Bab 28: Perjanjian

Short Story Series 116383

"Ini kertas perjanjian tu. Awak boleh sign di sini." Sehelai kertas terus diletakkan di atas meja lalu ditolak ke arah Ayuni.

Isi yang terkandung di dalam helaian itu diteliti dengan tenang sebelum dia melirik sekilas ke arah Azimah yang tekun memerhatikannya sejak tadi.

Ada sesuatu yang cuba disampaikan oleh neneknya, namun Ayuni buat tidak tahu sahaja. Dia tahu apa yang bakal diperkatakan oleh Azimah. Namun, Ayuni tidak peduli lagi. Ini demi masa depan mereka berdua.

Berapa lama lagi mereka mahu hidup di bawah ehsan orang lain? Sampai bila mereka mahu tinggal di rumah ini dan mengharapkan gaji yang tak seberapa demi menyara kelangsungan hidup di kemudian hari nanti? Sampai bila mahu terus mengumpul wang? Setahun? Dua tahun? Lima tahun? Ayuni sudah penat!

Mahu membeli sehelai baju pun mereka terpaksa berkira. Bukan mudah untuk mencari wang yang mencukupi untuk menyara mereka berdua di bandar ini, setelah mereka keluar dari rumah Mukhriz.

Wang yang cuba dikumpul juga, tidaklah seberapa mana dan mustahil mampu menampung hidup mereka selama beberapa bulan sehinggalah dia berjaya menemukan kerja yang sesuai.

Oleh itu, Ayuni terpaksa mengambil keputusan yang cukup berat, demi kelangsungan hidup mereka berdua di luar nanti. Dan rasanya, perbuatannya ini tidak salah, kerana Arshad sendiri bersetuju dengan permintaannya. Jadi, dia pun ikutkan sahaja. Janji, hidupnya lebih terjamin.

Tanpa berfikir panjang, Ayuni segera menurunkan tandatangan di ruangan yang tersedia sebelum menghulurkan kembali helaian itu kepada lelaki di hadapan.

"Baik. Rasanya itu sahaja. Nanti, saya akan berikan salinan perjanjian ini kepada Encik Arshad dan Puan..."

"Cik...saya belum berkahwin." Ayuni mencelah tiba-tiba. Peguam itu lantas mengangguk sebelum tersenyum hambar.

Arshad pula tidak bersuara sejak tadi. Dia menyerahkan bulat-bulat urusan ini kepada peguam keluarganya, Dato' Idham. Azimah juga masih berdiam diri. Sejak dari rumah lagi, dia tidak banyak bercakap. Sejujurnya, dia sedikit kecewa dengan tindakan Ayuni.

"Kalau macam tu, kami bertolak dulu. Apa-apa nanti, update dekat saya semula." Arshad bingkas berdiri sebelum menghulurkan tangan ke arah Idham. Kedua lelaki itu saling berjabat tangan sebelum berpisah di situ.

Sepanjang perjalanan, tiada seorang pun yang membuka mulut. Arshad menumpukan perhatiannya pada pemanduan, sementara Ayuni dan Azimah, masing-masing hanyut dalam fikiran sendiri.

Pemandangan di luar menjadi tatapan Ayuni. Sesekali dia mengerling ke arah Azimah. Pasti neneknya berasa marah dengan keputusan yang sudah diambilnya. Tapi, dia yakin, lambat laun, kemarahan Azimah akan reda juga. Apa yang dia buat sekarang, pasti akan membantu mereka di masa akan datang.

"Ada nak singgah ke mana-mana ke?" Pertanyaan Arshad dibalas dengan gelengan kepala oleh Azimah dan Ayuni. Kekok. Masing-masing sepertinya berasa tidak selesa selepas insiden tadi.

Azimah langsung tidak menyangka bahawa Ayuni akan mengenakan syarat seperti itu kepada Arshad. Sedikit pun dia tidak setuju dengan keputusan cucunya.

Namun, apakah daya, semuanya sudah terlambat. Perjanjian sudah pun dibuat. Sekilas, dia mencuri pandang Arshad yang sedang leka memandu di hadapan. Timbul rasa janggal dalam dirinya angkara perbuatan Ayuni. Pasti lelaki itu beranggapan bahawa semua orang miskin itu sama. Boleh dijual beli dengan wang ringgit. Lolos satu keluhan dari bibir tuanya.

"Dalam ni ada beberapa jenis vitamin dan tablet untuk ibu mengandung. Jangan lupa makan. Saya nak bayi yang bakal dilahirkan nanti, berada dalam keadaan yang sihat." Ayuni tidak menjawab, sebaliknya huluran daripada Arshad disambut kasar. Tidak tunggu lama, Ayuni terus menapak masuk ke dalam biliknya.

Azimah menanggalkan tudung sarungnya sebelum membetulkan anak tudung. Sedikitpun dia tidak menoleh pada Ayuni yang sedang berdiri di sebelah. Hatinya terluka kerana Ayuni mengambil keputusan tanpa berbincang terlebih dahulu dengannya.

"Opah..." Lantas Ayuni menyambar lengan Azimah sebelum memeluk erat tubuh tua itu dari belakang. Dia melepaskan tangisan di situ. Tidak pernah terlintas langsung dalam dirinya, untuk membelakangi Azimah, cuma, dia terpaksa mengambil keputusan ini kerana hanya itu satu-satunya jalan yang terbaik untuk semua.

"Opah masih marahkan Yuni ke?" Tiada jawapan daripada Azimah. Hati kecilnya tersentuh mendengar esakan Ayuni. Lantas dia berpusing ke belakang lalu menarik Ayuni ke dalam dakapannya.

"Kenapa Yuni ambil keputusan tanpa bincang dengan opah dulu?" Soal Azimah dengan sayu.

"Yuni terpaksa. Yuni tahu, kalau Yuni beritahu dekat opah, mesti opah tak setuju. Ini demi kebaikan kita semua. Sampai bila kita nak hidup miskin? Yuni nak segera keluar dari sini." Jelasnya tanpa selindung.

"Tapi, ini bukan caranya."

"Ini je satu-satunya jalan yang ada untuk kita opah. Dia tak nak Yuni gugurkan kandungan, dan Yuni pun tak mahu kahwin dengan dia. Yuni mengaku, apa yang Yuni buat ni salah. Tapi, Yuni taknak dipergunakan. Bermati-matian lahirkan anak, lepas tu kena serah dekat dia tanpa sebab." Ujarnya.

"Tapi, opah risau. Jalan ni, sama macam kita menjual beli anak. Anak tu amanah dari tuhan, Yuni. Tak baik apa yang Yuni buat ni..." Pantas Ayuni menggelengkan kepala. Tidak setuju dengan kata-kata Azimah.

"Ayuni tahu. Tapi, situasi Ayuni berbeza. Yuni dirogol opah! Dirogol!" Tekan Ayuni.

"Macam mana kalau Ayuni berubah fikiran? Macam mana kalau Yuni tak mampu nak serahkan anak tu pada Arshad lepas dilahirkan?"

"Dalam hati Ayuni, tiada sekelumit pun rasa sayang pada anak ni opah. Ayuni tak suka anak ini. Ikutkan hati, nak cepat-cepat keluarkan dia dari dalam perut dan serahkan pada bapa dia terus." Ucapnya tanpa mempedulikan air muka Azimah yang semakin keruh.

"Jaga tutur kata kamu Yuni. Opah takut, kata-kata tu, makan diri kamu nanti. Jangan hina anak tu. Dia tak salah." Azimah terkedu melihat Ayuni yang berubah kasar sejak akhir-akhir ini.

"Tak ada maknanya Yuni jatuh sayang pada anak ni. Yuni yakin..." Dia terus mencapai kain tudung yang tergantung pada ampaian sebelum melilitkannya ke kepala. Dia meluru keluar dari bilik itu.

Mengapa susah sangat nak bagi neneknya itu faham. Anak yang sedang dikandungnya ini, bukan terhasil atas kerelaan dia. Dulu dia mahu gugurkan, Azimah bulat-bulat melarang. Kini, dia mahu melahirkan, tapi dengan upah, itupun Azimah tidak setuju. Apa yang orang tua itu mahukan sebenarnya? Buat masa ini, dia malas mahu berbahas tentang hal ini dengan Azimah. Bimbang keadaan antara mereka berdua akan menjadi lebih rumit.

Langkah terus dihalakan ke luar rumah. Lantas Ayuni melabuhkan punggung di atas bangku bersebelahan taman bunga. Hatinya panas. Lama dia merenung kesemua tanaman di situ sebelum melarikan pandangannya pada perut yang kelihatan sedikit berisi.

"Harap masa 9 bulan nanti berlalu dengan cepat. Aku tak sanggup simpan kau lama-lama..."

kalau ada kesalahan ejaan atau susunan ayat yg tunggang langgang...harap maaf ye...mungkin tlepas pandang waktu edit tadi..huhuuu

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience