bunga untuk abang yang kepenatan. Diffuser dengan aroma lavender lembut bersama alunan melodi piano berlatarkan hujan.

Pada waktu itu, abang terlalu penat. Abang pilih untuk tidur berbanding menghargai apa yang Dhia lakukan untuk abang. Bila abang bangun dan bersedia untuk mandi, abang terkejut. Tak sangka sampai tahap itu Dhia sudi untuk melayan abang. Maafkan abang.

Abang nikmati masa mandi itu. Sangat nyaman, tenang dan tenteram. Kali ini, abang nak buat yang sama untuk Dhia. Semoga Dhia juga rasa ketenangan yang sama seperti abang pada waktu itu.

Abang tunggu Dhia di bawah. Raees ada di bilik untuk berikan tuala kepada Dhia.

Jumpa sekejap lagi, peaches.

Kertas itu diletakkan semula atas meja. Aku termenung sekejap mengingatkan peristiwa dulu. Dia mandi juga ke dengan apa yang aku sediakan itu? Aku ingatkan dia tak sentuh langsung memandangkan aku dah minta bibik untuk kemas bilik air itu selepas Rayyan balik. Aku pula keluar bersama ibu.

Sebab sebaik saja aku masuk ke dalam bilik selepas tiba di rumah, tab mandi sudah kosong dan bibik kata Rayyan dah lama pergi. Bibik juga kata yang dia dah kemaskan bilik air itu.

"Raees..." Aku memanggil Raees. Dalam surat itu kata Raees ada dalam bilik kan?

"Ye, mommy!" Raees intai aku dari luar. Dia tunggu depan pintu ke? Cepat benar muncul.

"Raees dah mandi?"

"Dah, pagi tadi tok umi teman."

Pagi tadi? Oh, kiranya masa dia lompat naik atas katil dan tidur bersama kami itu dia baru mandilah ye? Hm, tidaklah baru sangat.

"Nak mandi dengan mommy tak?" Aku tersenyum sambil menyoal Raees yang confirm akan kata nak.

Tepat jangkaan aku bila Raees terus tersenyum lebar sampai ternganga dan terjongket keningnya.

"Boleh ke?!"

"Bolehlah. Buka baju dan seluar. Tinggalkan seluar dalam je."

"Yeay!!!" Raees terus tergopoh-gapah buat apa yang aku suruh sebelum dia ikut panjat masuk ke dalam tab mandi. Mulalah budak kacak itu sibuk nak main air sambil bermain denganku.

Matanya yang cantik dan hijau sama dengan Rayyan buatkan aku tersenyum sentiasa. Agaknya kalau anak aku ada, matanya ikut siapa ye? Genetik mahal itu!

"Boleh tak ajak daddy juga?"

Hampir terlongo aku bila dengar soalan Raees. Nak ajak daddy? Ampun! Mommy tak sanggup dan mommy tak nak ambil risiko. Ini sudah dikira terlalu mesra dan intim.

"Lain kalilah. Sekarang kita mandi berdua, okey?"

"Okey!"

Dan kami sambung bermain lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience