Epilog

Romance Series 31043

AL-QURAN ditutup dan aku membuang pandang ke depan sana. Ada kaabah yang begitu indah berdiri teguh di kawasan ini. Berbeza dengan apa yang aku bayangkan, di sini begitu tenang walau punya ramai manusia berpusu-pusu dalam satu masa.

Cuma mungkin kerana sudah lepas musim haji dan sekarang musim panas di sini, jadi jemaah tidak terlalu ramai berbanding biasa.

Aku berpeluang untuk mencium Hajarul Aswad. Menyentuhnya dengan tanganku sendiri. Rayyan yang membantu aku untuk melalui keramaian manusia itu. Untunglah badan dia sama besar dengan pak arab yang ada di sini. Kalau aku saja, mahu kena pijak gamaknya.

"Jom balik hotel?"

Aku memandang Rayyan yang sedang berdiri di belakangku. Hanya dia.

Umi, nenek dan Raees ada di hotel. Kami berdua keluar untuk menikmati rasa beribadah di sini pada waktu malam. Sekadar membaca Al-Quran dan berselawat sebanyak yang mungkin.

"Dhia laparlah, abang." Aku mengadu sambil mengemas barang-barangku.

"Kita makan dalam bilik."

Aku mengangguk setuju. Lagipun hotel kami terletak tak jauh dari sini. Dari tingkap bilik, kami boleh melihat pemandangan Kaabah yang begitu cantik. Jaraknya pun hanya berjalan kaki.

"Dhia kalau tak larat, jangan paksa diri sangat. Cuaca di sini malam-malam pun 40 darjah celcius. Abang takut apa-apa jadi pada kandungan. Kandungan itu belum kuat lagi," kata Rayyan sambil kami berjalan pulang.

"Alah, insyaAllah tak ada apa-apa ini. Dhia okay aje, abang. Kalau Dhia penat, Dhia rehat. Penat macam ini bukan senang nak rasa."

"Kalau masih okay, tak apalah. Kalau dah rasa tak sedap badan, jangan paksa diri lagi. Tengok umi itu, dah demam dia. Nasib baik lusa dah nak balik Malaysia semula."

Aku tersenyum.

Umi demam, nenek pula sakit tekak. Nasib baiklah aku dan Rayyan masih tak apa-apa. Raees juga begitu. Mungkin disebabkan musim dan cuaca yang panas, habis terlentang umi di atas katil. Lihat umi yang seperti itu, Rayyan mulalah terlebih risaukan aku. Aku dipaksa untuk minum berliter-liter air sehari. Raees juga didera sama.

Kesian kami!

"Tadi abang nampak Dhia tadah tangan lama. Doakan apa?"

Tiba saja di bilik, itulah soalan pertamanya.

Raees tiada di bilik ini. Dia tidur bersama umi dan nenek kerana kami keluar tadi. Nak ambil Raees, takut mengganggu mereka tidur pula.

"Dhia doakan Abang Diy dan isteri dia."

Rayyan memandangku, lama.

"Abang pun baru doakan dia," katanya.

Aku tersenyum. Alhamdulillah. Semoga doa-doa itu dimakbulkan oleh Allah. Doaku, supaya Abang Diy dan isterinya bahagia dalam melalui segala yang berlaku. Jika Abang Diy bersalah, hukumlah lalu ampunkanlah. Jika Abang Diy tidak bersalah, maka tunjukkanlah.

"Dhia juga doakan abang dan keluarga kita," tambahku. Tersenyum manis memandang Rayyan yang sedang menyarung baju T.

"Ya? Doa yang macam mana?"

"Semoga kita terus bahagia, tenang dan beriman sentiasa."

"Doa abang lain sikit."

"Oh? Apa dia?" soalku.

"Abang berdoa..." Rayyan menghampiriku. Kepala aku yang masih bertudung itu diusap lembut.

"Semoga Dhia akan menjadi satu-satunya isteri abang di dunia dan di syurga."

Ah... terharu!

"Dan semoga, abang dapat menjadi suami yang Dhia idamkan bukan hanya di dunia, tapi juga di syurga nanti. Tolong jangan pilih lelaki lain di sana, peaches."

Aku tersengih. "Mana boleh pilih lelaki lain. Abang kan suami Dhia? Dhia akan selalu pilih abang pada setiap masa, di kehidupan yang mana dan di mana pun. Di sini, dan di syurga. Selamanya."

Bibirnya tersenyum mendengar itu. Aku dibawa ke arah cermin sebesar dinding yang menyajikan pemandangan indah di bawah sana. Bahuku dipeluk dan aku tersenyum dengan segala keindahan yang wujud pada saat ini.

Tempat ini, kandungan ini dan bersama orang di sebelah ini.

Benarlah, Allah tak akan biarkan hambanya selalu bersedih. Selepas hujan, pasti ada pelangi. Dan ini adalah pelangi untuk aku. Untuk kami.

"Selamanya..." bisik Rayyan.

Dan aku mengangguk. Selamanya.

Share this novel

zyZairie
2024-09-18 20:41:01 

cerita ni dah tamat ke...


NovelPlus Premium

The best ads free experience