"Aku call berkali-kali, kau tak angkat pun! Campak je phone tu dalam longkang. Apa guna ada phone kalau tak reti guna!" Sembur Wahid sebaik sahaja Ayu melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Terkelip-kelip mata wanita itu melihat ketegangan pada wajah Wahid. Aik, baru sampai dah kena marah?
"Yang kau call aku banyak kali tu buat apa? Dah tahu aku takkan angkat kan?" Kali ini, Ayu pula membalas sindiran Wahid. Wahid terdiam seketika. Terpukul dengan kata-kata yang keluar daripada mulut wanita di hadapannya. Dia bermati-matian mengambil berat tentang Ayu, namun usahanya tidak dihargai sama sekali.
"Saja. Nak tengok kau masih hidup ke tak." Wahid mengeluh dalam diam. Ayu tersengih kala air muka Wahid berubah masam. Betul-betul menunjukkan bahawa dia sedang merajuk.
"Yang kau emo sangat ni kenapa? Period?" Ayu melebarkan pandangan ke luar kafe. Cantik juga persekitaran kafenya. Nampak ceria dengan tanaman bunga-bungaan. Terdapat juga kolam ikan di penjuru taman bunga itu. Memang sesuai dijadikan sebagai port ber'dating' dengan pasangan.
Tapi, kurang sesuai pula jika mahu membawa kanak-kanak kecil. Habis dicabut segala bunga di atas pokok-pokok itu nanti. Nyawa ikan-ikan di dalam kolam juga perlu dipertikai jika hendak membawa anak-anak berkunjung ke kafe ini. Maklumlah, budak-budak sekarang, terlalu dimanjakan oleh ibu bapa sehingga nakal tidak bertempat.
"Ini pesanannya. Nak order apa-apa lagi ke?" Soal Ayuni sejurus selepas menghidangkan pesanan berupa minuman dan makanan ringan di atas meja Wahid dan Ayu.
Ayu memicingkan matanya saat Ayuni mengulum senyuman kepada Wahid. Silih berganti dia memandang wajah pelayan perempuan itu dan juga Wahid yang kelihatan tidak ambil peduli dengan keadaan sekeliling.
"Korang dua kenal ke?" Ayuni mengganggukkan kepala, sementara Wahid buat tidak tahu saja. Masih dalam fasa merajuknya.
"Oh...patutlah mesra semacam. Couple ek?" Soalan keduanya mendapat gelengan daripada Ayuni. Wahid pula membalasnya dengan jelingan tajam. Serta merta senyuman Ayu mati. Salah tanya ke?
"Excuse me. Nampak mesra sikit, dah cop pasangan kekasih. Mana common sense kau?!" Ayu tersenyum seperti kerang busuk saat Wahid menjegilkan biji mata ke arahnya. Wanita itu hanya mampu menggaru kepalanya tidak gatal bagi menutup rasa malu.
"Kami kenalan je Puan. Dulu, Doktor Wahid pernah rawatkan saya." Terangguk-angguk kepala Ayu seakan burung belatuk. Wajah datar Wahid dilirik sekilas melalui ekor mata.
"Maaflah. Saya tak tahu. Maaf ya..." Ayuni membalas ucapan maaf itu dengan senyuman tipis. Selesai menghidangkan pesanan mereka, Ayuni masuk semula ke ruangan dapur kafe untuk menyiapkan pesanan yang lain pula.
"Kau masih ingat Arshad?" Ayu mengerutkan dahi kala nama itu terpacul keluar dari bibir Wahid. Lama dia mengerah otak, cuba mengingati nama yang disebut oleh Wahid sebentar tadi. Rasanya dia pernah dengar nama itu sebelum ini, tapi dia tidak ingat di mana.
"Budak kelas kita dulu. Yang sombong nak mampus tu..." Barulah Ayu ingat siapakah orangnya.
"Ha...ingat, ingat. Yang terpaling handsome dalam kelas kau tu kan?" Sekali lagi Ayu dijeling tajam. Geram pula rasanya bila Ayu memuji Arshad. Aku pun handsome juga kut dulu. Takde pun yang puji.
"Terpalinglah sangat..." Sudut bibirnya ternaik sedikit. Meluat dengan kerenah wanita di hadapannya.
"Kenapa dengan dia? Dia ke pemilik kafe ni?" Bersinar anak mata Ayu bila mendapat tahu bahawa kafe secantik ini rupa-rupanya milik Arshad, kawan sekolah lamanya. Hebat! Di usia muda, lelaki itu dapat menjadi pemilik sebuah kafe bertaraf 4 bintang.
"Lambat lagi dia nak beli kafe. Budak tadi tu, bakal isteri dia." Ternganga terus mulut Ayu. Kaku bak tunggul kayu sambil memandang wajah tenang Wahid dengan rasa tidak percaya. Biar betul?
"Seriuslah? Budak tu bakal isteri Arshad? Budak terpaling acah dekat sekolah kita tu?" Bola mata Wahid berputar, sebal dengan pertanyaan Ayu. Nak aku ulang berapa kali lagi?
"Tak faham bahasa Melayu rupanya...Kesian..."
"Ish, cepatlah. Betul ke budak tadi tu bakal isteri Arshad?" Wahid buat-buat tidak dengar. Minum caramel machiato lagi bagus. Sedap dan tidak menyakitkan hati seperti manusia di depannya ini.
"Apa kes dengan bekas suami kau tu? Dia ada ganggu kau lagi?" Ayu lekas menggelengkan kepala. Kek pandan yang dipesannya tadi disuap sedikit ke dalam mulut. Boleh tahan sedap kek kegemarannya di kafe ini.
"Tapi, ada dua tiga kali juga dia call aku. Aku tak angkat. Malas." Wahid memandang pelik wajah tanpa reaksi wanita itu.
"Call kau buat apa?" Soalnya, kurang senang.
"Minta maaf. Dia dah kena kifarah atas perbuatan dia dulu." Balas Ayu sebelum meneruskan kunyahan.
"Banyaklah dia punya kifarah. Entah-entah dia reka cerita je semata-mata nak menimbulkan rasa simpati dalam diri kau." Ujarnya dengan bersungguh. Dia lelaki, dia tahulah taktik kotor lelaki lain.
"Tak rasanya. Kali ni, aku yakin dia bercakap benar." Sokong Ayu pula.
"Mana kau tahu yang dia cakap benda betul?" Nada suara Wahid naik seoktaf.
"Adik sepupu dia tu, kawan adik saudara aku. Betul apa yang Razman cakap dekat aku tu. Dia sekarang ni tengah terseksa hidup dengan bini baru dia." Air oren sejuk dalam gelas disedut perlahan. Lega sikit tekaknya.
"Dah tu, kau nak cakap yang kau kesianlah dekat dia?" Jelas riak tidak puas hati Wahid di situ.
"Entah. Tapi aku rasa happy bila tahu dia tengah susah sekarang ni. Biarlah dia rasa apa yang aku rasa dulu. Barulah hidup ni adil bukan?" Ayu tersenyum kelat.
"Anyway, kalau dia ajak jumpa, kau jangan pergi. It's dangerous." Pesan Wahid dengan lembut. Dia tidak percaya terhadap Razman. Lelaki itu penuh dengan tipu helah dan muslihat. Silap haribulan, dia menculik Ayu dan menyeksanya seperti sebelum ini kerana dendam.
3 tahun yang lalu...
"Lepaskan akulah Razman...sakitlah!" Mata-mata yang sedang memandang sedikitpun tidak mengentarkan Razman. Tubuh Ayu diheret ke halaman lalu kepalanya dihantuk berkali-kali pada tiang besi. Ayu hanya mampu meraung kesakitan.
Sayup-sayup suara-suara sumbang menyapa pendengaran Ayu. Pasti jiran-jirannya sedang mengutuk perbuatan Razman seperti selalu, tapi tiada satu pun yang berani menghalang lelaki itu dari terus menyakiti tubuhnya tanpa belas kasihan.
"Tolong lepaskan aku! Aku sakit Razman! Tolong! Tolong!" Malangnya, raungan itu hanya menjadi tontonan umum semata-mata. Tiada yang mara ke hadapan untuk menghulurkan bantuan. Hanya esak tangisnya sahaja menjadi saksi ke atas setiap kesakitan yang sedang dialaminya.
Bersambung...
Share this novel