BAB 11

Romance Series 30734

PANG!

Aku terus terundur selangkah ke belakang bila lihat Rayyan yang sudah terteleng selepas menerima tamparan kencang ibu. Tapi tak tipu, separuh hati aku bertepuk gembira melihat adegan itu. Separuh lagi hanya rasa takut melihat ibu yang sudah naik hantu. Baru je Rayyan melangkah masuk ke dalam rumah, terus melayang penampar. Tak sempat pun lelaki itu nak bagi salam!

Aku pandang Abang Diy yang sedang berdiri sedikit di depanku. Tadi bersebelahan saja. Tapi disebabkan aku sudah berundur selangkah, maka Abang Diy lebih di depan berbanding aku. Muka Abang Diy biasa saja. Tak ada riak terkejut, apatah lagi kesian.

Rasanya selain ibu, Abang Diylah yang paling berang sekali bila tahu apa yang berlaku. Aku sudah ceritakan segalanya dengan telus memandangkan ibu memaksa. Bila aku cakap telus, maksudnya memang aku jujur habis-habisan. Segala yang Rayyan cakap, segala yang dia buat, segala yang berlaku sampailah aku keluar dari kereta kerana tak tahan dengan mulut dia, semuanya aku dah selamat ceritakan.

“Kamu memang dah melampau, Rayyan Halzeri! Kalau tak mati kamu hari ini, jangan panggil aku ibu!” Dan ibu terus serang Rayyan bertubi-tubi. Rayyan hanya tadah tubuhnya tanpa mempertahankan diri.

Sebab kalau Rayyan pilih untuk melawan, mahu kepak pinggang ibu. Lelaki itu sudah dihantar untuk belajar dan mendalami ilmu pertahanan diri sejak tadika sampai ke hari ini. Cuma tak silap aku, sekarang Rayyan lebih sukakan mixed martial arts.

“Aku tak pernah ajar anak aku untuk aniaya perempuan apatah lagi isterinya sendiri! Kenapa kamu buat perangai macam ini, Rayyan?! Cukuplah kamu tak nak dengar sepatah pun nasihat ibu asalkan jangan sakitkan anak orang!”

“Habis macam mana pula dengan Qila? Siapa nak bela dia yang disakiti oleh perempuan itu dan ibu mentua dia sendiri? Ada ibu fikir pasal dia? Ada ibu fikir tentang emosi dia bila ibu langsung tak terima dia walaupun sekarang dia dah berbadan dua? Ibu dan Dhia buli dia cukup-cukup. Qila tengah mengandung, ibu!”

“Sebab dia bukan perempuan yang baik, Rayyan! Ibu tak terima dia sebab dia hanya nak mempergunakan kamu!”

“Siapa yang mempergunakan siapa? Entahlah, ibu. Kalau ibu rasa yang ibu betul dan kami salah, maka teruskan. Suatu hari nanti ibu akan menyesal dengan apa yang ibu buat pada Rayyan dan terutamanya Qila. Kenapa ibu tak boleh faham Rayyan? Mommy boleh faham Rayyan dengan cukup baik padahal dia hanya mak mentua. Kenapa ibu yang kandungkan Rayyan langsung tak mahu faham anak sendiri?”

"Sebab perempuan itu nak ambil harta kamu! Sebelum harta kamu, mestilah kena ambil hati kamu dulu! Kalau kamu suruh dia lari ke Perlis dengan selipar pun dia akan buat Rayyan! Tapi ibu, ibu hanya nak lindungi kamu. Ibu tak ada niat lain selain untuk pelihara hati dan kebahagiaan kamu."

Abang Diy terus mendekati ibu dan Rayyan. Aku pula terus undur diri dan naik ke tingkat atas. Aku tak nak tengok sesiapa bergaduh. Aku rasa sejak masuk dalam keluarga ini, apa yang aku nampak dan dengar hanyalah perkara negatif. Aku masih terlalu muda untuk semua ini.

Di rumah, aku diajar untuk hidup sebagai keluarga bahagia. Melihat papa yang akan terus mengucup dahi umi di awal pagi sebelum kami bertiga berpelukan sebelum sarapan. Melihat umi yang akan bercakap penuh santun dengan papa sebelum tangan papa dikucup dan papa bergerak ke tempat kerja.

Aku tak diajar untuk menengking, tak habis marah-marah, keluarkan kata-kata kesat dan apa-apa yang negatif. Aku kena lari.

Telefon dicapai dan aku terus duduk di balkoni bilik. Walaupun sekarang musim panas dan banyak nyamuk, tapi aku rasa di sini lebih nyaman memandangkan bilik Rayyan menghadap kebun bunga milik ibu. Tenang di sini.

Suatu hari nanti bila aku kaya, aku nak buat rumah yang jauh daripada kesibukan bandar. Aku mahukan taman bunga yang besar di halaman rumah di mana rama-rama akan sangat suka hinggap dan tinggal di situ. Umi cintakan bunga, jadi rumah itu akan buatkan umi betah di dalamnya sampai umi tak perlu fikir untuk melekat di kedai lagi. Rumah yang seperti syurga kecil untukku, papa dan umi. Rumah yang penuh dengan warna putih dan biru langit. Rumah yang tenang dan minimalis.

Ah, tak sabarnya nak hidup di rumah idamanku suatu hari nanti. Mesti seronok. Umi, aku dan papa. Kami akan jadi keluarga paling bahagia!

TERASA bahu disentuh, aku terus celikkan mata. Terkebil-kebil seketika sebelum muka diusap dan rambut ditolak ke belakang. Dalam sisa mamai aku pandang ke arah belakang. Dahi terus berkerut bila lihat Rayyan yang sedang berdiri di belakangku.

Ada dua kemusykilan yang buat aku berkerut. Satu, sekarang dah pukul berapa? Kenapa dia tak balik lagi? Dua, kenapa Rayyan nampak marah betul ini? Ke nak maki hamun aku sebab dah bongkarkan segalanya?

“Masuk dalam.” Dua patah yang tegas sebelum Rayyan terus masuk ke dalam bilik. Dia berdiri di sisi katil sambil pandang ke arahku.

Entah kenapalah aku rasa tak sedap hati sekarang. Tapi nak atau tak nak aku terpaksa juga masuk ke dalam. Yelah, kalau aku nak keluar pun memang pintunya dalam bilik. Takkan aku nak terjun kut?  Nyawa aku terlalu berharga untuk itu.

“Apa Ardiy buat dekat sini?” soalnya.

“Abang Diy temankan Dhia.”

Kening Rayyan terjongket sebelum lelaki itu tersengih sinis.

“Teman? Dah kesepian sangat ke sampai nak berteman dengan lelaki entah mana dan entah siapa?”

Ha? Berkerut dahiku. Tahap hampir bercantum kening.

“Itu kan Abang Ardiy. Apa pula lelaki entah mana? Abang kenal dia dari kecil sampai ke besar. Lagipun Abang Diy yang tolong Dhia lepas Dhia kena ragut. Dia yang tolong bawa Dhia ke balai, tolong Dhia buat IC baru, kad baru dan hantar ke klinik.” Nak harapkan kau memang lambert lagi!

“Dia dah tak ada kena mengena dengan aku. Dia dah dipecat, kau tak dengar?”

“Dia dipecat oleh abang, tak ada kena mengena dengan Dhia. Itu isu di tempat kerja, ini isu peribadi. Abang Diy yang tolong Dhia. Apa masalahnya?” Serabut pula aku jadinya dengan Rayyan ini.

Soalannya sama sekali tak bernada cemburu. Dia lebih kepada nak menekan aku dan melepaskan amarahnya. Aku pasti. Atau mungkin juga, dia rasa berkuasa ke atas aku. Sense of dominance and possession.

“Kenapa tak call aku? Kenapa call dia?” soal Rayyan lagi.

“Kalau Dhia call abang, abang nak jawab ke?”

Rayyan diam. Dan itulah jawapannya. Sebab Rayyan tak akan menipu. Dia boleh jadi manusia paling jahat, tapi dia bukan seorang penipu. Itu satu hal tentang Rayyan yang buatkan aku tergila-gila pada dia.

Waktu bergaduh ringan pun dia cukup susah nak jawab panggilan aku, apatah lagi waktu gaduh gila-gila macam itu? Mahu dia terus sekat nombor aku!

“Sebab Dhia tahu yang abang tak akan jawablah Dhia call Abang Diy. Sebab Dhia tahu yang abang langsung tak peduli.”

“Kau yang keluar daripada kereta, Dhia. Jangan nak salahkan aku dan kipas Ardiy seolah dia yang paling bagus.”

“Sebab apa Dhia keluar daripada kereta? Tapi tak apalah, atas sebab apapun yang salahnya mesti Dhia. Abang takkan mengaku salah. Tapi jangan burukkan Abang Diy. Kalau tak sebab dia, Dhia tak tahu apa nak buat dan siapa nak dipanggil untuk tolong Dhia waktu itu.”

Rayyan mendengus sebelum dia melangkah merapatiku. Berdiri di depanku, Rayyan membalas pandanganku setajam-tajamnya. Tapi aku lawan pandangan itu. Sedikit pun aku tak larikan mata.

“Patutlah ibu naik hantu sampai tampar muka aku. Rupanya sebab kau yang buatkan aku nampak macam manusia paling tak berguna dalam dunia ini. Seriously, Dhia? Ardiy? Kau bukan saja penyondol rupanya.”

Dahiku berkerut.

“Apa abang ini?” Nak cari gaduh lagi ke? Bukan penyondol saja, jadi dia rasa aku curang dan main kayu tiga ke?

“Apa? Salah apa yang aku cakap? Kau berduaan dalam bilik mesyuarat di ofis aku. Kau bermesraan dengan Ardiy. Kau fikir aku tak tahu? Kononnya Ardiy je yang boleh tolong, padahal memang dia je yang ada dalam kepala kan?”

Sungguh! Rayyan memang sengaja nak menekan-nekan aku.

“You are mad, abang. Apa lagi yang Kak Qila basuh abang kali ini? Apa lagi fitnah yang dia nak lempar pada kami? Abang…” Terus tenggelam suara aku bila tiba-tiba Rayyan cengkam rahangku dengan tangannya. Tak keras, tak sakit. Sekadar cukup untuk buatkan aku terdongak dan statik pandang dia.

“Jangan sebut nama isteri aku untuk tutup kesalahan kau.”

Tanganku terus naik melekap pada dada Rayyan. Tubuhnya aku tolak sekuat hati sehingga cengkaman itu terlepas dan dia terundur.

“Macam mana dengan Dhia? Dhia pun isteri abang. Kesalahan apa yang Dhia buat sampai abang tak boleh nampak betul Dhia walau sedikit? Ye, Dhia isteri yang abang tak iktiraf. Dhia tahu. Dhia tak pernah tuntut apa-apa daripada abang, tapi Dhia tetap isteri abang macam dia. Bagi abang yang salah itu semuanya Dhia. Yang betul itu semuanya dia. Kalau Dhia cakap betul, abang kata Dhia tipu. Kalau Dhia menipu lagilah teruk Dhia kena. Fine! Dhia salah. Puas hati? Memang Dhia berduaan dengan Abang Ardiy dalam bilik mesyuarat. Memang Dhia bermesraan dengan Abang Ardiy termasuklah on call dengan dia setiap malam selepas abang pecat dia. Memang waktu Dhia kena ragut hanya ada Abang Ardiy dalam kepala. Memang nama abang langsung tak terlintas sama ada abang akan tolong atau tidak. Sebab baru sekarang Dhia tahu yang selama ini Dhia dah salah orang.”

Aku mengundur bila Rayyan buka langkah perlahan tapi menakutkan mendekati aku. Dia seolah pemangsa yang sudah kebuluran dan aku hanyalah kancil yang cuba berhelah. Semakin banyak yang aku akui, semakin keras langkah dan tubuhnya. Semakin membara api kemarahan dalam matanya.

Walaupun semua yang aku cakap itu hanya tokok-tambah untuk puaskan hati dia semata.

“Dhia baru sedar yang selama ini bukan abang yang Dhia terhegehkan. Yang Dhia suka, yang Dhia idamkan atau yang Dhia gilakan. You just happened to be everywhere he goes. Sebenarnya orang itu Abang Diy. Segala perasaan yang abang benci dulu memang tak pernah ada untuk abang. Jadi bergembiralah sebab Dhia tak akan lagi peduli. Abang nak ceraikan Dhia malam ini pun dipersilakan. Dhia akan terus kahwin dengan Abang Diy!” Aku terus berpusing dan melangkah laju menuju ke arah pintu bilik.

Sekarang ini pintu itu terasa jauh benar walaupun jarak sebenarnya hanya dalam tujuh langkah dari tempat aku berdiri tadi. Kaki sudah dilajukan, tapi aku tak boleh lari supaya Rayyan tak kesan yang aku sudah gerun dengannya. Tangan menyentuh tombol pintu.

Akhirnya!

“Jangan berangan!” Tapi terlambat bila tiba-tiba suara itu berbisik di telingaku sebelum pinggangku disauk.

Saat mataku bertentangan dengan sepasang mata Rayyan, aku tahu yang helah itu semua hanya berakhir dengan kegagalan. Kegagalan yang teramat sangat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience