Hani tiba dengan hanya dua beg pakaian lusuh dan dua orang anak kecil yang menggenggam erat tangan kirinya. Rumah lama yang dimaksudkan Azri terletak hanya di belakang rumah agam mereka besar, berseni kolonial, namun agak suram kerana lama tidak didiami.
Azri memberikan kunci dan menyuruh pekerja membaiki sedikit kerosakan asas — lampu, paip, dan dapur kecil. “Kalau perlukan apa-apa, bagitahu. Rumah ni boleh jadi tempat kau mulakan hidup semula,” katanya sebelum meninggalkan Hani berdiri sendirian di ambang pintu rumah agam itu.
Anara pula mengaturkan jadual tugas Hani — bantu di dapur, kemas rumah utama setiap pagi, sediakan makan malam jika perlu, dan sesekali menjaga anak-anak mereka ketika dia keluar menguruskan hal bisnes kecilnya.
Pada hari pertama, Hani melangkah ke dapur utama rumah itu. Dapurnya moden dan bersih, sangat berbeza dengan dapur kecil di rumah sewanya dulu. Dia cuba mengatur langkah dengan hati terbuka, walau dalam diam, hatinya penuh perasaan bercampur-baur hina, kecewa, marah, dan sedikit... cemburu.
Ketika menyusun pinggan, dia terdengar suara anak Azri, Sofea, memanggil ibunya dari ruang tamu. Suara manja dan ceria itu menyentuh hatinya.
“Anak anak aku tak pernah tahu rasa hidup senang macam tu...” fikir Hani, sambil menggenggam kuat sudip di tangannya.
Malam itu, selepas tugasnya selesai, Hani pulang ke rumah barunya itu. Adam dan Aiman tertidur di ruang tamu yang luas, letih bermain di halaman rumah yang buat pertama kalinya terasa seperti syurga kecil buat mereka.
Hani duduk sendirian di birai katil kayu jati dalam bilik utama. Rumah itu sunyi, seolah-olah menyimpan banyak rahsia.
Dia merenung siling, dan untuk pertama kalinya selepas pemergian Ashram, dia menangis dalam diam bukan kerana sedih semata-mata, tetapi kerana dia tahu… hidupnya di sini bukan hanya tentang bekerja.
Ia tentang bertahan. Dan jika perlu, mengambil kembali apa yang dia rasa patut menjadi miliknya.
Sudah hampir dua minggu Hani bekerja di rumah Azri dan Anara. Setiap pagi, dia akan masuk ke rumah utama seawal jam tujuh, membersihkan ruang tamu, menyapu laman, dan membantu menyediakan sarapan. Walaupun senyuman Anara kelihatan mesra di mata luar, Hani dapat rasa sinis yang diselindung di balik setiap tutur kata wanita itu.
Pagi itu, Hani menyediakan nasi lemak sambal sotong — resipi turun-temurun arwah ibunya. Bau harum sambal yang sedang dikacau membuatkan dua anak Anara, Sofea dan Danish, masuk ke dapur sambil menjerit seronok, “Wangi la makcik Hani masak!”
Anara yang baru turun dari tangga, terdengar pujian itu dan masuk ke dapur. Dia melihat meja makan sudah tersusun kemas dengan pinggan cantik dan lauk-pauk yang membangkitkan selera.
“Awal betul masak hari ni?” Anara bertanya sambil tersenyum nipis.
“Saja. Anak-anak suka, saya masak lebih,” jawab Hani sambil menoleh sepintas lalu.
Anara melangkah mendekati, mengambil sudu dan mencicip sambal di kuali.
“Hmm… pedas sikit. Anak saya tak makan pedas sangat,” katanya perlahan, namun dengan nada tajam.
“Saya masak macam ni sejak kecil. Anak-anak saya makan elok je,” Hani membalas, menahan hati.
Anara mengangkat kening. “Yalah. Tapi ini rumah saya, bukan rumah Hani. Jadi saya harap Hani boleh ikut cara saya di dapur ni. Saya Dan ask anak pun ada selera sendiri.”
Hani menggenggam tangan di balik apron. Sakitnya bukan kerana sambal itu dikritik, tapi kerana cara Anara mengingatkan dia tentang ‘tempat’ dirinya di rumah itu.
“Saya faham. Saya cuma fikir nak bagi yang terbaik… sebab anak-anak Azri pun anak-anak Ashram juga. Kira macam anak saudara saya,” ujar Hani, senyum sinis.
Anara terdiam sejenak. Lalu dia membalas dengan lembut tapi tajam, “Ya, saya tahu Hani ni Isteri Ashram. Tapi tolong ingat, Ashram dah tiada. Dan yang hidup sekarang, saya dan suami saya. Jangan buat sesuatu yang boleh timbulkan salah faham.”
Azri pulang lewat malam itu. Anara sudah lena bersama anak-anak, namun ruang tamu masih terang. Hani sedang duduk di sofa sambil mendukung anak bongsunya, Aiman, yang baru sahaja demam. Wajahnya kelihatan penat dan cemas.
Azri sedang leka menaip sesuatu Di laptop ketika pintu bilik kerjanya ditolak dari Luar. Hani melangkah masuk Dan duduk disofa bilik kerja Azri
“Abang Azri… maaf, Hani tak tahu nak kejut siapa.badan Aiman panas sangat. Klinik 24 jam semua jauh. Saya tunggu je di sini...badannya makin panas, Hani terpaksa minta tolong.” Suara Hani serak, penuh emosi.
Azri segera duduk di sebelahnya dan meraba dahi anak itu. Panas.
“Kenapa Hani telefon Abang?” Azri bertanya lembut.
“Hani tak nak ganggu. Lagipun, Hani tahu Hani cuma orang luar di rumah ni.”
Kata-kata itu membuat Azri tersentak. Ada sesuatu dalam nada suara Hani — seolah-olah menyentuh perasaan bersalahnya sebagai abang ipar.
“Biar abang hantar ke klinik. Cepat, siap-siapkan dia.”
Sepanjang perjalanan ke klinik, Hani diam tapi air matanya mengalir. Sesekali dia menjeling ke arah Azri yang memandu dalam diam.
“Hani rindu Ashram,” katanya tiba-tiba. “Kalau dia ada… mungkin Hanidan anak anak takkan jadi beban pada orang.”
Azri menelan air liur. Tidak tahu bagaimana harus membalas. Dalam hati, timbul satu perasaan pelik simpati bercampur kasihan, dan sedikit keliru.
Keesokan harinya, Anara bangun dan mendapati Azri tiada di bilik. Dia turun ke bawah dan terlihat Hani sedang menyediakan sarapan, sementara Azri duduk di meja makan sambil membantu Adam dengan kerja sekolah.
Anara berdiri seketika, memerhati.
Kenapa suasana ni… lain sangat?
“Awalnya abang turun,” tegur Anara perlahan sambil meletakkan cawan.
Azri tersenyum. “Aiman demam malam tadi. abang bawa dia ke klinik. Kesian Hani terpaksa berjaga sorang-sorang.”
Anara hanya mengangguk. Tapi dalam hatinya, bergelora. Sejak bila Azri mudah tersentuh hati dengan Hani? Sejak bila dia sudi bangun malam hanya kerana anak orang lain demam?
Pandangan Anara kini bukan lagi sekadar rasa curiga. Ia mula berubah menjadi kebimbangan. Setiap kali dia melihat Hani berinteraksi dengan Azri, ada sesuatu yang tak kena. Tindak-tanduk Hani yang terlalu berhati-hati, dan cara dia selalu mencuri pandang ke arah Azri seolah-olah sedang mencari perhatian, semakin merisaukannya.
Beberapa scene dari drama Indonesia bertajuk Ipar Adalah Maut terlintas di fikirannya. Dalam drama itu, seorang wanita yang terdesak akibat kehilangan suami mula mendekati abang iparnya dengan pelbagai cara halus, berusaha untuk meraih kasih sayang dan tempat dalam hidup lelaki itu. Anara tidak dapat menepis rasa curiga, apakah Hani, dengan segala kelembutannya, sedang memainkan permainan yang sama?
“Jangan jadi paranoid, Anara,” bisik hati kecilnya. “Hani cuma seorang balu. Tak ada salahnya jika dia perlukan sedikit perhatian. Tapi kenapa aku rasa macam ada yang tak kena?”
Anara menggelengkan kepala, cuba menenangkan fikirannya. Tetapi perasaan tidak senang itu semakin membesar. Hani bukan lagi sekadar pembantu rumah yang datang untuk membantu — dia sudah mula menjadi sesuatu yang lebih rumit daripada itu.
Kini, setiap langkah Hani di rumah itu, setiap senyumannya yang terukir ketika Azri ada, hanya menambahkan kebimbangan yang terpendam dalam diri Anara.
Share this novel