Bab 27

Romance Series 31043

"RAEES, pergi panggil mommy untuk makan."

Aku dengar suara Rayyan mengarah Raees, tapi ah, malas betul nak bangun. Elok lepas mandi, terus rasa nak tidur saja. Sekarang dah masuk jam 10 malam. Punya khusyuk buat kerja tadi sampai tak sedar masa berlalu. Kami hanya dapat rehat sekejap untuk solat sebelum kembali habiskan kerja yang ada.

Ye, kami. Sebab Rayyan tolong aku sampai segalanya selesai. Dari satu tugas ke tugas yang lain sampailah ke pesanan terakhir. Biasalah skema ayatnya, abang tak nak Dhia penat. Katanya, biar dia tolong sampai selesai supaya kerja aku cepat habis dan kemudian aku boleh terus berehat.

Agaknya kalau Rayyan tak tolong mungkin sampai sekarang aku masih bertarung di luar sana.

Pintu bilik kerja terbuka. Raees terus meluru masuk ke dalam sebelum aku yang sedang terbaring di sofa ini digegarnya.

"Mommy, jomlah kita makan. Raees lapar!"

"Raees makanlah dengan daddy. Kakak penatlah, sayang."

"Tapi daddy kata mommy kena makan juga. Kalau tak, nanti daddy masuk."

Alah, biarlah daddy itu masuk. Bukan dia boleh buat apapun. Walaupun perutku lapar, tapi tidur lagi penting. Aku malas nak bangun. Selera pun tak berapa nak ada.

Mungkin sebab aku masih berdegil, Raees terus keluar semula. Aku dengar dia melapor yang aku tak nak makan pada Rayyan. Ingatkan dua beranak itu akan terus makan tanpa aku, tapi rupanya mereka bawa pula kesemua makanan itu masuk ke dalam bilik kerja.

"Bangun dan makan dulu, Dhia," kata Rayyan. Lelaki itu terus bentangkan plastik makanan itu atas karpet sebelum bekas makanan diletakkan atas plastik. Tak nak bagi karpet bilik ini kotor kalau makanan tumpah agaknya.

"Dhia tak laparlah." Aduh, aku tak suruh pun pesan makanan untuk aku.

"Kalau tak lapar pun Dhia kena makan. Lepas makan baru tidur."

Ish, kacau betul! Sudahnya terpaksa juga aku bangun dan terus menggelungsur turun dari sofa. Bersila di di sisi Raees dan di depan Rayyan. Rayyan buka makanan aku. Ohoi!

"H's ke ini?!" Aku baru perasan logo pada bekas makanan itu. Huruf H!

Bila Rayyan angguk, terus nafsu makanku terbuka luas. Gila! Aku sudah bertahun-tahun tak merasa makanan dari restoran terkenal itu. Sudahlah terkenal, sedap pula itu. Masalahnya harga di restoran itu agak keras yang jadi punca kenapa aku tak berani nak ke sana sendiri. Kali terakhir aku belek menunya dalam laman web H's, segelas jus oren pun berharga RM 30!

"Thank you, abang! Mesti mahal ini!" Aku terus kelam-kabut capai sudu dan garpu lalu mula makan. Tak pandang dah Rayyan atau Raees yang rasanya sudah ternganga tengok tahap rakus aku.

Penne dengan sos entah apa. Rasa macam bolognese, tapi macam bukan juga. Tapi rasanya memang paling umph!

"Abang tak tahu pula yang Dhia suka sangat dengan H's."

Aku terus angkat kepala dan pandang Rayyan. Hai, sekarang ini sebab dia dah belanja aku makanan sedap lagikan mahal ini, terus mood aku bertukar baik benar. Rasa macam nak senyum saja. Kalau dia suruh aku masuk tidur dalam bilik di rumahnya pun aku akan kata okay!

"Mestilah suka. H's kut. Kedai yang walaupun harga dia mahal, tapi sentiasa penuh. Kalaulah Dhia kenal tauke dia, mesti Dhia akan minta nak kahwin dengan anak lelaki tauke itu. Barulah dapat makan sedap hari-hari!"

Rayyan kerutkan dahinya. Nampak tak suka dengan apa yang aku angankan, tapi dah nama pun angan-angan. Aku kan Mak Cik Jenin.

"Anak tauke itu semua kecil-kecil lagi. Dhia nak kahwin dengan budak bawah umur ke?"

Oh ye ke?

"Mana pula abang tahu?"

"Sebab dia kawan abang dari zaman belajar. Dah kahwin. Isterinya cantik dan sempurna. Anak dah berderet."

"Kawan abang? Lah, salah jodoh! Sikit je lagi itu. Dah dekat sangat." Hai, aku tak tahulah apa yang aku merepek ini. Tapi aku memang sedang bergurau dan sengaja nak berlawak tak lawak dengan Rayyan.

Tapi aku tak rasa Rayyan sambut baik lawak aku itu. Mukanya tegang semacam. Takut pula aku tengok. Jangan kata yang dia cemburu pula. Tapi tak mustahil. Dulu pun dia pernah cemburu dengan Abang Diy yang akhirnya menyebabkan aku jadi mangsanya. Kejap, mungkin bukan cemburu, tapi lebih kepada tercabar. Mungkin egonya sebagai suami calar balar bila aku asyik tarik tentang Abang Diy.

"Dhia gurau jelah. Maksud Dhia, Dhia suka sangat dengan H's. Kalau boleh hari-hari nak makan dekat sana, tapi tak mampu. Itu je. Abang janganlah serius sangat. Kan Raees?" Aku pandang pula Raees yang sedang kunyah kentangnya.

Dia yang tak faham apa-apa terus mengangguk. Wajib sokong kakak ye!

"Jangan nak melawak macam itu lagi. Apa manisnya seorang isteri bercakap tentang jodoh dengan lelaki lain depan suami sendiri?"

"Ye, abang. Sorry!" Ayo, sensitif betul. Lagipun bukannya lama sangat kami akan pegang status sedia ada ini. Entah esok, entah lusa sudah bercerai-berai.

Cuma sebab tak nak ganggu masa makan dan rosakkan mood sebelum tidur, jadi aku minta maaf sajalah. Orang kata jangan bergaduh sebelum tidur. Esok kita bergaduh lagi ye, abang!

"Mommy, sedap tak mommy punya?" Tiba-tiba Raees mencelah. Matanya sedang tunduk tengok bekas makanan aku.

"Sedap sangat. Kenapa?"

"Hm, tak ada apa." Tak ada apa katanya, tapi budak itu dah siap tolak makanan dia ke tepi sambil pandang aku dengan muka minta simpati.

Hailah, anak Rayyan Hajeri ini!

"Raees nak? Kakak suapkan." Aku menyoal sambil penne disudukan. Sedia untuk disuap ke mulut Raees kalau dia mahu.

Dan mestilah dia nak! Laju saja Raees menganga. Elok penne itu masuk ke mulutnya, terus budak itu tersenyum gembira. Seronok bila aku bagi dia makanan aku.

"Habis kalau Raees makan makanan mommy, siapa pula nak makan ini?" soalku. Makanan Raees masih banyak.

Agaknya dia sudah bosan makan kentang goreng dengan ayam. Nak juga merasa makanan orang dewasalah itu.

"Raees nak makan dengan mommy."

Dengan mommy?

"Kalau kakak makan makanan Raees, Raees nak makan itu juga?"

Raees angguk.

Oh, aku dah faham. Dia hanya nak makan berdua dengan aku. Nak bersuap dan bermanja. Aww, he's so precious! Agaknya memang betul apa yang Abang Rayyan kata tadi. Raees rindukan aku. Aku yang baru ditemui buat beberapa hari dalam seumur hidupnya ini.

Aku tersenyum lebar. Terus garpu  Raees dicapai lalu aku cucuk ayamnya. Chicken chop yang sengaja dimasak dengan saiz chicken pop corn memandangkan ini memang set makanan budak-budak. Ayam itu aku terus suakan ke mulut Raees. Dia makan dengan penuh semangat. Siap tersenyum sampai sepet mata!

"Sedap tak?"

"Sedap! Nak lagi, mommy."

Dan sudahnya aku lupa nak makan makanan sendiri kerana sibuk suap Raees. Raees makan sampai licin! Sayur-sayuran pun ditelan sama. Tahu-tahu saja budak itu dah pegang perut sendiri sambil kata, perut Raees nak meletup.

Comel!

"Raees pergi buka baju dan masuk bilik air. Pergi mandi dan berus gigi. Lepas ini kita tengok kartun dengan mommy." Setelah lama berdiam, barulah Rayyan bersuara semula.

"Okay, daddy! Raees nak tengok Minions tahu?"

Hak! Kan aku dah kata. Dia mesti suka tengok Minions. Itulah yang berbelo dalam telefon.

Dapat saja anggukan Rayyan, Raees terus selongkar beg besar yang Rayyan bawa masuk tadi. Beg baju mereka berdua. Bila rasa macam susah nak cari sendiri, terus budak itu tarik begnya ke arah aku.

"Mommy, Raees tak jumpa tuala," adunya.

Ceh, tak jumpa tuala apanya kalau tuala itu sudah tunggu untuk ditarik semata. Manja anak orang ini!

"Ini kan tuala?" Aku terus serahkan tuala itu kepada Raees.

"Raees kena pakai baju apa?"

Baju pula?

"Raees nak kakak pilih ke?"

Aku terus pilih satu daripada dua pasang baju tidurnya. Entah memang dua beranak ini sengaja bawa dua pasang baju tidur atau itu sebagai persediaan kalau Raees perlu bertukar baju nanti. Contohnya terkencing dalam seluar ke, baju kotor ke.

"Mommy teman Raees mandi boleh?"

Teman pula? Kita ini makan pun tak habis lagi, sayang!

"Raees, pergi mandi. Selama ini elok je mandi sendiri. Mommy nak makan. Tengok makanan mommy itu, banyak lagi." Akhirnya Rayyan mula tekan mood tegasnya semula. Terus lajulah si kecil itu masuk ke dalam bilik air kerana takutkan Rayyan.

Dia mandi dengan pintu yang terbuka. Dari sini pun boleh nampak dan perhati.

"Raees itu manja betul," kataku sebelum sambung makan semula.

"Ikut mommy dialah. Kan Dhia pun sangat manja?"

Tapi dia bukan anak Dhia. Hai, nak saja aku balas macam ini. Tapi tak sampai hati. Jangan bergaduh sebelum tidur Dhia! Lagipun kira halallah dia samakan aku dengan manja Raees dulu. Kira balasan sebab dia pernah jadi orang yang melayan manjaku, walaupun tak dapat lawan Abang Diy.

"Dhia nak rasa fettuccini?" soal Rayyan. Cepat betul tukar topik.

Tapi kalau bab makanan dari H's, mestilah aku akan sangat berminat! Nampak sedap saja fettuccini itu. Nampak macam lagi sedap berbanding penne aku ini.

"Sedap sangat ke?"

Rayyan tersenyum. "Nak tahu, kena rasa sendirilah. Nganga, abang suap."

Tak tunggu jawapan aku, Rayyan terus suakan fettuccini itu ke mulutku. Aku cuba untuk ambil garpunya, nak makan sendiri. Tapi mata Rayyan cepat saja menghelang yang buatkan aku terus buka mulut dan makan saja walau tak rela disuap.

Tapi umph! Sedapnya!!!

"Ini Fettuccine Carbonara ke? Sedapnya, abang!!! Tak sama macam makan dekat kedai lain. Yang ini sangat well seasoned. Kita tukar nak?" Muahahaha!

"Creamy fettuccine carbonara. Yang ini tak ikut tekak Melayu. Yang ada dekat kedai luar itu dah dimodifikasi supaya kena dengan tekak orang kita. Bukan juga pakai Prego atau sauce dalam tin. Ini resipi arwah ayah Hail."

"Oh, kawan abang itu nama dia Hail ke?"

Bila Rayyan angguk, aku terus sambung menganga semula. Nak minta lagi memandangkan Rayyan tak jawab kalau aku boleh tukar makanan dengan dia atau tak. Tak tahu malu punya Dhia! Hehe.

Tapi nasib baik dia layan aku. Terus dia gulung fettuccini itu dengan garpu lalu suap aku semula. Agaknya mulutku comot, Rayyan terus tarik beberapa helai tisu lalu gosok lembut pada sekitar mulutku.

"Comot ye? Abang ini, Dhia boleh buat sendiri. Dah macam abang dengan adik pula."

"Abang dengan adik? Kita? Ini suami dan isterinya." Rayyan betulkan statement aku.

Yolah!

Rayyan sambung suapkan fettuccini itu ke dalam mulutku. Punya sedap sampai aku tak ingat dah penne tadi. Sesekali dia akan suakan pula fettuccini itu ke mulut sendiri.

"Abang nak rasa penne ini?" soalku bila tengok fettuccini dalam bekas makanan Rayyan sudah hampir licin. Separuh isinya masuk ke perut aku. Hanya separuh lagi sempat Rayyan makan. Tak nak nampak rakus sangat, kenalah ganti dengan makanan aku.

Muehehe.

"Sedap ke? Itu penne dengan arrabiata sauce. Tapi tak pedas memandangkan Dhia tak makan pedas."

Arrabiata sauce tapi tak pedas ye? Ini dah jadi macam marinara sauce kalau pedasnya sudah hilang. Agaknya sebab itulah aku lebih suka fettuccini.

Aku terus tolak bekas penne aku ke arah Rayyan. "Abang makanlah. Dhia rasa fettuccini lagi sedap. Kalau pedas itu ada mesti lagi sedap."

"Hai, yang kurang sedap bagi dekat abang. Yang sedap dia ambil pula ye?" Rayyan mengusik aku. Tapi dia tetap makan penne itu.

"Abanglah. Siapa suruh order arrabiata tapi tak nak pedas? Baik bagi bolognese je."

Rayyan senyum saja dengar balasan aku. Tenang dia layan aku berborak sambil habiskan penne yang tersisa. Tak lama kemudian, suara Raees melaung dari bilik air kedengaran.

"Mommy! Raees dah siap mandi!"

"Raees lap badan dengan tuala dulu," arahku. Baju yang Raees pilih tadi aku capai semula.

"Sejak ada Dhia, abang dia dah tak pandang lagi. Semuanya mommy." Rayyan bersuara.

Hai, meluah perasaan ke ini? Tak sudi diduakan oleh anak sendiri. Hahaha

"Mommy, dah siap!" laungnya lagi. Kali ini sudah siap balut diri sendiri dengan tuala. Pandai berdikari anak Abang Rayyan ini!

"Sini, pakai baju."

Raees terus masuk ke dalam bilik kerja semula. Aku tolong Raees pakai baju tidurnya. Siap pakai baju, Raees hulurkan pula sikat kepada aku. Minta tolong sikat rambut dia pula. Sudah kemas dan bergaya, mulalah Raees terlompat-lompat di sebelah Rayyan minta dibukakan kartun seperti yang dijanjikan. Tak tenang orang itu nak habiskan makanan.

"Abang bukalah. Biar Dhia kemaskan semua ini." Baru aku nak kemas semua bekas makanan, Rayyan sudah menahan dulu. Tanganku dipegang.

"Tong sampah dekat luar kan? Bahaya. Dah nak masuk jam 11 ini. Dhia duduk dengan Raees, biar abang kemas sekejap."

Kalau itu katanya, okey!

Sambil Rayyan kemas dan pergi buang sampah di luar, aku dan Raees terus tarik air mattress itu dan baring berdua. Tak tahu malu lagi! Suka hati aku saja baring atas tilam yang orang sudah susah-susah pam. Muahaha.

Tak lama menunggu, Rayyan masuk semula ke dalam bilik. Sempat dia lap tangan yang baru dicuci dengan tisu sebelum terus capai projektor. Projektor murah saja rupanya. Yang boleh dibawa ke mana-mana dan disambung dengan telefon itu.

"Abang dah tarik roller shutter? Abang tak tarik penuh kan?" soalku.

"Abang tarik separuh je. Pintu pun abang dah kunci."

Baguslah. Kalau tidak macam mana nak keluar esok? Sudahlah roller shutter di sini jenis yang pakai mangga itu. Mangga dari luar.

Aku lihat Rayyan terus tutup pintu bilik kerja ini. Siap kunci lagi. Semua tingkap dalam bilik ditutup dan dikunci sepenuhnya sebelum akhirnya lampu dimatikan. Bilik gelap-gelita sampaikan Raees terus peluk aku. Tak lama kemudian, cahaya mula hadir bila projektor dibuka. Projektor dihalakan ke siling. Jadi kami boleh berbaring saja sambil tengok kartun.

Filem bermula dan kami ralit menonton. Rayyan sudah baring di atas sofa yang terletak betul-betul di sebelahku. Tilam ini sudah sentuh kaki sofa. Kiranya kalau dia terjatuh, memang atas akulah tempat landing dia.

Bila sampai babak kelakar, gelak kami bersahutan. Tapi yang aku perasan, Rayyan bukan tengok Minions itu, tapi dia sibuk tunduk tengok kami di bawah.

"Dia yang beria nak tengok Minions, dia pula yang tidur dulu."

Aku terus pandang Rayyan sebelum toleh pula pandang Raees. Lah, betul-betul dah lena budak kecil ini. Minions tak sampai separuh pun lagi. Hahaha.

Sebab cerita itu ada di babak yang kelakar dan tak bosan, jadi aku tengok sajalah walaupun Raees dah tidur. Rayyan pun masih menonton. Tapi bukan tonton Minions. Aku yang dia tonton!

"Abang, Minions ada dekat atas, bukan dekat bawah." Tak tahan asyik ditenung, sudahnya aku menegur dia.

"Abang memang tak berminat dengan Minions. Abang lebih berminat dengan Dhia."

Tak dapat ditahan, bibir automatik tercebik geli. Minat dengan aku? Weurk! Dulu siap kata jijik segala bagai. Tiba-tiba sekarang berminat?

"Kalau macam itu tutuplah. Dhia nak tidur." Dan aku terus baring membelakangi sofa. Tak mahu Rayyan terus tenung muka aku macam tak ada hari esok. Tak selesa.

Aku terus pejamkan mata. Bunyi dari projektor hilang tidak lama selepas itu. Ruangan ini bertukar begitu gelap dan tak lama kemudian aku lena bersama Raees.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience