Bab 52

Romance Series 30734

KESEMUA mereka telah ditangkap. Semuanya, kecuali seorang lelaki yang sedang diburu oleh pihak polis.

Itulah apa yang penyampai berita sepuluh minit lepas katakan. Dan ia masih terngiang-ngiang di dalam kepalaku kerana aku tahu siapa lelaki itu. Aku kenali dia, aku mencintai dia sebagai abangku dan aku yang melepaskannya.

Aku tahu, lambat atau cepat dia akan dijumpai juga. Dunia ini tak besar mana pun. Penjenayah memang seharusnya dihukum dan diadili di dunia dan di akhirat. Namun, bukan dengan tanganku.

Bukan aku.

Biarlah ia menjadi tugas orang lain.

Hanya bukan aku.

"Dhia..."

Aku mengangkat kepala. "Ye umi?"

"Kenapa ini? Umi tengok, Dhia makan tak kenyang. Mandi tak basah. Muka pucat dan asyik termenung saja. Dhia okay?"

Umi menyoalku sambil berjalan masuk ke dalam bilik. Umi kerisauan dan itu jelas terpampang pada wajahnya.

"Tak adalah, umi. Dhia penat sikit je."

Umi tak tahu tentang ini. Ye, umi tahu bahawa sindiket yang gempar bertahun-tahun itu sudah berjaya ditumpaskan. Umi juga tahu bahawa masih ada seorang daripada mereka yang diburu. Tapi umi tak tahu bahawa seseorang itu adalah Ardiy

Sebab kalau umi tahu, aku yakin yang dia akan lebih sedih berbanding aku. Abang Diy dan Rayyan sudah dianggap seperti anak sendiri. Abang Diy cukup rapat dengan arwah papa.

"Kalau penat, rehatlah. Jangan termenung saja. Tengok Raees itu, kesian dia. Tak dapat perhatian yang cukup. Nak bermanja dengan kamu, Dhia pula macam ini. Nak bermanja dengan Rayyan, dia pun asyik sibuk saja dua tiga hari ini."

Aku tersenyum nipis bila umi berbicara tentang Raees. Anak itu, dia kurang manjanya bila aku dalam keadaan seperti ini. Pandai pula dia menjaga diri sendiri, menemani diri sendiri dan mencari kasih di tempat lain. Tempat lainnya itu, mestilah pada umi.

Kami berkalih memandang pintu yang tiba-tiba diketuk. Rayyan sedang berdiri di situ sambil tersenyum nipis ke arah kami.

"Mana Raees, umi?" soalku. Dah kalau umi, aku dan Rayyan di sini, maksudnya tinggal nenek sajalah untuk menjaga Raees kan?

"Raees dah tidur. Nenek dia temankan," jawab umi.

Oh...

"Okaylah. Umi nak berehat sekejap. Kalau nak makan, umi ada masak sikit di bawah ya?" Umi terus menepuk bahu Rayyan yang sudah berdiri di sebelahnya.

"Baik, umi. Terima kasih. Hati-hati turun tangga itu." Rayyan tersenyum lagi.

Selepas umi keluar, Rayyan terus menutup pintu. Siap dikunci.

Dia kembali kepada aku. Duduk di sebelah aku.

"Dhia termenung sehari suntuk ini disebabkan Ardiy?" soalnya.

Aku senyap saja.

"Dhia tak nak tanya abang apa-apa tentang Ardiy?"

Aku memandangnya. "Apa yang abang boleh beritahu?"

"Try me."

"Mana Abang Diy sekarang?"

"Dah lebih lima jam melepasi Thailand. Sekarang mungkin dia dalam kapal terbang untuk ke mana-mana tempat lain. Abang tak tahu dia nak ke mana secara spesifiknya."

Dahiku berkerut. Macam mana Rayyan boleh tahu tentang Ardiy sudah melepasi Thailand ini? Bukanlah aku yakin apa dia kata itu betul, tapi Rayyan bukan orang yang suka buat cerita.

"Dia lari ke luar negara?" soalku.

Melihat anggukan Rayyan, semakin peliklah aku jadinya.

"Macam mana abang tahu semua ini?"

"Abang yang bagi dia duit untuk lari."

Mataku membulat. Astaghfirullah haladzim!

"Abang, ini bukan apa yang Dhia nak buat. Dhia..."

"Abang tahu. Dan abang juga bukan nak bagi dia lari dan selamatkan diri. Abang bagi dia lari untuk mencuri masa sekejap saja. Abang rasa bersalah dan itu satu-satunya cara untuk abang memohon kemaafan dia."

"Baru sekarang nak rasa bersalah?" Aku menyoal sinis. Aku sendiri tak boleh maafkan Rayyan yang terus membuang Abang Diy hanya kerana perempuan yang baru masuk dalam hidup dia itu, macam mana dengan Abang Diy?

Kalau dia maafkan Rayyan semudah itu, aku tak tahulah nak kata apa.

"Dhia, nak tembak abang atau nak tahu tentang Ardiy dulu?"

Aku terus mengeluh panjang. Mestilah aku nak tahu tentang Abang Diy dulu. Kalau tembak dia itu, hari-hari pun aku buat.

"Abang Diy dah kahwin. Betul ke?" soalku.

Rayyan mengangguk. "Abang berkesempatan untuk jumpa dengan isterinya juga. Lemah-lembut dan baik orangnya."

Hatiku hancur mendengar itu. Abang Diy benar-benar dah berkahwin, dan aku tidak mengetahui satu pun tentang itu. Yang lebih menyakitkan, bagaimana dengan isterinya jika Abang Diy berjaya diberkas suatu hari nanti? Macam mana dengan isterinya?

"Abang nampak, mereka dah berserah sepenuhnya pada takdir. Isterinya nampak sedih, tapi tenang. Macam itu juga dengan Ardiy. Mereka ke luar negara untuk mencuri masa. Ardiy perlukan masa itu untuk bersama isteri dia. Dia orang baru berkahwin. Baru sangat."

"Dhia kesiankan isteri Abang Diy. Macam mana dengan dia kalau Abang Diy ditangkap?"

Rayyan hanya diam memandangku tanda dia juga tiada jawapan untuk itu.

"Tapi, mereka titipkan mak dan ayah isterinya untuk kita jaga. Malam ini, abang akan ke Negeri Sembilan untuk ambil mak dan ayah isterinya ke sini. Ardiy dah serahkan kunci kereta dan kunci rumah untuk abang jaga sementara itu. Lepas dia pulang, Ardiy nak abang serahkan semuanya kepada Amari. Semua yang dia ada, dia nak Amari yang terima segalanya."

Ya Allah...

Sedihnya. Begitu sedih. Abang Diy sudah tinggalkan segalanya.

"Amari dah bayar yuran rumah orang tua, tapi abang rasa lebih baik kalau abang yang jaga mereka. Sekurang-kurangnya, itu cara abang untuk minta maaf atas kebodohan abang dulu. Lagipun, abang rindu untuk rasa ada ayah."

Makinlah sedih aku mendengarnya. Bukan hanya ada isteri, malahan ibu bapa mentua. Macam mana dengan mereka nanti? Hukuman yang bakal Abang Diy terima pastinya bukan sedikit. Jika bukan seumur hidup, mungkin gantung. Dan jika itu berlaku...

Ya Allah, aku tak boleh fikir.

"Ardiy hanya nak 100 hari. Selepas 100 hari, dia akan serah diri di balai polis dengan rela hati. Itu yang dia janji pada abang. Dia tak akan cuba untuk bunuh diri atau apa saja, dia janji untuk terima hukuman itu mengikut undang-undang."

Air mataku terus mengalir deras bila mendengar janji Abang Diy. Aku yakin bahawa Abang Diy akan menunaikan janjinya. Aku kenal Rayyan dan Abang Diy. Aku tahu Abang Diy tak akan memungkiri janji.

"Dhia masih tak percaya apa yang Dhia nampak. Dhia tak percaya yang Abang Diy sanggup buat semua itu. Kenapa Abang Diy berubah, abang? Abang Diy bukan lelaki yang macam itu."

Rayyan mengangguk perlahan. "Betul. Dia bukan lelaki yang macam itu. Abang juga tak percaya apa yang Dhia cakap pada mulanya. Tapi bila abang berjumpa sendiri dengan dia, dia yang mengaku."

Makin lebat air mataku jadinya. Seribu kali tampar muka sendiri pun, hakikatnya tak akan berubah. Aku yang melihat dengan mata kepalaku sendiri siapa yang wujud di sebalik topeng itu. Abang Diy, dia adalah penjenayah yang dicari oleh ramai orang dan diriku sendiri.

"Rupanya dia juga yang jaga Dhia selama ini," tambah Rayyan.

"Maksudnya?"

"Abang pernah kata, ada tangan ghaib yang menjaga Dhia selain Jebat dan abang. Kami tak pernah tahu siapa orangnya, yang pasti orangnya bukan calang-calang sebab tak ada siapa berani sentuh Dhia walau dengan hujung jari walaupun ramai yang memusuhi Dhia. Rupa-rupanya orang itu, Ardiy. Dia yang jaga Dhia selama ini."

Aku terus menekup muka dan menghamburkan tangisan. Aku terharu, namun aku kecewa. Begitu banyak emosi yang wujud sekarang sampai aku sudah tak tahu mana yang patut aku utamakan. Nak menangis, tapi aku juga gembira kerana sindiket itu sudah ditumpaskan. Nak gembira, namun aku sedih dan terluka apabila memikirkan Abang Diy.

"Dia sayang Dhia sangat-sangat. Dia haramkan semua orang untuk sakiti Dhia. Dia haramkan budak-budaknya untuk cuba mengapa-apakan Dhia, apatah lagi untuk jadikan Dhia mangsa mereka. Sebab sampai ke akhir masa pun, dia tetap anggap Dhia adik kesayangannya. Dan itu takkan pernah berubah walau apapun yang berlaku."

Tanganku menggenggam baju di dada seakan sedang menggenggam hati yang begitu sakit ketika ini. Dadaku sesak, nafasku pendek dan air mataku tak habis mengalir.

"Selama ini, 5 tahun dia menghilangkan diri bukan sebab dia menjelajah. Dia ada je di sini, Dhia. Hanya abang yang tak cuba untuk cari dia. Kalaulah abang cari sebelum semuanya bermula..." Rayyan menyesal lagi.

Dan sesal itu tak berguna lagi. Abang Diy sedang diburu. Tak lama lagi mungkin gambarnya akan terbang ke seluruh stesen televisyen dan media. Identiti Abang Diy hanya akan selamat jika ahli sindiket itu tidak membuka mulut. Namun, aku rak rasa itu akan berlaku.

Sudah kalau disesah oleh anggota polis setiap hari, akhirnya akan terkeluar juga apa yang disembunyikan.

Terasa bahuku disentuh dan diusap lembut. Perlahan-lahan aku ditarik hingga wajah berlaga dengan dada Rayyan. Tangannya mengusap belakang kepalaku seakan sedang memujuk.

"Kita hanya boleh berdoa yang terbaik untuk Ardiy dan isterinya, Dhia. Hanya Allah yang tahu apa yang berlaku sehingga Ardiy sanggup buat kerja macam itu. Abang percaya, semuanya bersebab. Ardiy bukan orang yang macam itu."

"Kalaulah Dhia tak pergi sambung belajar, mesti semua ini tak akan jadi..."

"Abang yang bersalah. Kalau abang tak ikutkan perasaan, Ardiy mesti masih bekerja dengan abang dan dia tak akan ada masa untuk buat semua ini. Abang tak akan pernah dapat maafkan diri sendiri sebab ini, Dhia. Maafkan abang. Abang jadi punca Dhia hilang seorang abang."

"Ada ke peluang untuk Dhia jumpa Abang Diy sekali lagi?" Aku mengangkat kepala, merenung Rayyan.

"Abang tak boleh janji."

"Kalau apa-apa jadi pada Abang Diy, boleh tak isterinya tinggal di sini? Dia boleh berkawan dengan Dhia. Sekurang-kurangnya, Dhia boleh temankan Dhia."

Rayyan tak teragak-agak untuk mengangguk. Bersetuju saja dengan apa yang aku inginkan.

"Dhia nak ikut abang ambil mak dan ayah Amarilis ye?" pinta aku lagi.

Rayyan berterusan mengangguk. Apa saja yang aku minta, semuanya dia turuti.

Air matakua mengalir lebat hingga aku sendiri yang menyembamkan muka pada leher Rayyan. Menangis semahu-mahunya di situ.

"Dhia dah mula rindukan Abang Diy," aduku.

"Kita semua rindukan dia, Dhia. We both do."

"Dhia janji dengan Abang Diy, yang bila Dhia besar, dia akan kerja dan masukkan Abang Diy dalam rumah orang tua, sebab Abang Diy tak berkawan dengan perempuan. Tapi sekarang, sempat ke Abang Diy untuk menua?"

Aku mendengar nafas yang Rayyan yang memberat. Dia juga sudah ikut jatuh dalam kesedihan. Lebih-lebih lagi memikirkan hukuman yang menantinya.

Sempat ke untuk aku masih memanggilnya abang di saat rambutnya sudah putih dan tubuhnya sudah bongkok? Atau...

Allah lebih menanti kepulangannya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience