Bab 48

Romance Series 30734

"BANYAK betul ye tempahan bunga dekat sini? Ingatkan tak banyak pelanggan, sebab jarang nampak orang keluar masuk."

Aku tersenyum apabila mendengar komen mak cik di depan ini. Pelanggan yang rasanya baru kali pertama aku nampak datang ke sini. Tak tahulah kalau dia selalu pesan melalui dalam talian ke apa sebelum ini.

"Biasalah, orang zaman sekarang semuanya guna teknologi yang ada. Boleh order dan tunggu di rumah, buat apa nak keluar, bersiap dan berpanas semata-mata nak ambil sejambak bunga kan?" balasku.

Bunga segar yang sudah dibalut itu aku periksa sekali lagi sebelum aku meletakkannya di dalam raga. Raga itu mak cik ini yang bawa bersamanya. Dia membeli bunga mawar dan daisi. Katanya nak dijadikan hiasan dalam pasu.

"Yelah kan? Orang zaman sekarang ini malas betul nak keluar rumah. Tapi rajin pula yang seorang itu datang ke sini hampir setiap minggu ye?" Tiba-tiba mak cik itu menuding ke arah kereta yang terpakir di luar sana.

Lebih tepatnya, ke arah lelaki yang sedang duduk di bahagian hood kereta. Sebelah tangan menyeluk poket slack hitam, dan sebelah lagi memegang telefon. Sedang bercakap di dalam telefon.

"Oh, dia memang rajin ke sini." Rajin nak mengganggu ketenteraman aku. Asal aku ke kedai bunga saja, mesti dia turun sama.

Macam sekarang, dia menggunakan waktu rehatnya untuk terpacak menunggu aku di luar sana.

"Baguslah ada lelaki macam itu zaman sekarang ini. Tengok kereta dan cara pemakaiannya pun dah tahu orangnya mesti berjaya dan berdisiplin," puji mak cik itu.

Elok mak cik itu memuji, tiba-tiba Rayyan berjalan masuk ke dalam kedai. Dia sempat membalas senyuman mak cik ini yang begitu mesra dengan senyuman lebar di bibir. Rayyan mendekati aku.

"Lambat lagi? Umi dah bising," kata Rayyan.

Alah, umi ini. Tak sabar-sabar betul. Karang lingkup kedai bunga ini, aku juga yang dipersalahkan.

"Kejap lagi Dhia keluar." Selesai dengan mak cik ini, aku akan serahkan tugas kepada pekerja yang sudah pulang selepas mereka berehat selama sejam tadi.

Selalunya mereka rehat bergilir-gilir. Tapi sebab hari ini aku ada, jadi aku suruh mereka berehat serentak dan aku yang akan jaga dalam masa satu jam itu. Kiranya sudah satu jam lebihlah aku bekerja sendiri.

"Kalau macam itu, abang guna tandas sekejap."

Aku mengangguk, dan Rayyan terus masuk ke dalam bilik air.

Duit bertukar tangan dan aku terus keluar daripada kaunter. Baru nak masuk ke dalam bilik untuk mengambil beg tangan, tiba-tiba mak cik tadi mendekati aku semula.

"Itu abang kamu ke?"

Itu? Rayyan ke?

"Itu..." Sedang aku berkira-kira untuk jujur atau berselindung, mak cik itu terus nemotong terlebih dulu.

"Mak cik ada anak perempuan seorang. Umur 30 tahun. Belajar tinggi. Tinggi sangat sampai tak sempat nak bercinta dan cari suami. Jadi kalau abang kamu itu bujang lagi, bolehlah kamu cuba perkenalkan dengan anak mak cik. Orangnya cantik dan bertudung sopan. Kami keturunan baik-baik."

Terus terjongket kedua belah keningku bila mendengar kata-katanya. Adakah dia baru saja mempromosikan anak daranya? Untuk suami aku? Di depan bininya sendiri?!

"Mak cik memang dah banyak kali nampak dia itu datang ke sini. Nampak elok benar orangnya. Hari itu dia belanja semua orang di kedai Melayu depan sana makan. Kedai itu, kedai adik bongsu mak cik. Berkenan betul dengan budi pekertinya. Bertuah kalau dapat dibuat menantu."

Huh! Menantu?!

Dia memang menantu dah! Menantu kepada umi saya!

"Kamu cubalah tanya-tanya pada abang kamu itu. Mak cik kesian dekat anak mak cik. Ramai lelaki yang nak dekat dia itu, semua tak sekufu dengan dia. Kita ini nak kahwin kena cari yang sekufu. Abang kamu itu nampak gaya memang sekufu untuk jadi suami dia."

Suami dia?! Itu suami sayalah!

Entah kenapa telinga ini terasa panas terbakar-bakar mendengarnya. Di sebalik bibir yang memagari, aku sudah mula mengetap gigi.

"Kalau jadi, mak cik mesti rajin datang beli bunga di sini. Kamu pun dapatlah kawan baru. Kami duduk dekat-dekat sini je. Anak mak cik tu duduk dengan mak cik. Senang dia nak datang temankan kamu di sini."

Temankan?! Saya tak perlukan teman, mak cik! Apatah lagi, kawan baru atau pelanggan baru!

"Mak cik dah habis bercakap?" soalku bersama senyuman geram yang ditahan-tahan.

Berubah sesaat wajah mak cik itu bila mendengar soalan yang kurang sopan dari aku.

"Mak cik ada buat salah ke? Atau kamu tak nak kenalkan abang kamu dengan anak mak cik?" soalnya.

Makin melebar senyuman aku. Semakin lebar, maka bertambah tinggi skala geram aku sekarang.

"Tak, mak cik tak ada buat salah. Saya pun bukan tak nak kenalkan abang saya dengan anak mak cik atau mana-mana perempuan. Tapi saya ini tak ada abang. Saya anak tunggal, mak cik." Faham tak?!

"Eh, habis itu yang tadi itu..."

"Saya suami dia."

Bagai baru disumpah menjadi batu, aku terus keras bagai tak bernyawa di sini bila tiba-tiba suara Rayyan kedengaran dari belakangku. Menjawab pertanyaan mak cik itu, sekali gus mengisyaratkan bahawa dia mendengar perbualan kami.

TIDAK!!!

PINTU bilik terus ditutup rapat, lalu aku kunci. Kalau boleh, aku mahu menyeret segala jenis almari untuk menyendal pintu ini. Biar Rayyan atau sesiapa saja tak boleh buka pintu dan masuk ke dalam.

Huarggghhhh, malunya aku! Disebabkan mak cik itu, aku yang jadi mangsa usikan Rayyan! Dari dalam kereta sampai ke meja makan, dia asyik mengusik aku! Walaupun usikan itu tidak difahami oleh orang lain, tapi aku faham!

Salah satunya, laku lagi abang ini rupanya.

Ish! Geram. Nasib baik dia ada di luar sana. Aku akan berkurung dalam bilik ini sampai lusa!

Aku hampir jatuh terduduk bila tiba-tiba pintu bilik air terbuka dan Rayyan muncul sambil sebelah tangannya menyingsing lengan baju yang sebelah lagi.

What the...

Dia bukan dekat ruang tamu ke tadi?!

"Abang buat apa dalam bilik ini?"

"Abang guna tandas. Kenapa?"

"Kenapa tak guna tandas lain? Tandas bawah? Bilik sebelah? Bilik Raees?" Kan ada banyak tandas dalam rumah ini?

"Salah ke abang nak guna tandas dalam bilik beradu suami dan isteri dalam rumah ini?" Rayyan menjongket sebelah kening.

Satu lagi usikan bertapis-tapisnya.

"Tapi abang dah janji untuk tak masuk dalam bilik ini, kecuali Dhia yang bagi. Dhia nak mandi, keluarlah. Lagipun abang kena masuk kerja. Abang dah ponteng sejam."

"Mandi jelah. Bukannya abang duduk dalam bilik air. Abang dekat sini. Satu lagi, abang dah malas nak ke pejabat semula."

Ha?! Malas nak ke pejabat? Adakah ini taktik dia untuk mengusik aku tanpa henti? Sebab dia dan perkataan malas begitu tak masuk.

"Abang..."

"Abang rasa, malam ini abang boleh tidur dalam bilik ini."

"Tak boleh! Dhia tak benarkan. Abang dah janji untuk ikut permintaan Dhia. Kalau abang nak langgar semua janji tu, Dhia akan bawa umi balik rumah kami."

Rayyan tersenyum seraya mendekati aku. Berdiri saja di depanku, terus senyuman itu berganti riak seriusnya.

"Abang tak izinkan."

"Apa?"

"Ini masanya untuk kita hidup macam suami isteri biasa. Dhia dah jatuh cinta pada abang semula. I earned it. Tiada lagi isu penceraian perlu dibangkitkan."

"Sorry?" Aku menyoal, tak percaya. Aku jatuh cinta semula? Pada dia?

Bila masa?

"Dhia jatuh cinta, tapi Dhia tak sedar. Atau mungkin Dhia sengaja tak nak sedar supaya abang terus terseksa menunggu Dhia. Jadi abang dah berjaya. Dhia tak boleh lagi cuba lepaskan diri daripada abang."

"Abang ini mimpi ke? Dhia tak pernah cakap yang Dhia dah..."

Kejap...

"Ini sebab hal di kedai bunga itu ke? Abang fikir Dhia dah jatuh cinta semula sebab itu?"

"Bukan itu ke? Dhia cemburu. Jelas. Semua orang yang melihat dan mendengar pun boleh faham sendiri. Mata dan suara Dhia penuh dengan perasaan cemburu. Dan cemburu datang bila ada sayang dan rasa memiliki. Dhia dah cintakan abang semula."

Oh? Jadi cemburu datang sebab ada sayang ye?

"Jadi adakah masa abang sentuh Dhia dulu, sebab abang dah sayangkan Dhia? Abang cemburu bila Dhia agungkan Abang Diy kan? Jadi abang dah sayang Dhia waktu itu? Yelah, abang yang kata. Cemburu datang bila ada sayang dan rasa memiliki. Memiliki, okay, tak ada bantahan. Tapi sayang?" Aku memerangkapnya.

Pastinya dia akan terhantuk sebab dia tak sayangkan aku pun waktu itu! Jadi ayat cemburu datang bila ada sayang itu tak akan boleh digunakan lagi.

"Memang. Abang memang dah sayangkan Dhia waktu itu. Tapi abang tak sedar, sama macam Dhia sekarang. Sebab itu juga abang tak pernah sentuh perempuan itu lagi. Sebab abang sayangkan Dhia. Abang tak mahu Dhia tanggung apa-apa risiko atau penyakit disebabkan orang lain. Jadi betul, cemburu datang bila ada sayang dan memiliki. Abang sayangkan Dhia dan Dhia milik abang, isteri abang."

Tapi sangkaan aku salah. Bukan seperti apa yang aku fikirkan. Jawapan Rayyan berbeza.

"Abang tahu Dhia segan dengan abang."

Huh! Kalau dah tahu, keluarlah cepat!

"Tapi abang tak boleh bagi Dhia masa untuk bersendirian dan layan segan itu.  Abang terlalu gembira, dan abang nak guna masa gembira ini berduaan dengan punca kebahagiaan abang." Rayyan mencapai tanganku.

Bila tiada penolakan, aku terus ditarik ke arah katil. Bahuku ditekan sedikit sehingga aku terduduk di hujung katil, sebelum Rayyan tersenyum nipis.

"Abang seperti baru bertemu dengan Dhia yang berusia belasan tahun. Cemburu bila abang dekat dengan perempuan lain. Reaksi yang sama, tak berubah sedikit pun."

Ha! Patutlah dia yakin sangat yang aku cemburu. Dia ingat lagi rupanya macam mana aku bila cemburu dulu.

"Ini bermasam muka dengan abang, kenapa? Jangan sampai abang terima lamaran mak cik itu untuk anak dia."

Terus naik turun mataku memandang dia di sebelah. Kecil besar, kecil besar je aku tengok mamat ini. Dia mengugut aku dengan itu?

Agaknya terhibur dengan reaksi aku, Rayyan terus tergelak.

"Garangnya. Betul-betul bini Halzeri." Hidungku terus dicuit.

Tagline kawan baik dia itu!

"Cukuplah sekali, Dhia. Sekali itu pun abang hampir hilang nyawa dan seluruh diri abang. Tak sanggup lagi dah abang nak berpoligami. Jaga satu hati, yang satu lagi makan hati pun, sampai susut badan abang. Apatah lagi nak kena jaga dua hati. Cukuplah abang jaga hati Dhia yang dulu selalu abang cari bila hati abang tak dijaga. Cukup satu, dunia akhirat."

"Yelah itu! Habis itu, yang bukan main bersinar biji mata bila mak cik itu nak kenalkan dengan anak dia itu, dah kenapa?" bidasku.

"Ya Allah, abang bersinar biji mata sebab awak, sayang. Bukan sebab mak cik itu atau anak dia. Kan abang dah kata? Abang seperti nampak Dhia yang dulu. Abang gembira sebab abang tahu yang Dhia cemburu."

Huh! Yada, yada, yada! Lelaki tak boleh dipercayai!

"Jangan nak bermasam muka lagi. You are the prettiest when you smile, peaches."

Dia memujuk pula dah!

"Jom keluar berjalan-jalan sementara waktu sekolah Raees belum habis ini. Nanti boleh terus ambil Raees."

Eh?

"Nak keluar buat apa? Dhia kenyang sangatlah, tak boleh jalan dah."

"Tak larat jalan, abang angkat. Yang penting, kita keluar. Bukan selalu ada peluang untuk berdua macam ini. Kadang-kadang kita perlu berdua, bersiar dan bercerita supaya Dhia dapat nikmati zaman muda bersama abang. Abang ini ye, dah tak berapa muda lagi. Tapi awak itu masih."

"Zaman muda itu, abang maksudkan dengan zaman bercinta ke?"

Rayyan mengangguk. "Dhia tak pernah rasa bercinta dengan abang kan? Inilah masanya. Lagi 10 tahun, mungkin abang dah kena minum Anlene. Jangan bila abang dah tak larat nanti, Dhia komplin yang Dhia tak pernah rasa bercinta dengan abang pula."

Tergelak aku dibuatnya. Minum Anlene? Hahaha! Aku tak sangka yang aku akan dengar Rayyan bercakap macam ini. Dia sedang mengakui yang dirinya sudah semakin tua.

"Umi dan arwah papa boleh je bercinta sampai tua. Hari-hari keluar dating. Kenapa kita tak boleh?"

Rayyan menjongket kening. Riaknya bertukar nakal nak mengusik.

"Dhia nak bercinta dengan abang sampai kita tua ke?" Nakal!

"Bukan abang memang dah tua ke? Abang dah mula sakit pinggang kan? Tak lama lagi, mungkin abang dah tak larat nak berdiri lama atau angkat Dhia. Patut ke Dhia cari yang muda memandangkan Dhia belum pernah bercinta?" Huh! Dia fikir, dia seorang saja pandai mengusik?

Dengar saja usikan aku, terus bengis wajahnya terlihat sedikit. Hanya kerana dia tahu yang aku sedang mengusik dan sama sekali tak memaksudkan itu, terus aku menjadi mangsa hembusan bibirnya. Maka bagai puntianaklah aku menjerit di situ sampai umi melaung dari bawah sana untuk aku turunkan pitching sedikit.

Hahaha!

Kami automatik terhenti bila telefonku berdering. Aku segera menolak Rayyan yang ikut memandang ke arah beg tanganku.

Beg tangan diseluk, lalu nama pemanggilnya dibaca. Jebat.

Baru nak menjawab panggilan, tiba-tiba telefonku dirampas. Tidaklah kasar, hanya bertukar tangan tanpa aku sedar.

Rayyan terus menjawab panggilan itu tanpa sempat aku larang.

Beberapa ketika dia bercakap dengan Jebat, aku hanya jadi pemerhati yang sabar menunggu untuk mereka sudahi perbualan itu. Nampak serius benar sebab Rayyan tak habis berkerut.

Sampai di satu tahap, tiba-tiba wajah Rayyan bertukar terkejut sekali gus ada ketakutan pada riaknya. Rayyan memandang aku.

Pada masa yang sama, telefon Rayyan yang ada di atas katil berdering juga. Aku terus mencapai telefon itu. Cikgu Raees. Walaupun Rayyan tak simpan nombor ini, tapi aku ingat memandangkan aku ada nombor telefon cikgu ini juga.

"Hello, teacher?"

"Puan Dhia! Raees, perempuan itu datang ambil dia. Bila kami tak bagi, dia tampar kami dan tarik Raees. Raees kena culik!"

Ha?!

Aku memandang Rayyan seraya panggilan ditamatkan

"Kami datang sekarang," kata Rayyan sebelum turut menamatkan panggilan.

Rayyan menerpa ke arahku. Ada berang pada wajahnya.

"Abang, Raees..."

"Perempuan gila tu nak Dhia yang datang dan berunding dengan dia. Kalau bukan Dhia, dia akan campak Raees daripada tingkat 17 apartment yang dia duduk."

Astaghfirullah haladzim!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience