Bab 50

Romance Series 30734

AKU menerpa ke arah Rayyan dan Jebat yang sedang menarik Kak Qila. Perempuan itu sedang meronta-ronta minta dilepaskan, dan rontaan itu semakin kuat bila matanya terarah ke beberapa kereta polis yang sudah tersadai di sini.

Dekat saja dengan dia, terus penumbuk aku melayang ke rahang perempuan itu. Dia terdongak sebelum percikan darah terkeluar sendiri.

"Kau memang ibu paling binasa dalam dunia ini! Kau tak layak untuk untuk jadi ibu kepada sesiapa saja! Kau tak layak untuk punya rahim dalam tubuh kau!" Dan kali ini, tamparan hinggap pada pipinya.

Dia terteleng dan semakin layu terkulai. Tidak mampu untuk melepaskan diri kerana ada Rayyan dan Jebat yang menahannya.

"Kau tak faham apa itu bergelar ibu. Kau tak ada anak."

Nafasku semakin turun naik saat mendengar suaranya yang sudah separuh berbisik. Tiada tenaga lagi, tetapi sinisnya kedengaran jelas di telingaku.

"Jadi kau faham? Kau ada anak, jadi kau yakin yang kau faham?! Kau faham sangat sampai kau pukul anak kau sendiri?! Kau faham, sehingga kau sanggup buat dia telan ubat batuk sampai dia kena sawan?!!"

Aku nampak reaksi Rayyan yang sudah semakin berang, tapi aku tak peduli! Ini antara aku dan perempuan ini!

"Aku faham kalau kau benci aku sampai sanggup masukkan pil itu supaya kandungan aku gugur. Aku faham kalau yang kau nak sakitkan itu aku dan anak aku. Tapi itu anak kau, Qila! Kau yang patut lindungi dia, Qila!"

Mata Rayyan terbeliak, Jebat sudah mengucap panjang. Melihat reaksi Rayyan, benarlah yang dia tak tahu menahu sebalik cerita tentang kes keguguran aku itu.

"Kau yang buat Dhia telan pil itu?!!" Rayyan terus naik hantu. Lengan Kak Qila yang masih digenggam supaya perenmpuan itu tidak melarikan diri, sudah berurat habis kerana tekanan yang dikeluarkan. 

Kak Qila memandang Rayyan sebelum dia tertawa sinis. "Memang! Memang aku yang buat dia telan pil itu. Dia siapa untuk mengandungkan anak kau? Aku isteri kau, Rayyan! Perempuan ini hanya penyondol! Anak dia memang tak patut hidup! Aku sumpah perempuan ini dan kau tak akan pernah ada zuriat sama sekali!!!"

Pang!

Terus berpusing kepala Kak Qila setelah menerima tamparan tangan Rayyan. Giginya sudah penuh dengan darah, namun dia masih kuat untuk tetap mentertawakan kami.

"Dan semoga Raees juga mati supaya kau dan perempuan ini akan terus menderita selama-lamanya," tambah Kak Qila.

Astagfirullah haladzim!

Raees sudah dikejarkan ke hospital setengah jam yang lepas. Hail dan Izz bersama dengannya. Aku menunggu perempuan ini untuk turun supaya aku boleh balas segala yang dilakukan kepada Raees. Sekarang aku sudah tiada apa-apa yang perlu ditakutkan.

Jadi...

Kakiku naik lalu menendang tubuhnya. Perempuan itu terus terjatuh ke belakang selepas pegangan Rayyan dan Jebat terlucut. Tak habis di situ, aku terus meluru ke arahnya.

"Dhia!" Jebat.

"Diam!!!" amuk aku.

Aku naik ke atasnya. Satu tamparan hinggap. Tangan kanan.

"Aku dah kata! Kau patut bersyukur bila aku tak gunakan tangan ini!" Dua tamparan hinggap. Dia muntah darah.

"Jangan hidup lagi!!!" Pisau dikeluarkan daripada lengan baju. Aku mengangkat tinggi dan terus diacukan ke arah tengkuknya.

Namun terhalang bila tanganku dipegang sekali gus tubuhku ditarik ke belakang, meninggalkan tubuh Kak Qila. Aku melihat Jebat terus menarik Kak Qila jauh daripada aku, sementara anggota polis mula meluru ke arah kami.

 Yang sedang menahan aku sekarang adalah Rayyan.

"Lepas!!!" jeritku saat Rayyan merampas pisau itu sebelum dimasukkan ke dalam poketnya.

"Kau pembunuh!!!" Aku menjerit sekuat hati sambil tangan mencuba untuk mengambil kembali pisau itu.

Namun, tanganku digenggam supaya aku tak boleh mengambil pisau itu semula. Rayyan menarik aku supaya rapat ke tubuhnya. Rontaan aku dilayan dengan baik sehingga yang tersisa hanya tangisan.

"Raees..." Aku merintih.

"Abang tahu. Abang juga sayangkan Raees. Tapi ini bukan caranya, Dhia. Kalau Dhia bunuh dia, Dhia juga akan kena. Dia dah cukup lembik, selebihnya biar undang-undang dan Allah yang membalas. Abang tak boleh hilang Dhia. Raees perlukan Dhia."

Esak tangis aku semakin menggila. Aku seperti orang tidak siuman. Kakiku menendang tanah. Tanganku menumbuk dada sendiri.

Sakitnya, ya Allah! Dadaku sakit. Bukan sakit kerana tumbukan tanganku, tapi sakit kerana apa yang berlaku. Bagaimana seorang ibu boleh melakukan hal seperti itu kepada anaknya? Kenapa orang yang tak layak menjadi seorang ibu seperti dia yang dapat anak sebaik Raees?

Aku menyembamkan muka ke dada Rayyan bila anggota polis mula bertepik mengarah itu ini sebelum perempuan itu dibawa  oleh mereka. Aku tidak mahu melihat perempuan itu lagi. Kalau tidak, mungkin dia akan aku kerjakan sehingga dia benar-benar tak hidup lagi kali ini.

"Darah siapa ini?" Aku dengar suara Rayyan mengumam sendiri.

Aku yakin yang dia baru sedar tentang kehadiran tompokan darah pada pakaian dan tanganku.

Aku ditolak sedikit supaya kami berjarak, sebelum Rayyan mengangkat tanganku yang cedera.

Aku mendesis kesakitan, dan itu cukup untuk memberi jawapan kepada Rayyan. Dahinya berkerut-kerut sebelum tiba-tiba tubuhku dicempung. Rayyan bangun dan berlari entah ke mana, sedang aku hanya menahan sakit.

"Mana ambulans?!" Rayyan menyoal panik.

"Ambulans dah bawa Raees. Kenapa dengan Dhia?" Suara Q.

"Minta tolong polis hantar kami ke hospital! Cepat!!!"

Aku tak tahu apa yang berlaku, cuma aku melihat Q yang terus tergopoh-gapah mendekati seorang pegawai yang sedang berdiri di sisi sebuah kereta peronda. Entah apa yang mereka bicarakan, sudahnya Rayyan masuk ke dalam kereta dan kereta itu dipandu oleh anggota tersebut.

"Cepat, encik! Cepat!" Rayyan menggesa resah sambil aku dipeluk rapat ke tubuhnya.

Aku mendengar siren berbunyi.

"MOMMY..."

"Ye, sayang," sahutku. Tangannya dibawa ke bibir sebelum aku mengucup bertalu-talu.

Raees sudah sedarkan diri. Doktor baru saja keluar untuk memberi aku peluang bersama Raees. Katanya keadaan Raees stabil, namun perlu dipantau kalau-kalau sawan itu berlaku lagi. Bibirnya kering dan pecah. Tubuhnya penuh dengan kesan lebam. 

"Raees sakit," adunya. Bibir tercebik sedih dan manja.

"Mommy tahu. Sebab itu mommy dan daddy bawa Raees ke hospital. Biar doktor hilangkan Raees."

"Tapi Raees takut doktor."

Tergelak aku dibuatnya. 

"Doktor baik. Mereka nak tolong Raees dan tak nak Raees sakit lagi. Raees tak perlu takut."

"Tapi doktor bagi ubat. Aunty jahat itu pun bagi Raees ubat. Raees sakit, mommy. Aunty pukul Raees." 

Bergenang matanya bila membicarakan tentang itu. Pasti ia akan menjadi ketakutan dan trauma terulung sehingga besar nanti.

Oh, anakku.

"Polis dah tangkap aunty itu. Nanti polis akan marah dia untuk Raees, okay?"

"Kenapa aunty tak sayang Raees? Mommy kata, aunty itu mommy Raees. Tapi dia tak sayang Raees pun."

Aku menarik nafas dalam sambil kepala cuba mengatur ayat yang layak untuk telinga budak seusia Rees. Aku takut jika aku memburuk-burukkan perempuan itu.

"Dia sayang Raees, tapi dia tak nampak," jawabku.

"Tapi aunty nak Raees mati..."

Ya Allah, jangan biarkan aku menangis di depan Raees. Bukan sekarang. Dia memerlukan kekuatan, bukan tangisan.

"Dan mommy nak Raees hidup. Raees perlu hidup untuk mommy dan daddy. Raees kena sihat supaya kita boleh hidup sama-sama. Mommy akan jaga Raees sampai bila-bila. Mommy tak akan biarkan sesiapa sakiti Raees lagi." Rambutnya aku usap lembut bila anak itu tersenyum lebar setelah mendengar kata-kataku.

"Mommy, polis ke yang tolong Raees?" soalnya sambil memandang sekeliling kami. Agaknya dia baru terfikir macam mana dia boleh bertukar tempat secara tiba-tiba.

"Tak..." Tak sempat aku menjawab lagi, tiba-tiba suara lain mencelah. Rupa-rupanya Rayyan sudah berdiri di depan pintu wad ini sambil tersenyum nipis. Dia sedang berjalan menghampiri kami sebelum kepalaku dan Raees diusap serentak.

Sejak bila dia masuk entah.

"Mommy yang tolong Raees. Mommy selamatkan Raees berseorangan sampai tangan mommy sakit." Rayyan menuding lenganku yang sudah bertutup rapi.

Hoodie aku sudah digunting mereka memandangkan aku akan lebih kesakitan jika hoodie itu dibuka seperti biasa. Mujurlah di sebalik hoodie aku ada baju T lengan pendek.

"Tangan mommy kena pisau tahu? Tangan mommy kena jahit dengan doktor sebab berdarah banyak. Mommy buat semuanya demi Raees." tambah Rayyan.

"Mommy..." Raees tercebik semula. Dia merintih memanggilku sebelum air matanya jatuh. 

"Kenapa menangis pula ini?" soalku. 

"Mommy sakit juga? Doktor buat mommy?"

Oh! 

Aku dan Rayyan tergelak kecil. Itu yang ditakutkan rupanya. Takut aku sakit. Oh, sayang.

"Mommy tak sakitlah." Aku mengusap air matanya sebelum bangun dan bertukar tempat duduk dari kerusi ke atas katil.

Raees ditarik rapat ke dadaku. Rambutnya diusap lembut bila anak itu tetap menangis seperti tidak mempercayai kataku tadi.

"Okaylah... mommy sakit." Akhirnya aku jujur juga. Dan kejujuran itu membuatkan rintihan Raees semakin kuat. Sedihnya dia.

"Tapi mommy akan lagi sakit kalau Raees sakit dan menangis. Jadi jangan menangis macam ini. Jangan sakit lagi. Cepat-cepat sembuh dan main dengan mommy. Only then, mommy tak sakit lagi." Jariku mengusap air matanya. Mata bertentangan dan aku tersenyum.

"Mommy sanggup dan boleh buat apa saja untuk Raees. Mommy akan hapuskan satu dunia untuk selamatkan keluarga kita. Because I'm your mother and I love you. It's my job to protect you with everything I have, sayang."

"I love you, mommy!" Terus perutku dipeluknya seraya kepalanya dilabuhkan pada pahaku.

"How I wish I could join you, Raees..."

Aku memandang Rayyan yang sedang tersenyum memerhatikan kami berdua.

"Why don't you?" soalku, mengusik.

Rayyan tentulah terus tayang muka terkejut dan berminat. Orang mengantuk disorong bantal!

"I'm tempted. Tapi abang kena uruskan hal dengan pihak polis dulu."

"Tadi abang ke mana?" soalku.

Maksud aku, semasa dia menghilang selepas aku selesai diberi rawatan sehinggalah dia muncul lima jam kemudian di dalam bilik ini tadi.

"Abang balik rumah sekejap untuk tenangkan umi. Dia menangis-nangis bila tahu tentang apa yang jadi pada Raees, terutamanya Dhia."

"Itu je? Kata sekejap, tapi lima jam... sekarang dah jam 1 pagi, abang."

"Abang jumpa perempuan itu. Abang minta untuk bercakap dengan dia sekejap," jawabnya.

Oh?

"Untuk apa?" 

"Abang nak tahu apa yang berlaku. Macam mana dia tahu yang Dhia mengandung, siapa lagi yang terlibat dan segalanya yang abang pasti, Dhia tak mahu jawab atau Dhia sendiri tak tahu."

"Jadi abang dapat jawapannya?"

Rayyan mengangguk lembut. "Mak dia ikut Dhia selepas Dhia keluar. Mereka tahu disebabkan itu."

Wow...

"Abang akan pastikan yang mereka dapat hukuman setimpal. Dia dan perempuan tua itu. Polis akan cari perempuan itu. Katanya, dah lari ke Indonesia lepas pinjam duit dengan ahlong."

Tepat seperti yang Kak Qila ceritakan. Anak dan mak, tak jauh juga tumpah perangainya.

"I owe you the deepest and most sincere apology. I promise I'll make it up to you, lepas abang selesaikan dengan pihak polis dulu. Boleh?"

Aku tersenyum. Tidak mengangguk dan tidak juga menggeleng. Tapi sesudah itu, Rayyan terus mencium dahiku dan Raees, sebelum dia berlalu keluar semula.

Semoga Allah membalas dan membela segalanya. Amin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience