BAB 14

Romance Series 31043

PINTU dibuka lalu aku biarkan ibu, umi dan papa untuk masuk ke dalam dulu. Bila semua dah masuk, barulah aku ikut masuk sama. Pintu ditutup dan aku berdiri di depan pintu. Senang nak keluar kalau ada apa-apa yang buatkan aku tak berkenan atau tak selesa.

Yelah, di sini ada Kak Qila. Ada juga Rayyan. Dua manusia yang paling tinggi potensi untuk buatkan aku sakit hati dan tertekan.

Kebetulan mata aku dan Kak Qila bertembung. Dia siap menjeling aku lagi. Nampak tak?

Oh, aku baru perasan yang ada seorang lagi di sini. Aku tak kenal, tapi kalau tengok gayanya aku rasa dia mesti ibu mentua Rayyan. Untuk pastikan, aku perlu tunggu dia bercakap memandangkan itu saja yang aku kenal untuk pastikan siapa dia.

“Rayyan kenapa ini? Macam mana boleh masuk hospital pula?” Ibu menyoal Rayyan. Risau.

“Tak ada apalah, ibu. Doktor kata Rayyan kurang rehat. Tak ada apa yang serius,” balas Rayyan.

Hm, punya tak ada apa yang serius sampai kena sumbat masuk wad dan ditahan dekat hospital. Ini kalau dekat hospital kerajaan, mahu terus kena suruh balik. Untung orang berduit. Dapatlah masuk hospital swasta yang selagi boleh tahan, akan kena tahan ini.

“Kamu jangan buat ibu risau, Rayyan. Apa yang sibuk sangat dengan kerja itu sampai tak boleh nak berehat? Tak habis-habis outstation sampai dah dekat dua bulan tak balik rumah tengok Dhia dan ibu. Cari pasal.”

Fuh, sebenarnya aku seronok betul bila Rayyan sibuk dengan kerjanya di Dubai sana sampai tak ada masa untuk lawat kami di rumah. Lega! Dua bulan tak payah hadap dia dan semua perkataan yang menyakitkan hati itu. Dua bulan aku bebas dan tenang. Berseronok dengan ibu. Temankan ibu dan umi berjalan. Bermanja dengan umi dan papa. Tidur dengan ibu bila ibu rasa keseorangan dan rindukan Rayyan.

Aku diam memerhati bila tiba giliran umi dan papa untuk bercakap dengan Rayyan. Duduk di sini, aku rasa betul-betul tak selesa. Ada dua pasang mata yang pandang aku macam nak dipulasnya leher aku ini biar terus terkulai mati.

Yang Rayyan ini pun boleh pula masuk hospital! Dah tak pasal-pasal aku kena ikut sekali untuk lawat dia. Kalau dia saja tak apalah, ini isteri dan mentua tercinta dia pun ada. Tengoklah pandangan mereka yang penuh dengan dendam dan benci itu.

“Dhia?” Entah berapa lama kemudian, namaku dipanggil oleh papa.

“Ye?”

“Dhia tak nak salam Rayyan?”

Aduh, kena salam ke? Tapi setakat Rayyan itu tak apalah. Reda je. Nak bersalaman dengan dua orang lagi itu aku memang tak reda sama sekali. Mereka pun tak lekang punggung daripada kerusi masing-masing untuk sambut keluarga kami.

Aku terus mendekat. Ibu, umi dan papa berundur sedikit ke belakang bagi memberi ruang untukku. Tangan Rayyan dicapai lalu aku salam begitu saja. Sekali lagi aku sempat tangkap jelingan Kak Qila yang duduk di sisi katil Rayyan.

Hm, dah nampak jelas bentuk perutnya. Berapa bulan dah agaknya ye? Aku tak kira. Yelah, bukan aku yang mengandung.

“Dhia sihat?”

Terkejut aku bila Rayyan soal tentang itu. Wah, ajaib! Baru kali pertama dalam seumur hidup tanya tentang keadaan aku.

Aku angguk saja sebelum kembali berundur dan berdiri di depan pintu semula. Biarkan mereka yang bersembang. Tapi sampai ke sudah pun aku tak dapat dengar suara berdua itu. Anak beranak tak bercakap. Hanya tayang muka menyampah.

Hm, sudah alang-alang ada dekat sini, aku rasa ada baiknya aku terus buat apa yang aku rasa nak buat beberapa hari ini.

“Umi…” Aku panggil umi.

“Ye, Dhia?”

“Dhia nak keluar kejap. Sakit perut.”

Umi angguk. “Yelah. Hati-hati.”

Aku terus berlalu keluar. Pintu ditutup dan aku berjalan sambil mencari jika ada kaunter atau pekerja seperti jururawat untuk aku ajukan soalan.

Dan aku harap jawapannya adalah yang negatif.

“TAHNIAH, Dhia. Keputusannya positif. Semua UPT yang Dhia buat hari itu memang semuanya keputusan yang betul. Dhia jangan ragu lagi.”

Terasa bagai langit baru roboh dan menghempap kepala. Rasa nyawa ditarik sekejap sebelum berdesup masuk semula. Aku termenung lama sampaikan doktor di depan terpaksa panggil namaku berkali-kali.

“Dhia okey?”

Nak geleng, tapi macam tak patut.

“Dhia 20 tahun kan? Dekat sini tulis Dhia lahir bulan januari. 1 januari lagi. Dhia sebaya anak perempuan saya.”

Aku tahu yang itu sekadar berbasa-basi. Mesti ada soalan yang lebih besar ingin ditanya sekejap lagi.

“Dhia dah kahwin?”

Kan aku dah kata.

Aku angguk.

“Untuk buka buku nanti, Dhia perlu bawa salinan ic suami dan sijil nikah tahu? Kalau Dhia nak bersalin dan buat check up di sini, kami tak ada minta sijil nikah. Tapi kalau kerajaan, kena.”

Salinan ic suami?

“Doktor, boleh ke kalau saya buat semuanya tanpa pengetahuan suami? Maksud saya, saya boleh ambil salinan ic dia curi-curi. Tapi kalau ada apa-apa produser di hari akan datang yang perlukan dia…”

Dahinya berkerut. Wajahnya nampak khuatir dengan soalan aku. Memandangkan dia juga baru kata yang anaknya sebaya dengan aku, pasti ada naluri keibuan yang terjentik saat mendengar soalan itu.

“Suami Dhia hidup lagi?”

Aku angguk. Siap duduk di bawah satu bumbung hospital ini lagi!

“Jadi kenapa Dhia tak nak dia terlibat sama? Dhia ada masalah dengan suami?”

“Complicated, doktor. Saya tak tahu macam mana nak terangkan. Saya rasa macam orang bodoh pula.”

Senyap.

“Boleh tak kalau saya nak gugurkan kandungan ini?”

Matanya membulat tanpa sempat ditahan. Dan melihatkan itu, aku faham yang soalan aku tadi adalah tak patut sama sekali. Dhia, kau ada suami. Ini bukan anak hasil rogol atau zina.

 Apa alasan kau nak gugurkan kandungan ini?

Setelah terima sedikit nasihat dan penerangan tentang apa yang perlu aku lakukan, termasuklah untuk fikir masak-masak. Aku terus keluar dan kembali ke wad yang dihuni Rayyan.

“Lama ke tandas, Dhia? Sembelit ke apa?” Elok saja aku masuk, tiba-tiba suara yang dinanti berbunyi. Suara mak mentua Rayyan.

Aku senyum nipis sahaja. Tak ada jawapan. Sebab alasan nak ke tandas sebab sakit perut itu dongeng saja. Yang dia ini pun dah kenapa nak menyindir bagai?

"Kalau macam itu marilah kita keluar dulu. Biar Dhia berdua dengan Rayyan sekejap." Tiba-tiba ibu keluarkan titahnya. Sejak Rayyan tinggalkan aku di tepi jalan itu, ibu memang sudah tak tunjuk takut lagi.

Aku rasa ibu sudah terlalu marah sampai malas nak peduli lagi. Apa nak jadi pun jadilah orang kata.

Oh! Tak, jangan fikir bila aku cakap Rayyan tinggalkan aku itu sebab aku salahkan dia seratus-peratus. Tidak. Aku tahu aku juga bersalah. Berani sangat bersendirian malam-malam macam itu. Aku tak patut turun dan tinggalkan kereta walau apapun alasannya. Menempah bala sendiri. Rayyan pun ada panggil aku, tapi aku yang buat tak dengar dan pergi juga.

Mereka beransur keluar kecuali ibu dan Kak Qila. Mereka bersabung mata. Ibu seakan sedang tunggu Kak Qila keluar dulu. Dia pula macam tak nak keluar saja. Agaknya dia risau kalau aku mengada-ngada atau menggoda suami dia kut.

"Qila, keluar dulu. I nak bercakap dengan Dhia." Terkejut kami bertiga bila tiba-tiba Rayyan mengarah Kak Qila seperti itu.

Tak sangka!

Kak Qila pun terus masam mukanya. Beg tangan dicapai dan dia melangkah keluar sebelum diikuti oleh ibu. Sempat aku dijeling dengan pandangan amaran. Hai, takut sangat kalau suami dia jatuh melutut depan aku.

Tenang, kak!

Bila tinggal berdua dengan Rayyan, aku terus tarik kerusi dan duduk. Diam antara kami buat beberapa ketika dengan Rayyan yang hanya memandangku. Apalah yang dia nak cakapkan sebenarnya?

"Sihat?" soalnya. Kali kedua.

Aku? Bukan aku yang tengah terlantar atas katil, jadi mestilah aku sihat. Tapi nak jawab macam itu agak kejam.

Aku angguk saja.

"Muka kau pucat. Betul-betul sihat?" Kali ketiga.

"Sihat, abang." Tolonglah jangan banyak tanya. Nanti kantoi! Bab pucat itu sudah dua orang sebut dan tanya hal yang sama.

Papa dan Rayyan.

Diam sekali lagi. Hai, baru tak berjumpa dua bulan sudah kekok. Suami isteri apalah macam ini? Kalau umi dan papa, tak jumpa seminggu pun berkepit bagai pengantin baru.

"Duit belanja masih ada?"

"Kan abang baru bagi minggu lepas? Lagipun duit belanja sebelum-sebelum ini pun masih ada lagi." Aduh, dia ini kenapa? Dah nak mati ke? Selalunya orang yang dah tak lama lagi ini memang selalu berubah sikap. Yang biasa-biasa, tiba-tiba jadi ceria. Yang sakit, tiba-tiba sihat.

Terminal lucidity.

Takut pula aku jadinya! Sudahlah baru tadi aku dapat berita tentang kandungan ini. Tak pasal-pasal daripada kisah penyondolan, bertukar jadi cerita rebutkan harta yang ditinggalkan si mati. Anak aku vs anak Kak Qila.

Hai, seram!

"Buat apa je masa aku tak ada?" soalnya lagi.

Buat apa?

"Tak ada apa. Hidup macam biasa, rutin biasa. Teman ibu, teman umi dan papa sambil study." Memang itu je. Tak ada apa yang menarik, tapi ia menenangkan sebab aku dapat luangkan masa bersama keluarga.

"Tak ada keluar dengan kawan-kawan?"

Aku geleng.

Dan senyap kembali menjengah bila Rayyan sudah tak lagi menyoal apa-apa. Hai, yang di luar sana pun masuklah cepat. Lama betul masa yang diberi untuk kamu berduaan. Aku ini tak selesa. Lagi tak selesa sebab perangai Rayyan berubah. Tak ada marah-marah atau keluarkan ayat yang menyakitkan hati aku.

"Kenapa senyap?" Rayyan menyoal lagi.

"Sebab Dhia tak tahu nak cakap apa," jawabku.

Rayyan tersenyum nipis sebelum menggeleng lembut. Seakan terhibur dengan respon aku. Aku cakap macam itu pun dia boleh terhibur?

"Dhia yang aku kenal sentiasa ada topik untuk dicakapkan. Tak pernah senyap atau berhenti menyoal itu dan ini."

Dhia yang aku kenal? Hmm...

"Mungkin yang abang maksudkan ialah Dhia yang abang kenal dulu. Used to. Sebab Dhia itu fikir yang abang adalah manusia paling sempurna pernah wujud di muka bumi ini. Sehinggalah Dhia itu diludah dengan ayat-ayat pedas abang lalu terlahirlah Dhia yang ini. Dhia tak tahu nak cakap apa sebab Dhia dah tak lagi selesa dengan abang lepas Dhia saksikan dengan mata kepala sendiri siapa Rayyan Halzeri yang sebenarnya."

“Dah. Mari kita balik?” Pintu terbuka dan ibu bersuara. Tepat pada masanya.

Aku terus mengangguk. Eloklah balik cepat-cepat. Aku perlu fikir apa yang perlu aku buat dengan kandungan ini.

Selepas yang lain minta diri, aku sekali lagi bersalaman dengan Rayyan. Dah macam satu formaliti pula bersalaman di sini.

Baru nak tegakkan tubuh semula, tiba-tiba tanganku ditarik sehingga aku ikut tertarik sama. Rayyan yang sedang duduk bersandar di atas katil itu dekatkan bibirnya dengan telingaku. Dia berbisik.

“Jangan cuba sorokkan apa-apa saja daripada aku.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience