Bab 28

Romance Series 31043

"DHIA dah jumpa ke pekerja barunya?"

Soalan umi aku jawab dengan satu gelengan. Aku ini cari pekerja pun belum lagi. Mana pulalah nak datang pekerjanya. Bukan apa, tapi lepas bermalam di kedai hari itu, Rayyan terus suruh aku cari seorang lagi pekerja untuk membantu Ani. Dia nak aku tinggal di rumah dan hanya datang bila perlu.

Rayyan siap kata yang kalau kedai tak mampu tanggung seorang lagi pekerja, dia yang akan bayar gaji pekerja itu asalkan aku tak perlu ada sehari suntuk di sana untuk menjaga kedai.

"Kenapa tak jumpa? Dhia belum cari atau memang tak ada orang yang nak kerja?" Umi menyoal lagi. Umi labuhkan duduk di hujung katil sambil pandang aku yang sedang duduk depan meja solek.

"Dhia belum cari lagi. Lagipun umi, Dhia kan boleh kerja dekat situ. Kenapa pula nak cari pekerja lagi?"

"Dhia... Kan Rayyan yang suruh? Apa Rayyan suruh itu adalah satu arahan. Selagi arahan itu tak bawa kemudaratan atau langgar hukum Allah, Dhia wajib taat. Rayyan nak Dhia duduk di rumah, dia tak nak Dhia habiskan masa di kedai dan berpenat di sana. Dhia kena faham Rayyan."

"Tapi Dhia tak nak duduk rumahlah, umi. Bukan ada apa dekat rumah ini. Bosan tahu?" Semalam aku cuti. Sabtu ahad kan? Kedai bunga pun tutup. Aku duduk di rumah ini. Memanglah ada Raees, Rayyan, nenek Raees dan umi, tapi aku tetap kebosanan.

Kalau di rumah umi, aku boleh keluar dan pergi ke tempat latihan kami. Itulah satu-satunya yang boleh hilangkan kebosanan aku. Di sini? Mana boleh. Nanti Rayyan soal macam mana? Lagipun aku tak boleh ke sana. Q melarang.

"Kan ada Raees? Kalau bosan, pergi main dengan Raess. Budak itu hari-hari tunggu Dhia untuk main dengan dia. Kalau bosan lagi, pergi ajak Rayyan keluar berjalan. Rayyan itu ada je dekat ruang tamu sana. Dia itu kalau kamu ajak pergi London hari ini pun dah tentu dia bawa."

Ish, mulalah umi nak berhiperbola. Tak ada maknanya Rayyan itu nak tunaikan permintaan aku sampai macam itu sekali. Dan aku pun tak adanya nak buat permintaan sampai macam itu dekat Rayyan. Aku pun tahu malu juga.

"Ini Dhia bersiap nak ke mana?"

"Entah. Rayyan yang suruh bersiap."

"Oh, baguslah itu. Mesti dia nak Dhia keluar. Eloklah luang masa dengan suami dan anak. Dia pun rindu dengan Dhia."

Aku cebik bibir. Nasib baik aku membelakangi umi, jadi umi tak nampak. Kalau umi nampak, memang sah terus melekat muka aku dekat dinding.

"Mommy!"

Aku dan umi berpandangan bila dengar suara Raees melaung entah dari mana. Yang pasti masih jauh.

"Dalam bilik!" Aku melaung semula. Kutlah Raees tak tahu aku ada di mana.

Tak lama kemudian, pintu bilik yang sudah sedia terbuka itu ditolak lebih lebar. Raees tersengih comel di muka pintu sebelum meluru ke arahku. Sempat dia berhi dengan tok uminya.

"Mommy, jomlah jalan-jalan. Daddy kata nak jalan-jalan," katanya. Tangannya menepuk-nepuk pahaku. Teruja sangat nak keluar.

"Kakak tengah bersiap. Kata dengan daddy, sekejap lagi kakak turun. Nak buat rambut."

Dan Raees terus berlalu keluar semula. Cari daddy dialah itu. Nak laporkan apa yang aku cakap agaknya.

"Kenapa Dhia masih bahasakan diri kakak dengan Raees? Kan dia panggil Dhia mommy?" Umi tiba-tiba menyoal sebaik saja Raees pergi.

Hm, tak pelik dengan soalan ini. Aku sudah boleh nampak yang soalan ini akan keluar juga daripada mulut umi suatu hari nanti. Yelah, si kecil itu pun tanya tentang itu, apatah lagi umi.

"Dhia tak biasa. Lagipun dia bukan anak Dhia."

"Apa pula bukan? Raees kan anak Rayyan? Dhia isteri Rayyan, jadi Raees itu sama je macam anak Dhia sendiri. Lagipun kesian dekat Raees itu. Dia sayang sangat pada Dhia. Apa salahnya layankan saja? Dhia pun ada anak sendiri walaupun gugur. Dhia juga seorang ibu."

Aku diam. Bila sentuh tentang anak yang gugur itu, aku jadi emosi tak tentu pasal. Selama ini aku memang sehabis baik jauhkan diri daripada menyebut atau mengingat semula tentang anak itu. Sebab setiap kali aku ingat, aku akan sedih dan rasa marah yang teramat.

"Mommy! Daddy kata tak payah buat rambut." Nasib baiklah Raees datang semula sekali gus menyelamatkan aku daripada emosi sendiri.

Lega!

Tapi dah kenapa pula tak payah buat rambut? Aku nak buat rambut pun dah kena kawal sekali ke?

Tak sempat nak balas, tiba-tiba Rayyan muncul di belakang Raees. Mengintai ke dalam bilik sebelum bertukar senyuman dengan umi. Pandang pula aku, terus dia kerutkan dahi sekejap. Agaknya dia tak puas hati sebab aku masih sibuk dengan rambut tak?

"Rayyan nak bawa Dhia dengan Raees ke mana ini?" soal umi.

"Rayyan nak bawa Dhia dan Raees keluar berjalan sekejap. Dah berminggu di Malaysia, tapi Dhia asyik terperap dalam rumah dan di kedai. Cuti-cuti ini ada eloknya bawa dia keluar ambil angin."

Aku terus tolak rambut ke belakang. Selesai. Aku gayakan dengan rambut yang agak curly di bahagian bawah dan lurus di atas. Rambut panjangku yang lebat jadi semakin cantik bila dipadankan dengan pakaian serba putih. Menyerlah!

"Eloklah pun kalau macam itu. Dhia pun umi tengok sibuk dengan kedai sejak balik. Jarang nak dapat rehat. Alang-alang itu dapatlah Raees merasa keluar dengan daddy dan mommy ye tak?" Umi cubit pipi Raees yang sudah duduk di sebelah umi sambil menunggu aku yang baru nak capai beg tangan.

Baru aku nak tarik kasut tumit yang ada dalam rak kasut bilik wardrobe dalam bilik utama ini...

"Pakai kasut. Kita nak berjalan banyak. Nanti kaki melecet dan sakit kalau pakai heels."

Alah! Baru nak bercantik-cantik hari ini. Kacaulah.

Tapi tetap tanganku tukar sasaran. Capai kasut berwarna hitam. Hitam putih tema aku hari ini. Dah macam tahi cicak.

"Daddy... Nak tukar baju boleh? Nak pakai warna macam mommy dengan daddy."

Pulak dah! Aku baru sedar yang aku dan Rayyan sama-sama berpakaian putih atas bawah. Betul-betul hanya rambut yang hitam. Cumanya aku ada tambahan dengan kasut hitam. Dia nanti tak tahulah apa pula warna kasutnya.

"Mestilah boleh! Mari tok umi tolong Raees tukar baju. Cepat-cepat! Nanti kena tinggal." Umi yang tolong jawabkan. Laju saja umi dan Raees keluar dari bilik ini dan terus ke bilik Raees.

Memang bilik Raees. Raees sudah tidur sendiri. Cuma ada kameralah di bilik itu untuk Rayyan pantau dari mana-mana saja dia berada. Hanya sesekali nenek Raees temankan dia tidur.

"Ini dengan rambut macam nak pergi fashion show, Dhia tahu tak kita nak ke mana?" Tiba-tiba Rayyan yang masih berdiri di muka pintu menyoalku.

"Ke mana?"

"Teman abang main futsal."

What?! Main futsal?!

"Abang! Kenapa tak cakap dari awal tadi. Buat penat je orang beria-ia buat rambut dan bersiap cantik-cantik. Kalau tahu tadi baik sarung je baju T."

"Kan abang dah kata tak payah buat rambut? Dhia yang degil."

Ish! Waktu itu aku memang dah mula buat rambut pun masalahnya. Lain kali baik beritahu waktu dah masuk kereta je.

"Bawa getah rambut sekali. Tukar pakaian yang selesa untuk bersukan. Tengok dalam almari abang. Ada jersey putih. Pakai yang itu."

Dah tak pasal-pasal kena tukar baju! Ini yang aku rasa macam tak jadi nak ikut. Tapi masalahnya kesian pula dekat Raees yang sudah tak sabar-sabar nak keluar dengan kaki sampai sanggup tukar baju supaya sedondon. Sayang lagi dengan hasil usaha sendiri yang sudah penat-penat bersiap.

Hai, layan jelah!

Aku terus selongkar almari Rayyan. Dia masih berdiri di muka pintu. Hanya memerhati. Memang dia tak boleh masuk ke dalam bilik ini pun sebab itulah dia berdiri je dekat sana. Rayyan dah setuju dengan permintaan aku kalau dia nak aku tinggal di sini. Senang, iaitu jangan masuk ke dalam bilik ini. Jadi sekarang dia tidur di bilik kerja atau dengan Raees dan aku tidur di sini. Muahaha.

"EH! APA khabar? Dah lama kau tak turun padang. Ingatkan dah pencen."

Mataku mengecil menahan terik di sini. Ada pula kawan Rayyan tahan kami di bawa panas terik matahari ini. Kalau ye pun bagilah kitaorang ini masuk dulu. Dah duduk bawah bumbung, nak ajak sembang sampai lusa pun tak apa. Sudahlah baju aku ini terlebih punya besar kerana ikut saiz badan Rayyan. Aku sudah selit bahagian pinggang sedikit dalam seluar supaya lebih pendek dan kurang kembang pun ia tetap besar. Aku nak ikat, Rayyan tak bagi. Bukan sebab tak nak jersey ini rosak, tapi sebab dia tak nak aku berketat-ketat dalam jersey itu.

Reda jelah. Siapa suruh tak ada jersey sendiri.

Aku pusingkan topi Raees yang tadinya dipusing ke belakang. Tak nak Raees rasa tak selesa.

"Pencen apa? Kau jangan macam-macam. Aku awal 30 an lagi." Dan kedua lelaki itu bantai gelak.

Hailah, itu pun kelakar ke?

Aku kerutkan dahi bila lihat lelaki yang menahan kami itu tiba-tiba pandang aku. Pandang saja tak apa. Ini dah rupa nak minta kaki. Terjongket keningnya tengok aku. Bukan terkejut, tapi terpana. Ah, ini Dhialah. Aku sudah kenal setakat mainan mata lelaki ini. Biasalah, aku kan cantik! Haks!

Lelaki itu tiba-tiba peluk bahu Rayyan yang tinggi mungkin dalam lima sentimeter lebih daripadanya. Lelaki itu berdiri membelakangi aku sebelum aku nampak dia seperti berbisik dengan Rayyan.

"Itu budak yang selalu Ardiy bawa dulu ke? Apa nama dia, aku dah lupa. Dhia ye?" Tapi aku dengar.

Alah, jarak kami hanya dua langkah saja.

"Kenapa?" Tak mengiakan, Rayyan menyoal balas. Aku dapat kesan hilangnya kemesraan dalam suaranya.

"Berapa umur dia sekarang? Makin cantik aku tengok. Dulu comel bukan main, sekarang cantik bukan main. Adik angkat kau kan? Bolehlah itu, Rayyan. Kau jadi abang ipar aku. Amacam?"

Ewww! Itu ke cara mengorat orang? Kalau aku ini bukan isteri orang pun aku takkan fikir banyak kali untuk tolak mentah-mentah.

"Mommy... Panaslah dekat sini. I'm thirsty, mommy." Tepat pada masanya bila Raees mengadu kehausan. Terus terteleng semula kepada lelaki itu.

Matanya turun naik pandang aku dan Raees sebelum matanya berkalih pandang Rayyan pula. Ha! Good news, muka Rayyan sudah bengis. Mukanya memang garang semulajadi, tapi kalau sudah begitu bengis rupanya, tak lain tak bukan ada orang yang nak meletup.

"Kau..." Lelaki itu tuding ke arah aku sebelum tuding ke arah Rayyan pula. Dah tak terkata, tapi aku rasa isyarat tunding dia itu boleh difahami.

Bahasa mudahnya, kau dengan dia dah kahwin ke?

"Dhia, perkenalkan ini Zali. Kawan futsal abang. Dulu pun dia selalu ada, tapi mungkin sebab Dhia hanya pandang abang, jadi Dhia tak sedar."

Herk? Wah, motif utama betul nak tekankan part aku pandang dia itu. Tapi betullah. Dulu memang mata aku melekap dekat dia saja. Kalau tak dia, mesti Abang Diy.

"Raees, salam uncle dulu. Sekejap lagi daddy dan mommy beli air untuk minum."

Nak tergelak aku bila lihat muka macam tengah sembelit lelaki bernama Zali itu bila Rayyan bahasakan kami sebagai mommy dan daddy.

"Hai," sapaku. Sekadar buat syarat. Tak ada hulur tangan atau apa. Hanya sapaan.

Raees pula terus hulur tangan. Salam seperti yang disuruh oleh Rayyan sebelum kembali berdiri di sebelahku.

"Ini isteri dan anak aku," tambah Rayyan.

"Tapi bukan ke kau..."

"Aku bukan duda, mat. Aku ada bini lagi. Cuma bininya dah kurang satu. Faham?"

Terus Zali ternganga bila dapat penjelasan daripada Rayyan. Macam nak kata, "oh, poligami!"

Coi!

Berpisah dengan Zali, Rayyan terus bawa aku dan Raees ke tempat duduk yang berbumbung. Sempat Rayyan beli air daripada mesin air yang terletak berdekatan tempat penonton. Raees teguk airnya. Rakus betul.

"Abang nak main sekejap. Tak lama. Lepas ini kita ke gym abang."

Okay. Tapi gym abang? Gym dia sendiri ke?

Rayyan bertukar kasut. Kasut bola. Tadi kasut biasa saja. Sudahlah sama tema dengan aku. Hitam putih. Kasut bolanya pun sama warna. Ketiga-tiga kami sudah macam tahi cicak hari ini.

"Kalau ada lelaki yang ajak bersembang, berkenalan, minta nombor, hantar wakil, mengorat atau apa sekalipun, beritahu mereka yang Dhia dah kahwin dan suami Dhia adalah abang. Kalau perlu, tunjuk sekali mana satu abang. Faham?"

Tak tahan! Aku terus hambur ketawa sampai Raees dan Rayyan terpinga pandang aku.

"Abang... Cuba tengok pakaian kita hari ini. Abang siap bawa baju spare sama warna lagi. Kalau orang boleh tak tahu apa maksud baju sedondon ini memang peliklah sebab kita je yang pakai baju putih dan kasut hitam macam tahi cicak saiz mega dekat sini."

"Tak teraplikasi untuk semua lelaki. Zali itu contohnya."

Yolah!

"Tunggu abang. Raees duduk diam-diam dan dengar cakap mommy. Cheers for me." Tangannya naik mengusap rambutku dan Raees bergilir sebelum dia panaskan badan seketika.

"Jangan tak menang! Kalau kalah, kitaorang tak mengaku kenal abang!" Laungan aku itu dibalas dengan jelingan geram Rayyan.

Hahaha!

Masuk saja Rayyan ke dalam gelanggang dan permainan bermula, aku dan Raees terus menjerit bagai orang tak betul bersorak untuknya. Setiap kali bola ada di kakinya, kami terus menjerit bagai nak terkeluar anak tekak. Agaknya dia takut dengan ugutan aku tadi kut, sebab tak sampai lapan minit permainan bermula, dia sudah berjaya dapatkan satu gol.

Muahahaha!

Melihat Rayyan bermain kembali di depan mata, aku betul-betul sempat terlupa dingin antara aku dan dia. Sekarang aku seperti Dhia yang dulu. Dhia yang hadir untuk bersorak untuknya dengan tulus dan penuh bangga.

Permainan Rayyan juga tak berubah. Dia masih Rayyan yang hebat dan lincah. Tenaganya tetap 20an walaupun sudah 30an haha! Hanya kali ini...

Rayyan berjalan ke arahku. Aku terus hulurkan airnya. Botol dibuka dan dia teguk hingga kempis botol mineral itu. Kain pula aku hulurkan, dan dia tekap pada muka yang penuh dengan peluh.

"Macam mana? Nak mengaku atau tak?" soal Rayyan. Ada sengihan di hujung bibirnya.

Aku ikut tersengih. Well, 2 bola dijaringkan dia. Mestilah mengaku!

Hidungku dicuit setelah dia puas berehat seketika. "Sorak untuk abang lagi. Jangan nak pandang yang lain." Dia berundur masuk ke gelanggang semula sambil dua jarinya tuding mata sendiri, lalu menuding pula ke arah aku.

Tandanya, dia perhatikan aku. Aku senyum saja. Layan sajalah orang itu tengah bersemangat.

Hanya kali ini... Aku penting.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience