Bab 54

Romance Series 30734

PINTU dibuka oleh pengawal dan aku terus berjalan ala-ala Bella Hadid masuk ke lobi ofis walaupun sebenarnya tak ada siapa tengok. Ah! Ini untuk menambah keyakinan diri. Aku sudah berhias cantik-cantik dengan blouse dan slack putih. Bertudung hitam dan berkasut tumit tinggi 7 inci.  

Aku berlari anak ke arah lif bila lif itu hampir tertutup. Untunglah ada yang menahannya. Seorang lelaki yang berdiri di sisi 2 orang perempuan lainnya. Hm, yang mengumpat aku dulu.

Dejavu sangat. Kuat jodoh kami berempat ini.

Aku mengambil tempat di belakang, lalu tunduk memandang skrin telefon bila skrin bercahaya. Mesej dari umi yang mengatakan Raees sudah menangis bila sedar aku sudah ghaib.

Budak itu pula tengah demam. Sekolah tak pergi, lagi pula nak ikut aku ke sini.

Sabarlah kejap, Raees ya?

"Kau dengar tak khabar berita yang bekas isteri bos masuk penjara atas cubaan membunuh dan mencederakan itu?" Suara si lelaki berbunyi.

Wah, gawat ini. Lelaki lebih kepoh berbanding perempuan.

"Adalah. Tak sangka eh dia macam itu? Agaknya dia meroyan sebab suami dia kena sondol tak?" Kata perempuan A.

Cis, tak habis-habis lagi rupanya.

"Tapi ada orang kata, dia itu dari dulu memang tak setia pada bos. Ada staff dekat bahagian HR nampak dia check in resort dengan lelaki di Bali dari sebelum kahwin lagi. Kebetulan staff  HR itu pun ada dekat situ. Dia dengan suami dia sendiri nampak perempuan itu keluar masuk satu bilik dengan lelaki lain itu. Patut sangatlah pun bos cari yang lain kalau dah macam itu perangainya."

"Ya ke? Habis itu kenapa bos tak ceraikan je perempuan itu?" soal si perempuan B pula.

"Lah, kan belum kahwin? Mungkin bos tak tahulah kut. Kalau kau nak tahu, perempuan itu dulu punyalah berlagak baik depan semua staff. Itu yang staff semua backup dia bila Dhia sondol bos. Sekali elok je Dhia sambung belajar, terus keluar dia punya tanduk. Habis satu ofis dimaki," kata si lelaki.

Lah, begitu ceritanya.

Pintu lif terbuka dan mereka bertiga terus melangkah keluar. Elok pintu bergerak rapat semula, salah seorang daripada mereka menoleh ke dalam lif. Hampir terbeliak matanya melihat aku di belakang ini.

Segera si lelaki menahan pintu lif daripada tertutup semula.

Mereka bertiga menundukkan badan sedikit.

"Maaf, Cik Puan. Kami tak berniat nak bergosip atau mengutuk, Cik Puan." Si A memohon maaf.

"Bergosip pun pakai niat ke? Dah buat itu, kira adalah," balasku.

"Maafkan kami, Cik Puan. Kami hanya bercerita pasal bekas isteri bos. Kami tak ada niat untuk buruk-burukkan Cik Puan Dhia dan bos." Si B pula menunduk berkali-kali.

Wah, bukan main kecut lagi dia orang bertiga ini. Dah kenapa tiba-tiba bukan main takut dengan aku?

"Yang awak tahan pintu itu kenapa? Bilik suami saya dekat atas." Malas mahu bersamarinda di sini, aku terus mengarahkan mereka untuk sambung kerja dan berhenti menahan pintu.

Elok saja sampai di aras bilik Rayyan, aku segera melangkah keluar. Dari luar bilik aku sudah boleh melihat Rayyan yang sedang duduk si sofa bersama seorang lelaki.

Aku mengetuk pintu terlebih dahulu. Bila mendapat sahutan, barulah pintu ditolak.

"Sampai pun dia," kata Rayyan. Menyambut aku bersama senyuman di bibir.

Aku merapati Rayyan yang masih duduk di atas sofa. Lelaki yang ada bersamanya itu aku sapa hanya dengan senyuman.

"Kenalkan, ini Encik Mahmud. Peguam yang akan uruskan hal hibah arwah ibu dan abang kepada Dhia."

Oh, peguam.

Eh?!

"Hibah?" Aku memandang Rayyan dengan kening sedikit terjongket. Hibah apa?

"Izinkan saya terangkan sedikit ye, Puan Dhia?" Tapi peguam itu yang bersuara.

"Hibah ini dalam Islam bermaksud hadiah. Pemberian harta kepada orang-orang yang kita sayang. Hibah ini ada disebut dalam hadis Rasulullah SAW. Berbeza dengan faraid yang semua anggota Faraid akan menerima persen tertentu, hibah ini pula terletak atas si empunya harta untuk memilih penerimanya. Jika wasiat ada kadarnya, hibah pula terpulang kepada pemberi. Dalam kes ini, Tuan Rayyan mewakili arwah ibu dan dirinya, mahu menghibahkan sebahagian harta kepada Puan Dhia."

Aku memandang Rayyan semula. Masih tak mengerti apa yang sedang berlaku. Aku tahulah apa itu hibah, faraid dan wasiat. Tapi kenapa pula arwah ibu atau dia hendak menghibahkan harta kepada aku?

"Kita dengar apa yang peguam terangkan. Selebihnya, abang akan cerita kemudian," kata Rayyan.

Jadi aku menurut saja. Terus kami fokus mendengar segala penerangan peguam itu. Menurutnya, kerana harta itu melebihi 2 juta ringgit, maka permohonan probate dan pentadbiran akan dilaksanakan dan permohonan itu perlu dibuat di Mahkamah Tinggi.

Sebaik saja peguam itu keluar setelah segala penerangan selesai dilakukan, aku terus memandang Rayyan semula.

"Kenapa kena hibah untuk Dhia, abang?" soalku.

Rayyan tersenyum. "Itu syarat arwah ibu kalau abang nak kemaafan dia. Iaitu, berusaha supaya Dhia boleh maafkan abang dan jika Dhia maafkan abang, hibahkan 20% harta kepada Dhia. Harta itu arwah ibu dan ayah yang punya, abang hanya pegang."

"Jadi kenapa peguam itu kata abang nak hibah 40%?" Takkan aku salah dengar kut?

"20% lagi daripada abang untuk Dhia."

Ya Allah, banyak betul!

"Abang ini biar betul? Tengah hangat bercinta ini bolehlah macam itu. 100% pun sanggup bagi. Kalau nanti..."

"Ini hadiah. Hadiah arwah ibu dan arwah ayah sebab Dhia sanggup berkorban untuk selamatkan abang dan hati abang. Hadiah dari abang, sebab Dhia sudi kembali pada abang dan jadi mommy Raees yang sempurna. Jadi jangan tolak hadiah kami. Dhia layak dan Dhia berhak," potong Rayyan

Aduh, mata masuk habuk!

"Jangan nak menangis pula. Kalau Raees tahu, habislah budak itu emosi sekali," usik Rayyan. Hidungku dicuit manja sebelum aku dibawa ke dalam pelukannya.

Aku tergelak dengan usikan itu. Raees itu memang, aku menangis sebab potong bawang pun dia join menangis sama.

"Lepas ini, abang nak bawa Dhia jumpa dengan seseorang yang sangat merindui Dhia," bisiknya.

Aku terus menjarakkan diri daripada Rayyan.

"Siapa?" Abang Diy ke? Hari ini sudah hari ke 68.

Rayyan tersenyum saja tanpa membalas soalan itu. Sebaliknya, dia terus bangun dan menarik aku keluar daripada bilik. Duduk di dalam lif, turun ke tingkat 14 dan kami disapa dengan pekerja yang sibuk menyelesaikan tugasan masing-masing.

Berdiri di bahagian paling banyak meja dan pekerjanya, Rayyan tiba-tiba menarik aku selangkah lebih depan berbanding dia.

"Perkenalkan, Dhia Elaine. Isteri saya yang sah. Kami dah berkahwin lebih lima tahun. Lagi beberapa bulan, insyaAllah masuk tahun yang keenam."

Semua orang senyap. Aku rasa itu sudah tak perlu diperkenalkan lagi. Semua orang dah tahu siapa aku sejak aku budak hingusan yang ke sini untuk menggedik dengan Rayyan, sampailah aku bergelar penyondol.

"Saya tahu segala khabar angin dan umpatan yang berlegar di seluruh ofis ini sejak lebih lima tahun lepas. Cuma dulu, saya biarkan sebab saya fikir dia memang layak untuk terima semua itu."

Mereka mula kehairanan mendengar pembuka bicara Rayyan. Samalah dengan aku pun. Apa yang dia nak sampaikan ini?

"Bila Dhia sambung belajar, saya yakin ramai yang nampak perubahan saya. Dua pekerja selamat dipecat kerana hal ini. Ramadan sendiri ada tegur, saya panas baran dan sangat dingin pada ketika itu." Rayyan mendepa tangan ke arah seorang lelaki yang sedang tersenyum memandang kami.

"Sejujurnya, saya jadi macam itu disebabkan sepasang telinga ini menangkap cukup banyak cacian yang dilemparkan terhadap isteri saya. Dhia dah menyerah kalah. Penyondol dapat kifarah. Banyak lagi yang saya tak sanggup untuk ulang di sini. Pada waktu itu, saya tak tahu apa sebab saya marah padahal bagi saya memang itulah yang betul."

Dahiku berkerut.

Ini macam nak cari gaduh je. Dia bersetuju dengan cacian mereka?!

"Sehinggalah bila Allah tunjuk kenapa sebahagian diri saya dalam tak sedar marahkan cacian itu dan seakan membela Dhia, bila saya menangkap sekali gus dapat bukti paling kukuh untuk sesuatu kejadian yang sebenarnya memang sudah berulang kali dibuat oleh orang tersebut. Hanya saya yang masih cuba untuk percaya hingga Allah tunjukkan buat sepasang mata saya yang buta selama ini."

Kecurangan Kak Qila.

"Di sini, hari ini saya nak buka mulut yamg dah lama terkunci. Tak, isteri saya bukan penyondol. Dia berkorban segalanya untuk menyelamatkan saya daripada perkahwinan yang tak akan ke mana kerana tamaknya seorang manusia terhadap wang dan lelaki. Tak, saya bukan pedophile. Dengan nama Allah, saya tak pernah terfikir untuk berkahwin dengannya sama sekali, atau punya perasaan dan nafsu saat melihat dia, sehinggalah pada bulan entah keberapa selepas kami berkahwin.

Pada waktu itu, usia Dhia sudah 20 tahun dan saya juga masih dalam lingkungan 20 an. Tak, Dhia bukan jalang hanya kerana dia tergedik-gedik pada saya dan rapat dengan Ardiy. Sebaliknya, dia gadis yang suci dan sayalah saksinya. Dan tidak, Dhia tidak berkahwin dengan saya kerana harta. Sebaliknya, dia menerima permintaan arwah ibu supaya saya terikat antara dia dan isteri pertama saya pada ketika itu. Sebabnya, saya jadi anak derhaka demi membela seorang perempuan yang akhirnya mengkhianati saya dan anaknya sendiri. Jadi hanya itu yang ibu mampu buat untuk saya kekal dengannya."

Aku dapat mengesan beberapa wajah yang terlihat bersimpati dan mula rasa bersalah. Namun ada juga yang biasa saja. Tenang seperti tak ada apa yang berlaku.

"Betul. Khabar angin terbaru ini memang betul. Orang tersebut mengugut saya dan isteri saya untuk menolak Raees daripada bangunan kediaman bertingkatnya. Tapi kerana ada jiran yang mula merakam, dia masuk pula ke bilik selepas anak saya dibantai cukup-cukup dan disogok dengan ubat batuk yang dikesan melebihi dos hingga anak saya sawan.

Orang tersebut hanya mahu berunding dengan Dhia, tapi bukan rundingan yang berlaku bila akhirnya isteri saya dicederakan dengan pisau dapur." Rayyan menarik tanganku yang tercedera tempoh hari. Lengan tanganku diselak sedikit sebelum mereka masing-masing terkejut melihat kesannya.

"Ini bakal menjadi parut kekal yang mungkin tak akan hilang. Dan ini membuktikan pada mata dan telinga yang masih tak percaya, bahawa isteri saya adalah semulia-mulia isteri dan ibu buat saya dan Raees. Dia boleh melawan. Orang tersebut akan hancur di tangannya jika dia memilih untuk membalas. Tapi kerana sifat keibuan yang hanya ingin anaknya selamat, dia tak mempedulikan kesakitan dan darah yang membasahi tangan dan pakaian. Malahan dia tak membalas sama sekali sehinggalah Raees selamat dibawa ke hospital."

Hanya di situ, sebab selepas itu memang teruk Kak Qila kena dengan aku. Perempuan itu sampai tak mampu bercakap pada akhirnya.

"Saya rasa korang akan bosan bila dengar saya membebel di depan, jadi saya akan terus lurus dengan tujuan saya turun ke sini. Tujuh orang..." Rayyan mengeluarkan telefonnya.

Satu rakaman CCTV terpapar. Video itu sudah dipotong pendek dan ada banyak video terpisah. Pokoknya, antara tujuh orang itu ada tiga orang yang sudah ditangkap berkali-kali mengumpat tentang masalah kami. Ye, di lif tadi.

"Kalau rasa yang ada dalam video ini adalah kau, sila bangun," kata Rayyan.

Aku memandang ke arah mereka di depan. Tujuh orang tersebut terus berdiri dalam takut-takut.

"Ini adalah tujuh orang manusia yang saya berjaya tangkap mengumpat dan mengutuk isteri saya walau dah diberi amaran untuk tidak teruskan perbuatan itu."

Oh, ramai juga yang aku tak tahu pun mengumpat sama!

"Saya tahu yang tak elok buka aib orang. Tapi perbuatan mereka adalah sebuah percubaan membuka aib, lalu ditambah dengan fitnah secukup rasa. Jadi peraturan untuk tak membuka aib itu sudah tak kena lagi. Dengan itu, saya akan ambil tindakan undang-undang dengan bukti dari video ini. Ketujuh-tujuh mereka juga akan dipecat."

Mereka sudah seperti mahu menangis! Yang lain-lain pula sudah kecut muka mereka.

Aku tak rasa hanya tujuh manusia ini saja yang terlibat. Rasanya lebih ramai, tapi hanya tak tertangkap. Tengoklah berapa ramai yang sudah mula tak senang duduk.

"Tapi kerana saya tahu yang isteri saya tak akan senang kalau saya jadi sejahat itu, maka saya akan beri satu peluang. Tulis surat permohonan maaf sebanyak lebih 15 muka surat dengan lebih 10,000 patah perkataan khusus untuk isteri saya dalam tempoh 24 jam. Surat itu perlu dihantar terus ke meja saya selewatnya pada esok hari sebelum jam berdetik 5:21 minit petang. Kalau tak mahu, sila layangkan notis berhenti kerja atau tunggu saya yang layangkan surat pemecatan itu ke meja masing-masing, dan bertemu kita di mahkamah."

Aku sudah ternganga mendengar segala syarat dan akibatnya. 15 muka surat dengan lebih 10,000 patah perkataan?! Mak aii, dia nak buat cerpen Melayu ke apa?

"Oh, kirim salam pada ChatGPT atau apa-apa AI. Saya akan pastikan yang penulisan itu adalah penulisan anda sendiri. Tulis dengan pen, bukan menaip. Jika tertangkap yang ayat itu adalah ayat AI, tulis sekali lagi di depan mata saya."

Dum!

Habislah mereka.

Aku mahu membela, tapi rasa macam okay juga denda itu. Kira baguslah daripada kena pecat dan naik turun mahkamah. Sudahlah gaji mereka mahal. Mana boleh senang-senang nak lepaskan, padahal punya ramai beratur menunggu syarikat ini punya kekosongan untuk diisi.

Jadi, siapa pula yang merindui aku itu?

...

Cinderlisa (Calon Isteri Upahan) dah keluar dari status pre-order! Pengeposan sudah berjalan sejak semalam. Untuk yang dah dapatkan, bersedia untuk claim early access untuk 100 Hari Untuk Kita (Story seterusnya). Untuk yang belum dapatkan, tunggu apa lagi? Hehe! Cepat-cepat ke Shopee Karangkraf!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience