Bab 19

Romance Series 30734

Sebelum mula, pastikan dah baca Prolog. Bermula dengan bab ini, fokus tak hanya pada Rayyan dan Dhia.

JAMBANGAN bunga yang sudah siap dihias cantik aku letak di tepi. Sekejap lagi pelanggannya akan datang untuk ambil bunga ini. Bunga ini sudah ditempah dari tiga hari yang lepas untuk ibunya. Bunga segar yang terdiri daripada pelbagai warna bunga ros.

Kek dalam peti sejuk aku kerling seketika.

"Ani, nanti tolong saya bungkuskan kek itu ye? Sekejap lagi customer nak datang pick up tempahan," pesanku.

Dapat saja anggukan daripada pekerja umi itu, aku terus berlalu masuk ke bilik kerja umi. Patutnya memang umi punyalah, cuma sebab sekarang umi bercuti selepas kepergian arwah papa, aku ambil alih buat sementara waktu sampai umi ada semangat untuk kembali ke sini semula.

Yelah, papa baru meninggal dua minggu yang lepas. Aku faham kalau umi perlukan walau bertahun masa untuk bina semangatnya semula. Umi dan papa macam belangkas. Pasangan contoh terbaik yang pernah wujud dalam dunia ini. Mereka saling mencintai dan dicintai, jadi aku tahu umi pasti susah nak lepaskan papa sepenuhnya.

Telefon dicapai. Nombor paling atas didail. Tak lama kemudian, panggilan bersambung.

"Boleh saya tahu awak semua dekat mana?" soalku.

"Kami baru masuk simpang nak ke kedai bunga ini, Cik Dhia. Sekejap lagi sampailah."

Aku terus mengeluh lega mendengar balasannya. Panggilan ditamatkan dan aku berlalu keluar dari kedai bunga ini. Tak lama menunggu, sebuah lori datang lalu berhenti di depan kedai. Dua orang lelaki turun sambil tersengih macam kerang busuk.

"Maaflah, Cik Dhia. Nak siapkan board ini makan masa sikit. Itu yang asyik kena tunda tarikh penghantaran je. Order banyak sangat," katanya.

Hm, alasan!

"Kalau dah tahu order banyak, janganlah ambil order lagi. Ini semua nak kaut, tapi tanggungjawab untuk kerja itu jadi terumbang-ambing. Jangan sampai orang hilang kepercayaan dekat perniagaan awak."

Nak pesan papan tanda nama premis pun makan masa sampai satu tahun untuk disiapkan. Umi yang tempah, tapi asyik ditunda-tunda. Umi pula jenis yang terlebih baik nak menyokong sesama peniaga katanya, jadi dia tak buat apa-apa tindakan dan tunggu saja. Sampai saja aku mendarat di sini dan dapat tahu tentang ini, tak sampai dua minggu mereka sudah terpacak di kedai kami.

"Kami minta maaf sangat, Cik Dhia. Harapnya Cik Dhia janganlah teruskan apa yang Cik Dhia kata itu ye? Kesian dekat kami. Bisnes sekarang bukan tentu."

Teruskan apa? Hm, aku ugut mereka sikit-sikit je. Antaranya untuk laporkan pada KPDN, buat laporan polis, tularkan dan buat tuntutan di mahkamah. Empat ugutan saja, sikit je itu. Hehe.

"Dah itu tunggu apa lagi? Pasanglah cepat. Kejap lagi kedai nak buka dah. Tak akan nak bagi pelanggan saya datang tengah awak berdua bertukang kut?"

Mereka pun apa lagi, terus sepantas kilat masuk ke lori semula. Sebuah papan besar dikeluarkan lalu mereka mulakan kerja sendiri. Aku hanya memerhati dari jarak selamat.

"Buat betul-betul ye? Jangan sebab tak puas hati dengan ugutan saya, awak buat kerja cikai atau berniat buruk pula. Saya boleh saman tahu?" tambahku. Muahaha! Kadang-kadang perlu juga jadi karen. Lagi-lagi untuk keadaan macam ini.

Sempat aku tangkap dua tiga gambar untuk diberikan kepada umi nanti. Jadi sekurangnya umi tahulah apa yang berlaku di kedai ini. Tidaklah dia termenung saja di rumah itu sehari semalam.

Debunga.

Nama premis ini. Kawasannya agak strategik memandangkan di sekitar sini banyak tempat cantik yang orang selalu guna untuk dating, melamar dan sebagainya. Ada juga laman yang digubal sedikit ala-ala taman bunga berdekatan yang selalu ditempah untuk majlis perkahwinan. Dan laman itu adalah milik umi dan papa.

Tapi selalunya artis atau orang Cina yang tempah laman itu. Orang Melayu atau bangsa lainnya memang kurang. Mungkin kerana harganya yang agak mahal jadi punca kut. Tapi tak ada masalah pun tentang itu. Setiap minggu memang hanya ada dua slot untuk ditawarkan kepada orang ramai dan slot itu sentiasa penuh. Kiranya kalau ada pasangan tempah untuk hari sabtu dan ahad, maka isnin hingga jumaat tiada tempahan lain akan diterima.

Itu semua untuk pastikan laman itu terjaga dan terjamin keadaannya. Sebab itulah penilaian laman itu di Google sana mencecah 4.8 bintang! Aku tak tahu mana perginya 0.2 itu, tapi untuk dapat cukup lima memang mustahil.

Manusia. Mana yang tak sempurna dan mana yang tak pernah nak berpuas hati.

"Senget tak, cik?" soal mereka.

Aku geleng kepala. Memang tak senget. Mungkin sebab mereka sudah ukur siap-siap dan letak penanda tadi.

"Kami akan sambung dengan elektrik ye, Cik Dhia? Waktu malam Cik Dhia boleh buka lampu papan ini," kata salah seorang daripada mereka.

Aku angguk faham. Elok mereka sambung kerja, aku terus tunduk pandang telefon. Hantar gambar-gambar yang aku tangkap tadi kepada umi sebelum aku periksa kalau-kalau ada mesej baru. Oh, memang ada satu. Tapi aku malas nak baca. Dari awal pagi tadi mesej itu sudah dihantar, tapi aku masih tak buka sampai sekarang.

Nantilah!

Terasa seperti diperhati, aku terus angkat kepala. Pandang lelaki berdua itu, tapi mereka sedang sibuk dengan kerja masing-masing. Jeling aku pun tak sempat. Aku pandang pula sekeliling. Pun tak ada siapa.

Tapi aku betul-betul rasa seperti diperhati tadi. Faham tak bila kau tengah duduk di tempat yang tak ramai orang, lalu kau rasa seolah ada yang sedang memandang dan bila kau tengok, memang betul ada orang yang pandang? Ha, macam itulah yang aku rasa. Cuma bezanya ini tiada siapa yang tertangkap.

Tak lama kemudian, mereka berdua selesai dengan tugasan masing-masing. Keduanya minta diri lalu masuk ke dalam lori. Elok saja lori itu bergerak pergi, aku terus masuk ke dalam kedai semula.

"Kek dah siap bungkus, Ani?" soalku.

Ani yang sedang sibuk siapkan bouquet bunga lainnya terus juih bibir ke atas meja. Sekotak kek yang sudah cantik berbungkus hanya menunggu masa untuk dibawa pulang lalu dijamah.

"Banyak tak tempahan dalam talian yang kita kena siapkan hari ini?" soalku lagi.

"Hari ini tak banyak, tapi esok banyak. Mungkin sebab esok hari sabtu kut, Cik Dhia? Orang cuti, ramai ambil peluang untuk buat kejutan. Tapi untuk yang walk in, saya belum tahulah. Selalunya mesti ada dua tiga orang."

Dua tiga orang itu memang sikit. Kalau ikutkan, memang tak boleh survive pun dengan angka pelanggan yang hanya sebanyak itu. Tapi untunglah kami ada laman web sendiri, jadi kami boleh menerima tempahan dalam talian. Pelanggan boleh tempah seawalnya dua minggu sebelum dan selewatnya 24 jam sebelum. Lalu pelanggan ada dua pilihan sebelum pembayaran boleh dilakukan, iaitu untuk pilih cara penghantaran. Nak guna rider ke atau nak datang ambil sendiri.

Tapi untuk pesanan yang ada kek, laman web akan automatik sekat proses pembayaran bagi penghantar menggunakan rider. Yelah, karang terbalik kek itu tak ke kami yang dipersalahkan? Jadi untuk pesanan yang ada kek, pelanggan perlu datang dan ambil sendiri. Selain itu, semuanya boleh dihantar melalui mana-mana cara penghantaran.

Kami juga tak terhad hanya menjual bunga semata. Selain kek yang kami buat terus dari rumah, kami ada juga love bucket yang berisi pelbagai coklat premium atau wishlist bucket yang boleh digubal mengikut kemahuan pelanggan. Contohnya, wishlist bucket yang penuh dengan duit. Pelanggan hanya perlu sediakan duitnya. Selesai!

Mungkin sebab itu kedai bunga ini masih mampu untuk berdiri walaupun dulu pernah hampir runtuh. Kerana keluarga Rayyan yang membantu, maka kedai ini sempat dibangunkan semula dulu.

"Selamat pagi!"

Aku terus angkat kepala bila Ani memberi ucapan selamat. Tandanya ada pelanggan datang.

"Hi, saya Diba. Saya ada buat tempahan yang saya kena ambil hari ini." Seorang wanita dengan mesranya menyampaikan hajatnya sambil tersenyum lebar.

Tempahan?

Aku jeling tempahan yang berada di depanku. Untuk pengambilan awal pagi ini hanya ada satu tempahan. Yang selebihnya untuk slot waktu seterusnya dan bukan sekarang. Dan pemilik tempahan yang sedia ada ini bukan Diba, tapi Raees.

Walaupun aku ini sengal sikit, tapi aku tahulah nak bezakan nama lelaki dengan nama perempuan.

"Boleh saya dapatkan nama yang cik gunakan masa buat tempahan?" soalku.

"Oh, Raees."

Raees? Jadi betullah. Tapi untuk pastikan...

"Boleh saya call untuk double confirm yang tempahan ini memang cik punya?"

"Boleh, silakan." Dia tersenyum.

Aku terus tarik gangang telefon ditarik sebelum nombor yang tertera pada komputer aku dail. Agak lama, tapi wanita di depan ini tenang saja berdiri sambil menunggu aku. Kiranya bukan telefon dia yang berbunyi.

"Belo?"

Dahiku terus berkerut. Ada orang berhelo sebaik saja panggilan dijawab. Tapi helo itu helo seorang budak. Itu yang belo, bukan helo. Agaknya budak ini terlebih tengok Minions kut!

"Helo, boleh saya bercakap dengan Encik Raees?" soalku.

"Kitalah Raees. Daddy bagi nama kita Raees," balasnya.

Eh? Kiranya yang buat tempahan ini seorang budak ke? Bukan main budak-budak zaman sekarang buat kejutan dengan bunga dan kek. Aku dulu bagi umi dan papa gula-gula je guna duit sekolah.

"Boleh kakak cakap dengan daddy Raees?"

"Boleh! Kejap erk, Raees cari daddy. Tadi daddy ada dekat ofis... Daddy! Daddy! Bukalah pintu, daddy!"

Tersengih aku mendengarnya.

"Kakak, ini daddy dah jumpa," lapornya sebelum aku dengar bunyi geseran seperti telefon bertukar tangan.

Senyap...

Hai? Mana pula orangnya?

"Helo?" Aku berhelo.

Senyap...

Aik?

Aku pandang Diba di depan. Dia masih tersenyum sambil menunggu tenang.

"Helo? Saya call untuk dapatkan kepastian kalau encik ada hantar wakil untuk ambil tempahan pagi ini." Aku terangkan sekali lagi

"Ye, betul. Saya ada hantar wakil." Akhirnya ada juga suaranya.

Tapi sekejap...

Suara ini seolah pernah aku dengar sebelum ini. Suara garau dan agak dalam itu seakan dejavu dalam kepala.

Ah, perasaan je itu! Suara yang aku kenal ia tak sedalam ini. Suara ini buat aku meremang bila mendengarnya.

"Baik, terima kasih untuk pengesahannya." Sebaik saja panggilan ditamatkan, aku terus ambil kotak kek dan bunga yang sudah menunggu.

"Mari, cik. Saya tolong bawa ke kereta," kataku.

Wanita itu tersenyum sebelum menggeleng lembut.

"Tak ada nak dibawa ke mana pun. Ini semua untuk awak."

Ha?

"Untuk saya?" Bunga dan kek ini?

Wanita itu mengangguk. "Untuk awak. Ini ada satu lagi."

Dia lantas menyeluk beg tangan sendiri. Sebuah kotak panjang bersaiz sebuah kotak telefon dikeluarkan sebelum kotak itu dihulurkan kepada aku. Kerana tangan yang sudah penuh, aku terus letak kotak kek di tempatnya semula sebelum kotak itu disambut.

"Saya kena pergi dulu. Ada kerja. Enjoy your day, ye Cik Dhia Elaine." Wanita itu terus lambai tangannya sebelum pintu kedai dibuka. Sebelum keluar, sempat lagi dia pandang aku semula seolah baru teringatkan sesuatu.

"Happy birthday." Dan dia terus berlalu pergi begitu saja meninggalkan aku dengan tanda tanya sendiri.

Macam mana dia tahu nama penuh aku? Aku rasa tak pernah lagi aku perkenalkan nama penuh aku pada sesiapa. Selalunya hanya Dhia, kalau bukan Dhia, mesti Elaine.

Aku jeling pula tarikh pada sudut bawah komputer yang menyala.

Macam mana dia tahu hari ini hari jadi aku? Padahal aku sendiri pun terlupa yang hari ini hari jadi aku.

Kotak di tangan aku pandang bergilir dengan kotak kek dan jambangan bunga. Dahi berkerut lagi. Puas aku fikir, tapi aku tak dapat satu pun jawapannya.

"Hi, saya nak beli bunga." Suara asing kedengaran. Pelanggan baru masuk ke dalam dan berurusan dengan Ani.

Aku terus kuntum senyum sekali gus semua barang-barang tadi aku letak di tepi.

"Selamat datang!" Masa melayan pelanggan!

...

Hi! Untuk yang belum tahu, dalam Novelplus, saya juga ada satu lagi cerita tau. Querida Cinderlisa atau tajuk lamanya Calon Isteri Upahan. Untuk yang pernah baca dulu, sila baca sekali lagi sebab dijamin kali ini banyak scene berbeza dan bertambah. Hehe.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience