Detik yang dinantikan sejak sekian lama pun tiba. Ayuni bersiap ala kadar sebelum menilik penampilannya pada pantulan cermin.
Terukir kemas barisan gigi putihnya kala melihat diri yang kelihatan anggun mengenakan dress ungu muda itu. Selesai merapikan diri, Ayuni mencapai beg silangnya lalu keluar dari bilik tidur.
"Opah, Yuni pergi dulu ya?" Azimah menganggukkan kepala sebelum membalas dengan satu senyuman nipis. Setelah menyalam tangan Azimah, Ayuni segera menyarungkan sandalnya sebelum bergegas naik ke dalam kereta yang terparkir di perkarangan rumah.
"Awak nampak terlebih cun hari ni... Rasanya, tak salah, kalau saya nak culik awak, lepas tu kurung dalam bilik bawah tanah lama-lama, kan?" Ujar Arshad sebaik sahaja Ayuni melabuhkan punggungnya di tempat duduk penumpang di sebelah.
Gadis itu tersipu malu kala menyedari sorotan mata Arshad yang melekat padanya. Nasib sekarang dia sudah menyukai lelaki itu. Cuba kalau dulu Arshad memandangnya dengan pandangan sebegitu, pasti sudah lebam tulang pipinya.
"Jaga pandangan ya Encik Arshad..." Menyedari kekhilafan diri, Arshad segera melarikan pandangan ke cermin hadapan keretanya.
Cepat-cepat beristighfar dalam hati, sambil menarik nafas dalam. Terpegun dengan kecantikan sang permaisuri hati sehingga terlupa tentang batas pergaulan mereka yang tidak mempunyai apa-apa hubungan yang sah di sisi agama.
"I'm so sorry. Saya, tak sengaja." Luahnya serba salah. Ayuni tersenyum tipis sambil menganggukkan kepalanya.
"It's okay. Lain kali, jangan buat dah tau..." Pesannya dengan lembut. Tidak sampai hati mahu merajuk lama-lama. Nanti, dia yang terseksa.
Sepanjang perjalanan, Ayuni seakan tenggelam dalam fikirannya sehingga tidak sedar akan panggilan Arshad di sebelah. Lelaki itu mendengus sebelum menggelengkan kepala. Perlahan dia memberhentikan kereta di bahu jalan sebelum menghadap Ayuni yang masih berada dalam dunia sendiri.
Tangan dilambai di hadapan wajah kosongnya kala tiada sahutan yang diterima. Betul-betul berangan ni...
"Hello? Are you there?" Sekali lagi Arshad mengoyang-goyangkan tapak tangannya di hadapan wajah Ayuni. Selang beberapa saat, kelihatan kelopak mata gadis itu bergerak.
"Err, ya? Kenapa?" Soalnya bersama pandangan kosong. Masih mamai.
"Berangan apa sampai tak dengar apa yang saya cakap?" Ayuni tergamam sejenak. Kotak ingatan cuba dikorek bagi mengingati kata-kata yang baru diucap oleh Arshad namun, sepertinya dia tidak dengar apa-apa.
"Hah, tulah. Berangan lagi pagi-pagi...Pakai seatbelt tu sayang..." Terkebil-kebil dia merenung senyuman yang terukir pada bibir Arshad. Seperti lembu yang dicucuk hidung, Ayuni menarik lalu memasang tali pinggang keledar seperti yang diarahkan oleh Arshad.
Tadi, dia terlalu leka memikirkan tentang reaksi Adwa. Mahukah anak kecil itu menerimanya semula sebagai ibu? Dia sudah lama kehilangan hak untuk menuntut Adwa daripada Arshad apatah lagi, menagih kasih sayang daripada anak yang pernah dibuangnya satu ketika dahulu. Rasa malu menyelubungi Ayuni.
Arshad melirik beberapa kali ke sebelah sebelum tersenyum nipis. Dia tahu kebimbangan Ayuni.
"Jangan risau. Adwa okay je dengan awak. Sayang janganlah gelisah sangat okay?" Brek dipijak kala lampu isyarat berubah merah. Lengan Ayuni yang berlapik itu diusap lembut. Menyalurkan sedikit kekuatan kepada gadis itu untuk kembali tenang. Dia yakin, Adwa pasti akan menyukai Ayuni.
"Sa...saya takut." Jawab Ayuni dengan perlahan.
"Takut apa? Adwa tak makan orang." Selorohnya, namun tidak mengundang senyuman walau secalitpun pada wajah gusar Ayuni.
"Saya takut dia tak suka dengan saya." Entah mengapa, kenyataan itu terus bermain dalam fikirannya sejak dari rumah lagi. Dia tidak mampu menepis realiti itu.
Adwa tidak pernah kenal, apatah lagi melihatnya selama 4 tahun. Mahukah anak itu mendekatinya nanti? Akankah Adwa menyambutnya sama seperti anak-anak kecil lain menyambut kepulangan ibu mereka? Dengan tangan didepa luas, bibir yang dipenuhi dengan senyuman lebar, keterujaan mahu memeluk tubuh si ibu. Dia menjadi tertanya-tanya.
"She will like you. Trust me. Awak kan ibu dia..." Arshad memujuk lagi. Dia yakin Adwa tidak akan bersikap dingin dengan Ayuni. Sejak dari kecil, dia sudah menunjukkan gambar-gambar Ayuni dan memperkenalkan gadis itu sebagai ibu Adwa.
"Awak rasa, Adwa akan suka ke dengan hadiah saya?" Kotak yang terbalut kemas itu dibelek lama. Bimbang ada yang terkurang sehingga membuatkan Adwa tidak menyukai hadiah pemberiannya. Kata Arshad, Adwa gemar menonton animasi Boboiboy, jadi dia membalut hadiah itu dengan balutan yang bercetak gambar-gambar animasi tersebut.
"Mestilah dia akan suka. Please don't worry too much. Kita dah nak sampai ni..." Ujar Arshad sebaik sahaja kereta mereka masuk ke dalam sebuah simpang.
Kereta diparkir di bawah garaj. Ada beberapa buah lagi kereta yang tersusun di dalam garaj itu. Arshad menanggalkan tali pinggang keledarnya sebelum melangkah keluar dari kereta. Begitu juga dengan Ayuni.
"Jom..." Ayuni mengekori langkah Arshad dari belakang. Semakin hampirnya mereka dengan muka pintu, semakin kuat debaran jantung Ayuni. Antara rasa suka dan rindu, terselit juga rasa sedih serta takut terhadap Adwa.
"Duduk dulu. Saya nak naik ke atas sekejap. Panggilkan Adwa." Ayuni mengambil tempat di salah sebuah sofa sebelum memerhati Arshad yang sedang menuju ke tingkat atas. Tidak lama selepas itu, Nita muncul bersama segelas jus oren yang masih sejuk.
"Jemputlah minum. Adwa baru je tidur." Ayuni menyambut huluran Nita sebelum tersenyum manis.
"Terima kasih. Susah-susah je..." Nita turut membalas dengan senyuman nipisnya sebelum berlalu masuk ke dalam dapur semula. Ada kerja yang perlu diselesaikan.
Pintu bilik ditolak perlahan. Arshad menjenguk sedikit keadaan bilik yang masih gelap. Kelihatan Adwa terbaring bersama boneka beruangnya di atas katil.
Arshad mendekati katil Adwa sebelum melabuhkan punggung di birai katil. Ubun-ubun anaknya dielus perlahan. Selang beberapa minit, kelopak mata Adwa bergerak-gerak, menandakan dia sudah bangun.
"Assalammualaikum, anak babah yang terpaling comel, terpaling manis, terpaling cantik di dunia...Adwa tidur ya tadi?" Hidung anaknya dicuit lembut.
Anak kecil itu mengangguk sebelum bersandar pada kepala katil. Wajah ceria bapanya ditatap lama.
"Kenapa ni? Adwa penat ke?" Arshad lantas melekapkan tapak tangannya pada dahi Adwa. Suhu badannya masih terasa normal. Tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk.
"Jom, ikut babah ke bawah. Ibu dah sampai." Serta merta wajah si kecil itu berubah. Tanpa menunggu lama, Adwa melompat turun dari katilnya lalu berlari ke arah anak tangga.
"Perlahan Adwa...nanti jatuh." Arshad terpaksa mengejar langkah Adwa dari belakang.
Ayuni membelek lagi balutan pada kotak hadiah itu. Risau jika ada yang terkurang. Dia mahu berikan yang terbaik buat Adwa.
"Adwa, be careful sayang..." Belum sempat Arshad menghalang Adwa, anak kecil itu terus menerkam Ayuni yang sedang duduk di atas sofa.
Serta merta terlepas kotak hadiah itu dari tangan Ayuni. Lehernya dipeluk erat dari tepi. Perlahan dia menoleh ke sebelah sebelum hanyut dalam tangisan.
Tubuh anak kecil itu dibawa ke riba lalu dipeluk erat. Pipinya dikucup berkali-kali.
"Maafkan ibu...maafkan ibu sebab buang Adwa sebelum ni...Ibu berdosa, ibu berdosa pada Adwa. Ibu jahat...ibu sanggup tinggalkan Adwa..." Semakin deras air matanya mengalir.
Bersambung...
Share this novel