Bab 24

Romance Series 31043

AKU pandang tubuh kecil yang sedang menyorok di sebalik pintu. Pintu itu sudah dibuka sedikit. Bukan aku yang buka, tapi yang sedang mengintai dari luar itu. Sedari tadi dia duduk berdiri di situ sambil mengintai aku. Agaknya dia tak tahu yang aku perasan.

Amboi, dia itu. Kecil-kecil dah pandai skodeng orang ye?

Aku sudah masuk berehat di 'bilik kita' ini selepas dapat tahu yang Rayyan keluar sekejap. Dapatlah aku lelapkan mata dua tiga jam tadi.

Oh, aku setuju untuk duduk di sini buat sementara waktu kerana rupa-rupanya umi sudah berpindah masuk ke sini semalam. Umi sedang sibuk menikmati keindahan kebun bunga di bawah. Kata umi, dialah orang yang bertanggungjawab memilih jenis bunga untuk diletakkan di depan rumah ini. Dan sebab umi suruh aku berehat di sini, maka aku menurut saja. Asalkan aku dah beritahu umi awal-awal yang dua tiga hari lagi kami akan tinggalkan rumah ini dan balik rumah semula.

"Raees," panggilku.

Aku tersenyum bila dia seakan mengecilkan diri di sebalik pintu.

"Marilah masuk. Kakak tak marahlah." Aku cuba bernada ramah. Tak pernah layan budak-budak memandangkan aku yang selalu dilayan. Hahaha.

Lagi satu, sebab aku masih tak biasa dan tak selesa dengan panggilan mommy itu, maka aku bahasakan diri sebagai kakak saja. Siapalah yang ajar dia untuk panggil aku mommy? Sebab tengok gayanya macam dah lama dia diajar untuk gelar aku dengan panggilan itu.

Tersengih aku dibuatnya bila Raees selitkan tangannya sambil angkat jari kelingking.

"Mommy promise?"

Alahai!

"Promised."

Raees jengah kepala ke dalam bilik. Mungkin disebabkan aku sedang tersengih memandangnya, dia terus saja melangkah masuk ke dalam tanpa banyak soal atau takut lagi. Dia berdiri di sisi katil sementara aku duduk di hujung katil.

"Sini, naik." Aku tepuk tilam. Raees lekas panjat katil lalu duduk di sebelahku. Berkuak kakinya di udara.

"Kenapa Raees intai kakak?" soalku, mesra.

"Intai?" Dia membalas dengan muka keliru. Agaknya Raees tak faham apa itu intai.

"Hm, Raees curi-curi tengok kakak dari luar. Raees nak apa?"

"Oh!" Dia tersengih-sengih pula. Macam tengah malu pun ada. Memerah kulit putihnya. Berbeza dengan kulit Abang Rayyan yang sedikit tan.

"Mommy cantik."

Keningku terjongket.

Aku kena puji ke ini?

"Raees tengok sebab kakak cantik ke?" soalku lagi.

Dan bila Raees angguk, mulalah hidung aku nak kembang setaman. Bukan tak biasa dipuji. Tapi budak-budak paling jujur. Tak adalah puji untuk kipas orang semata. Makin kembang hidung aku!

"Raees umur berapa?" soalku. Sengaja nak tanya. Nak tengok sejauh mana budak berumur empat tahun ini sudah berkembang akalnya memandangkan dia memang nampak cerdik semacam.

Raees angkat tangannya. Ditutup satu persatu jari sambil jari lain cuba ditahan supaya tak ikut turun sama. Raees tunjuk tiga jarinya.

"Tapi daddy kata nanti dah empat."

Aku tersenyum. Maksudnya Raees dah menghampiri hari lahirnya ye?

"Apa nama Raees?" soalku lagi.

"Muhammad Raees Hajeri bin Rayyan Hajeri."

Aku tekup mulut. Tahan gelak yang hampir meletus bila dengar pelat Raees. Hajeri! Nama Abang Rayyan bukan Hajeri, tapi Halzeri. Sudah macam pajeri nanas bunyinya. Haha!

Bila lihat aku seperti itu, tiba-tiba Raees meniru caraku. Tangan kecil menekup mulutnya lalu dia tergelak kecil sampai sepet mata besarnya. Alah, comel betul!

"Mommy..." Raees panggil aku.

"Ye saya?" Aku menyambut. Kedua belah tangan menongkat dagu pandang Raees.

"Kenapa mommy kata kakak?"

Oh, aku rasa soalannya adalah kenapa aku bahasakan diri sebagai kakak dan bukan mommy.

"Sebab..." Tapi takkanlah aku nak kata aku bukan mommy dia? Kalau dia tanya lebih lagi macam mommy?

"Erm, cuba tanya daddy nanti." Sudahnya aku pulangkan saja masalah ini kepada Rayyan. Pandai-pandailah dia. Hahaha.

"Okey mommy!"

Dan diam...

"Boleh main dengan Raees?" Tiba-tiba soalan seterusnya keluar. Jari dibawa ke pipi. Pipi dicucuk lalu dia senyum comel. Memujuk!

"Raees nak main apa?"

"Main bola boleh?"

Alamak! Bola? Ada juga yang tertonggeng masa kejar bola nanti karang. Aku ini dahlah kaki bangku. Abang Ardiy pun pernah tegur aku yang begitu teruk dengan bola. Bola dekat depan mata pun aku boleh terlepas tendang. Yang aku pandai hanyalah ikut mereka bersukan dan jadi penonton di tepi sambil cuci mata pandang Rayyan yang lencun dengan peluh sampai nampak semua lekuk tubuhnya.

"Raees suka main bola ke? Yang lain tak suka?"

"Raees suka bola macam daddy."

Oh, yelah. Lupa! Abang Rayyan memang suka main bola. Rajin juga Abang Rayyan dan Abang Ardiy keluar berfutsal pada zaman aku sekolah dulu. Aku selalu menggedik nak ikut sama. Abang Rayyan selalu menolak, tapi Abang Ardiy yang akan bawa aku selepas dapat keizinan umi.

"Tapi kakak tak reti main bola." Aku tayang sengih. Bola beracun tahulah!

"Alah, tak apalah. Raees boleh ajar mommy main bola." Raees tepuk dadanya. Nampak bangga. Comel betul.

Aku dan Raees sama-sama pandang ke arah pintu bila bunyi pintu diketuk kedengaran. Raees terus lompat turun dari katil lalu berlari ke arah pintu bila rupanya yang sedang berdiri di muka pintu bilik ini adalah Rayyan.

"Daddy! Boleh main bola?" Raees menyoal Rayyan pula. Tapi nadanya lebih bersemangat.

Rayyan tersenyum sebelum Raees digendong. Sempat Rayyan pandang aku yang masih duduk di hujung katil sebelum kembali pandang Raees.

"Hari ini tak boleh. Mommy tak sihat. Raees kena bagi mommy berehat cukup-cukup. Kalau mommy main dan mommy sakit, macam mana?"

"Jumpa doktorlah."

"Memanglah kena jumpa doktor. Tapi lepas jumpa doktor, mommy kena duduk dekat hospital. Nanti mommy tak duduk dekat sini lagi. Raees sayang mommy kan? Raees beritahu daddy yang mommy cantik betul tak?"

Raees angguk berkali-kali. Setuju total!

"Raees nak kalau mommy tak jadi duduk sini?"

Raees geleng berkali-kali pula. Bantah total!

"Kalau macam itu, bagi mommy rehat. Tak nak ajak mommy main. Kalau mommy yang ajak, tak apa. Raees kena jaga mommy, faham?"

Raees angguk penuh yakin. Comel!!!

"Tapi Raees nak main bola juga." Raees bongkok badan. Hampa sangatlah itu gayanya.

"Kalau macam itu, daddy teman Raees main. Tunggu daddy di bawah. Sebelum itu cakap dengan mommy yang Raees nak ke bawah dulu. Jangan lupa tutup pintu bilik mommy semula."

"Yeay! Okey daddy!" Raees laju saja kembali kepadaku. Dengan senyuman lebar di pipi, tanganku diraih lalu dibawa ke pipi. Macam bersalam, tapi salam di pipi. Haha!

"Raees nak main dengan daddy. Mommy tidur, okey? Bila mommy sihat, Raees ajak main bola." katanya

Argh, geramnya! Comel betul. Sopan pula itu. Berbeza betul dengan perangai mak dan bapanya. Haha!

Bila selesai minta diri, Raees kembali kepada Rayyan semula. Beritahu yang dia sudah cakap dengan aku sebelum Raees melambai ke arahku. Raees tarik pintu bilik untuk ditutup semula. Sebelum pintu mengesot rapat dan tertutup, mataku bertentangan dengan sepasang mata Rayyan yang nampak...

Lega?

Bila pintu tertutup, aku terus labuhkan kepala atas bantal. Nafas ditarik dan dihembus lelah. Baru seketika tadi perhatian aku dicuri. Aku sempat lupa akan rasa sedih dan kehilangan. Tapi sebaik saja aku ditinggalkan sendirian, terus rasa itu kembali menjengah. Rasa rindu dan kehilangan. Aku cuba untuk berselindung bila berdepan dengan umi. Tak nak umi nampak yang aku bersedih.

Sebab itu jugalah aku ke kedai bunga dan menangis di sana bila tiada pelanggan. Sebab bila di rumah, aku terpaksa berlagak biasa.

Badanku tegak semula bila tiba-tiba pintu diketuk sekali lagi. Kali ini tak terus dibuka.

"Siapa?" soalku.

"Abang."

Oh, suara Rayyan.

Aku terus bangun dan buka pintu. Sebab rasanya Raees dah ke bawah. Aku tak mahu berdua dengan Rayyan dalam bilik dan sekali gus buka ruang untuk dia dekat dengan aku.

Elok saja pintu terbuka, aku lihat Rayyan sedang berdiri di muka pintu. Tenang memandang tepat ke wajahku. Pandangan Rayyan berbeza daripada apa yang aku selalu lihat dulu. Dia nampak dingin, tetapi juga nampak menggetarkan. Apa yang menggetarkan itu aku tak tahu. Yang pasti, kalau aku yang dulu sedang melihatnya sekarang. Aku yakin aku akan pengsan selepas dipanah busur Cupid buat kali kesejuta.

"Kenapa?" Aku buka mulut bila Rayyan senyap.

Dan anehnya, soalan aku dibiar tak berjawab. Dia ketuk pintu, dia pula yang senyap.

"Abang?" Aku memanggil Rayyan. Manalah tahu kalau dia tengah temenung ke apa. Tapi tengok matanya, aku tak rasa dia sedang termenung. Elok saja bergerak memerhati seluruh wajahku.

"Abang nak temankan Raees main bola di halaman rumah. Lagi setengah jam, Dhia turun bawah."

"Untuk?" Dahiku berkerut.

"Abang nak bercakap dengan Dhia."

"Tentang?" Makin berkerut.

Rayyan tiba-tiba senyap semula. Hanya matanya yang masih berlabuh pada wajahku. Anehnya dulu wajahku tak pernah dipandangnya seperti ini. Ini terlihat lebih dalam dan berperasaan.

"Turun sekejap je. Abang nak bercakap dengan Dhia. Tanya khabar Dhia. Bersembang dengan Dhia. Dah lima tahun kita tak jumpa dan bercakap. Abang juga nak tahu perkembangan Dhia selama ini."

Oh, itu je ke? Kalau itu, sekarang pun aku boleh cerita. Pendek saja. Semuanya baik-baik saja di sana. Malahan aku lebih tenang di sana. Dan aku bersyukur sebab aku ikut kata umi dan papa untuk belajar di sana. Kerana di sana, aku berhenti berperasaan atau mengharapkan sesuatu yang mustahil. Kerana di sana, aku sedar aku pernah jadi seorang anak gadis tak matang yang buat orang tak selesa dengan kehadiranku. Kerana di sana juga aku selamat dari segala tuduhan dan dianiaya orang lain.

"Dhia..."

"Turun bawah nanti. Abang tunggu." Tak sempat aku nak bersuara, Abang Rayyan sudah memotong dulu. Sesudah itu, Abang Rayyan terus berlalu pergi.

Dapat aku dengar suara teruja Raees memanggil si daddy yang pasti sedang menghampiri untuk tunaikan janji tadi.

Hai, dia ini. Suka gunakan taktik kotor supaya aku tak boleh melawan dan berdebat dengannya lebih-lebih. Senang saja, bila aku nak melawan, dia terus pergi. Sabar jelah!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience