Bab 55

Romance Series 30734

AKU terus menepuk tangan semahu-mahunya bila nama Raees dipanggil untuk naik ke atas pentas. Setelah budak itu mengadu sakit perut, nak terkencing, tak nak buat, nak balik, takut, nak muntah dan macam-macam lagi untuk melarikan diri daripada acara hari ini, akhirnya berdiri juga anak itu di atas pentas.

Semuanya gara-gara Rayyan ada bersama kami. Kalau hanya aku yang hadir, sudah tentu senang-senang saja aku akan mengangguk bila Raees tak mahu meneruskan bahagian acaranya pada hari ini.

"Good luck, Raees!" laungku hingga tersengih-sengih ibu bapa yang lain.

Ah, aku tak peduli. Raees perlu tahu yang aku sentiasa ada untuk menyokongnya.

Raees menarik nafas. Hampir tercebik, namun ditahan sehabis baik. Seperti ada sesuatu yang menakutkan hingga mampu buat Raees sedut semula air matanya.

Aku memandang Rayyan di sebelah.

Huh, inilah dia!

Tengoklah matanya yang tajam merenung Raees di depan sambil berpeluk tubuh itu!

Mana tak kecut perut budak itu dibuatnya.

"Abang!" Pap! Satu tepukan hinggap pada paha Rayyan.

Rayyan mengalihkan perhatiannya kepada aku bersama kerutan di dahi. Hairan bila aku terus menepuknya seperti itu.

"Janganlah pandang anak macam itu. Dia takutlah."

"Kalau tak macam ini, nanti dia turun ke bawah semula."

"Tak adanya. Raees akan lebih berani kalau abang sokong dia juga."

"Sokonglah ini," balas Rayyan. Cara dia bercakap itu seolah dia nak kata "apa tak nampak ke sokongan abang ini?"

Memang tak nampak pun masalahnya. Tak wujud!

Tak apa, biar aku yang tunjukkan cara menyokong yang betul.

Aku terus menggenggam tangan Rayyan lalu diangkat tinggi. Walaupun riak Rayyan terus berubat terkejut, tapi aku pedulikan saja. Tangan Rayyan itu aku lambaikan ke arah Raees.

"Go, Raees! Mommy dan daddy tahu Raees boleh buat!" jeritku.

Tapi...

Dengan gaya Rayyan bercakap.

Terus riuh satu dewan ini dengan tawa ibu bapa kanak-kanak lain. Rasanya bukan budak-budak yang buat pertunjukan bakat, tapi aku!

Lagu mula dimainkan.

Raees mula mengepal penumbuknya. Tali pada pinggang diketatkan. Tangan dihentak ke depan, sebelum Raees berpusing dan kakinya menendang papan yang dipegang oleh gurunya.

Persis seperti yang aku dan Rayyan latih semasa dua minggu.

Bunyi tepukan semakin gemuruh bila papan itu pecah dengan sekali cubaan. Walaupun hanya papan selapis yang tidak tebal, namun untuk umurnya sudah kira hebat sangat.

Papan diganti dan dikali dua. Lebih tebal.

Kali ini penumbuk dihentam ke papan, namun malangnya papan itu tidak berjaya dipecahkan.

Raees terus berpusing memandang aku dan Rayyan dengan bibir yang kembali tercebik sedih.

Baru aku nak memberi semangat untuknya...

"Do it again! Jangan menangis." Tapi Rayyan sudah bersuara terlebih dahulu. Tegas dan keras.

Dengan itu, Raees terus menghentam tangannya ke permukaan kayu semula. Dan patah!

Yeay! Kali ini cubaannya berjaya.

Aku terus tersenyum memandang Rayyan yang masih fokus menyaksikan persembahan Raees. Dia ini tak pernah berubah. Seriusnya tetap sama. Egonya juga tetap sama. Rayyan manjakan Raees, tapi manja dalam cara yang Raees tak nampak. Didikan Rayyan menjadikan anak itu lembut, namun kuat dalam masa yang sama.

Persembahan itu akhirnya tamat selepas penggera berbunyi. Namun belum betul-betul habis. Setiap murid diberikan masa sepuluh minit untuk berada di atas pentas.

Lima minit, waktu persembahan. Nak bernyanyi ke apa ke, terpulang. Untuk Raees, kami melatih dia untuk mempersembahkan seni pertahanan diri yang kami sudah mula ajar setiap ada masa lapang. Semuanya kerana peristiwa bersama Kak Qila itu.

Acara kedua, ucapan.

Tadi ada yang beri ucapan terima kasih kepada guru mereka. Ada juga yang tak beru ucapan, tapi menangis kerana tak mahu berlama di atas pentas.

Untuk Raees pula...

Aku tak tahu.

Raees menggenggam mikrofon yang baru diberikan oleh cikgunya.

Dia kelihatan lebih tenang sekarang. Mungkin sudah terbiasa di atas sana.

"Hari ini, kita nak cakap pasal mommy kita."

Keningku terjongket mendengar pembuka bicara itu. Raees tersengih lebar memandang ke arahku. Tangannya diangkat lalu aku dilambai riang.

Aku membalas lambaian itu bersama hati yang sudah mula tak sabar-sabar nak mendengar apa yang ingin disampaikannya.

"Nama mommy, Dhia Elaine. Mommy kuat! Super mommy! Mommy kita cool! Mommy boleh buat macam ini." Raees mula berlagak seperti sedang menumbuk orang.

Aduhai, bahaya ini. Jangan jadi pembuli sudahlah, nak!

"Orang jahat takut dengan mommy kita sebab mommy hebat! Mommy sayang Raees sangat-sangat, sebab daddy kata mommy tolong Raees. Daddy kata, mommy tak takut sakit dengan berdarah untuk Raees. Mommy kita fighter! Mommy paling hebattt dalam dunia. Mommy cantik banyak-banyak! Semua orang suka mommy. Papa kawan Raees pun suka mommy!"

Aku hampir jatuh kerusi mendengar  ucapannya. Entah papa manalah pula yang dibocorkan rahsianya oleh Raees. Atas pentas pula itu!

Aku mengerling Rayyan di sebelah. Dia seperti sedang memandang sekeliling seolah mencari antara banyaknya orang itu, mana yang terkesan dengan ucapan Raees. Nak cari siapa papa itulah agaknya. Dia kan kuat cemburu.

Tapi tak boleh nak salahkan Rayya. Dia jadi begitu kerana pengalaman lama. Jadi lebih berhati-hati.

"Raees sayang mommy sebab mommy sayang Raees. Raees tak nak mommy lain, nak mommy je. Mommy tak suka marah Raees. Mommy baik. Mommy suka main dengan Raees. I love you, mommy! You're the best mommy ever!" Dan anak itu terus menerbangkan beberapa flying kiss ke arahku.

Oh, Raees!

Aku nak menangis!

Sudah kali kedua Raees kata aku mommy terbaik. Ah, hatiku!

Seakan faham yang aku sedang begitu terharu, Raees terus berlari turun daripada pentas sebelum meluru ke arahku. Tiba saja di tempat duduk kami, terus dia memeluk kakiku.

Tak sampai beberapa saat, tiba-tiba Raees menangis!

Eh, tapi dah kenapa pula budak ini yang menangis? Nak kata sebab tengok aku menangis, masalahnya air mata aku tak sempat keluar pun lagi.

"Mommy, Raees takut!!! Raees tak nak duduk atas itu lagi!" raungnya sambil menangis bagai sedang menghamburkan stok tangisan sedari tadi.

Itu yang buat dia menangis rupanya!

Hahahaha! Budak ini kan!

RAYYAN menarik selimut hingga menutupi ke paras bahu Raees. Sebuah kucupan selamat malam hinggap pada dahi anak itu sebelum tanganku dicarinya. Kami bangun bersama dan perlahan-lahan berlalu keluar. Pintu ditutup, namun tidak rapat. Lampu tidur menemani Raees setelah CCTV dipastikan hidup.

"Penat sangat agaknya. Tak sampai lima minit didodoi, terus lena," kata Rayyan sambil aku ditarik menuju ke bilik tidur kami.

"Hari ini macam-macam dia kena hadap, mestilah penat."

Buat persembahanlah, menangislah, kena bebel dengan Rayyanlah. Nasib baiklah ada manis di akhirnya bila Raees memenangi anugerah persembahan terbaik. Dapat tablet yang khusus untuk pembelajaran awal kanak-kanak. Tapi itu pun Rayyan sudah kata, satu jam TV, satu jam tablet.

Selebihnya, belajar menggunakan buku dan bukan peranti.

Fuh, kesian Raees. Nasib baik aku anak umi dan papa yang betul-betul memanjakan aku. Selamat hidup!

Masuk saja ke dalam bilik, humidfier dihidupkan. Dalam bilik berpendingin hawa ini, tahi hidung pun boleh keras macam batu kerana terlampau kering. Kalau tak guna humidfier, memang hidung akan sakit.

Aku memeriksa penampilan di depan cermin pula. Rambut dirapikan, baju juga begitu.

"Apalah yang obses sangat dengan nak nampak cantik ini? Dah nak tidur pun, peaches." Rayyan yang sedang memerhati dari katil itu bersuara.

"Dhia memang dah cantik. Hanya bertambah-tambah cantik bila penampilan sentiasa dijaga." Mulalah aku nak berpusing macam puteri di depan comel.

Selesai berkemas, barulah aku merebahkan tubuh di atas tilam.

"Argh, letihnya! Macam nak tercabut pinggang."

"Dah lama tak berlatih, pegal badan. Lepas ini ikut abang ke gym semula."

"Tak naklah. Malaslah, abang."

"Hai? Abang dengar cerita, Dhia trainee paling rajin." Rayyan menyindir. Ya, sindir!

"Itu dulu, ini sekarang."

"Apa bezanya?"

"Dulu Dhia aktif. Sekarang Dhia nak bersara. Dhia nak cari kerja!" Ah, inilah dia yang aku sudah fikirkan sejak seminggu yang lepas.

Aku terus tersenyum buat Rayyan. Paling manis!

"Boleh tak bagi Dhia kerja dengan abang? Yang bersesuaian dengan sijil Dhia? Kalau nak bagi yang lebih elok pun boleh." Muahaha.

"Habis itu kedai bunga?"

"Umi dah habis edah lama, abang. Umi kata dia nak jaga kedai semula. Dia dah bosan sangat duduk di rumah. Nak main dengan Raees, budak itu sekolah. Balik je dah penat dan nak tidur. Nenek pula asyik buat kerja rumah je."

Itulah apa yang umi sampaikan kepada aku.

"Jadi Dhia nak minta kerja dengan abanglah ini?"

Aku mengangguk. "Boleh tak? Kalau tak boleh..."

"Esok datang interview. 11 am sharp, abang tunggu di pejabat. Jangan lambat seminit pun. Bawa CV dan segala certificate berkenaan. CV, bukan resume. Pakaian formal, kasut bertutup. Jangan tunjuk walau satu jari kaki. Esok akan ada dua calon akan interview untuk jawatan yang sama. Sepatutnya orang HR yang akan uruskan, tapi sebab Dhia dah bercakap tentang ini, esok abang yang akan nilai sendiri. Tak ada berat sebelah, tak ada cubaan merasuah dengan ciuman, kenyitan mata atau apa saja. Sampai, duduk di luar dan tunggu sampai giliran Dhia. Abang akan tanya soalan yang sama macam calon lain. Tiada perbezaan layanan sama sekali. Kalau lulus, tahniah. Kalau gagal, takziah. Faham?"

Mahu ternganga, tapi inilah Rayyan yang aku kenal. Yang seperti inilah dia yang buat aku tergedik-gedik sampai tak tahu malu sama sekali itu. Aku yang nak sangat dia yang dulu kan? Dia dah bagi, ha terpaksalah hadap!

"Abang ini... Takutlah macam ini." Tapi seram sangatlah! Tengoklah muka dia yang serius tanpa senyuman itu.

Terpacak bulu roma aku! Mesti macam ini jugalah apa yang Raees rasa.

"Takut apa? Lulus atau tidak, itu satu pengalaman. Nak lepas tapisan yang membolehkan calon masuk ke syarikat untuk interview pun sangat-sangat susah. Abang dah bagi Dhia skip banyak langkah, jadi buat yang terbaik."

"Tapi mana sempat nak buat persediaan kalau esok interview itu. CV pun tak ada. Nak cari sijil-sijil lagi. Nak sediakan pakaian lagi. Nak cari tahu maklumat tentang syarikat lagi." Buatlah minggu depan ke, bulan depan ke kan?

"Orang yang banyak alasan takkan pernah berjaya, Dhia. Alasan-alasan itu hanya orang yang malas nak berusaha saja akan guna untuk membela diri," bidas Rayyan.

Terasa dilempang!

"Kalau gagal, boleh cuba lagi? Jawatan lain pula?"

"Kalau ada kekosongan."

Ha?!

"Eii, abang ini. Kalau orang lain mesti akan tolong isteri betul-betul. Abang buat nak tak nak je." Aku mula merajuk. Terus bantal guling diletak di tengah-tengah katil. Membahagi aku dan dia.

Tak nak kawan!

"Dhia harapkan apa? Yang abang akan bagi saja satu jawapan untuk Dhia tanpa saringan seperti orang lain? Atau abang boleh pecat orang lain untuk digantikan dengan Dhia?"

Tak adalah sampai macam itu...

"Dhia tahu tak, itulah yang orang panggil cable? Ramai orang lain yang belajar sama tinggi dengan Dhia, bahkan lebih tinggi daripada Dhia bertungkus-lumus hantar e-mel kepada syarikat, lalui sesi interview online, tunggu saringan seterusnya, kaji dan kaji lagi sebelum dapat masuk ke saringan terakhir iaitu temuduga bersemuka? Tak adil dan tak bertanggungjawab kalau abang tolak mereka ke tepi sebab abang ada calon sendiri. Dah kira aniaya orang tahu tak?"

Aku senyap. Walaupun sebenarnya aku sudah terpujuk kerana turut bersetuju dengan itu, tapi aku sengaja tak mahu bercakap dengan dia. Geram!

Rayyan yang tak romantik!!! Dasar kayu balak!

"Lagipun abang lagi suka kalau Dhia duduk di rumah. Tapi abang juga tak akan halang untuk Dhia bekerja," tambah Rayyan.

Senyap lagi.

"Tak apalah. Esok abang minta dia orang sediakan meja dekat sebelah mesin photocopy. Abang bagi stapler, Dhia kliplah dokumen yang nak dibawa masuk ke bilik mesyuarat setiap hari ye, sayang?"

Aku terus menjegilkan mata. Aku tahu Rayyan mengusik, tapi eii geramnya!

"Tak sukalah abang ini!!!" Tanganku terus memukul geram dadanya. Orang serius, dia main-main pula!

Ketawa kedengaran bila aku terus menggigit tangannya yang cuba menangkap tanganku.

"Okay, okay! Abang tolong Dhia buat CV. Bangun sebelum subuh, abang temankan Dhia buat persediaan ringkas."

Disebabkan itu, aku terus melepaskan tangan Rayyan. Berbekas! Huhu.

"Ganasnya. Kalau macam ini, pintu pun abang tak nak buka. Apatah lagi nak buat temuduga."

Eii, tengok itu! Dia mengusik lagi!

"Abang nak kena gigit lagi ke?" Aku menyoal sebal.

"Asyik gigit je. Cuba cium pula." Rayyan menyentuh pipi sendiri. Isyarat untuk hadiahkan itu di situ.

Aku hanya menjelir lidah sebelum kembali melonggarkan badan yang sempat tegang urat kerana usikan Rayyan tadi. Lagi ada hati nak minta kena cium? Malam sikit!

Eh, memang dah malam.

"Kalau tukang stapler tak nak, kerja keras sikit pun tak nak, Dhia ajelah yang ganti abang dekat syarikat itu. Biar abang jadi suri rumah pula."

Argh!!!

Tak habis lagi rupanya!

"Abang ini! Tak sukalah!"

Pap! Pap! Pap!

Macam pukul nyamuk aku membelasah Rayyan. Tapi dia hanya ketawa dan sesekali mengepit hidungku.

Sehinggalah aku ditarik lalu dibawa untuk berbaring berbantalkan lengannya, barulah pergaduhan manja itu terhenti.

"Dhia buat abang rasa muda," bisiknya.

Hai, mengaku tua pula dia ini?

"Dhia juga buat abang rasa macam suami sebenar. Dihormati," bisiknya lagi.

"Dhia baru je pukul abang." Itu menghormati?

"Itu pukulan manja. Sakit pun tidak. Suami isteri kalau tak ada sesi mengusik, bergaduh manja, tak warna-warnilah hidup."

Oh... begitu.

"Esok lepas interview, abang akan bawa Dhia jumpa orang yang merindui Dhia. Jadi datang interview, jangan malas."

"Abang kata nak bawa hari itu..."

"Tak sempat. Esok pun boleh. Orang itu menunggu kita setiap hari."

Hmm, okay.

"Sekarang, tidur. Esok kena bangun awal," arah Rayyan. Kepalaku terus diusap sebelum ciuman selamat malam dihadiahkan.

Aku menarik tangan Rayyan lalu dibawa ke bibir sambil tersengih malu. "Ampunkan Dhia untuk hari ini, semalam, dulu dan nanti. Untuk yang tadi juga."

Yang belasah dia itu. Hehehe.

Rayyan tergelak. "Abang sentiasa maafkan Dhia. Sebab Dhia juga sentiasa maafkan abang."

Aku tersenyum mendengar itu. Syahdu pula!

Wajah disandar pada dadanya. Tangan diletakkan atas perutnya sebelum aku mengeluh lega apabila mendengar degup jantung Rayyan yang tak sudah-sudah menggila setiap kali aku menyentuhnya.

Selamat malam untuk segala yang indah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience