KLAK! Tombol pintu dipulas perlahan lalu Ayuni menyusup masuk ke dalam bilik yang masih gelap tanpa biasan cahaya itu.
Lantas, kaki yang sedang menggeletar hebat itu melangkah menuju ke arah katil, menyusuri suasana yang gelap gelita, sebelum dia berhenti tepat di penjuru katil, meneliti wajah pucat Azimah yang sedang tertidur pulas di situ. Kesian opah...maafkan Yuni sebab tak dapat jaga opah malam tadi...
Pasti opah rasa selesa sikit kan, sebab dapat tidur kat atas tilam yang empuk ni? Ada selimut yang tebal, tak koyak sana sini macam selimut lama kita, ada bantal yang lembut, kita tak perlu tidur dah dalam kesejukan.
Bilik itu dilengkapi dengan semua keperluan. Tiada yang kurang. Walau tidak semewah kamar Mukhriz, mahupun Arshad, Ayuni bersyukur dengan ihsan majikannya kerana bermurah hati menyediakan terlalu banyak kemudahan asas kepada mereka berdua di rumah ini. Kebajikan mereka juga lebih terjamin di sini. Makan, pakai mereka terjaga. Tidak pernah lagi, mereka tidur dalam kelaparan selama bekerja di rumah itu.
Tidak dinafikan, Ayuni suka tinggal di situ, sehinggalah kejadian buruk itu berlaku. Dia mahu melarikan diri, namun mahu pergi ke mana? Takkan nak menyusahkan opah lagi? Mana opah nak tinggal kalau kami keluar dari sini?
Saat memikirkan semua persoalan itu, Ayuni mula sebak. Jiwanya kembali galau, luka yang masih belum kering itu sekali lagi berdarah. Dadanya sesak, seakan sedang dihempap oleh seketul batu yang sangat besar, sehingga dia sukar bernafas. Mengapa hidupnya selalu ditimpa musibah? Tidak bolehkah dia hidup bahagia walau untuk seketika?
Dia menyentuh lembut kawasan lengannya yang bengkak dengan kesan cakaran dan gigitan itu. Benci! Semua ini terjadi angkara nafsu serakah jantan tak guna tu! Hancur, segala harapan yang pernah diletakkan oleh opah terhadap aku, hancur kerana syaitan itu!
Kalaulah, dia melawan lebih kuat, sehabis dayanya semalam, pasti perkara ini tidak akan terjadi. Tapi, mana mungkin dia mampu membatasi tenaga Arshad yang sudah sememangnya jauh lebih kuat berbanding dirinya.
Ayuni sedar, sesalan ini tidak mungkin dapat membantunya memutarkan waktu, apatah lagi membetulkan kembali keadaan seperti sedia kala.
Rasa kesal itu tertancap begitu dalam sehingga ke dasar hatinya. Apa yang harus dia lakukan selepas ini, agar kenangan buruk ini terus lesap dari ingatan buat selamanya? Bagaimana dia mahu hapuskan penderitaan ini?
Pertanyaan-pertanyaan itu berulang-ulang menyelit dalam ruangan mindanya, sehingga menganggu kewarasan Ayuni.
Dia tidak dapat merasakan apa-apa pada saat itu. Kedua belah kakinya terasa ngilu sebelum dia hilang imbangan lalu rebah ke atas lantai.
Kepala yang sarat dengan pelbagai persoalan itu terus disembamkan di atas lutut, lalu dia menangis semahunya. Biar beban ini mengalir bersama air mata aku.
Siapa sahaja yang boleh menerima sisa buangan seperti dirinya? Mahukah Arshad bertanggungjawab jika apa-apa yang tidak diingini berlaku?
Macam mana kalau aku mengandung? Aku takut Ya Allah, aku takut...Sungguh aku tidak menyangka, ujian sebesar ini akan menimpa diriku...Apa sahaja jalan yang ada untuk aku kembali bangkit dan meneruskan hidup seperti biasa, jika dalam kepala aku asyik terkenang peristiwa hitam itu?
Dada dan bahu bergandingan turun naik menarik dan menghembus nafas, dalam kepayahan. Esakannya semakin kuat sehinggalah dia merasakan ada satu sentuhan lembut pada kepalanya. Sontak dia mengangkat kepala lalu menoleh ke belakang.
"Kenapa cucu opah menangis ni?" ,Semakin deras air matanya mengalir. Terus tubuh lesu Azimah ditarik ke dalam dakapan sebelum dia menghamburkan segalanya di atas bahu neneknya.
"Kenapa ni Yuni? Cuba cakap dengan opah? Kenapa? Jangan buat opah risau macam ni..." Belakang badan Ayuni yang sedang berombak itu diurut perlahan, cuba memujuk supaya dia bertenang. Luluh hatinya melihat tangisan satu-satunya cucu yang dia tatang bagai minyak yang penuh sejak hari pertama dia dilahirkan ke dunia ini.
"Yuni..." Nama itu disebut lagi. Perlahan, namun masih dapat didengari oleh Ayuni.
"Nangislah, kalau itu boleh membuatkan kamu rasa lega." Rambut Ayuni diusap lembut. Lama-kelamaan, tangisan cucunya kedengaran semakin perlahan.
"Kamu rasa lebih tenang sekarang?" Soalan itu mendapat gelengan daripada Ayuni. Dia masih mencari kekuatan untuk menceritakan apa yang sudah terjadi terhadap dirinya. Dia takut opah akan kecewa dan marah.
"Ayuni, penat ke? Maaf opah dah menyusahkan kamu semalam. Opah demam. Maaf..." Sekali lagi Ayuni menggeleng. Kali ini, air matanya semakin deras mengalir ke pipi.
"Kenapa ni cu...Risau opah tengok. Dato marah Yuni ke?" Kepala Ayuni tertunduk ke bawah. Walau bagaimanapun, aku kena terus terang dengan opah. Aku kena bertanggungjawab atas apa yang sudah terjadi.
"Yuni, rehatlah dulu. Bila Yuni dah sedia, cerita kat opah. Opah nak ambik wuduk." Azimah menepuk lembut bahu Ayuni, sebelum bangun dari katil.
"Opah..." Langkah Azimah terus terhenti saat Ayuni menarik lengannya untuk tidak berganjak dari situ. Bertambah hairan dia terhadap sikap cucunya.
"Kenapa ni cu?..." Ayuni tatap lama wajah Azimah.
"Opah...maafkan Yuni. Maafkan Yuni sebab gagal jaga diri." Tangisannya bersambung lagi.
"Opah tak faham...Yuni." Azimah memandang Ayuni dengan tatapan kosong. Sungguh dia tidak faham. Lantas, Ayuni bangun dari katilnya, dan menekan suis lampu bilik. Keadaan menjadi terang benderang.
Azimah terkedu saat melihat wajah dan lengan Ayuni yang bengkak dan penuh dengan kesan cakaran itu. Pandangannya naik pula pada kawasan leher Ayuni, yang merah-merah.
"Nek...Ayuni...kesucian Ayuni diragut tanpa belas kasihan oleh binatang tu nek!" Bagaikan ada satu batu yang menghempap dada. Azimah terkedu mendengar berita itu. Jatuh air mata, menangisi nasib yang menimpa cucunya.
Ya Allah, ujian apa ni...Allah! Saat itu, Ayuni berlari mendapatkan Azimah. Tubuh opahnya dipeluk erat. Hancur hati Ayuni, hancurlah juga hati Azimah. Mengapa hal ini harus berlaku pada cucu aku Ya Allah?
"Encik Arshad?" Arshad panggung kepala saat namanya disebut. Dalam keadaan tubuh yang sedang bergetar kuat, Arshad berterusan mencuba untuk menahan dirinya dari menghamburkan tangisan di situ.
Dia mengumpulkan semula nafasnya sebelum memalingkan wajah, ke arah seorang lelaki yang sedang menunggunya di hadapan sebuah bilik yang suram.
Lelaki itu lengkap berpakaian uniform putih. Arshad tahu tugasnya, dan dia tidak mahu mendengar apa-apa pun, daripada mulut lelaki berkenaan.
Dia bimbang, dirinya akan lemas dalam rasa sesalan. Sesalan kerana mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang anak, pada detik-detik terakhir seorang bapa menghembuskan nafas terakhirnya.
Dia berzina tanpa mempedulikan apa-apa, sehingga terlupa, ada satu nyawa yang sedang membina harapan demi dirinya dan kini, orang itu sudah tiada. Sudah pergi jauh, terlalu jauh meninggal dirinya keseorangan melayan perasaan bersalahnya tanpa sesiapa di sisi.
Dia terlalu taksub dengan kebebasan sehingga alpa dengan kehidupan di dunia sebenar. Kata-kata doktor sebelum dia dibawa ke ruangan yang menempatkan jenazah Mukhriz, masih terngiang-ngiang, berulang-ulang menusuk sekeping hatinya.
"Dato' Mukhriz meninggal semasa dalam perjalanan ke hospital. Staf yang bertugas waktu tu, ada bagitau, yang Dato asyik sebut nama Arshad. Dan dia bagi telefon bimbit dekat staf tu untuk call anak dia, tapi tak dapat. Lepas beberapa saat, arwah hembuskan nafas terakhir."
"Saya." Dia menjawab dengan lemah, sehingga tidak dapat didengari oleh pegawai di bilik mayat itu. Namun, pegawai itu masih mengangguk dan cuba untuk menguntumkan senyuman walaupun tipis demi menjaga hati keluarga si mati.
Sudah begitu rutinnya hampir setiap hari. Mana mungkin, orang yang baharu sahaja kehilangan ahli keluarga, kelihatan bersemangat bukan? Jadi, dia faham benar situasi yang sedang dialami oleh jejaka di hadapannya.
Wajah jejaka itu diteliti sekilas. Kacak, namun nampak sedikit kusut dengan rambut yang tidak terurus. Mengenakan baju t-shirt putih dan berseluar tidur. Dia mengerti. Pasti Arshad bergegas ke hospital selepas mendapat panggilan tadi.
"Silakan masuk." Pelawanya sambil menahan pintu bilik yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan untuk menguruskan jenazah, sebelum dipulangkan kepada ahli keluarga mereka.
Arshad masuk dalam keadaan cukup gementar. Saat itu, ada satu perasaan asing menjentik ruang hatinya. Bilik itu benar-benar membuatkannya terasa bagai berada di dunia lain. Dunia yang mungkin menjadi persinggahannya juga pada masa akan datang, tetapi cuma harinya sahaja dia tidak tahu. Dia terdiam sambil menatap tepat pada sekujur tubuh kaku yang sudah berbalut kepalanya di atas meja mayat.
"Silakan Encik." Arah pegawai itu dengan lembut. Arshad hanya mampu mengangguk lemah, tetapi kakinya tidak mahu menjejak ke hadapan walau selangkah pun.
Matanya masih lagi tertumpu tepat pada wajah bapanya yang sudah membiru, namun kelihatan cukup tenang. Terdapat sedikit kesan luka pada bahagian bahunya. Serta merta air matanya jatuh. Tidak kuat lagi untuk menampung beban yang perit ini. Selama mana dia mahu menutup kesakitan ini?
Pegawai itu hanya memerhati. Melihat pada reaksi yang ditunjukkan oleh Arshad, dia yakin bahawa jenazah yang berada di hadapannya memang betul-betul merupakan ahli keluarga kepadanya.
Dia menarik semula kain putih, menutupi keseluruhan jasad yang sudah kaku itu. Perlahan dia merapati Arshad yang masih tertunduk melayan perasaan.
"Tak baik menangis lama-lama. Arwah pergi ke tempat yang baik-baik. Sedekahkan Al-Fatihah, berdoalah agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman kepada-Nya. Redhakan pemergian beliau." Lembut sekali tutur katanya, namun terasa begitu sukar untuk Arshad hadamkan. Bagaimana dia mahu terus reda? sedangkan itu adalah bapanya.
hi readers semua...maaf author lambat lagi upload new chap...busyyyyy sgt2 and kadang hilang mood nak ngarang sbb penat. Happy reading, and maaf kalau ada kekurangan :)
Share this novel