BAB 13

Romance Series 31043

“BUKANNYA aku tak tahu yang kau tengah ada masalah, Dhia. Tak payahlah nak sorok beria-ia sangat dengan aku. Tengok muka macam kena kutip tahi orang pakai tangan itu pun aku dah tahu kau ada masalah. Cuba cerita dekat aku.”

Dahiku berkerut sekejap. Kutip tahi pakai tangan? Muka aku? Dia samakan muka aku dengan orang yang kena kutip tahi pakai tangan?

“Ewww, kau ini memang tak ada perumpamaan elok sikit ke nak bagi kalau ye pun? Aku tengah makan kut!” marahku.

Gila betul dia ini. Sebabkan perumpamaan itulah nasi ayam atas meja ini sudah nampak macam najis yang dimaksudkan. Kurang gula punya kawan. Yana ini kalau aku sekeh sekali baru dia ada akal agaknya.

“Tak adalah. Muka kau masam je. Cuba cerita apa yang jadi?” Ilyana sengih pada aku.

Hm, nak cerita apa kalau memang tak ada apa yang boleh aku ceritakan dekat dia? Nak cerita yang aku marah dan benggang dengan Rayyan? Si Yana ini tak tahu pun lagi yang aku sudah berkahwin dengan crush seumur hidup aku itu. Macam mana nak cerita? Mahu dia kena serangan jantung pula kalau dia tahu yang aku kahwin tanpa pengetahuan dia.

“Tak ada apalah. Aku penat sikit je.” Sudahnya aku terpaksa berolah.

“Tak nampak macam penat pun…”

“Ish, kau ini. Banyak tanyalah. Jomlah kita masuk. Aku dah kenyang. Lagipun banyak barang nak beli ini.” Aku cepat-cepat bangun sambil tukar topik. Tapi memang betul pun alasan aku itu. Kami ada banyak barang hendak dibeli dalam supermarket ini.

Disebabkan barang di dapur ibu sudah tandus, maka aku ajak Yana keluar untuk temankan aku ke sini alang-alang dia juga nak cari beberapa barang keperluan diri. Dapur ibu kan besar, jadi sahlah banyak barang perlu dibeli. Nasib baik ibu pinjamkan pemandunya untuk hantar aku. Jadi nanti tidaklah aku kena usung semua barang-barang itu balik ke rumah.

Aku ini lesen dah ada. Tapi keretanya tak ada. Nak bawa kereta jauh-jauh pun aku belum ada keyakinan lagi. Kalau kereta sendiri itu tak apa. Kereta orang, memang tak berani. Apa-apa jadi nanti aku yang kena marah pula.

“Umi dengan papa kau bagi pula kau keluar eh, Dhia?” soal Yana.

Jangan tak tahu umi dan papa itu agak ketat kawalannya. Dulu kalau tak disebabkan Rayyan atau Abang Diy yang ambil, memang aku tak boleh keluar ke mana-mana. Cuma lepas kahwin ini saja umi dan papa sudah turunkan tanggungjawab beri izin itu kepada Rayyan. Tapi sebab Rayyan tak pernah mainkan peranan sebagai suami, aku minta izin dari ibu saja. Senang gila ibu kata okey!

“Sebab aku dah besar kut.” Tapi mestilah aku tak boleh beritahu apa-apa yang bersangkut paut dengan perkahwinan itu.

“Ye tak ye juga kan?” Yana terangguk-angguk sambil troli ditarik.

Kami masuk ke dalam sebuah supermarket yang hari ini nampak agak lengang. Mungkin sebab hari ini hari rabu kut.

Tak sampai setengah jam kami berjalan di dalam, troli sudah separuh terisi. Bahaya betul kalau dua perempuan yang kuat makan membeli-belah bersama. Lagi satu jam mahu kena ambil satu lagi troli.

“Aku nak tengok bahagian frozen sekejap. Kau pergilah cari barang yang kau nak itu. Aku bawa troli,” kataku pada Yana.

Sebaik saja Ilyana mengangguk, aku terus tolak troli menuju ke bahagian sejuk beku. Peti ais yang tersusun memanjang itu aku perhatikan satu persatu. Makanan yang sesuai untuk aku goreng atau bakar pada waktu malam sambil pilih movie. Huhu!

Oh, ada wedges! Sedap ini. Rasanya sos nachos cheese masih ada dalam peti sejuk.

Aku terus buka pintu peti ais. Dua paket wedges dengan berat satu kilogram aku capai dan masukkan ke dalam troli. Baru nak tutup, tiba-tiba melalui kaca pintu itu aku nampak sosok yang aku kenali berdiri di hujung sana bersama troli. Dia sedang tunduk sambil pandang telefon sebelum sesekali memandang sekeliling seperti sedang mencari barangan dalam senarai.

Aku tutup pintu peti ais untuk tengok dengan lebih jelas. Ha, betul! Itu Rayyan.

Sebelum dia nampak aku, baik aku cabut lari dulu!

Baru nak pusingkan troli supaya boleh berpatah semula…

“Dhia!” Suara Yana melaung namaku dari hujung lorong ini betul-betul di belakang Rayyan.

Damn it!

Nampak saja Rayyan yang terus angkat kepala sebelum matanya tepat tertuju ke arahku, terus tangan automatik naik menutup muka sambil troli ditolak dengan sebelah tangan lagi. Kali ini aku lalu di sebelahnya terus ke arah Yana. Melepasi troli Rayyan, terus bahu Yana aku tepuk geram.

“Kau tak boleh panggil kuat lagi ke?” Gila! Habis satu lorong itu tahu nama aku Dhia kut!

“Kenapa? Apa salah aku?”

Ya Allah, dia blur pula dah! Nasib baiklah kau memang tak tahu apa-apa Yana oi!

Sambil menggerutu dalam hati, sambil itu jugalah aku tolak troli dan tarik Yana untuk cabut daripada lorong tadi terus ke bahagian fresh produce yang terletak agak jauh daripada bahagian beku tadi.

Aku periksa sekeliling. Pasti yang Rayyan tak ada barulah aku boleh mengeluh lega.

“Kau ambil apa tadi?” soalku.

Yelah, sebab cepat sangat dia cari aku semula.

“Oh, tak ada apa. Barang yang aku nak tak ada stock.”

Patutlah!

Selesai beli semua keperluan, aku terus ke kaunter. Dah alang-alang guna satu troli, aku tawarkan saja pada Yana untuk belanja barang-barangnya sekali. Lagipun aku dapat duit daripada Rayyan, bukan duit aku sendiri. Hoho.

Bulat sekejap mata tengok harga yang tertera. Fuh, baru shopping banyak ini dah sampai RM 500 ringgit plus plus?! Sekali lagi, nasib baik duit Rayyan!

Aku terus keluarkan kad. Baru nak sentuh pada mesinnya, tiba-tiba ada tangan lain yang memanjang lalu sentuh kad lain pada mesin itu. Dengan dahi berkerut hairan, aku terus angkat muka. Pandang saja si tuan punya tangan, terus bertambah-tambah kerutan di dahiku.

“Abang?” Rayyan.

Dia diam saja. Mata kami sempat berlaga sekejap sebelum dia dengan muka dinginnya terus pandang penjaga kaunter semula. Keluar saja resit, Rayyan terus ambil lalu dia berlalu pergi. Rupanya dia sudah terlebih dahulu selesai membeli-belah.

“Dhia, itu bukan ke lelaki yang kadang-kadang datang ambil kau kalau umi atau papa kau tak dapat ambil itu? Yang kawan dengan abang seorang lagi itu. Kan?” Yana yang baru habis terkebil-kebil terus menyerang aku dengan soalannya sambil tengok Rayyan yang sedang tolak troli menuju ke arah lif untuk ke parkir.

“Kau boleh ingat lagi?” soalku, terkejut. Yelah, bertahun-tahun lepas rasanya kali terakhir dia nampak Rayyan dan Abang Ardiy.

“Mestilah ingat! Hot stuff memang susah nak dilupakan.”

Ceit!

Tiba saja di tingkat bawah, kami berdua berpisah. Yana ke keretanya yang terletak di parkir luar dan aku ke kereta ibu yang terletak di basement. Sampai saja, pemandu ibu sudah menunggu dengan bonet yang terbuka lebar. Aku bantu dia untuk masukkan kesemua barang ke dalam bonet.

“Banyak juga ye Dhia belanja?” katanya.

“Banyaklah juga. Ini pun nasib baik ibu tak suruh beli ikan ke, udang ke. Itu semua ibu kata kena beli dekat pasar. Baru segar.”

Pemandu ibu terangguk-angguk. Bonet ditutup dan aku terus berura untuk masuk ke dalam kereta. Tapi memang seharian ini ada saja yang nak membantut apa saja aku buat. Baru pegang pintu, tiba-tiba Rayyan muncul di sebelah sambil pintu kereta ditutup semula. Dia tutup pintu itu supaya aku tak boleh masuk!

Rayyan pandang pemandu ibu. Baru pandang, pemandu itu dah faham apa arahan yang Rayyan beri. Terus pemandu ibu masuk ke dalam kereta dan diam di dalam.

Mata Rayyan beralih ke muka aku pula. Lama matanya berlabuh di situ sebelum mulutnya terbuka.

“Siapa izinkan Dhia keluar?”

Aik? Izin?

“Ibu.”

“Apa kuasa ibu untuk beri izin pada Dhia?”

“Dah Dhia duduk dengan ibu, tak akan nak minta izin umi pula?” Apa Abang Rayyan ini! Pelik-pelik je soalan.

“Dah tak pandai nak minta izin abang?”

Dahiku terus berkerut. Dia ini mabuk ke mamai? Minta izin? Daripada dia? Tak masuk akal langsung!

“Bukan ke abang yang kata abang tak peduli apa saja Dhia nak buat? Buat apa Dhia nak minta izin abang pula? Jangan abang nak berlagak terpaling suami dekat sini. Abang tak pernah galas tanggungjawab sebagai suami atau berperanan sebagai suami, jadi tolong ke tepi. Dhia nak balik sebelum ibu risau.” Aku terus tolak tangan Rayyan yang masih melekap pada pintu kereta.

Baru nak buka pintu semula, tangannya sudah kembali melekap. Kali ini lebih kemas dan pandangannya lebih menikam. Wajahnya terlihat sedikit bengis.

“Jangan nak berlagak sangat, Dhia. Jangan buat-buat lupa yang sama ada terima atau tidak, Dhia masih di bawah tanggungjawab abang.”

“Jadi?”

“Jadi?” ulangnya. Dengung!

Aku rasa Rayyan benggang dengan aku. Soalan jadi itu sudah seperti provokasi di telinganya. Tapi memang aku tak jumpa pun apa sangkut pautnya tanggungjawab itu dengan aku yang keluar membeli-belah hari ini. Yelah, selama ini bukan dia buat pun apa-apa tanggungjawab sebagai suami dekat aku. Kenapa baru sekarang sibuk nak bangkitkan tentang ini?

“Jangan buat abang marah.”

Dah mengugut aku pula?

“Marahlah. Abang fikir Dhia takut ke? Lagipun memang selama ini abang asyik marah Dhia, jadi kenapa nak tahan marah itu sekarang?”

“Sejak bila belajar jadi biadab sangat ini?”

“Sejak kahwin dengan abang. Bukan suami itu contoh untuk isteri ke? Sebab setahu Dhia, umi dan papa tak pernah ajar atau tunjukkan contoh yang tak baik. Hanya abang. Ada soalan lagi?”

Tak lama lagi mesti Rayyan meletup ini. Jadi sebelum dia meletup di sini, lebih baik aku cabut dulu.

“Dhia nak balik. Kirim salam dekat isteri tercinta abang itu. Tapi kenapa abang membeli-belah berseorangan ye? Kak Qila dah sarat ke? Macam tak. Oh, yelah. Dhia terlupa yang abang memang suami terbaik. Abang kan sayang dan cintakan sangat isteri abang itu, mestilah abang tak bagi dia buat kerja-kerja macam ini kan? How lucky!”

Kali ini giliran Rayyan pula berkerut memandang aku. Aku rasa dia sudah boleh bau apa yang aku nak cakap lepas ini, tapi aku nak cakap juga!

“Tapi agaknya kan, abang. Kak Qila tahu tak yang abang bukan saja pergi beli-belah, tapi abang sempat tahan bini kedua iaitu penyondol ini sambil main mata dan tenung macam tak nak lepas? Oops! Mesti dia tak tahu kan?” Okey, cabut!

Tak dapat masuk pintu belakang gara-gara tangan Rayyan, aku cabut masuk ke tempat duduk depan. Tak sempat Rayyan nak menahan, aku terus kunci pintu dan suruh pemandu ibu untuk kunci semua pintu. Kelam-kabut aku suruh pemandu ibu cepat-cepat pandu keluar dari sini.

Seram aku jadinya bila tengok Rayyan yang sudah semakin bengis. Aku harap dia takkan datang ke rumah ibu!

Kepala disandarkan pada kerusi. Baru nak bertenang, tiba-tiba telefonku berbunyi. Nama Rayyan terpapar pada skrin telefon. Hailah, dia nak apa lagi ini? Nak marah ke? Tapi kalau aku tak jawab, mahu dia betul-betul ke rumah ibu nanti. Jawab jelah! Kalau dia marah, aku mute!

“Helo?”

“Abang akan ke Dubai selama dua bulan. Sendirian. Nanti abang transfer duit belanja. Tolong tengok-tengokkan ibu.”

Dua bulan? Alhamdulillah! Kalau tak nak balik terus pun tak apa! Tapi siap tekan lagi bab bersendirian itu. Nak berlagak adil agaknya.

“Okey.”

Senyap…

Aku jauhkan skrin dari telinga. Tengok skrin, panggilan masih berjalan. Dah kenapa Rayyan senyap ini? Aku cuba dengar semula kalau-kalau dia ada bercakap apa-apa, tapi memang tak ada. Senyap. Jadi sudahnya aku tamatkan saja panggilan itu sendiri. Mungkin dia lupa nak tamatkan panggilan.

Kepala disandar lalu aku mengelamun sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience