Bab 33

Romance Series 30734

BALUTAN tangan diperiksa buat kali terakhir sebelum aku terus masuk ke dalam sebuah rumah terbiar yang jangankan pintu, malahan dinding pun hidup segan mati tak mahu. Sudah roboh 20% daripada yang sepatutnya.

Aku berdiri di belakang sebuah dinding sebaik saja telinga menangkap bunyi derapan tapak kaki yang memijak daun kering di bawah.

Masalah pertama, daun ini hanya akan menambah kekacauan kerana bunyi yang diberikan. Lokasi akan lebih mudah dikenal pasti. Lokasi musuh dan lokasi aku sendiri. Kelebihan dan kelemahan dalam satu masa.

Derapan itu semakin dekat sebelum berhenti. Diam.

Aku rasa orangnya tidak gerun sama sekali. Sudahlah tempat ini gelap. Rumah terbiar dan terbengkalai pula itu. Gaya berjalan bebas. Dia sudah bersedia habis untuk bertarung.

Aku berundur lebih ke belakang bila dapatku lihat bayangnya terpancar pada dinding di depanku. Kiranya ada cahaya dari arahnya.

"Keluarlah cepat, mat. Kita bertarung lelaki dengan lelaki. Banyak sangat dah tahi yang kau tinggalkan. Tak tercuci lagi."

Keningku terus terjongket dan mulut terus ternganga di sebalik topeng muka bila mendengar suara itu. What the fish?! Rayyan lagi?!

Tak sempat nak kawal diri, laju saja aku keluarkan kepala dari persembunyian dan terus pandang dia yang juga terus pandang aku sebaik saja kepalaku terjengah begitu. Aku memang tiada langsung niat untuk menyorok lagi dah.

Sah, Rayyan!

Aku dah pening sendiri. Dia ini kepala sindiket yang aku cari itu ke? Apasal ke mana saja aku pergi, mesti dia ada juga?

"Siapa kau?" soalnya. Tegas.

Huh! Siapa aku? Patutnya aku yang tanya, siapa kau? Apasal kau ada dekat mana je aku ada? Kau langau ke bangau? Pergi balik jaga anaklah!

Err, patut ke aku pun balik untuk jaga suami? Ah, dia suami yang aku tak iktiraf!

Dia mendekat selangkah lagi. Dan aku diam di posisi. Aku tak rasa terancam sama sekali. Mungkin sebab dia Rayyan dan bukan orang lain. Tapi itulah, bukan dia tahu pun yang aku ini Dhia. Jadi kenapa aku tak rasa terancam ye? Sebab aku perempuan kut? Rayyan tak naik tangan pada perempuan.

Mungkin.

Aku lihat lelaki itu bergerak selangkah ke kiri. Cahaya terus terpancar terus ke mukaku. Tak silau sebab cahaya itu hanyalah cahaya lampu yang digantung pada bingkai pintu yang pintunya sudah hilang entah ke mana. Sekadar untuk membolehkan dia melihat wajahku dengan lebih jelas. Hanya dia yang jadi semakin gelap kerana membelakangi cahaya.

"Perempuan?" Dia berdesis sendiri.

"Jangan main-main dekat sini. Pergi balik. Dah jam tiga pagi, tak patut seorang gadis keluar pada waktu macam ini," katanya.

Wah, dia ceramahkan musuh dalam kelambu?

Aku geleng. Nak bercakap tak boleh. Confirm kantoi teruk.

"Aku rasa gaya kau pernah aku nampak sebelum ini. Kau perempuan hari itu kan?"

Dia cam! Untung dia tak cam siapa 'perempuan' itu.

"Kau jaga tempat ini?"

Dahiku berkerut. Aku jaga? Dah kenapa pula nak kena jaga tempat yang mungkin dah bersarang tok nenek segala hantu ini? Aku dihantar untuk mengesan keberadaan kepala sindiket itu. Semalam ada mata yang sampaikan bahawa ada beberapa orang berkumpul di sini pada waktu lebih kurang seperti sekarang bersama seorang lelaki yang seperti ketua mereka.

Mata itu bukan mata biasa. Mata itu orang-orang kami juga.

"Apa yang kau buat ini tak ada untungnya. Jangan teruskan. Balik. Cukuplah. Kesian perempuan-perempuan yang jadi mangsa."

Dahiku berkerut. Maksudnya Rayyan tidak terlibat. Kalau tidak kenapa dia beria nak menyebelahi perempuan-perempuan itu? Perempuan-perempuan itu dimaksudkan dengan mangsa sindiket ini. Merekalah penyebab aku ada di sini.

Bila aku senyap, tiba-tiba Rayyan mengeluh sebelum dia berundur selangkah. Kaki mula dipasak pada tanah. Membuka dan mengatur posisinya sebelum sebelah tangan di angkat seakan sudah bersedia untuk bertarung dengan aku.

"Kita tamatkan secepat mungkin."

Tamatkan apa, gila?!

Tapi alang-alang sudah dicabar, aku terus keluar dari belakang dinding. Melangkah ke arahnya sebelum posisiku juga ikut dibuka sama. Tangan naik mengacu ke arahnya yang lebih tinggi.

Aku mulakan serangan terlebih dahulu. Kaki mengelecek kakinya sementara tangan menyasar topi yang tersarung atas kepalanya. Tapi laju saja dia berundur sebelum dahiku tiba-tiba dijentik.

Seriously?!

Jangan sampai aku all out ya, Rayyan Halzeri!

Aku berlari ke belakangnya. Kaki menendang ala kadar belakang kepala lututnya sampai dia hampir melutut sebelum lututnya dipijak. Nak terus hentam dagunya, tapi suamilah pula! Aku cukupkan saja dengan menjentik dahinya kembali. Sekuat hati! Kali ini sempat topinya aku tarik.

Rayyan berdiri di sana sebaik saja aku menambah jarak. Sebelah tangannya naik menyentuh dahi yang dijentik seakan sedang tak terkata dan tak percaya akan apa yang baru berlaku.

Bila dia mendekat, aku segera melibas topinya yang masih ada di tanganku. Bahagian besi pada topi itu dilibas sementara bahagian kerasnya aku pegang kemas. Libasan pertama ke muka, dielak. Libasan kedua di leher, kena! Libasan ke tiga di tangan, ditepis sampai topi itu terjatuh ke tanah.

Baru aku nak menyerang lagi, tiba-tiba kedengaran tapak kaki asing. Kami sedang berdiri statik, jadi pastinya itu bukan derap kasut kami. Aku dan Rayyan berpandangan. Walaupun aku tak nampak mata dia kerana kegelapan ini, tapi aku tahu yang dia juga sedar akan kewujudan orang ketiga.

Aku segera capai topi Rayyan semula sebelum kembali berundur ke belakang dinding. Rayyan kini berdiri sebaris denganku. Hanya aku terlindung di sebalik dinding, dan dia tidak. Aku lihat Rayyan sudah berpusing menghadap arah cahaya. Tidak lari atau menyorok.

Derapan itu semakin dekat sebelum aku dengar bunyi ketukan seakan sesuatu objek diketuk ke dinding. Besi.

Tiba-tiba Rayyan bertingkah seperti tadi. Dia ke tepi sedikit untuk membiarkan cahaya masuk. Aku terus pandang dinding. Ada bayangan. Tubuh seorang lelaki. Bayangan bahagian tangannya panjang sebelah. Maksudnya dia memang ada bawa senjata bersama. Atau mungkin juga kebetulan.

Ini cukup untuk buktikan bahawa Rayyan bukan orang yang aku cari. Huh, lega!

Aku pegun bila dapatku lihat bayang itu menjadi semakin besar tanda dia sedang merapati Rayyan, sekali gus aku. Semakin besar dan semakin besar, sebelum berhenti. Mataku membulat bila tiba-tiba senjatanya di angkat naik sebelum Rayyan terus membaling diri sendiri ke arahku bagi mengelak serangannya.

Tak berlama di situ, Rayyan terus keluar semula tanpa memberi lelaki itu peluang untuk mendekat. Perlawanan bisu yang tak dapat aku saksikan dengan mata sendiri berlangsung. Aku hanya dapat menyaksikan bayang samar-samar itu berubah bentuk sebelum hilang seketika dan datang semula.

Bunyi lagaan besi dengan batu kedengaran.

Mataku mengecil saat bayangan itu menunjukkan seolah salah seorang daripada mereka sudah jatuh terbaring di tanah sementara yang seolah lagi sedang mengacukan senjata untuk dihunus.

Shit! Rayyan!

Aku terus keluar dari persembunyian. Kehadiranku terus disedari kerana bunyi daun kering di tanah ini, tapi aku lantakkan saja. Topi yang menyorok di belakang badan terus aku baling sederas yang mungkin terus ke muka lelaki itu. Dia terteleng sebaik saja topi menampar mukanya. Aku segera menarik besi setebal lengan yang ada di tangannya, tapi tak berjaya.

Sekejap saja dia sudah berjaya mendapat rentaknya semula. Tangannya menolak besi itu ke bawah sehingga aku terbongkok menahan tekanannya. Lepas bahaya, pegang terus pun bahaya! Jadi kakiku terus naik menendang sisi kakinya sebelum dia mendengus kesakitan. Aku harap sangat kena tulang kering! Tapi pegangannya masih tak lepas-lepas!

Aku terus terundur bila tangan lain ikut sama pegang besi itu sebelum besi itu direntap kuat sehingga akhirnya berjaya dibaling sejauh yang mungkin. Rayyan!

Belum sempat nak buat apa lagi, tanganku ditarik hingga aku diposisikan di belakangnya. Dah kenapa pula aku duduk belakang dia? Tak takut ke kalau aku serang dia? Atau dia fikir sebab aku tolong dia tadi, maka aku ini boleh dijadikan kawan?

Tolong! Di luar rumah, kita bermusuh ye abang!

Rayyan menyerang lelaki itu. Kerana senjatanya sudah hilang, maka serangan lebih jitu. Dentuman demi dentuman, sebelum lelaki itu hampir jatuh terseret menahan impak yang diberi oleh Rayyan.

Hai, aku sudah tak ada kerja boleh dibuat. Patut ke aku main kira-kira batu atau kutip daun kering saja? Sudahlah aku tak pandai bekerja dalam kumpulan. Pula itu berkumpulan dengan dia.

Serangan demi serangan, aku hanya menjadi pemerhati di belakang menunggu peluang untuk menyelit sama. Perlu dapatkan kredit! Tapi melihatkan mereka berdua, aku yakin yang lelaki tidak dikenali itu sama kuat dengan Rayyan. Kemahirannya cukup hebat. Dia membaca serangan dengan jayanya.

Aku terus berpaling ke belakang bila terdengar bunyi sama dengan senjata tadi seakan diseret. Mata terus terbuntang bila lihat tiga orang lelaki entah mana sedang meluru ke arah kami bersama senjata yang sudah dicampak tadi.

Damn it, Rayyan! Kenapa tak buang dekat tempat lain?!

Aku terus rapatkan diri dengan Rayyan. Menyentuh belakang tubuhku dengan tubuhnya sebagai isyarat sebelum tubuh kami terpisah semula bila dia kembali bertempur dalam pertarungannya sendiri.

Aku segera mengambil posisi. Tangan digenggam.

Aku harap kau bertiga tak sekuat lelaki seorang itu!

Teknik alih perhatian gaya Dhia yang comel!

Aku terus menyepak tanah. Terus terbang segala batu dan daun kering, naik lalu mendarat pada serata tubuh mereka. Ada yang terus terpejam matanya, ada yang masih terus meluru ke arahku.

Uruskan yang paling dekat!

Tangannya yang cuba menumbuk, aku tepis lalu kilas ke tepi. Siku naik lalu aku sedikit melompat hingga sikunya menjadi mangsa siku aku. Keluar jeritan jantannya sebelum aku berpusing bak ballerina dan sikuku hinggap pula pada batang hidung lelaki kedua yang menghampiri. Tak cukup batang hidung, elok dia terdongak, terus kakiku naik menendang perutnya. Dia terundur dan terbongkok menahan senak.

Aku sedikit melompat. Sebelah kaki menendang tubuh lelaki yang terbongkok tadi, lalu sebelah lagi terus berdentum dengan celah kelangkang lelaki yang ketiga. Lelaki sama yang pejamkan mata selepas aku tendang batu. Dia terus berguling di tanah menahan sakit.

Besi tadi segera diambil lalu aku campak pula terus ke kawasan semak yang ada di sekitar sini. Siapa yang berani pergi ambil, aku harap ada ular tedung menunggu untuk mematuk!

Aku terjatuh ke tanah bila tubuhku ditendang dari belakang. Segera aku berguling bagi mengelak rejaman kaki lelaki pertama yang sudah mendekat. Lelaki kedua juga sudah semakin bengis mukanya. Kakiku membelit kaki lelaki pertama sebelum aku berpusing deras hingga lelaki itu ikut terbaring denganku. Penumbuk hinggap pada batang hidungnya sebelum aku berguling lagi bagi mengelak serangan lelaki kedua.

Aku rasa lelaki ketiga itu memang dah K.O. Boleh tahan tekanan yang aku berikan tadi. Aku nak minta maaf awal-awal dekat bini dia. Huhu.

Serangan bertubi dituju ke arahku, tapi aku mengelak. Dapat peluang yang sesuai, aku terus pangkah tangannya sebelum tanganku pula naik menumbuk solor plexus lelaki kedua itu. Hanya mencukupi untuk buat dia terduduk cuba mencari nafas. Sementara itu, aku terus berpaling pandang Rayyan.

Peluang tiba bila Rayyan seakan menyedari keberadaan aku di sisinya. Tubuh dilonjak, aku berpaut pada tubuh Rayyan sekali gus Rayyan menampung berat badanku. Tubuh dipusing dan kaki dilibas terus berdentum dengan muka kepala sindiket itu. Kepala sindiket itu tak perlukan masa yang lama untuk kembali merapati kami. Cuma kali ini...

"Bos!"

Aku terus pusing belakang. Lelaki ketiga yang masih terbongkok-bongkok itu memanggil tuannya. Kepala sindiket inilah. Aku segera berdiri di belakang Rayyan. Rapat ke tubuhnya jikalau mereka mahu serang kami serentak. Bersedia.

"Tak boleh, bos! Budak-budak dah tak sedarkan diri." Lelaki itu tunding kedua tangan ke arah kedua lelaki yang sudah terbaring.

Tiba-tiba matanya naik memandang aku pula. Bertentangan mata sebelum tangannya menuding tepat ke mukaku.

"Dan itu Black Mamba!" katanya.

Tak berlama, dia terus menyeret kedua rakannya. Aku ingin mengejar, tapi tak berjaya bila tiba-tiba sebelah tangan Rayyan menggenggam lenganku. Melarang aku untuk mengejar mereka.

Aku segera berpaling. Mencari kelibat kepala sindiket tadi, tapi sudah hilang. Lelaki yang menyeret kawannya pula sudah masuk ke dalam sebuah kereta, tapi kepala sindiket tak ada bersama. Mana dia pergi?

"Jadi kau Black Mamba?"

Aku segera merentap tangan sebelum menjauhi Rayyan. Matanya sedang begitu garang menanti jawapan.

Dan maaf, tapi tiada jawapan untuk itu sebaik saja bunyi deruman motosikal kedengaran. Aku segera berlari selaju yang mungkin keluar dari kawasan rumah terbengkalai ini sebelum panjat naik motosikal yang berhenti di situ. Hingga rumah itu hilang dari pandangan, aku nampak tubuh Rayyan menghadap motosikal ini seakan memerhati kami.

"Bawa laju sikit, Q. Kena sampai rumah cepat!"

Sebelum Rayyan sampai!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience